Selang seminggu selepas majlis di pihak rumah Fatihah. Haslina sekeluarga sibuk membuat persiapan untuk majlis sambut menantu untuk pihak Adwa pula. Kebetulan pada ketika itu adalah cuti persekolahan, jadi bolehlah dia berada di semenanjung lebih lama sedikit berbanding pada hari cuti biasa. Nuril turut membantu membuat persiapan. Dia mengemas rumah peninggalan arwah ibu dan ayahnya yang terletak di Kuantan Pahang. Rumah banglo sederhana setingkat itu didirikan atas tanah persendirian yang mempunyai halaman yang agak luas. Jarang-jarang dia dapat pulang ke situ, adakala dia meminta tolong bapa saudara sebelah ibunya untuk tengok-tengokkan rumah tersebut. Dia hanya pulang sebulan sekali dengan Adwa sebelum ini untuk membersihkan rumah, itu pun jika Adwa dapat meluangkan masa. Adakala dia mengajak Rina dan Remy menemaninya. Nuril ada menyimpan hasrat untuk menetap di Kuantan selepas dia tamat belajar sebelum ini namun kerana rezeki kerjayanya di Kuala Lumpur, dia menangguhkan dulu hasratnya itu.
"Makcik. Okay tak pelamin ni?" soal Nuril yang sedang memerhati beberapa orang pekerja mak andam yang sedang menghias pelamin.
"Cantik. Simple dan menarik. Tema cream and gold. Nampak mewah walaupun simple." Ujar Haslina sambil tersenyum melihat pelamin yang hampir siap dihias.
"Kan...tak tahulah along dan kak Fatihah suka ke tak. Hehe."
"Ish, mesti dia suka punya. Idea adik dia kan...jarang dia membantah hehe." Nuril hanya tersenyum mendengar kata-kata makciknya.
Malam itu Nuril tidur agak lewat kerana menyiapkan hiasan di ruang makan pengantin. Untuk makanan kenduri pula mereka hanya menempah melalui khidmat katering bagi memudahkan urusan esok harinya. Hanya untuk lauk pengantin sahaja yang akan mereka masak sendiri. Seusai selesai tugasnya, Nuril terus masuk ke bilik dan merebahkan dirinya di atas katil, tanpa disedarinya dia terus sahaja terlena.
Pada pukul 11.30 pagi keesokkan harinya, rombongan pengantin tiba seperti yang dirancang. Adwa tersenyum saat melihat adiknya dan ibu saudaranya menyambut ahli rombongan. Dia sangat bersyukur majlis perkahwinannya berjalan lancar walaupun dia sudah tidak lagi mempunyai kedua ibu bapanya sebagai pendokong utama majlisnya.
Seusai bersanding dan bergambar pasangan pengantin kemudiannya terus ke meja pengantin untuk makan tengahari. Nuril dan Umi melayan para rombangan dari pihak perempuan.
"Adik..." panggil Adwa perlahan tatkala Nuril sedang menuang minuman ke dalam gelasnya Adwa. Nuril menundukkan sedikit badannya ke arah Adwa untuk membolehkannya mendengar apa yang bakal disampaikan oleh Adwa.
"Terima kasih. Cantik pelamin. Kak Fatihah pun suka."
"Huh?! Owh, hehe. Thanks along. Along, makan dulu, nanti kita sembang." Ujar Nuril sambil tersengih. Ahli keluarga Fatihah yang berada di meja makan tersebut hanya memerhati mereka berdua sambil tersenyum.
"Kak Fatihah... makan banyak-banyak tau. Penat masak hehe."
"Huh? Malu...lepas majlislah akak makan banyak-banyak hehehe." Ujar Fatihah. Nuril hanya ketawa kecil mendengar kata-kata Fatihah dan berlalu dari situ.
"Adwa...adik kamu tu dah kahwin ke belum?" soal bapa mertua Adwa.
"Owh, belum ayah. Hehe." Jawab Adwa ringkas.
"Cantik orangnya..." sampuk ibu mertua Adwa pula.
"Alhamdulillah...rezeki Allah kurniakan. Dialah satu-satunya amanah yang arwah ibu dan ayah tinggalkan untuk saya."
"Besar tanggungjawab kamu tu." Ujar bapa mertua Adwa sambil mengangguk tanda memahami apa yang tergalas di bahu Adwa. Adwa hanya melemparkan senyuman.
*****
Tengahari itu sesudah keluarga Fatihah pulang. Adwa dan Fatihah menyambut para tetamu yang hadir ke majlis mereka. Nuril dan Umi sibuk mengemas meja pengantin.
"Abang." Panggil Fatihah perlahan.
"Hmm, ye." Balas Adwa lembut sambil bersalaman dengan tetamu yang hadir.
"Tiha masuk solat sekejap ye...risau terlepas zohor pulak nanti."
"Okay sayang." Ujar Adwa tersenyum. Fatihah menjeling ke arah Adwa, malu dia apabila Adwa memanggilnya sayang di depan para tetamu walau hakikatnya para tetamu tidak mendengarinya. Fatihah kemudian berlalu menuju ke dalam rumah.
"Assalammualaikum bro..." Sapa satu suara yang amat dikenali Adwa. Adwa menoleh. Dilihatnya Asrar tersengih ke arahnya. Dia tersenyum.
"Akhirnya...sampai jugak kau. Ingat tak sudi nak datang hahaha." Adwa berseloroh.
"Hahaha...Selamat pengatin baru bro. Aku cuba hadir walaupun aku lambat sikit. Sorry, aku on call semalam, balik pagi tadi terus aku siap-siap datang sini."
"Ya Allah...kau okay tak ni? Drive jauh-jauh. Kalau kau nak rehat boleh je tumpang kat rumah aku ni."
"Ish, tak apa. Aku okay. Balik nanti aku tidur hehe."
"Kalau macam tu...kau kena makan banyak-banyak."
"Adoi...hilang diet aku nanti hahaha."
"Diet sangatlah kau tu. Jangan nak temberanglah, tengok muka pun aku tau kau tengah lapar." Ujar Adwa menjeling.
"Hahaha. Tapi aku tak sempat nak bawa hadiah kahwin kau." Asrar meninjau-ninjau sekeliling mencari kelibat isteri Adwa. Dia ingin memastikan benarkah gadis yang dia nampak bersama Adwa tempoh hari adalah isterinya.
"Aahh, tak penting hadiah tu. Kau datang ni pun aku dah cukup berterima kasih. Aku nak kenalkan kau dengan isteri aku tapi dia pergi solat sekejap."
Aishh, macam tau-tau je si Adwa ni aku nak kenal isteri dia.
"Tak apa, kenalkan kejap-kejap lagi pun tak apa hehe. Alright bro, aku gi makan dulu." Adwa mengangguk tersenyum. Asrar kemudiannya berlalu menuju ke bawah khemah makan.
Tepat waktu aku datang. Perut memang tengah berkeroncong ni hehe. Kata Asrar dalam hati. Asrar belum pun menjamah makanan berat sejak dia habis oncall pagi tadi. Kehadirannya di khemah tersebut menarik perhatian tetamu yang lain. Banyak mata yang memandang ke arahnya namun tidak dihiraukannya, apa yang penting dia perlu mengisi perutnya yang sudah lapar.
"Eh! Asrar." Tegur satu suara saat Asrar sedang mencedok lauk ke dalam pinggannya.
"Eh, Hilman. Ya Allah, lamanya tak jumpa kau." Tegur Asrar. Hilman adalah rakan satu batch Asrar ketika menuntut di universiti dahulu. Mereka terpisah saat housemanship. Hilman bertugas di selatan tanah air.
"Ha..bertemu kita kat sini. Kau sorang je ke?" soal Hilman.
"Haah, sorang je he..."
"Tak bawa orang rumah?"
"Huh? Eh, aku tak ada orang rumah lagilah hehe."
"Manalah tahu kot kau dah kahwin tak jemput aku haha. Jom...makan sekali. Wife dan anak aku ada dekat situ." Ujar Hilman sambil memuncungkan mulutnya ke arah tempat duduk yang dimaksudkan.
"Seganlah aku."
"Aishh, jomlah. Boleh kita berborak, sesekali jumpa." Pujuk Hilman. Asrar akhirnya akur dengan cadangan Hilman lalu dia membuntuti Hilman. Mereka berbual sambil menjamu selera, banyak yang mereka bualkan setelah sekian lama tidak berjumpa. Sedang mereka rancak berbual Asrar terperasan sesusuk tubuh yang dikenalinya yang sedang keluar masuk rumah dari jauh.
Eh! Gadis tu. Asrar dapat mengecam gadis tersebut dengan sekali pandang. Dia ternampak Nuril yang sedang sibuk keluar masuk mengemas meja pengantin. Asrar memerhatikan Nuril yang mengenakan baju kebarung bersulam berwarna krim dan tudung berwarna coklat muda, sesuai dengan tema baju pengantin.
Eh, tak akan pengantin kemas meja sendiri? Tapi baju yang dia pakai tu pun tak macam baju pengantin. Asrar berfikir sendiri.
"Asrar. Aku gerak dulu. Anak aku dah start meragam tu." Ujar Hilman yang baru selesai makan. Isterinya sudah pun menunggunya sambil mententeramkan anaknya yang menangis.
"Okay. Bila-bila kau ada masa roger-roger lah aku hehe." Pesan Asrar.
"Bereh boh..." balas Hilman lalu beredar dari situ. Asrar kemudiannya turut bangun untuk beredar. Dari jauh dia ternampak kelibat Adwa yang sedang berbual-bual dengan tetamu yang hadir. Asrar lalu mendapatkan Adwa, badannya sudah letih. Seharian dia tidak tidur sewaktu oncall semalam. Dia bercadang untuk beransur walau hakikatnya, hati kecilnya ingin mendapatkan kepastian berkenaan gadis yang dilihatnya tadi. Dia masih tertanya-tanya apa hubungan Adwa dengan gadis tersebut namun kerana keletihan dia membiarkan sahaja perkara itu. Cadangnya dia akan bertanya pada Adwa apabila ada kesempatan nanti.
"Adwa...aku beransur dululah. Terima kasih bro jemput aku." Sapa Asrar sambil bersalaman dengan Adwa. Adwa tersenyum.
"Kenyang dah kau makan?"
"Alhamdulillah...kenyang, dah boleh balik dengan senang hati hehehe."
"Abang..." Fatihah bersuara sambil menghulurkan sebungkus beg kertas pada Adwa.
"Owh...ni buah tangan dari kami. Terima kasih Asrar sudi memeriahkan majlis aku."
"Sama-sama bro." Ujar Asrar sambil mengerling ke arah Fatihah yang tersenyum di sebelah Adwa. Asrar membalas senyuman tersebut.
Erm, ini barulah pengantin. Pakaian pun sepadan. Habis tu, gadis tu siapa? Saudara Adwa ke? Tapi hari tu nampak mesra lain macam. Hmm...
"Owh, ni isteri aku. Tadi tak sempat nak kenalkan hehe." Tersipu-sipu Fatihah saat Adwa berkata demikian. Asrar tersengih.
"Tahniah...aku doakan korang berdua bahagia hingga ke Jannah." Ujar Asrar.
"Terima kasih." Balas Fatihah.
"Erm, okaylah Adwa. Aku gerak dulu."
"Eh, kejap...kejap. Aku nak kenalkan kau dengan adik aku." Adwa menahan Asrar.
"Huh?"
"Kejap Asrar..."
"Umi! Kak Awra mana?" Jerit Adwa pada Umi yang kebetulan berjalan melepasinya.
"Huh? Owh, kak Awra? Erm, tadi nampak dia dekat dalam rumah. Dia tengah siap-siap nak solat." Balas Umi.
"Ye ke. Tak apalah."
"Sorry Asrar, tak ada rezeki nak kenalkan kau dengan adik aku hari ni."
"Eh, tak apa. Lain kali je. Macamlah kita tak jumpa dah hehe." Balas Asrar.
"Okaylah. Kat KL nantilah, bila-bila free."
"Alright bro. Jumpa lain kali. Aku gerak dulu."
"Hati-hati drive."
"Alright." Balas Asrar lalu berjalan menuju ke keretanya.
"Handsomenya kawan abang tu." Tegur Fatihah. Adwa menjeling ke arah isterinya.
"Abang tak handsome ke?" kata Adwa pura-pura cemburu.
"Ish, mestilah handsome. Suami Tiha semestinya handsome di hati Tiha hehe." Adwa tersengih mendengar kata-kata isterinya. Sengaja dia mengusik.
Setibanya di kereta, Asrar membasuh mukanya dengan air untuk menyegarkan matanya sebelum memulakan perjalanan. Dia meraup muka dengan tangannya. Dia tersengih sendirian.
Aku sangka aku terpikat pada hak orang. Rupanya aku salah sangka. Itulah kau Asrar kenapa tak pergi tegur hari tu?? Aiishh! Bodohnya aku. Kalau aku pergi tegur hari tu mesti aku dah tahu siapa gadis tu sebenarnya. Dia tersengih memikirkan kebodohannya sendiri. Dia menggelengkan kepalanya.
Maksudnya aku masih ada peluang lagi untuk ambil tahu pasal gadis tu. Hmm, mungkin aku boleh tanya dengan Adwa nanti untuk kepastian. Tapi bila difikir-fikirkan balik wajah gadis tu dengan Adwa hampir seiras. Eh! Adik Adwa ke?! Asrar tersentak, bulat matanya. Dia tergamam seperti tidak percaya dengan kesimpulan yang dibuatnya sendiri.
Ya Allah! Apa yang sedang KAU aturkan untuk aku? Haissh, menyesal pulak aku tak tunggu sekejap tadi. Hmm, Asrar! Bawa bersabar. Hati Asrar sudah tidak sabar untuk mendapatkan kepastian dari Adwa namun terpaksa ditahannya dulu. Dia kemudiannya memulakan pemanduannya. Sepanjang perjalanannya pulang ke Kuala Lumpur, Asrar tidak berhenti memikirkan perkara tersebut.
Awra...Awra... nama dia Awra. Aku yakin dia adik Adwa. Aiishh! Aku ni dah kenapa? Dah gila bayang?? Ya Allah, apa aku dah jatuh cinta pada gadis tu ke? Berikan aku pertunjuk.
*****
Nuril melabuhkan punggungnya di atas kerusi setibanya dia di pejabat. Dia tiba awal di pejabat pada hari itu untuk menyelesaikan kerjanya yang sudah banyak hari tertangguh. Hari itu merupakan hari pertamanya masuk ke pejabat setelah bercuti untuk urusan perkahwinan abangnya. Dia menghidupkan suis komputernya, dilihatnya pada tray di mejanya yang penuh dengan dokumen.
"Haiish, banyaknya kerja tak siap." Nuril mengeluh perlahan.
"Nah, coffee untuk you." Tiba-tiba satu suara lelaki menyapanya sambil menghulurkan secawan kopi. Nuril terkejut lalu memandang ke arah tuan empunya suara tersebut.
Huh?! Haiqal? Apa dia buat dekat sini?
"You tak rindukan I ke Nuril?"
"Tak pun." Jawab Nuril selamba sambil mengalihkan pandangannya dari Haiqal.
"Sombong betul you sekarang. Langsung tak nak balas call dan mesej I." Ujar Haiqal. Nuril hanya diam tanpa membalas kata-kata Haiqal. Haiqal meletakkan kopi yang dibawanya di atas meja Nuril apabila pemberiannya itu tidak disambut oleh Nuril.
"Kau ada apa dekat sini? Bukan ke projek syarikat kita dah selesai?" soal Nuril dengan matanya yang masih tertumpu pada skrin komputer.
"Owh, you tak tahu ye? Ada projek baru lulus baru-baru ni...Owh, I lupa I dimaklumkan yang you bercuti panjang." Nuril hanya diam mendengar kata-kata Haiqal.
Aishh, ada projek baru ke? Aduh! Aku dah muak betul dengan mamat ni. Ya Allah bantulah hambamu ini. Jauhkan aku dari dia. Harap aku tak terlibat dengan projek ni. Aku dah tak nak jumpa dia lagi.
"You pergi mana cuti panjang?" soal Haiqal. Nuril menjeling tanpa menjawab pertanyaan Haiqal. Malas dia hendak melayan.
Dia ni dah kenapa? Sibuk dengan hal aku. Tak boleh move on lagi ke?
"You pergi mana?" soal Haiqal lagi ingin tahu.
"Kenapa kau sibuk sangat nak tahu?" soal Nuril lalu berdiri, dia cuba untuk melarikan diri dari situasi yang menyesakkan dirinya. Dia tidak senang dengan kehadiran Haiqal di situ. Haiqal tersenyum sinis. Dia masih tidak berpuas hati. Nuril melangkahkan kakinya untuk beredar dari situ namun Haiqal menghalang dengan badannya. Nuril kaget dengan tindakan Haiqal. Dia cuba lagi untuk melepasi Haiqal dari bahagian sisi namun Haiqal berjaya menghalangnya lagi.
Isshh! Dia ni...geramnya aku. Kau nak aku tumbuk kau ke? Nuril berkata-kata dalam hatinya. Tangannya digenggam kuat. Haiqal tersenyum sinis. Nuril merenung tajam ke mata Haiqal. Dia sedang memikirkan cara untuk melepaskan diri, dia risau jika Haiqal bertindak di luar batasan.
"Mana you nak lari? I tak akan lepaskan you kali ni." Ujar Haiqal serius. Nuril mula berdebar, dia risau jika Haiqal membuat sesuatu yang tidak baik pada dirinya. Ingin dia minta bantuan tetapi staf-staf lain masih belum tiba di pejabat.
"Kenapa kau masih ganggu aku? You should move on Haiqal."
"Aku tak boleh nak lupakan kau Nuril. Even aku dah cuba, aku masih tak boleh nak lupakan kau."
"Stop it Haiqal. Aku dah tak ada apa-apa perasaan pada kau lagi. Belajarlah untuk terima kenyataan."
"Kenapa? Kau dah ada orang baru ke?!" soal Haiqal.
Aduh. Apa aku nak jawab ni? Kau jawab jelah apa-apa Nuril janji mamat ni berambus dari hidup kau.
"Kenapa diam? Aku tahu kau tak ada pengganti lagi." soal Haiqal dengan nada suara yang sedikit tinggi. Nuril memandang tepat ke wajah Haiqal.
"Hehe...kau diam, itu tandanya kau masih tak ada pengganti lagi." Ujar Haiqal dengan ketawa sinisnya. Terasa geram di hati Nuril mendengar kata-kata Haiqal itu.
Ish! Mamat ni! Geramnya aku!
"Hei!! Jangan berkata sesuka hati kau je kalau kau tak tahu apa-apa pasal aku." Nuril mula naik angin.
"Aku tahu kau tu macam mana walaupun kita bercinta tak lama." Haiqal sengaja mencabar Nuril.
"Hei! Aku dah ada penggantilah!" pekik Nuril. Laju sahaja ayat itu keluar dari mulutnya.
"Kau jangan nak temberanglah Nuril. Aku tahu kau tipu."
"Aiish! Dia ni." Nuril mengomel perlahan.
"Kalau betul kau dah ada kekasih baru, buktikan pada aku!"
"Kenapa perlu aku buktikan pada kau? Kau dah tak ada kaitan dengan hidup aku!"
"See... kata-kata kau tu pun dah menunjukkan yang kau masih belum ada pengganti. Kau menipu."
Ya Allah! Kenapa lelaki ni macam ni?! Apa yang dia nak lagi dari aku?? Bantulah aku.
"Benda simple je yang aku nak kau bagitau aku. Nama kekasih baru kau. Kalau kau tak jawab bermakna memang kau tu penipu."
Aduh! Melampaunya dia ni! Nama apa aku nak sebut ni?! Nuril mulai panik. Dia mula memikir nama-nama sahabat lelakinya. Dia tidak punya ramai sahabat lelaki, yang ada pun boleh dikira dengan jari. Fikiran Nuril kosong, dia tidak dapat berfikir, tiada satu nama pun yang muncul dalam kotak fikirannya pada ketika itu.
"Hah! Cepat! Bagitau aku nama kekasih baru kau tu!" jerkah Haiqal tiba-tiba. Nuril tersentak.
"Asrar! Nama dia Asrar!" Terbeliak mata Nuril saat dia menyebut nama Asrar tanpa dia sedari. Nama itu yang terlintas tiba-tiba di kepalanya. Dia sendiri tidak percaya nama itu yang terpacul dari mulutnya.
Huhh?!! Asrar?? Kenapa nama Asrar yang keluar dari mulut aku ni?? Ya Allah! Aku jumpa dia pun tak pernah.
"Huh!" Haiqal memandang ke arah Nuril dengan pandangan yang sinis. Nuril mengawal riak wajahnya dengan mempamerkan wajah yang serius supaya Haiqal tidak mengesyakinya.
Jangan kau mintak gambar sudahlah. Kantoi aku kalau dia mintak gambar. Nuril sedikit cuak.
"Hei, korang buat apa ni? Selamat pagi." Sapa Mia yang baru tiba di pejabat. Haiqal dan Nuril memandang ke arah Mia.
"Erm, pasal projek..." ringkas jawapan Haiqal dan dia kemudiannya beredar dari situ. Nuril mengusap-usap dadanya.
Penyelamat betul Mia ni. Terima kasih Mia sebab datang tepat pada waktunya. Nuril berbicara di dalam hati.
"Kenapa tu?" Soal Mia ingin tahu.
"Tak ada apa-apa. Dia tanya pasal projek baru. Aku tak tahu siapa yang incharge untuk projek baru dia tu." Balas Nuril sambil tersenyum kelat. Terpaksa dia berbohong, dia tidak mahu Mia risaukan dirinya.
"Owh... Maznor yang incharge."
"Ye ke. Dia ingat aku pun incharge sekali."
"Hmm, sengajalah tu nak jumpa kau." Ujar Mia selamba.
"Hehe. Biarkanlah dia. Malas aku nak layan." Mia hanya membalas kata-kata Nuril dengan senyuman. Nuril termenung seketika, terasa bersalah dihatinya kerana menggunakan nama Asrar untuk berbohong.
Aduh! Apa aku nak buat ni? Aku nak kena minta maaf dengan Asrar ni. Adoi..
Share this novel