Di luar hotel. Asrar berlari sambil memandang ke arah kanan dan kiri. Dia berlari menuju ke bahagian parkir kereta sebelah kiri namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Dia segera berlari pula ke parkir di sebelah kanan, dari jauh dia dapat melihat dua orang lelaki dalam lingkungan empat puluhan sedang menjenguk-jenguk ke satu arah. Asrar berlari mendapatkan dua orang lelaki itu.
“Bang...ada nampak seorang perempuan lalu dekat sini tak?” Asrar menegur dua lelaki itu.
“Huh? Perempuan pakai baju putih tu ke?”
“Ha ah...bang.” segera Asrar menjawab.
“Hah... Kami tengah follow dia ni. Risau kami tengok. Ada lelaki tarik-tarik dia tadi... Tak patut paksa-paksa macam tu. Boleh bincang kot kalau ada apa-apa.”
“Hah!! Tu mereka.” Jerit salah seorang lelaki tadi sambil menunjuk ke arah sebuah kereta yang terletak agak tersorok sedikit di kawasan parkir tersebut. Asrar segera menoleh lalu dia terus berlari ke arah kereta itu. Dua lelaki tadi turut membuntutinya.
Ketika Asrar berlari dia dapat melihat seseorang dalam samar-samar cahaya lampu jalan yang menerangi kawasan parkir itu. Dia segera menghampirinya untuk melihat dengan lebih jelas. Tiba-tiba terdengar jeritan halus suara seorang perempuan. Suara yang amat dikenalinya.
“Lepaskan aku!! Lepaskan aku Haiqal!! Sakitlah!!” Jerit Nuril. Haiqal masih tidak melepaskan genggaman tangannya dari tangan Nuril.
“Kau jeritlah! Tak ada siapa pun yang dengar. Kau tahu tak suara kau tu tak ada siapa pun yang boleh dengar dari sini!” Kata Haiqal dalam nada sinis. Haiqal masih menarik tangan Nuril dan cuba menolaknya masuk ke dalam kereta.
“Haish!! Lepaslah!!” jerit Nuril lagi. Dia cuba lagi meleraikan tangannya dari genggaman Haiqal setelah beberapa kali percubaan namun cengkaman tangan Haiqal begitu kuat. Tidak mampu dia untuk melawannya.
“Haiqal!! Lepaskan aku! Kau nak apa lagi dari aku?! Tak puas lagi ke kau ganggu aku selama ni?!” Nuril sudah cuak. Dia mulai cemas dan ketakutan. Nuril mengetap giginya.
“Hoi!! Kau buat apa ni?!” pekik Asrar seusai tiba di situ. Dia segera meleraikan genggaman tangan Haiqal daripada Nuril. Ditolaknya Haiqal. Tak semena-mena Haiqal terjelepok ke belakang. Dua lelaki tadi turut tiba di tempat kejadian. Mereka berdiri tidak jauh dari Asrar.
“Awak... tolong saya.” Nuril berkata dalam nada ketakutan.
“Kau buat apa ni?!” Asrar meyoal lagi dengan nada tegas. Keningnya mula berkerut. Haiqal mendengus.
“Kau siapa hah??! Menyibuk hal aku!!” Haiqal menengking. Asrar memandang Haiqal dengan kening yang masih berkerut menahan marah.
Ni ke Haiqal yang Nuril ceritakan pada aku tu? Haiish! Kurang ajar! Apa yang dia cuba buat ni?!
“Kau buat apa dekat dia hah?!”
“Kau jangan masuk campur!! Kau tak ada kena mengena dalam hal ni!!”
Aiisshh. Dia ni! Asrar mulai geram.
“Aku kekasih dia!! Jadi aku ada kena mengena dengan dia! Berani kau ganggu dia lagi!” Nuril tergamam mendengar jawapan Asrar. Haiqal sedikit pun tidak terkejut dengan pengakuan Asrar. Haiqal cuba melawan, dia melayangkan penumbuknya pada Asrar namun dapat dielak oleh Asrar. Dilayangkan penumbuknya sekali lagi, Asrar berundur ke belakang lalu membungkukkan sedikit badannya, hampir-hampir sahaja tumbukan itu mengenai pipinya namun sempat dielaknya. Tidak sia-sia dia belajar silat dengan arwah datuknya suatu ketika dahulu.
“Woo...woo...ini dah lebih! Kau nak apa sebenarnya hah?! Kau memang nak cari masalah ke?!” pekik Asrar. Dua lelaki tadi hanya memerhati sambil berbisik sesama mereka.
“Hoi!! Aku nak dia kembali pada aku!! Dia hak aku!! Kau jangan sibuk!” Haiqal memandang Asrar dengan renungan yang tajam.
“Hak kau?! Sejak bila dia jadi hak kau?!” Asrar semakin geram. Dia menggenggam tangannya, terasa mahu sahaja dia menumbuk lelaki di depannya itu.
“Aahh!! Kau diam!! Jangan masuk campur urusan aku dengan dia!!” jerit Haiqal.
“Bro!! Urusan dia adalah urusan aku!!” Balas Asrar. Haiqal memandang Asrar dengan pandangan sinis. Mukanya sudah merah padam kerana berang. Dia tidak menghiraukan kata-kata Asrar.
“Macam ni ke cara kau layan perempuan?! Dengan paksaan?! Hah?!!” tambah Asrar lagi.
“Haishh! Kau diam! Ke tepi! Aku belum habis berunding dengan dia lagi.” Haiqal cuba merapatkan dirinya dengan Nuril. Beberapa orang pengunjung lain yang baru selesai memakirkan kenderaan turut sama menghampiri dan melihat apa yang berlaku.
“Woo...woo...woo...! Mulai sekarang, kalau kau nak berunding... kau berunding dengan aku!! Tak perlu libatkan dia lagi!” Ujar Asrar tegas, dengan menggunakan badannya dia melindungi Nuril yang berdiri di belakangnya dari dirapati oleh Haiqal. Haiqal mengerling ke arah Nuril, dia masih tidak berpuas hati dengan pengakuan Nuril bahawa dia sudah mempunyai kekasih baru beberapa bulan yang lepas. Dia mengintip pergerakan Nuril beberapa kali namun masih tidak menemui jawapan yang dicari. Selama ini dia mencari kelibat kekasih baru Nuril. Dan kali ini dia betul-betul hilang kesabaran kerana dia pasti Nuril menipunya sehingga dia sanggup mengekori Nuril sehingga ke Port Dickson.
“Aahh!! Aku tak percaya kau kekasih dia. Aku tahu kau penipu sama macam dia!!” Haiqal meningkah. Asrar menggelengkan kepalanya, dia tidak menyangka Haiqal sanggup bertindak sejauh ini.
Aiisshh! Geramnya aku!!
“Nuril!! Kau ke sini!!” jerit Haiqal.
“Kau nak apa?!! Tolonglah jangan ganggu aku lagi. Kau faham tak yang aku dah tak ada apa-apa lagi dengan kau?! Dah lebih setahun Haiqal, tapi kau masih tak henti-henti ganggu hidup aku! Cukup-cukuplah!!” jerit Nuril yang berdiri berhampiran Asrar.
“Haiissh!!! Perempuan ni!! Kau buktikan pada aku sekarang yang lelaki ni adalah kekasih yang pernah kau sebut pada aku dulu!! Apa nama dia? Asrar?? Huh?!” Haiqal memandang sinis. Dia cuba memerangkap Nuril. Sangkaannya, Asrar hanyalah orang lalu lalang yang cuba menolong. Nuril memandang ke arah Asrar. Asrar memahami apa yang cuba disampaikan oleh Nuril melalui pandangan matanya.
“Hah!! Kau!! Buktikan pada aku yang kau tu Asrar!! Aku tahu Nuril tipu aku selama ni!”
Haish! Mamat ni. Memang dah melampau!
“Ya!! Aku Asrar! Aku boleh buktikan kalau itu yang kau nak! Tapi aku ada syarat...kau jangan ganggu Nuril lagi lepas ni!!” tegas Asrar dalam nada yang geram. Dia sedikit berang mendengar kata-kata Haiqal. Berkerut dahinya menahan marah.
“Hei!! Buat apa aku nak menipu kau?!” Nuril bersuara. Dia sakit hati dengan perangai Haiqal. Marahnya sudah tidak boleh ditahan lagi. Dia memberanikan diri untuk bersuara walaupun matanya sudah berkaca. Nuril menahan air matanya daripada jatuh.
“Kau diam!” jerkah Haiqal pada Nuril.
“Baik. Kau buktikan dulu pada aku!” sambung Haiqal lagi setelah dia diam seketika. Dia bersetuju dengan syarat Asrar. Dengan segera Asrar mengeluarkan dompetnya, lalu dia mengeluarkan kad pengenalannya.
“Ini... Bukti!” Asrar menyuakan kad pengenalannya di hadapan muka Haiqal. Haiqal memerhati kad tersebut. Dibacanya nama Asrar lalu dia membandingkan wajah Asrar dengan gambar pada kad pengenalan itu.
“Huh!!” Haiqal mendengus. Perasaan tidak puas hati masih bersarang dalam dirinya. Dia memandang Asrar dengan dahi yang berkerut. Dia terkejut melihat bukti di depan matanya itu.
Tapi aku memang pasti Nuril menipu aku! Tapi macam mana pula memang wujud nama lelaki yang dia sebut tu?! Urgh!! Hampir sahaja dia hilang kewarasan. Hatinya sakit kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa Nuril sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan padanya lagi.
“Tepati janji kau! Kalau aku dapat tahu kau ganggu dia lagi, aku tak teragak-agak untuk ambil tindakan.” Tegas Asrar memberi peringatan pada Haiqal yang masih berdiri dihadapannya dengan riak wajah tidak puas hati. Haiqal menjeling sinis. Dia kemudiannya masuk ke dalam kereta tanpa sepatah kata lalu memandu keretanya keluar dari perkarangan hotel.
“Awak okay?” Asrar menyoal sambil memerhatikan Nuril. Air mata yang ditahannya tadi tumpah juga akhirnya. Nuril menyeka air matanya.
“Cik okay ke?” Tanya salah seorang pengunjung yang berada di situ.
“Saya...okay.” Balas Nuril sambil mengangguk. Dia mengurut-urut pergelangan tangan yang terasa sakit.
“Bekas suami ke tu?” Tanya salah seorang lelaki yang turut melihat kejadian itu ingin tahu. Nuril menggeleng.
“Bukan...”
“Owh, kenalan. Kurang ajar sangat cara lelaki tadi tu. Tarik dan paksa-paksa orang macam tu. Haissh, budak-budak zaman sekarang ni kurang ajar.” Lelaki itu mengomel lalu berjalan meninggalkan Nuril dan Asrar menuju ke pintu hotel.
“Dik...tangan awak lebam tu. Kena pergi klinik, check. Risau akak tengok.” Tegur seorang wanita yang turut berada di tempat kejadian itu tadi. Dia memerhati pergelangan tangan Nuril dari jauh.
“Tak apa kak. Nanti saya check.” Sampuk Asrar.
“Ish, baik bawa ke klinik. Kalau terseliuh ke apa, ada doktor yang tengok.”
“Ha...ye...ye...baik kak.” Balas Asrar dengan senyuman kelat. Malas dia nak memanjangkan perbualan.
“Jom kita masuk.” Tutur Asrar lembut setelah beberapa pengunjung yang bersama mereka tadi sudah beredar. Asrar meminta Nuril berjalan mendahuluinya. Mereka menuju ke lobi hotel dan melabuhkan punggung di atas sofa berhampiran. Asrar duduk menghadap Nuril.
“Mari saya tengok tangan tu...” Nuril memandang ke arah Asrar lalu dia menghulurkan tangannya. Pergelangan tangannya terasa sakit. Asrar menyelak lengan baju yang menutupi pergelangan tangan Nuril. Dia memerhati, terdapat kesan merah dan sedikit lebam pada pergelangan tangan dek kerana cengkaman kuat dari tangan Haiqal. Asrar menyentuh pada bahagian merah tersebut dengan jarinya perlahan untuk memeriksa dengan lebih teliti.
“Ada rasa sakit ke?”
“Sakit sikit.”
“Tangan terseliuh ni. Tapi sikit je, lepas sapu ubat. InshaAllah okay.” Kata Asrar lalu dia terus ke kaunter untuk meminta kotak pertolongan cemas. Dia mencari botol semburan ubat untuk melegakan kesakitan dan disembur sedikit pada pergelangan tangan Nuril.
“Macam mana dia boleh ada dekat sini?”
“Saya tak pasti. Erm...saya rasa dia follow saya ke sini. Tadi lepas saya keluar dari toilet saya ternampak dia dah tunggu saya dekat luar, terus dia tarik tangan saya keluar dari lobi. Saya cuba melawan tapi kudrat saya tak kuat.” Matanya kembali berkaca. Tiba-tiba dia menjadi sebak.
“Saya minta tolong, tapi Haiqal larang orang lain masuk campur. Dia kata ini masalah rumah tangga, saya menidakkan... tapi dia macam dah tak waras. Psycho.” Sambung Nuril lagi.
“Aiishh!”
“Jadi...dia masih ganggu awak lagi sampai sekarang?” Nuril mengangguk, air mukanya sedih.
“Saya...sebenarnya tak pernah beritahu pasal ni pada sesiapa... Haiqal... dah beberapa kali buat perkara di luar jangka macam ni pada saya. Tapi alhamdulillah saya dapat lepaskan diri. Tapi kali ni, saya tak jangka dia bertindak sampai ke tahap ni.”
“Kenapa simpan sorang-sorang? Bahaya... Kalau tak nak beritahu pada orang lain.. Kenapa tak beritahu pada saya?” tanya Asrar sambil merenung tepat ke anak mata Nuril.
“Hmm, saya tak jangka jadi macam ni. Saya tak nak menyusahkan awak. Lagipun ni masalah saya. Saya tak nak libatkan awak.”
“Awra...” ujar Asrar yang kemudiannya senyap untuk beberapa saat sebelum meneruskan kata-katanya.
“Saya... dah pun terlibat, dan... masalah awak dah jadi masalah saya.”
“Saya minta maaf... Saya tak bermaksud nak melibatkan awak. Saya minta maaf sangat-sangat...” ucap Nuril. Air matanya menitik, lama dia menahannya agar air mata itu tidak tumpah. Asrar menggeleng perlahan. Dia tersenyum. Nuril mengelap matanya.
“Nope. Jangan minta maaf, jangan rasa bersalah. Dan saya tak salahkan Awra pun sebab libatkan saya sekali...”
“Erm...Awak fahamkan erti kata takdir yang tertulis?” Sambung Asrar lagi. Dia tersenyum sambil merenung ke arah gadis itu. Nuril membalas renungan Asrar, lalu dia mengangguk. Dia berhenti menangis. Dia dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Asrar. Nuril percaya semua perkara yang telah terjadi antara dia dan Asrar adalah takdir dari Allah swt.
“Awak...” panggil Nuril perlahan setelah diam seketika.
“Boleh tak awak janji dengan saya sesuatu?”
“Janji? Janji apa tu?”
“Boleh tak awak janji untuk rahsiakan perkara ni? Jangan beritahu pada abang saya dan yang lain-lain?”
“Huh?! Kenapa?” Asrar terkejut dan kehairanan. Berkerut keningnya.
“Saya tak nak dia orang risau.”
“Awra...” panggil Asrar lembut. Sukar untuk dia percaya bahawa gadis itu lebih mementingkan orang lain di sekelilingnya dari dirinya sendiri.
“Kalau jadi apa-apa pada Awra, mesti dia orang akan lagi risau tau... Dan bertambah risau bila dia orang tak tahu apa sebenarnya masalah awak.” Ujar Asrar. Nuril tertunduk, dia senyap. Asrar diam seketika sambil berfikir.
“Erm...Macam nilah...saya boleh janji, tapi saya nak Awra janji jugak dengan saya.”
“Huh?!” Nuril sedikit terkejut dengan kata-kata Asrar.
“Janji dengan saya yang Awra akan kongsi apa-apa je masalah yang Awra hadapi dengan saya... Boleh? In case jika terjadi apa-apa ke, sekurang-kurangnya saya tahu.” Asrar bersuara setelah diam berfikir. Nuril terpaku. Asrar berusaha untuk tidak mahu gadis itu menyimpan masalahnya sendirian. Sungguh pun gadis itu sudah terbiasa dengan hidupnya yang sering menghadapi masalahnya seorang diri, namun kali ini Asrar merasa terpanggil untuk menjadi seseorang yang boleh diharapkan oleh gadis itu sekiranya dia menghadapi perkara-perkara seperti ini lagi pada masa akan datang.
Alamak! Apa aku nak buat ni? Hmm. Lama Nuril berfikir. Dia kemudiannya memandang ke arah Asrar.
“Erm...okay...Saya janji...” balas Nuril pendek. Dia akhirnya memilih untuk bersetuju. Terukir senyuman di bibir Asrar saat mendengar jawapan daripada Nuril.
Ya Allah. Semoga Kau lindungi gadis ini walau di mana pun dia berada. Sesungguhnya aku risau! Risau andai berlaku perkara-perkara buruk padanya. Hanya padaMU aku berserah. Asrar berdoa dalam hatinya. Dia merenung gadis itu dalam-dalam. Dengan apa yang telah berlaku tadi, Asrar sedikit sebanyak dapat mengenali sifat gadis itu secara tidak langsung.
“Eh...mana Asrar ni? Dari tadi tak muncul-muncul. Dia tak jumpa Nuril ke?” Rina mengomel sendirian. Dia memerhati sekeliling mencari kelibat Asrar dan Nuril. Hampir 20 minit juga mereka tiada di situ. Seketika kemudian kelihatan Nuril dan Asrar melangkah masuk semula ke BBQ lounge.
“Weh, korang pergi mana?” sapa Rina saat Nuril melabuhkan punggungnya. Nuril melemparkan senyuman pada Rina. Sempat Nuril ke tandas untuk membetulkan makeupnya sebelum kembali ke lounge.
“Aku ke tandas. Sakit perut hehe. Lepas tu terserempak dengan Asrar, kami berborak sekejap.” Jawab Nuril sambil mengerling ke arah Asrar. Nuril bersikap bersahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia berusaha menyembunyikannya dari pengetahuan Rina. Dia tidak mahu mengganggu mood mereka pada malam itu.
“Owh, patutlah lama.”
“Awra...nak air tak? Kalau nak, boleh saya ambilkan sekali.” Asrar mencelah.
“Erm, boleh juga. Terima kasih.” Ujar Nuril. Asrar berlalu dari situ dan menuju ke kaunter air.
“Kau nak karaoke tak Nuril?” tanya Rina pada Nuril.
“Ha? Karaoke? Ish, aku tak pandai nyanyi.”
“Ala...menipu sangat. Dekat rumah tu yang kau dok menyanyi depan TV tu apa?”
“Haha...itu nyanyi biasa-biasa sesedap telinga aku je.”
“Hahaha...kejap lagi kita dengar Remy nyanyi.”
“Eh, sungguh ke? Dia nak nyanyi lagu apa?”
“Yup. Lagu Kisah Antara Kita. Aku paksa dia haha.”
“La...nakalnya kau. Hehe.”
“Dia dah ke pentas tadi. Kejap lagi adalah tu hehe.” Seusai Rina berkata demikian, kedengaran lagu Kisah Antara Kita dimainkan.
“Wah! Dah mula. Teruja nak dengar suara Remy.” Kata Rina ceria.
“Nah, air awak.” Asrar meletakkan cawan berisi jus oren di hadapan Nuril.
“Terima kasih awak.”
“Asrar. Lepas ni kau pulak nyanyi.” Kata Rina. Nuril mendengar perbualan mereka sambil meneguk sedikit air yang diberi oleh Asrar tadi.
“Huh? Aku? Ish! Tak naklah.”
“Aku dah daftar nama kau dekat sana. Haha.”
“Uisshh...kau ni...aduh. Sabar jelah aku.”
“Ala...kali ni je. Bila lagi nak dengar kau nyanyi...Eh, Nuril... Kau berduetlah dengan Asrar.”
“Ish! Tak naklah...patut kau tu yang nyanyi. Memandai je suruh orang.” Ngomel Nuril. Dia menolak cadangan Rina.
“Hah. Kan...patut suruh dia yang nyanyi.” Sampuk Asrar yang bersetuju dengan kata-kata Nuril.
“Ala...suara aku tak sedap. Korang janganlah marah.” Balas Rina dalam nada suara seakan-akan merajuk.
“Dah...dah. Tu dengar Remy nyanyi.” Sambung Asrar lagi.
“Jom kita duduk dekat depan pentas tu.” Ajak Nuril.
“Jom...” Balas Rina.
“Along! Nak duduk dekat sana tak? Kita orang nak tengok Remy nyanyi.” Sapa Nuril pada Adwa yang sedang khusyuk berbual dengan Fatihah.
“Huh? Owh, tak lagi kot. Along nak habiskan makanan ni dulu. Korang pergilah dulu.”
“Okay.”
Rina, Nuril dan Asrar lalu berjalan menuju ke arah kerusi kosong yang tersusun di hadapan pentas. Hanya terdapat beberapa orang pengunjung sahaja yang duduk di situ sambil menghayati lagu-lagu yang diperdengarkan. Dari situ mereka dapat melihat dengan jelas Remy yang sedang mendendangkan lagu dengan penuh emosi. Asrar tersengih melihat gelagat Remy di atas pentas.
Amboi Remy. Bukan main lagi kau. Hehehe. Rina dan Nuril turut tersenyum. Rina kemudiannya bangun sambil mengangkat telefon pintarnya lalu berjalan menghampiri pentas. Dia merakam video persembahan Remy.
“Sedap juga suara Remy ni. Hehe.” Nuril bersuara.
“Dia memang pandai nyanyi hehe.” Balas Asrar.
“Owh, ye ke...?”
“Pandai...nyanyi dalam bilik air. Memekak pagi-pagi buta time orang tidur hahaha.”
“Hahaha...” Nuril hanya ketawa mendengar kata-kata Asrar. Asrar tersenyum melihat reaksi Nuril yang sudah sedikit ceria berbanding reaksinya yang berpura-pura ceria selepas peristiwa tadi. Dia dapat merasakan satu perasaan yang belum pernah dia rasakan sebelum ini bermain-main di dalam hatinya.
Ya Allah. Apa yang sedang aku rasakan ni? Perasaan apa yang Kau hadirkan dalam jiwaku ini? Apakah ini cinta? Yang sebenar-benarnya cinta yang belum pernah aku rasa? Asrar berkata-kata di dalam hati tatkala matanya masih melihat ke arah Nuril yang sedang ketawa. Reaksi wajah Nuril yang ketawa dan tersenyum lebar itu membuat hatinya merasa tenang.
“Saya suka tengok Awra macam ni, nampak comel.” Tiba-tiba Asrar bersuara spontan dengan nada suara yang tenggelam timbul dek kerana lagu yang sedang berkumandang.
Eh?? Apa aku cakap ni?! Asrar terkejut dengan ayat yang keluar dari mulutnya sebentar tadi.
“Huh?!” Nuril menoleh ke arah Asrar. Dia hanya dapat menangkap perkataan comel.
“Comel? Erm...Apa awak cakap? Saya tak berapa dengar.”
“Aa...budak kecil tu comel.” Dalih Asrar saat terlihat seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan dua tahun yang sedang berjalan dengan bapanya di hadapan mereka.
“Owh. Hehehe. Ha ah comel.” Ujar Nuril sambil tersenyum.
Aduh! Malunya aku kalau dia dengar tadi.
Seketika kemudian satu tepukan gemuruh diberi setelah Remy menghabiskan nyanyiannya.
“Seterusnya kita menjemput saudara Asrar untuk mendendangkan sebuah lagu.” Terbeliak mata Asrar saat mendengar namanya disebut.
“Turn awak pulak. Hehe.” Kata Nuril tersenyum. Asrar bangun lalu dia membalas senyuman Nuril sambil berkata.
“Lagu ni...saya tuju untuk Awra.” Asrar melangkah menuju ke pentas seusai berkata demikian sebelum sempat Nuril membalas kata-katanya.
“Untuk... saya...?” tutur Nuril perlahan sendirian.
“Amacam? Sedap tak aku nyanyi?” soal Remy sambil menggerak-gerakan keningnya pada Nuril.
“Wah! Terbaik...hehehe.” balas Nuril menepuk kedua tangannya.
“Hahaha...ada hikmahnya aku paksa kau.” Sampuk Rina.
“Eh! Aku nak pergi rakam Asrar pulak hehe.” Ujar Rina lalu bergegas berlari-lari anak menuju berhampiran pentas.
“Alright...Apa khabar saudara Asrar.” Salah seorang ahli band yang menjadi pengacara itu menyoal saat Asrar naik ke pentas. Asrar tersenyum.
“Baik. Baik...” Balasnya pendek.
“Dah gaya macam artis, dengan handsomenya, stylo bro hehe.” Tegur ahli band itu lagi sambil memerhatikan penampilan Asrar. Asrar hanya tersengih.
“Okay, lagu apa yang saudara nak nyanyi malam ni?”
“Saya tak pasti ada tak ada lagu ni dalam list. Lagu lama dari band Indonesia. Tajuknya Baik-baik sayang nyanyian Wali Band.”
“Wow! Sesuai sangat lagu tu untuk tema kita malam ni. Kejap kita tengok dalam list lagu.” Pembantu yang menjaga rekod karaoke segera mencari lagu tersebut. Asrar hanya memerhati dari jauh. Dia bersiap sedia di pentas. Asrar mencapai sebuah kerusi lalu diletakkannya di tengah pentas. Dia bercadang untuk duduk sambil menyanyi.
“Wah! Ada rezeki saudara malam ni. Boleh kita mulakan sekarang?”
“Boleh...boleh...he.” Balas Asrar tersenyum. Beberapa saat kemudian, lagu tersebut mula berkumandang. Lagu ini merupakan salah satu lagu kesukaannya dan lagu ini acap bermain dibibirnya. Secara tak langsung dia sudah menghafal lagu tersebut. Seusai memulakan nyanyian mata Asrar tepat memandang ke arah Nuril yang juga sedang memberi perhatian kepada persembahannya. Kedengaran tepukan gemuruh dari para pengunjung yang menonton persembahannya. Nuril terkesima saat mendengar suara Asrar.
Aku tak ingin
Kau menangis bersedih
Sudahi air mata darimu
Yang aku ingin
Arti hadir diriku
Kan menghapus dukamu
Sayang
Karna bagiku
Kau kehormatanku
Dengarkan
Dengarkan aku...
Hanya satu pintaku
Untukmu dan hidupmu
Baik-baik sayang
Ada aku untukmu
Hanya satu pintaku
Di siang dan malammu
Baik-baik sayang
Karna aku untukmu
Semua keinginan akan aku lakukan
Sekuat semampuku sayang
Karna bagiku kau kehormatanku
Dengarkan
Dengarkan aku
Nuril mendengar bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh Asrar dengan teliti. Dia berfikir sendiri mengapa Asrar menuju lagu itu untuk dirinya. Jantungnya mula berdegup laju. Seakan sukar untuk dia mengawalnya. Nuril dapat merasakan bagai ada satu perasaan yang sedang bermain-main di dalam hatinya. Satu perasaan yang sukar untuk dia jelaskan pada dirinya sendiri.
Apa sebenarnya yang ingin Asrar sampaikan pada aku?Apa yang aku rasa ni ya Allah?
Asrar meneruskan nyanyiannya dengan tenang. Matanya tidak terlepas dari merenung ke arah Nuril, hanya sesekali dia mengalih pandangannya ke arah lain.
“Kau tengok...Aku dah cakap, suara Asrar lagi sedap dari aku.” Remy bersuara.
“He...ye, kau betul. Suara dia sedap hehe.” Balas Nuril. Rina masih di hadapan pentas merakam video nyanyian Asrar, sesekali dia menghalakan rakaman telefonnya ke arah penonton.
“Eh! Asrar menyanyi? Patut suara macam biasa dengar.” Tiba-tiba Adwa menyapa. Remy menoleh.
“Hah? Abang Adwa biasa dengar? Asrar rajin karok ke dulu-dulu? Hehe.” Remy menyoal pada Adwa yang baru tiba di situ bersama Fatihah.
“Ha ah, along selalu ke dengar dia nyanyi?” Nuril pula bertanya untuk kepastian. Adwa tersengih pada adiknya.
“Hehe...dia selalu kena panggil menyanyi masa ada event budak-budak medik zaman belajar dulu.”
“Owh, ye ke. No wonderlah...suara dia sedap.” Kata Remy. Nuril terkebil-kebil mendengar kata-kata abangnya. Dia bagaikan tidak percaya, secara tidak langsung dia dapat melihat sisi lain Asrar.
“Ha ah, mengaji pun sedap hehe. Time kena hantar wakil untuk tilawah, memang dialah selalu jadi mangsa haha.” Tambah Adwa lagi.
“Haha. Owh, baru teringat. Patutlah dulu pernah dengar dia dok bertaranum dalam bilik asrama...”
“Wah! Ada pakej complete...serba serbi boleh hehe.” Fatihah menyampuk dengan matanya tertumpu pada persembahan Asrar di pentas. Adwa menjeling ke arah isterinya.
“Haish, terpikat ke? Sedar sikit suami ada dekat sebelah ni...” Adwa menegur dalam nada cemburu yang dibuat-buat, sengaja dia menyakat isterinya itu. Nuril tersengih melihat gelagat abang dan kakak iparnya itu.
“Eh! Tak terpikat pun. Saya dah ada suamilah...maksud yang saya cuba sampaikan, bertuahlah orang yang bakal jadi isteri dia nanti... Itu jelah bang.”
“Hehe...saya gurau je. Tapi betullah cakap awak, bertuahlah siapa dapat jadi pasangan dia...” ujar Adwa lalu mengerling ke arah adiknya sambil tersengih. Nuril hanya membalas kerlingan Adwa dengan jelingan, dia dapat menangkap maksud tersirat dari pandangan abangnya itu.
Adoi. Along ni...jangan macam-macamlah. Adik tak rasa yang adik ni layak untuk Asrar. Dia boleh dapat perempuan yang lagi baik dari adik. Adik banyak kekurangan. Nuril berkata-kata dalam hati.
“Ha ah, betul. Bertuah siapa dapat si Asrar ni...untung jadi dia. Hmm...” tutur Remy dengan nada sedikit mengeluh.
“Ala Remy...kau pun apa kurangnya? He...” Sampuk Nuril.
“Huh? Aku? Aku bukannya Asrar. Nak dapat awek pun susah.”
“Aissh...Siapa kata kau Asrar? Setiap orang ada kelebihannya sendiri. Pasal jodoh? InshaAllah, akan hadir seseorang yang Allah dah takdirkan untuk kau nanti.” Seusai Nuril berkata demikian, Remy memandang ke arahnya.
“Kaulah Nuril, tak nak jadi awek aku...” Balas Remy berseloroh.
“Huh? Erk...Eh... Aku pulak?”
“Hahaha...aku gurau je. Aku sedar aku ni bukan siapa-siapa.”
“Eh? Bukan siapa-siapa apa pulak? Kau adalah kau. Be your own self. Dan kau pun handsome apa.” Tutur Nuril. Sudah agak lama dia tidak berbual hal-hal peribadi dengan Remy. Lelaki itu banyak berkongsi masalahnya dengan Nuril dan Rina namun sejak kebelakangan ini dia terlalu sibuk dan banyak berdiam diri. Remy sudah beberapa kali dikecewakan dalam perjalanan cintanya. Ditinggalkan kekasih hanya kerana sudah ada pilihan yang lebih baik dari dirinya. Dia terlalu kecewa sehingga dia sudah tidak berniat lagi untuk mencari pasangan. Dia hanya berserah pada ketentuan Ilahi.
“Erm...handsome sangatlah aku ni... Pandailah kau nak sedapkan hati aku.”
“La...kau kan ada iras-iras pelakon Bront Palarae tu. Hehehe.”
“Ish! Jauh panggang dari api...” Nuril ketawa kecil mendengar kata-kata Remy.
“Betullah...tak percaya, cuba tanya Rina. Hehe.” Remy tersengih. Padanya, gadis yang seorang ini memang pandai mengambil hatinya. Seperti Asrar, dia juga mengenali Nuril melalui Rina sejak zaman universiti lagi tetapi mereka jarang berjumpa kerana berada di universiti yang berbeza. Mereka hanya berjumpa ketika cuti semester.
“Weh! Korang. Sedapkan suara Asrar.” Rina berkata sambil berjalan dari arah pentas ke tempat mereka duduk. Dia baru sahaja selesai merakam video persembahan Asrar. Seraya itu kedengaran tepukan gemuruh dari penonton.
“Ye...sedap suara dia.” Remy membalas. Nuril hanya tersenyum.
“Kau tengok, aku rakam dari awal tadi.” Rina menyuakan telefonnya ke arah Remy. Remy menyambutnya. Nuril hanya memerhati tingkah laku mereka.
“Aku nampak sesuatu masa aku rakam tadi.” Bisik Rina perlahan pada Remy. Remy memandangnya dengan tanda tanya dan menanti Rina meneruskan kata-katanya.
“Aku nampak sesuatu yang sweet sangat. Hehe.” Bisik Rina lagi. Nuril yang sedang memerhatikan mereka hanya mengerutkan dahinya kerana tidak memahami apa yang dibicarakan oleh mereka kerana terlalu perlahan. Nuril hanya menggelengkan kepalanya, malas dia hendak masuk campur urusan mereka.
“Yoo...Asrar. Lama aku tak dengar kau nyanyi. Masih power macam dulu-dulu haha.” Tegur Adwa setibanya Asrar di situ sambil tersengih bagaikan kerang busuk.
“Haha...lama sangat dah aku tak nyanyi bro. Tebal rasa muka ni. Ni semua sebab Rina lah ni, terpaksa jugaklah aku naik pentas.”
“Jangan salahkan aku. Kau jadi perhatian weh, ramai datang menonton. Silap hari bulan boleh viral.” Rina bersuara.
“Adoi. Kau jangan post dekat mana-mana video tu. Haru aku nanti.” Pesan Asrar. Nuril hanya tersenyum mendengar mereka berbicara. Asrar mengerling ke arah Nuril sambil melemparkan senyuman.
“Eh, taklah, aku tak post. Aku share dekat group kita je hehe. Aku tahu kau tak suka jadi perhatian orang, macamlah aku baru kenal kau tu.”
“Haha...thanks sebab memahami.” Ujar Asrar lalu duduk di sebelah Adwa. Dia mengerling ke arah jam di tangannya yang sudah pun menunjukkan jam 9.40 minit malam. Mereka kemudiannya berbual kosong sambil mendengar persembahan nyanyian dari para pengunjung yang lain.
Share this novel