Bab 14

Romance Series 6062

Pada pagi hari Sabtu minggu itu Asrar dan Remy bersiap-siap mengemas barang-barang yang akan mereka bawa untuk berkelah. Mereka sudah pun memerap daging ayam dan beberapa jenis makanan laut dan menyimpannya di dalam kotak putih yang berisi ais bagi menjaga kesegaran bahan mentah itu dari rosak. Tugas untuk membawa dapur untuk memasak dan lain-lain peralatan diserahkan kepada abang Nuril memandangkan keretanya ada ruang kosong kerana hanya mereka berdua yang akan menaiki kereta tersebut. Manakala Remy, Rina dan Nuril akan naik bersama Asrar.

Asrar memandu kenderaannya menuju ke kawasan perumahan Rina dan Nuril. Mereka menunggu di parkir kereta.

“Assalammualaikum...” Asrar menyapa saat ternampak kelibat Rina dan Nuril berjalan menghampirinya. Dia sudah menunggu di luar kereta di tepi tingkap penumpang sambil berbual-bual kosong dengan Remy.

“Waalaikumussalam...” Jawab Rina dan Nuril serentak. Asrar memandang ke arah Nuril yang melemparkan senyuman kepadanya. Dia membalas senyuman gadis itu. Sudah lama dia tidak bertemu dengan gadis itu semenjak pesta buku tempoh hari.

“Korang dah ready nak gerak? Sihat semua?” soal Asrar sambil menyusun beg Nuril dan Rina di dalam bonet kereta. Nuril menghulurkan bakul berisi makanan untuk perkelahan mereka nanti kepada Asrar.

“Alhamdulillah sihat. Cuma Nuril ni baru baik dari demam.” Ujar Rina bersahaja.

“Rina...” bisik Nuril perlahan pada Rina menandakan dia tidak suka Rina membicarakan soal dirinya di hadapan Asrar. Entah kenapa dia begitu segan dengan lelaki itu.

“Huh? Demam?”

“He...Alhamdulillah, dah okay dah. Tak cukup rehat agaknya hari tu.” Balas Nuril tersengih.

“Owh, okay... Erm, Adw...eh, errk...abang Awra mana? Dia nak konvoi sekali ke?”

“Haa...lupa nak bagitahu. Dia gerak lewat sikit, dia suruh kita gerak dulu.”

“Owh, ye ke. Okay, jom kita.” Mereka kemudiannya masuk ke perut kereta dan memulakan perjalanan menuju ke Port Dickson. Perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Port Dickson tidaklah begitu jauh. Asrar memandu keretanya dalam keadaan santai.

“Sorrylah korang. Playlist dalam kereta Asrar ni banyak lagu nasyid je. Hope korang okay.” Remy bersuara seraya jarinya sibuk menyentuh pada skrin radio kereta Asrar.

“Haha...kau ni Remy.” Rina membalas. Nuril hanya ketawa kecil.

“Weh! Kau ni...aku tak sempat nak dengar lagulah. Nasyid je yang sempat aku search hari tu hehe. Kalau rasa nak dengar lagu lain, kau carilah dalam tu.” Ujar Asrar sambil menyentuh skrin pada radio keretanya. Dia lalu menekan aplikasi spotify.

“Haha...yelah aku cari. Korang nak dengar lagu apa? Any request? Nuril? Kau nak dengar lagu apa?” soal Remy.

“Huh? Hmm, ikutlah lagu apa-apa. Aku okay je.”

“Ala...requestlah satu lagu. Lagu favourite kau ke.”

“La...kau ni, tanya Nuril kenapa? Dia ni sama species dengan Asrar, layan lagu nasyid..” Rina mencelah.

“Eh! Aku layan jugaklah lagu-lagu lain.”

“Iye ke? Cuba bagi tajuknya.”

“Erm, lagu Khai Bahar Luluh..”

“Huh? Lagu sedih.”

“Hehe...lirik lagu tu yang aku suka.”

“Carilah Remy...sedih sangat ke lagu tu?” Asrar menyampuk.

“Kejap...tengah cari. Hah...ada, kalau ada lagu-lagu lain bagitau. Aku jadi DJ kejap hari ni hahaha.” Mereka kemudiannya mendengar bait-bait lirik pada lagu tersebut. Asrar tersenyum kelat mendengar lagu tersebut. Lirik lagu itu sebenarnya memberi kesan pada dirinya.

‘Sudah puas aku menangis lagi
Kau hadirkan mendung awan yang kelam
Namun, ku kan tetap bisa bertahan

Secebis kasih yang telah kau beri
Kan ku simpan dalam memori indah
Tapi semuanya telah berakhir

Aku tersungkur, menunduk, meraung
Dan tiada siapa bisa merasakan
Oh, sakitnya hati ini
Jika kau tak mampu memberiku senyum
Usah kau hadirkan dengan kedukaan
Oh, biarlah hidupku dengan caraku

Secebis kasih yang telah kau beri
Kan ku simpan dalam memori indah
Tapi semuanya tlah berakhir’

Luluh ~ Khai Bahar

Ya Allah. Jadikan hati-hati kami ini setenang-tenang air di kali. Kau cabutlah perasaan kecewa yang pernah kami rasai dari hati kami, Kau hadirkanlah rasa gembira di dalam hati kami. Asrar berdoa di dalam hatinya.

“Aduh! Lirik dia menusuk.” Ujar Remy seusai lagu itu habis dimainkan.

“Next...Hah, Asrar.. turn kau pulak. Lagu apa kau nak dengar ni?” Remy menyoal.

“Aku? Alamak...aku mana tahu lagu-lagu baru ni. Kau pasang je lah lagu yang biasa aku dengar tu.”

“Hmm, bolehlah. Since kau owner kereta, kau dimaafkan.” Remy kemudiannya memasang lagu Hanya Tuhan yang Tahu dari kumpulan nasyid UNIC.

“Weh, aku?” Rina menyampuk.

“Kau nak lagu apa? Lepas ni turn kau.”

“Hmm, aku nak dengar lagu cintalah. Lagu lama nyanyian Amy Mastura, tajuk dia Dengarkalah. Hehe.”

“Weh, kau selalu dengar lagu ni ke Asrar?” soal Rina saat lagu nyanyian UNIC itu dimainkan.

“Huh?”

“Hari-hari Rina. Tak taulah dia nak tuju lagu ni pada siapa.” Sampuk Remy sambil mengerling ke arah Rina. Remy memberi isyarat mata pada Rina dengan mengalihkan mata ke arah Nuril. Dahi Rina berkerut tidak faham isyarat mata Remy.

“Tuju? Tuju pada siapa?” Rina menyoal.

“Aku tak fahamlah weh...” tambah Rina lagi.

“Kau ni...nantilah aku bagitau.”

“Korang berdua ni cakap pasal apa ni?” tegur Asrar. Nuril hanya diam sejak dari tadi, dia hanya melemparkan pandangannya ke luar tingkap.

“Tak ada apa-apa...kau drive jelah.” dengan pantas Remy menjawab. Asrar hanya menggelengkan kepalanya. Asrar mengerling ke arah Nuril melalui cermin pandang belakang, dapat dia melihat Nuril yang sedang termenung ke luar tingkap.

Apalah yang dia fikirkan tu agaknya? Macam mana agaknya reaksi dua beradik ni nanti bila dapat tahu aku kenal mereka berdua.

 

 

                                    *******

 

Mereka tiba di pantai menghampiri jam 8.00 pagi. Asrar memarkirkan keretanya di bawah sepohon pokok yang agak rendang. Mereka turun dari kereta seusai Asrar mematikan enjin kenderaannya.

“Wah! Bestnya angin pantai.” Rina bersuara saat angin pantai menyapa wajahnya. Dia tersenyum sambil  memejamkan matanya. Dia menikmati saat yang jarang-jarang dia perolehi. Nuril tersenyum melihat gelagat Rina.

“Okay tak dekat bawah pokok ni?” Asrar bertanya kepada Nuril yang berada berhampirannya.

“Huh! Erm, okay. Taklah panas bila matahari dah meninggi nanti. Hehe.”

“Betul-betul. Tunggu abang Awra sampai, lepas tu nanti bolehlah kita mula membakar.”

“Abang saya dah tak jauh...katanya dalam 15 minit lagi dia sampai. Saya dah share location ni pada dia.”

“Aa...okaylah, tak jauh dah.” Ujar Asrar sambil bersandar pada keretanya. Dari situ dia dapat melihat Remy dan Rina sudah menuju ke gigi air.

“La...dua orang tu. Dah sampai ke sana. Hahaha. Macam kanak-kanak riang dah aku tengok.”

“Hehehe...sekali sekala berjumpa dengan pantai. Awak tak nak join?” tanya Nuril yang berdiri berhampiran dengan Asrar. Asrar hanya tersenyum.

“Sekejap lagilah. Nak settlekan dulu apa yang patut dekat sini. Hehe.” Seusai itu mereka terdiam seketika memerhati Rina dan Remy dari jauh. Rina dan Remy melambai-lambai pada mereka berdua dengan memberi isyarat untuk menyertai mereka di gigi air tersebut. Asrar hanya memberi isyarat tidak mahu lagi.

“Erm...berapa hari demam baru ni?” tanya Asrar. Dia ligat mencari topik untuk berbual dengan Nuril.

“Tiga hari...he.”

“Kuat sangat kerja ni. Mesti tak cukup rehat.”

“Ha...erk, saya kejar dateline report hehe.”

“Hmm, patutlah. Kerja...kerja juga tapi kesihatan kena jaga. Kalau tak sihat macam mana nak kejar dateline tu nanti.”

“Hehe...betul jugak kan.”

“Haa...betulkan apa saya cakap?” Nuril hanya tersengih dengan pertanyaan Asrar. Asrar mengeluarkan dua buah kerusi kecil yang kebiasaannya di bawa untuk berkelah.

“Nah, kerusi. Duduklah dulu.”

“Terima kasih.”

Asrar membentang tikar bersebelahan keretanya. Namun tiupan angin menyukarkannya untuk menghampar tikar tersebut seorang diri. Nuril perasan akan perkara tersebut lalu segera mendapatkan Asrar untuk membantu.

“Kuat sangat angin ni...” Asrar bersuara.

“Awak tarik sebelah sana.” Arah Nuril. Asrar hanya mendengar arahan dari Nuril.

“Alright. Dah okay.” Ujar Asrar lalu ingin melepaskan tikar tersebut.

“Jangan lepas lagi! Kejap-kejap.” Asrar tersentak. Dia memerhatikan tindakan Nuril yang mencabut kasutnya lalu diletakkan kasutnya di atas penjuru kiri tikar. Tujuannya untuk tidak mahu tikar itu diterbangkan oleh angin. Nuril berlari-lari anak ke penjuru kanan tikar lalu meletakkan sebelah kasutnya lagi di situ.

Asrar ketawa kecil melihat gelagat Nuril.

“Awra, cari batu. Tindih dengan batu...” tegur Asrar.

“Tak jumpa batu dekat area sini.”

“Owh, ye ke. Kejap saya cari. Belah sini ada banyak.” Asrar mendapatkan dua biji batu sederhana besar lalu meletakkannya di setiap penjuru tikar. Mereka kemudiannya membawa keluar semua bekalan yang di bawa lalu diletakkan di atas tikar. Beberapa minit kemudian, kereta Adwa melucur masuk berhampiran pokok tersebut. Nuril memandang ke arah kereta abangnya.

“Eh, abang saya dah sampai.” Kata Nuril kepada Asrar yang sedang mengambil beberapa barang dari bonet keretanya.

“Along...” sapa Nuril saat Adwa turun dari kereta. Dia bersalaman dengan Adwa dah Fatihah.

“Hi, kak.” Ujar Nuril sambil tersenyum. Asrar hanya memerhati dari jauh. Dia tersenyum sendirian sambil memikirkan apa yang bakal terjadi sekejap lagi.

“Mana kawan-kawan?” Soal Adwa.

“Tu...dua dekat tepi pantai tu. Sorang lagi tengah keluarkan barang dari kereta.” Terang Nuril. Adwa memerhati ke arah Asrar.

Eh! Bukan ke tu Asrar?!

Asrar berjalan membawa kotak putih lalu meletakkannya di atas tikar.

“Weh!! Kau Asrar! Patut aku rasa macam kenal.” Ujar Adwa sambil berjalan mendekati Asrar. Nuril terkejut dengan sapaan Adwa lalu menoleh ke arah mereka. Dia pelik.

“Hahaha...” Asrar ketawa.

“Macam mana kau boleh sesat dekat sini ni?” tanya Adwa.

“Kalau kau kawan adik aku, maknanya kau dah kenallah dengan adik aku selama ni? Kenapa kau tak pernah beritahu aku? Beria aku plan nak kenalkan kau dengan adik aku tau, alih-alih rupanya kau dah kenal dengan dia.” bertalu-talu ayat yang keluar dari mulut Adwa.

“Bro...sabar jap. Bagi aku cakap hehe.”

“Panjang ceritanya...tak sanggup aku nak bercerita hahaha.”

“Banyaklah kau...licik betul kau ni hahaha.”

“Hehe...eh, tapi sebenarnya aku baru je lagi kenal dengan adik kau tu. Selama ni aku hanya tahu nama dia je, aku tak pernah jumpa pun dengan dia. Aku ni rapat dengan Rina dan Remy tu ha... So, secara tak langsung aku berkawan dengan dia. Cuma baru-baru ni je baru dapat berjumpa dengan Awra. Selama ni kan aku jauh dekat utara...” Terang Asrar.

“Owh, kalau macam tu tak payahlah aku kenalkan kau dengan adik aku.” Ujar Adwa. Nuril sedari tadi terkebil-kebil mendengar perbualan mereka berdua.

“Along kenal Asrar ke?” Nuril menyampuk setelah lama berdiam diri.

“Kenal...junior along masa dekat U dulu. Kita orang ni rapat.”

“Owh, ye ke...” terkelip-kelip mata Nuril cuba menghadam apa yang dia dengar. Asrar hanya tersengih ke arahnya.

Kenapa dia tak beritahu aku yang dia kenal abang aku selama ni? Hmm...

“Dah..dah..mari kita susun barang-barang ni. Boleh kita start bakar. Lapar dah ni.” Tegur Adwa lalu mengeluarkan dapur arang untuk membakar ayam.

“Eh, abang Adwa dah sampai. Assalammualaikum kak Fatihah.” Tegur Rina yang baru kembali dari pantai. Adwa tersenyum pada Rina.

“Waalaikumussalam Rina...hehe.” balas Fatihah.

“Remy, tugas kau membakar hari ni.” Kata Rina sambil membuka bekas berisi ayam yang telah diperap.

“Weh, sedapnya bau.”

“Ha ahlah...sedap bau. Siapa yang perap ayam ni?” soal Fatihah.

“Tu...mamat belakang tu.” Jawab Remy sambil memuncungkan mulutnya ke arah Asrar yang sedang sibuk menghidupkan bara api pada dapur arang tersebut.

“Owh, mesti pandai masak ni.” Teka Fatihah.

“Akak kena rasa...air tangan chef. Susah nak dapat rasa air tangan chef ni, busy memanjang. Rugi kak kalau tak rasa hehe.”

“Eh, mesti. Menu wajib.. kena cubalah hehehe.”

Nuril menyusun air kotak yang mereka bawa ke dalam bekas berisi ais untuk menyejukkannya. Dia membuka bekas berisi sandwich, perutnya sudah terasa lapar.

“Ada yang nak sandwich?” Nuril menyoal sambil menghulurkan bekas sandwich ke arah Remy, Rina dan Fatihah yang sedang duduk berhampirannya.

“Terima kasih...hmm, sedapnya sandwich telur ni. Siapa buat ni weh?” tanya Remy dengan mulut yang penuh. Nuril hanya tersengih.

“Siapa lagi...Nuril lah, master chef aku sorang ni haha.”

“Aish, memandai je kau ni Rina...sandwich je pun.” kata Nuril lalu dia bangun menuju ke arah Adwa dan Asrar yang masih lagi berada berhampiran dapur arang.

“Nak sandwich tak?” Nuril menyoal sambil memandang ke arah Adwa dan Asrar.

“Nak...tapi tangan kotorlah.” Balas Adwa.

“Ha ah, tangan kotor.” Sampuk Asrar.

“Nak adik suap ke? Haha...” soal Nuril pada abangnya berseloroh.

“Boleh jugak...aaa..cepat.” Adwa membuka luas mulutnya. Asrar tersengih melihat gelagat dua beradik itu.

“Aissh! Adik gurau je lah.”

“La...pulak, lapar dah ni.” Ujar Adwa sambil ketawa kecil, sengaja dia menyakat adiknya.

“Mengada...” balas Nuril dan berlalu dari situ.

 

Selesai menyediakan bara api, Asrar mula membakar udang, sotong dan makanan laut yang lain. Mereka memakannya dengan nasi goreng yang dimasak oleh Fatihah. Nuril dan Rina juga telah menyediakan bihun goreng. Mereka menjamu selera sambil berbual-bual dan bergelak ketawa.

“Remy!” panggil Asrar.

“Hoo...ye!”

“Kau nak mandi pantai ke?”

“Taklah... Kenapa?”

“Nak bagi tugas bakar ayam pulak...haha.”

“Oo...boleh je. Meh sini aku bakar pulak.” Remy kemudiannya mengambil alih tugas Asrar. Asrar melabuhkan punggungnya di birai tikar berhampiran dengannya sambil memerhatikan Nuril yang sedang rancak berbual dengan Fatihah dan Rina. Adwa pula sedang berbual di telefon tidak jauh darinya. Asrar mencapai sekeping sandwich lalu dikunyahnya perlahan. Dia kemudiannya mengambil sepinggan bihun goreng lalu dimakannya bersama beberapa ekor udang yang sudah dibakar. Perutnya baru terasa lapar. Sambil makan dia mengerling ke arah Nuril. Namun tanpa dia sedari tingkah lakunya itu diperhatikan oleh Adwa.

Seusai makan Asrar melangkah menuju ke arah pantai, dia berjalan sendirian sambil menikmati hembusan angin yang menerpa ke wajahnya. Dia mendepakan tangannya untuk merengangkan badannya yang terasa lenguh.

“Nuril...jom kita main air.” Ajak Rina. Nuril tersenyum.

“Jom kak...” ajak Nuril sambil menarik tangan Fatihah.

“Haa...jom, jom...tapi akak sekejap je tau sebab akak tak tahan dengan panas matahari.. akak cepat sakit kepala.”

“Alright kak...” Mereka bertiga kemudiannya berlari-lari anak ke arah gigi air.

Asrar yang duduk di atas sebiji batu besar hanya memerhatikan mereka dari jauh. Sesekali terdengar tiga wanita itu tertawa sesama sendiri mungkin ada bicara yang mengelikan hati mereka. Pandangan matanya sesekali tertumpu pada gerak geri Nuril.

Ya Allah Ya Tuhanku. Apa sebenarnya yang aku rasa ni? Perasaan apa yang sedang bermain dalam hatiku ini Ya Allah? Apa yang cuba kau aturkan untukku Ya Allah... Apakah dia belahan jiwaku? Asrar bermonolog di dalam hati. Dia masih keliru dengan perasaannya sendiri. Sungguh dia sukakan gadis itu tapi dia masih keliru dengan perasaannya sendiri. Apakah perasaan yang dia rasa itu hanya sekadar perasaan suka atau dia benar-benar sudah jatuh cinta?

Asrar merenung ke arah langit yang terbentang luas dihadapannya, dilihatnya awan putih yang berarak melintasinya. Cuaca yang redup pada hari itu sedikit sebanyak menenangkan jiwanya. Setelah hampir setengah jam dia di situ Remy datang menyapa.

“Woo! Asrar. Jauh menung.” Sapa Remy yang melangkah memanjat batu-batu untuk menghampiri Asrar.

“Huh! Eh, siap dah ke bakar ayam?”

“Ada sikit lagi, abang Adwa dengan kak Fatihah sambung bakar. Saja aku tinggal, bagi dia orang honeymoon sekejap hahaha.”

“Haha...menyempat lagi kau.”

“Apasal tinggi sangat kau duduk ni? Jenuh aku nak naik.”

“Saja...luas sikit nampak view dekat sini.”

“Luas nampak view ke... Luas sikit nak nampak si Nuril tu? Hahaha.” Kata Remy lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Asrar.

“Haa...? Kurang asam... Sempat lagi kau mengenakan aku...” ujar Asrar sambil menjeling. Remy ketawa mendengar kata-kata Asrar.

“Aku tahu...kau suka dia kan?” Remy menyoal. Asrar mengerling.

“Kau diam-diam sudahlah...”

“Kenapa pulak? Terus terang jelah pada dia.”

Aishh! Sorry Asrar. Aku dah bagitahu pada Rina yang kau suka pada Nuril tadi.

“Erm...ntahlah, aku rasa belum masanya kot. Lagipun aku baru je nak kenal rapat dengan dia. Erm, actually aku sendiri keliru dengan perasaan aku sendiri dan aku macam dapat rasa yang dia pun masih belum bersedia untuk bercinta semula...”

“Are you sure?”

“Nope...not sure but firasat aku kuat mengatakan macam tu.”

“Oo...sebab tulah kau termenung ni?”

“Ish! Tak adalah...” Asrar menyangkal.

“Apa perasaan kau pada Nuril? Apa yang kau rasa?” Remy menyoal ingin tahu.

“Aku tak tahu nak cakap macam mana. Tapi apa yang aku rasa, perasaan aku lain sangat dari perasaan yang pernah aku rasa sebelum ni.”

“Hmm...susah jugak macam tu.”

“Tak apalah bro.. aku tak risau pun. InshaAllah akan ada jawapan juga satu hari nanti.” Asrar tersenyum.

“Eh...aduh...aku sakit perutlah. Aku nak pergi toilet kejap.” Tiba-tiba Remy mengaduh.

“La...baru nak borak...”

“Hehe...dah sakit perut nak buat macam mana.”

“Kau datang semula nanti bawakan air untuk aku.”

“Amboi...”

“Hahaha...tolonglah beb. Aku malas nak turun lagi.”

“Yelah, yelah... Kau nak air apa?” soal Remy yang sedang turun daripada batu tersebut.

“Tak kisahlah air apa pun hehe..thanks bro.”

“Okay..” ujar Remy lalu segera berlari. Perutnya tiba-tiba memulas, mujur sahaja bangunan tandas berada tidak jauh dari tempat mereka berkelah. Remy membuka tong berisi air kotak yang disusun oleh Nuril tadi, dia mencapai dua kotak air laici lalu dihulurkannya pada Nuril yang berada di hadapannya. Nuril terkejut dengan tindakan Remy. Terpinga-pinga dia memerhatikan Remy dengan dahi yang berkerut.

“Nuril...kau tolong bagi pada Asrar boleh? Aku sakit perut, nak ke toilet sekejap.” Ujar Remy yang dalam keadaan tergesa-gesa.

“Huh?! Asrar ada dekat mana?” Nuril menyoal.

“Atas batu...!” jerit Remy yang sudah berlalu jauh menuju ke tandas.

Huh? Atas batu besar tu ke? Nuril bangun dari duduknya lalu melangkah menuju ke kawasan pantai. Dia menjenguk-jenguk mencari kelibat Asrar tatkala dia menghampiri kawasan berbatu tersebut. Adwa memerhati sahaja gerak geri adiknya dari jauh. Dia tersenyum sendirian.

Tak sangka pulak korang dah kenal ye...aku baru berkira-kira nak rapatkan korang berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience