Asrar dan Nuril berjalan beriringan. Nuril menanggalkan kasutnya, pasir pantai yang putih itu dipijaknya perlahan. Asrar hanya memerhati perbuatan Nuril. Dia kemudiannya ikut menanggalkan selipar yang dipakainya. Mereka lalu menuju ke gigi air sambil berjalan perlahan.
“Eh! Mana dia orang?” soal Nuril saat teringatkan Remy dan Rina. Nuril menoleh ke belakang, terlihat Remy, Rina, Adwa dan Fatihah sedang duduk di kerusi dek yang tersusun di bawah pepohon kelapa sambil berbual. Rina melambai ke arah Nuril sambil tersengih.
“Laa...dia orang dekat sana.” Sambung Nuril lagi.
“Nak pergi sana ke?” Soal Asrar.
“Erm, tak. Saya nak layan air pantai kejap. Kalau awak nak join dia orang, pergilah, saya okay je.” kata Nuril sambil menguis-nguis kakinya ke gigi air. Asrar hanya tersenyum tanpa berganjak dari situ.
Lama mereka diam melayani perasaan masing-masing sambil menikmati deburan ombak menyapa jari jemari kaki. Asrar merenung ke arah lautan yang terbentang luas. Terasa tenang dijiwanya.
Aishh, diam pulak si Awra ni. Apa topik yang sesuai untuk aku ajak dia berbual? Hmm.
“Awak...” tiba-tiba Nuril bersuara. Asrar mengerling.
“Hmm, ye...?”
“Macam mana dengan life awak sekarang?”
“Hmm. Life saya? Macam nilah. Busy twenty-four seven. Hehe. Keluar gelap, balik rumah pun gelap. Dapat cuti nilah baru rasa tenang sikit.”
“Erm...Mesti penatkan? Saya tengok abang saya pun, saya yang rasa penat.”
“Hehehe... Awra buat apa sampai penat?”
“Penat memikir macam mana dia boleh adapt semua tu hehehe. Awak pun, macam mana awak boleh adapt semua tu?”
“Hahaha...kelakarlah awak ni. Sebenarnya apa yang paling penting kalau nak jadi doktor ni, dua benda je. Niat dengan minat. Kalau ada dua benda ni inshaAllah boleh adapt.” Balas Asrar tersenyum.
Adoi! Asrar ni, kerap sangat senyum. Boleh cair aku macam ni. Aisshh... Ya Allah. Apa yang aku fikir ni?
“Aa...jadi, awak memang minat jadi doktor la ye?” Nuril menyoal lagi ingin tahu.
“Yup...memang dari kecil lagi saya memang suka baca buku-buku medic walaupun saya tak faham. Saya teringat ada sekali tu saya paksa Ma saya belikan buku pasal medic. hehehe.”
“Owh...patutlah... Ibu awak okay ke awak kerja jauh dari rumah?” soal Nuril sambil bermain-main pasir pantai dengan kakinya.
“Kalau ikutkan, dia suruh saya kerja dekat sana tapi saya buat keputusan untuk kerja di KL sebab saya ada perancangan nak sambung study.”
“Owh, nak jadi pakar ye? Wah! Bagusnya, sama macam along saya. Awak nak sambung bidang apa?” kata Nuril dengan nada sedikit teruja.
“Ortopedik. Hehe. InshaAllah. Doakan untuk saya.”
“InshaAllah. Tapi mesti ibu awak rindukan awak sebab duduk jauh hehe.”
“Itu semestinya. Ibu mana yang tak rindukan anak kan?”
“Erm...betul...” Nuril diam seketika. Dia tertunduk, dia tidak pernah merasa perasaan dirindui oleh orang tuanya sendiri. Namun dia cuba memahaminya. Dikuisnya lagi pasir pantai dengan kakinya. Asrar mengerling ke arah Nuril. Dia dapat merasakan yang dia sudah tersilap cakap. Dia betul-betul terlupa Awra dan Adwa sudah tidak mempunyai kedua ibu dan ayah.
“Erkk, sorry Awra. Saya terlupa...”
“Huh? Terlupa apa?”
“Ibu ayah awak...”
“Owh...pasal tu, tak ada apa-apalah.” Ujar Nuril sambil melemparkan senyuman manis.
“Saya minta maaf...”
“Ish, tak ada apa-apalah awak. Awak jangan risaulah, walaupun saya tak pernah merasai semua tu tapi saya boleh membayangkan perasaan tu. Awakkan pernah kata daya imaginasi saya ni tinggi, jadi saya boleh bayangkan tau. Hehe.” Kata Nuril sambil ketawa kecil. Asrar hanya tersenyum.
“Feel free je kalau awak nak bercerita pasal ibu ayah awak pada saya. Saya okay, saya lagi suka sebab kurang-kurang dapat juga saya merasai apa yang awak rasa towards your parents.” Sambung Nuril lagi tersenyum.
“Hehe...Erm, andaikata bila-bila saya sharing nanti... kalau ada apa-apa yang buat awak tak selesa saya nak awak terus terang je pada saya. Boleh?”
“Hmm...boleh. Hehe.”
“Awra tahu tak, Ma saya risau saya kerja dekat KL ni sebenarnya...”
“Kenapa?”
“Dia kata nanti tak ada orang yang boleh tengok-tengokkan saya, sakit pening, makan pakai...hehe. Kelakar pulak.”
“Haish, betullah apa yang ibu awak cakap tu. Awak duduk sendiri, mana ada orang nak tengokkan.”
“Saya dah dewasa he...Tapi yang kelakarnya dia siap pesan suruh cari isteri cepat-cepat...katanya dah jumpa calon nanti bawa balik jumpa dia dulu haha..adoi.”
“Ye ke? Hehe...awak kena cari calon cepatlah kalau macam tu.” Nuril memandang ke arah Asrar, pandangannya tepat ke arah anak mata Asrar. Mata mereka bertentangan seketika. Lalu Nuril cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Hehe...entahlah, susah nak jumpa perempuan yang setia dan jujur zaman sekarang ni.” Ujar Asrar bersahaja.
“Bunyi macam banyak pengalaman je hehe.”
“Ish...tak adalah. Saya ni jenis yang susah nak jatuh cinta.” Kata Asrar tersengih.
“Bertuah betul ex awak tapi sayang dia buat awak macam tu.”
“Huh? He...Dah tertulis dia bukan jodoh saya. Saya percaya Allah akan gantikan yang lebih baik untuk saya...”
“Dan Allah akan gantikan yang baik juga untuk saya hehe.” Nuril menyambung kata-kata Asrar sambil tersenyum.
“Erm...maaf kalau saya tanya. Awak masih ingat pada ex tunang awak ke?”
“Huh?!” Asrar agak terkejut dengan pertanyaan Nuril yang tiba-tiba. Bulat matanya.
“Erk...mesti awak terkejutkan, mana saya tahu? Sebenarnya Rina ada cerita pada saya, tapi saya tak tahu the whole story. Yang saya tahu awak putus tunang je. Sorry kalau soalan saya ni yang bukan-bukan je. Awak tak perlu jawab kalau awak tak nak.”
“Owh, Rina cerita?”
“Ha ah, sebab kebetulan hari saya putus dengan ex saya sama hari dengan awak putus tunang.”
“Hah?! Ye ke? Patutlah Awra menangis masa dekat taman hari tu. Saya assume Awra tengah stress.”
“Erk! Janganlah sebut. Malu saya.” Kata Nuril sambil menundukkan kepalanya. Asrar tersengih kemudian dia menarik nafas panjang lalu dilepaskannya perlahan.
“Untuk menjawab pertanyaan awal Awra tadi, saya dah lama lupakan ex tunang saya tu. Lagi pun dia dah kahwin, kalau dia tak kahwin sekali pun memang tak mungkinlah saya akan terima dia semula. Terus terang saya cakap, saya tak boleh nak terima perempuan macam tu dalam hidup saya. Tapi saya yakin semua yang berlaku tu adalah ujian yang Allah beri untuk saya jadikan pengajaran.”
“Erm, awak...kita lupakanlah perkara yang dah lepas. Kita mulakan fasa baru. Semoga awak bertemu dengan belahan jiwa awak tu...” ujar Nuril tersenyum.
My belahan jiwa...Asrar berkata dalam hati sambil memandang pada Nuril. Dia tiba-tiba berdebar. Degupan jantungnya menjadi laju.
Ya Allah. Apa yang aku rasa ni?!
“Aamiin...saya akan doakan untuk awak juga.” Nuril tersenyum mendengar ucapan Asrar.
********
Selepas maghrib pada malam itu Remy dan Asrar turun menuju ke ruangan BBQ lounge. Asrar mengenakan baju tshirt dan seluar jeans putih, disarungnya jaket denim berwarna biru gelap di bahagian luarnya. Remy pula mengenakan tshirt hijau lumut dan seluar jeans biru, dia menyarung kemeja berkotak di sebelah luarnya. Suasana di BBQ lounge agak meriah dengan cahaya lampu yang menyinari ruangan makan yang disediakan. Terdapat beberapa orang pengunjung yang sudah pun berada di situ. Seusai berjalan masuk mereka terserempak dengan Adwa dan Fatihah yang sedang memilih tempat duduk.
“Adwa...awal nampak. Hehe.” Tegur Asrar.
“Eh! Hehe...alang-alang dah siap tadi terus je keluar. Kita nak duduk dekat sini ke? Cukuplah untuk kita enam orang.”
“Boleh je abang Adwa.” Sampuk Remy lalu melabuhkan punggungnya sambil berbual-bual kosong dengan Fatihah. Asrar tidak terus duduk sebaliknya dia berjalan meninjau ke kaunter-kaunter makanan yang tersedia. Tanpa disedari Adwa mengekorinya.
“Lapar dah ke?” tanya Adwa.
“Huh? Adalah sikit haha. Survey dulu apa yang menarik.”
“Kau...bukan main lagi dengan adik aku petang tadi.” Tegur Adwa.
“Huh?! Aa...haha. Kenapa? Aku borak-borak jelah dengan dia.”
“Hehe...tak adalah. Kau tahu tak apa tujuan aku nak kenalkan kau dengan adik aku?”
“Huh? Tak...ada sebab ke? Risau pulak aku. Kau jangan macam-macam. Kau ni unpredictable...”
“Uishh, macam tu sekali kau anggap aku.”
“Hehe...adalah sikit.” Asrar ketawa kecil. Sikap Adwa yang dikenalinya memang seseorang yang sukar diramal.
“Aishh, kau ni...”
“Apa niat kau nak kenalkan aku dengan adik kau sebenarnya? Tell me now. Haha.” Asrar berseloroh.
“Haha...kau kata nak jadi adik ipar aku kan? Ni aku bagi peluang dekat kau.”
“Kau biar betul...aku bergurau je hari tu.” Asrar seperti tidak percaya mendengar kata-kata Adwa.
“Aku tak bergurau. Sebenarnya aku perasan cara kau pandang adik aku dari siang tadi lagi cuma aku tak pasti apa yang kau fikir.”
“Eh, kau perhatikan aku ke?”
“Of courselah. Aku tahulah dari cara kau pandang dia tu.”
“Erk...hahaha. Nampak je kau.”
“Kau kan tahu, dialah satu-satunya darah daging yang aku ada. Walau dekat mana dia berada, apa yang dia buat, aku akan pantau. Aku risau aku tak jalankan tanggungjawab aku sebagai abang, ibu dan ayah.”
“Aku faham bro. Besar tanggungjawab kau tu.”
“Okay, berbalik pada niat aku nak kenalkan kau pada adik aku tu... sebenarnya aku lebih percayakan kau lebih dari lelaki-lelaki lain untuk berkawan dengan adik aku. Saja aku nak kenalkan, manalah tahu ada jodoh korang berdua.”
“Huh?!” Terkejut Asrar mendengar penjelasan dari Adwa. Terbeliak matanya.
“Maksud kau... kau okay jelah kalau aku mengorat adik kau ni? Hahaha.”
“Haha...aku bagi green light sebab aku percayakan kau.”
“Are you sure? Kau tak ragu-ragu ke dengan aku? Aku ni bukan lelaki sempurna untuk adik kau. Aku banyak kekurangan.” Kata Asrar sambil mengurut-urut dagunya.
“Ala...aku kenal kau dah lama bro. Aku tahu kau tu macam mana.”
“Manusia boleh berubah bro... boleh jadi aku ni tiba-tiba berubah buat yang bukan-bukan ke. Kau tak takut ke?”
“Kau nak ke macam tu?” Adwa membalas.
“Ish, tak nak. Minta dijauhkan. Aku tetap aku. Cewah...hahaha.”
“Tau pun...sebab tulah aku percayakan kau.” Ujar Adwa. Asrar tersengih, dia tidak menyangka dia mendengar semua ni dari mulut Adwa sendiri.
Ini sebenarnya niat Adwa rupanya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tapi apa perasaan Awra pada aku? Mampu ke aku? Mampu ke aku untuk menjaga hati dia? Mampu ke aku untuk bahagiakan dia? Aku risau aku tak mampu nak bahagikan masa aku untuk dia dengan kerja aku yang selalu sibuk dan tak menentu. Asrar berfikir sendirian. Banyak persoalan yang bermain difikirannya kerana itulah dia terlalu berkira-kira untuk memulakan fasa cinta baru dalam hidupnya.
“Hehe...but bro, don't put your expectations too high on me. Lagi pun aku tak tahu apa perasaan adik kau pada aku.”
“Adik aku tu tak ramai kawan lelaki, kawan-kawan lelaki dia semua aku kenal. Tapi yang aku pelik, macam mana dengan kau ni aku boleh terlepas pandang pulak? Aku tak tahu yang dia berkawan dengan kau. Hmm...” Adwa memandang Asrar sambil mengangkat sebelah keningnya.
“Eh?! Kenapa pandang aku macam tu?” Asrar mengerutkan dahinya.
“Haha...I’m counting on you Asrar.”
“Counting on what?!” tanya Asrar, tidak memahami apa yang diperkatakan oleh Adwa. Adwa hanya tersengih tanpa menjawab pertanyaan Asrar. Dia kemudian berlalu meninggalkan Asrar sendirian di situ.
Haish! Adwa... Adwa...pening aku dengan kau ni. Apa maksud kau ni Adwa?? Aduh!
Seketika kemudian Nuril dan Rina melangkah masuk ke BBQ lounge.
“Weh...Awalnya korang.” Rina menyapa lalu melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia duduk berhadapan dengan Remy.
“Bab makan kita orang memang awal haha.” balas Remy.
“Kau memang Remy... Makanan dengan kau berpisah tiada hehehe.” Nuril menyampuk. Asrar hanya memerhati gerak geri Nuril sejak Nuril melangkah masuk ke situ. Nuril mengambil tempat duduk berhadapan dengan Asrar. Dia melemparkan senyuman ke arah Asrar namun Asrar masih merenungnya tanpa balasan.
Dah kenapa pulak si Asrar ni? Tengok aku macam nak tembus. Dia tengah fikir sesuatu kot. Hmm...
“Nuril...” Panggil Fatihah.
“Ye kak.”
“Korang berdua berjanji ke pakai baju sedondon? Hehe.” Tegur Fatihah yang sudah bangun dari kerusinya, dia mahu mengikut Adwa untuk mengambil makanan.
“Hah?! Berjanji? Dengan siapa pulak kak?” Nuril terpinga-pinga. Dia terkejut dengan teguran Fatihah.
“Dengan Asrar...hehehe.” jawab Fatihah perlahan sambil ketawa kecil dan berlalu dari situ membuntuti suaminya.
Dengan Asrar?! Eh! Ye ke?! Terbeliak mata Nuril. Sungguh dia tidak perasan, dia tidak memberi perhatian pada pakaian orang lain. Dia memerhatikan baju yang dipakainya, shawl putih, dress labuh berwarna putih, kainnya sedikit kembang ke bawah. Sebelum keluar tadi sempat dia menyarung jaket denim berwarna biru gelap. Kemudian pandangan matanya beralih ke arah Asrar yang masih lagi duduk di hadapannya sambil tersenyum. Seraya itu baru dia perasan warna baju mereka sama. Nuril menundukan kepalanya, pipinya sudah merah. Malu jika Asrar melihatnya.
“Awra...” panggil Asrar.
“Jom, kita ambil makanan.” Pelawa Asrar. Remy dan Rina sudah pun hilang dari pandangan tanpa menunggu mereka berdua, Rina dan Remy sudah menuju ke kaunter yang menyediakan makanan laut.
Adoi...macam mana boleh sama pulak ni? Patutlah dia tenung aku semacam je.
“Jomlah.” Pelawa Asrar lagi. Nuril menepuk-nepuk pipinya perlahan untuk menghilangkan perasaan malu.
“Ehemm...jom.” balas Nuril ringkas. Dia berdebar namun dia berjaya mengawalnya.
“Sama pulak warna baju kita... ada chemistry.” bisik Asrar perlahan seraya berjalan di sebelah Nuril.
“He...itulah. Saya tak perasan. Patutlah awak dok tenung saya tadi.”
“Aa...? Haha... saya tergamam kejap. Hehe.” kata Asrar lalu tersengih. Terukir senyuman di bibir Nuril walau hakikatnya dia masih lagi malu. Dari jauh sayup-sayup kedengaran lagu Apa Saja nyanyian kumpulan KRU dinyanyikan oleh ahli kumpulan busking. Mereka baru sahaja memulakan persembahan mereka bagi menghibur para pengunjung yang sedang menikmati makan malam.
“Awra nak makan apa?” Tanya Asrar.
“Erm... Kambing bakar...lama saya tak makan. Hehe.”
“Haa...jom kita ke sana.” Asrar menunding jarinya ke arah kanan di mana tempat tukang masak sedang membakar daging, ayam dan makanan laut. Mereka kemudiannya bertemu dengan Rina dan Remy yang sedang menunggu makanan mereka yang sedang dibakar. Rina dan Remy tersengih bak kerang busuk melihat mereka berdua.
“Wah!Wah! Korang berdua.. matching, matching gitu haha.” Sapa Rina sambil ketawa.
“Korang berjanji ke?” soal Remy.
“Ha ah, kita orang berjanji petang tadi.” Balas Asrar selamba. Terkebil-kebil Nuril mendengar jawapan dari Asrar. Asrar tersenyum sambil mengerling ke arah Nuril. Sengaja dia mengiakan walau hakikatnya perkara itu tidak benar.
“Hahaha...korang ni. Licik betul.” Balas Remy. Rina sudah ketawa kecil. Dia memandang ke arah Nuril yang masih lagi tergamam.
“Haha... memandai je kau.” balas Asrar.
Aduh! Dia orang ni kalau tak menyakat memang tak sah. Nasib kaulah Nuril dapat kawan yang suka menyakat macam ni.
Malam itu mereka menikmati makan malam ditemani dengan lagu-lagu yang dimainkan oleh kumpulan busking. Kebanyakkan lagu-lagu yang dimainkan bertemakan cinta.
“Weh, lagu favourite aku.” Kata Rina tatkala lagu Dengarkanlah nyanyian Amy Mastura dan Glenn dinyanyikan. Nuril hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya melihat gelagat Rina yang terikut menyanyi sekali. Nuril menyuap daging kambing bakar ke mulutnya, dikunyahnya perlahan. Dia memerhatikan abangnya yang sedang rancak berbual dengan Remy dan Asrar. Seketika kemudian Nuril bangun dari duduknya, dia melangkah perlahan menuju ke kaunter minuman. Pergerakannya itu diperhatikan oleh Asrar dalam diam.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan pada tuan-tuan dan puan-puan. Selamat menikmati makan malam. Malam ni kami ada special request dari seorang customer... ha... tuan puan tahu apa yang dia request?” kata ahli kumpulan busking tersebut. Para pengunjung ada yang menggeleng, ada yang memberikan jawapan.
“Okay, saya tak nak beratkan kepala tuan puan untuk fikir. Kita santai-santai je malam ni. Customer ni request untuk karaoke... jadi malam ni kita buka pentas ni untuk beliau dan juga untuk tuan puan yang rasa teringin nak menyanyi dengan kami, kami sangat alu-alukan pada yang ada bakat terpendam tu kan...okay, baiklah kami persilakan Encik Alex untuk menyanyi bersama kami. Dipersilakan.” Para pengunjung yang berada di situ memberi tepukan dan mereka mula teruja untuk mendengar suara Encik Alex. Lagu dimainkan dan tanpa disangka sebuah lagu melayu menjadi pilihannya. Lalu lagu Diari Seorang Lelaki berkumandang dan dia terus memulakan nyanyian.
“Boleh tahan juga suara dia.” Kata Rina.
“Ha ah, sedap juga suara dia.” Sampuk Fatihah. Rina menoleh mencari kelibat Nuril yang tiada di sebelahnya.
Eh, mana pulak si Nuril ni? Hmm, pergi ambil makanan la tu. Hmm.
“Akak tak nak nyanyi? Hehe.” Rina menyoal Fatihah.
“Hah? Akak? Nyanyi? Silap hari bulan mau hujan kejap lagi. Hehe.” Fatihah ketawa kecil menjawab pertanyaan Rina.
“Ye ke? Entah-entah lagi power dari Enck Alex tu hehehe.”
“Haha...taklah Rina. Akak tak pandai nyanyi, nanti hilang selera orang nak makan.”
“Hehe.”
“Remy. Kau tak nak karaoke ke? Kau kan suka menyanyi.”
“Aku? Nyanyi? Malu lah...”
“Ala...poyo. Selama ni yang kau nyanyi dalam kereta tu okay je.”
“Ha ah kan. Kau pergilah nyanyi Remy.” Asrar mencelah.
“Uish, korang ni. Aku pulak, kaulah Asrar. Suara kau lagi sedap dari aku.” Balas Remy. Asrar menggeleng sambil membuat tanda pangkah dengan jarinya. Seraya itu terdengar salah seorang ahli busking bersuara.
“Wow! Padu. Sedap suara encik Alex kita. Berikan tepukan pada beliau. Okay, saya buka pada tuan puan yang nak karaoke. Boleh tampil ke depan dan berjumpa dengan assistant kita untuk pilih lagu. Tapi malam ni, lagu kita bertemakan cinta. Okay tuan puan, jangan malu-malu. Peluang tak selalu hadir. Sementara itu terimalah lagu Kau Ditakdirkan Untukku nyanyian kumpulan Inteam dari kami. Enjoy.”
“Pergilah Remy...” Rina bersuara.
“Kejap lagilah. Aku pikir tajuk lagu dulu hehe..”
Mereka kemudiannya menikmati juadah yang tersedia sambil berbual kosong. Sesekali mereka bangun untuk mengambil makanan. Rina menjengah ke bahagian pencuci mulut, dia mengambil beberapa keping kek coklat dan tart.
Nuril mesti suka desserts ni hehe. Eh, tapi mana Nuril ni? Dari tadi tak nampak... mungkin dia pergi toilet kot. Hmm.
Selang beberapa ketika, Asrar meninjau-ninjau sekeliling selepas menyedari Nuril belum kembali ke tempat duduknya sejak dari tadi. Dia tercari-cari kelibat Nuril namun tidak kelihatan.
“Eh, Awra mana?” Asrar menyoal.
“Huh?! Mungkin dia ke toilet. Tapi...lama sangat, risau pulak aku. Nanti aku pergi cari.” Balas Rina.
“Tak apa, aku pergi cari.” Kata Asrar lalu segera bangun. Asrar melangkah perlahan sambil memerhati lagi sekeliling.
Hmm...ke mana pulak dia pergi? Asrar memanjangkan lehernya. Matanya melilau ke kanan dan ke kiri. Hampir setiap ceruk tempat makan tersebut dia berkeliling namun dia tidak menemui kelibat Nuril.
Dia berdiri seketika lalu dia mengeluarkan telefon pintar dari koceknya. Seusai itu ada sahaja mata-mata yang melirik ke arahnya. Dia menjadi perhatian gadis-gadis muda yang berselisih dengannya. Asrar cuba menghubungi Nuril beberapa kali namun panggilannya tidak berjawab. Asrar sedikit cemas. Dia risau jika berlaku sesuatu pada Nuril.
Aiisssh...tak jawab. Ke mana pulak dia pergi? Tiba-tiba menghilang. Asrar sudah merasa tidak sedap hati. Dia melangkah pantas meninggalkan ruang makan lalu menuju ke arah lobi. Dia meninjau-ninjau sekeliling lobi namun masih hampa, kelibat Nuril masih tidak kelihatan di mana-mana. Asrar menuju ke kaunter hotel lalu menunjukkan gambar Nuril yang diambilnya pagi tadi kepada penyambut tetamu di kaunter tersebut.
“Encik...Ada nampak perempuan dalam gambar ni lalu dekat sini tak? Dia pakai dress labuh warna putih dengan jaket denim macam saya pakai ni.”
“Owh, rasa macam ada perasan tadi.”
“Huh?! Ada?! Ada nampak dia pergi ke mana?” Asrar menyoal dalam nada cemas.
“Tadi ada seorang lelaki tarik tangan dia keluar. Dia jerit-jerit tadi tak nak ikut, tapi lelaki tu paksa dia.”
“Hahh?! Lelaki? Baru lagi ke?!” Asrar terkejut dengan mendengar penjelasan lelaki terbabit.
“Ha ah, baru lagi beberapa minit lepas...kami cuba nak tol...” Belum sempat penyambut tetamu itu menghabiskan ayatnya Asrar memotong.
“Ya Allah! Terima kasih encik.” Asrar segera berlari menuju ke pintu hotel.
Ya Allah! Kau lindungilah Awra. Siapa pulak lelaki tu?!
Terima kasih kerana sudi membaca. ;)
Share this novel