Bab 21

Romance Series 6062

“Doktor Asrar!” Jerit seorang jururawat pada Asrar yang sedang berjalan di lobi wad. Dia baru sahaja menyelesaikan tugasannya di wad dan sedang dalam perjalanannya untuk ke klinik rawatan pesakit luar. Asrar menoleh seusai terdengar namanya di panggil.

“Huh? Ye, kenapa? Ada emergency ke?”

“Hah? Eh, tak...tak. Ini...ada orang beri pada doktor.” Jururawat itu menghulurkan sebiji kotak kek kepada Asrar. Kotak kek itu bersaiz kecil, ianya hanya boleh memuatkan dua potongan kek sahaja di dalamnya. Berkerut kening Asrar melihat kotak tersebut.

“Eh, apa ni?” soal Asrar.

“Tak pasti doktor.” Jururawat itu terus berlalu seusai berkata demikian.

Eh, siapa pula yang bagi ni? Asrar membuka kotak tersebut dan dilihatnya terdapat lima biji kuih tart telur yang masih suam dan terselit sekeping nota kecil di dalamnya.

Huh? Ada nota.

‘To Asrar,

I know you really love egg tarts.

Enjoy your tart!

From : Sally’

Laa...Sally rupanya. Tapi mana dia tahu aku suka tart telur ni? Haish... Macam-macamlah dia ni. Asrar hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum sendirian. Dia kemudian berpatah balik menuju ke wad. Dia berhenti di hadapan kaunter lalu menghulurkan kotak berisi tart itu kepada seorang jururawat lelaki yang sedang bertugas.

“Naim. Ni ada tart telur, nanti kamu sharelah dengan yang lain-lain.” Pesan Asrar.

“Huh? Tart telur? Sedap tu. Siapa bagi ni doktor?”

“Kawan saya. Tapi saya baru je makan semalam...rasa too much pula nak makan lagi untuk minggu ni hehe. Kamu makanlah.”

“Owh, ye ke. Alright, thank you doktor.” Balas Naim tersenyum. Asrar kemudiannya beredar keluar dari wad.

 

******

Suasana di klinik pada petang itu agak sesak dengan para pesakit dan pelawat. Nombor giliran dipanggil bersilih ganti. Asrar sedang merawat seorang anak kecil yang mengalami patah tulang tangan akibat terjatuh ketika bermain di pusat asuhan dua minggu yang lalu. Dia datang untuk temujanji.

“Doktor...doktor...bila Aidil boleh guna tangan Aidil ni?” Soal anak kecil yang berusia lima tahun itu kepada Asrar dengan tutur yang sedikit pelat dalam nada ceria. Aidil ditemani oleh bapanya. Asrar melemparkan senyuman kepadanya.

“Dah tak sabar nak guna tangan ye?” Asrar menyoal tersengih.

“Aidil tak dapat nak main dengan kawan. Papa tak bagi.” Balas Aidil sambil menjeling ke arah bapanya.

“Macam nilah dia doktor, hari-hari dia suruh buka balutan simen tu. Saya pun dah pening, tak tahu macam mana nak explain pada dia.”

“Hehe...tak boleh lagi ni Aidil. Aidil kena pastikan tangan Aidil betul-betul pulih baru doktor boleh buka balutan simen tu.”

“Hari ni kita kena x-ray tangan anak encik ye, kami perlu lihat perkembangan kesembuhan tulang tu.” Kata Asrar pada bapa Aidil.

“Owh, baik doktor.”

“Alright. Jom Aidil kita ke bilik x-ray.” Ajak Asrar lalu bangun dari kerusinya. Asrar membawa kedua anak beranak itu ke bilik x-ray dan meninggalkan mereka di situ untuk prosedur seterusnya yang akan dikendalikan oleh juru x-ray. Sementara menunggu proses tersebut Asrar menyambung tugasnya dengan memanggil pesakit seterusnya.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk dan pesakit tersebut menjengah di muka pintu. Asrar berbicara seraya matanya tertumpu pada kad rawatan untuk membaca nama pesakit tersebut.

“Jemput duduk encik...”

“Haiqal...” Asrar memandang ke arah pesakit itu dengan riak wajah yang terkejut. Nama Haiqal yang disebutnya itu adalah nama seseorang yang dikenalinya.

Haiqal? Asrar memandang ke arah Haiqal yang berbalut tangannya dengan simen dan anduh.

“Kau?” Ujar Haiqal yang turut terkejut melihat Asrar berada di situ. Berkerut dahinya.

“Sila duduk Encik Haiqal.” Pelawa Asrar.

“Kau doktor?” Haiqal menyoal ingin kepastian kerana dia tidak percaya dengan apa yang sedang dia lihat. Dia memerhati tanda nama pada baju kemeja yang di pakai Asrar, tertera nama Dr. Khairun Asrar pada tanda nama tersebut.

“Ye. Saya doktor.” Kata Asrar bersahaja lalu dia membelek-belek kad rawatan Haiqal di hadapannya. Dia membaca sejarah pesakit. Haiqal masih memandang ke arah Asrar dengan riak wajah yang masih tergamam.

“Hari ni datang untuk cuci lukakan?” Asrar menyoal.

“Aa...ye, cuci luka.” Haiqal tersentak dari lamunannya apabila disapa Asrar.

Huh? Tak tahu pula dia ni doktor. Macam manalah aku boleh jumpa pula dengan dia dekat sini...

“Mari saya tengok.” Ujar Asrar. Haiqal menyelak bajunya lalu memusingkan badannya pada Asrar. Asrar memerhati dan meneliti balutan luka tersebut tanpa banyak bicara. Lukanya agak besar namun tidak begitu parah.

“Encik Haiqal boleh duduk atas katil. Kami akan buat prosedur cuci luka.”

“Macam mana boleh accident ni?” Soal Asrar ketika dia mencabut balutan luka di badan Haiqal.

“Aku terbabas. Salah aku juga, tak dapat kawal perasaan.” Ringkas jawapan Haiqal. Asrar memahami apa yang disampaikan oleh Haiqal itu. Mengikut rekod dalam kad rawatannya, dia kemalangan pada tarikh yang sama mereka berada di Port Dickson tempoh hari. Asrar mengerling ke arah Haiqal.

“Kenapa kau bertindak macam tu?” Terpacul juga soalan itu dari mulut Asrar, dia sudah cuba menahannya agar tidak menyentuh soal peribadi ketika memberi rawatan tetapi kerana perasaan ingin tahunya yang membuak-buak, terkeluar juga soalan itu dari mulutnya. Haiqal menoleh ke arah Asrar dengan riak wajah yang sedikit terkejut.

“Huh?!”

“Kenapa kau bertindak macam tu?” Asrar mengulangi pertanyaannya.

“Hmm...Sebab aku terlalu sayangkan dia...” Bulat mata Asrar mendengar jawapan Haiqal, mula timbul rasa geram dihatinya. Asrar mengetap bibirnya menahan geram. Dia cuba bersabar.

“Jadi kau buat semua tu sebab kau sayang dia?! Kau sedar tak tindakan kau tu salah?” Tutur Asrar dengan nada suara yang sedikit tinggi. Asrar masih lagi membuka balutan luka itu dengan berhati-hati.

“Ye, aku sedar. Aku terlalu ikut perasaan. Aku sedar perbuatan aku salah. Aku banyak berfikir selepas kejadian hari tu...” Ujar Haiqal lalu dia mendiamkan diri beberapa saat sebelum menyambung kata-katanya.

“...Bertapa bodohnya tindakan aku pada dia selama ni. Dia perempuan baik...tapi aku dah sia-siakan peluang yang aku ada, aku menyesal... macam-macam aku cuba untuk pujuk dia semula tapi... Sebenarnya, apa yang aku buat tu menjadikan dia semakin jauh dari aku.” Haiqal tunduk memandang lantai, ikutkan hatinya mahu sahaja dia keluar dari situ secepat mungkin. Dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Asrar. Dia malu dengan segala perbuatannya tempoh hari.

“Aku betul-betul rasa bersalah. Aku minta maaf, aku tak akan ganggu dia lagi.” Sambung Haiqal lagi.

“Kau...patut minta maaf pada Nuril bukan pada aku.”

“Aku akan minta maaf pada dia dan aku harap kau jagalah dia baik-baik, lindungi dia daripada lelaki tak guna macam aku ni.” Ujar Haiqal. Asrar hanya mengerling ke arah Haiqal tanpa membalas kata-katanya. Namun jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana Haiqal sudah pun sedar akan kesalahannya itu.

“Aku akan cuci luka kau ni...untuk tangan kau yang patah ni, kau perlu datang untuk check up pada next appointment. Hari ni hanya untuk cuci luka.” Terang Asrar. Haiqal mengangguk tanda memahami apa yang diterangkan oleh Asrar. Asrar kemudiannya memanggil seorang jururawat lelaki untuk membantunya.

“Kalau ada rasa something tak kena pada tangan atau anggota yang lain mohon segera ke hospital.” Pesan Asrar lagi sambil menyapu ubat pada luka Haiqal. Haiqal mengetap giginya menahan sakit saat ubat itu meresap ke kulitnya yang luka. Dia hanya mengangguk dengan pesanan Asrar.

Selesai sesi rawatan di hospital pada petang itu, Haiqal terus memandu keretanya menuju ke pejabat Nuril. Dia menunggu di perkarangan parkir sehingga melihat kelibat Nuril keluar dari bangunan tempatnya bekerja. Dengan berhati-hati dia menghampiri Nuril.

“Assalammualaikum... Nuril.” Haiqal menyapa Nuril yang sedang membuka pintu keretanya. Nuril terkejut, bulat matanya melihat Haiqal di situ. Nuril segera masuk ke keretanya namun Haiqal menahan pintu kereta Nuril sebelum sempat dia menutupnya. Nuril sudah cuak. Dia trauma, takut jika Haiqal mahu mengapa-apakannya.

“Nuril...” panggil Haiqal.

“Kau nak apa lagi Haiqal?! Kau dah janji tak akan ganggu aku lagi kan?!”

“Dengar dulu apa aku nak cakap...” Rayu Haiqal. Nuril mngerling ke arah Haiqal, dia risau jika Haiqal bertindak diluar jangkaan lagi.

“Aku...aku nak minta maaf dengan kau Nuril.” Ujar Haiqal. Nuril memandang ke arah Haiqal.

“Aku banyak buat salah pada kau. Aku harap sangat kau maafkan aku. Aku sedar tindakan aku terlalu mengikut perasaan selama ni. Aku betul-betul minta maaf...aku tak akan ganggu kau lagi lepas ni...” terang Haiqal. Nuril terdiam tanpa kata. Dia memandang pada Haiqal. Dapat dia melihat riak wajah Haiqal yang betul-betul menyesali perbuatannya selama ini.

“Kau berhak dapat lelaki yang lebih baik dari aku. Aku minta maaf lagi sekali...” ujar Haiqal lalu dia berpaling dari situ. Dia melangkah meninggalkan kereta Nuril. Nuril kemudiannya segera keluar dari keretanya setelah tergamam seketika.

“Haiqal...” Panggil Nuril. Dia tidak sampai hati membiarkan lelaki itu pergi begitu sahaja. Haiqal menoleh dengan pandangan yang kosong.

“Aku pun nak minta maaf pada kau kalau selama ni aku ada buat salah pada kau.”

“Kau tak ada buat salah pada aku...tapi aku yang banyak buat salah pada kau.”

“Aku...maafkan kau. Dan aku harap kau akan jumpa dengan perempuan yang lebih baik dari aku.”

“Kau tak layak cakap macam tu...aku sebenarnya yang dah sia-siakan peluang yang aku ada. Aku tak rasa aku akan jumpa lagi dengan perempuan yang baik macam kau.” Nuril terdiam mendengar kata-kata Haiqal.

“Apa-apa pun, aku doakan semoga kau bahagia dengan Asrar...” ujar Haiqal lalu dia melangkah meninggalkan Nuril sendirian di situ.

Nuril termenung seketika di dalam keretanya. Dia memikirkan apa yang baru sahaja terjadi.

Hmm...Alhamdulillah Ya Allah. Kau makbulkan doaku. Aku harap Kau temukan dia dengan orang yang lebih baik dari aku. Seusai itu, telefon pintarnya bergetar. Terdapat notifikasi mesej yang baru diterima. Nuril membuka mesej tersebut lalu membacanya.

013-9xx xxxx : Nuril, saya nak jumpa awak sekejap.

Eh?! Nombor ni lagi, dah beberapa hari dia asyik mesej. Siapa ni? Mana dia tahu nama aku? Aku kenal ke? Nuril berfikir sendiri.

Nuril : Awak ni siapa? Tiba-tiba je mesej ajak jumpa. Kenalkan diri pun tak.

013-9xx xxxx : ? Ya Allah, saya tak kenalkan diri ke? Patutlah awak tak reply mesej saya.

Nuril : Saya kenal awak ke? ?

013-9xx xxxx : Ye, awak kenal. Saya Jauzan.

Nuril : Jauzan? Siapa ye? ?

013-9xx xxxx : Awak tak ingat saya? Dr. Jauzan. Last kita jumpa dekat klinik.

Nuril : Owh...awak. Sorry, sorry saya tak ingat.

013-9xx xxxx : Ye saya. Boleh ke saya nak jumpa awak sekejap?

Adoi, nak jumpa aku untuk apa pulak ni? Hmm, kenapa kebanyakkan lelaki yang  aku kenal semuanya doktor?

Nuril : Nak jumpa kenapa ye?

Jauzan : Tak apalah kalau awak tak free.

Nuril : Nak jumpa dekat mana?

Jauzan : Dekat klinik. Saya lokum hari ni, sempatlah nak jumpa sekejap sebelum saya bertugas.

Nuril : Owh, ok. Saya gerak sekarang kebetulan saya baru habis kerja.

Jauzan : Ye ke. Ok, saya tunggu di klinik.

Apa dia nak? Haish, kalau dia buat something yang bukan-bukan nanti macam mana? Aduh, risau pula aku. Awra! Yang kau pergi setuju nak jumpa tu kenapa?? Urgh! Nuril berkata-kata di dalam hatinya. Dia menampar-nampar kedua pipinya, dia tidak puas hati pada dirinya sendiri kerana membuat keputusan yang bodoh.

“Adoi...kau ni Awra. Dah buat keputusan baru nak menyesal.” Nuril mengomel sendirian.

Hmm, tak apalah. Aku pergi jelah sekejap. Dekat klinik, InshaAllah tak ada apa-apa. Nuril kemudiannya memandu keretanya menuju ke tempat yang dijanjikan. Selepas memarkirkan keretanya tidak jauh dari klinik, dia meninjau keadaan sekeliling dan cuba mencari kelibat Jauzan. Nuril ragu-ragu untuk keluar. Tiba-tiba satu mesej masuk di telefon pintarnya.

Jauzan : Saya tunggu awak dekat bawah pokok depan klinik.

Nuril menoleh ke arah belakang. Dia mengintai-intai dari dalam kereta dan matanya terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang berdiri tidak jauh dari sepohon pokok. Dia kemudiannya keluar lalu menuju ke bawah pokok besar tersebut.

“Assalammualaikum.” Nuril menyapa.

“Waalaikumussalam.” Jawab Jauzan sambil tersenyum melihat ke arah Nuril. Nuril membalas senyuman Jauzan.

“Erm, ada apa awak nak jumpa saya?” Soal Nuril tanpa berbasa basi.

“Hmm, saya sebenarnya nak berkawan dengan awak. Boleh ke? Minta maaf sebab saya ganggu awak dekat whatsapp.”

“Huh? Erk, nak berkawan?”

“Ye. Actually I know your brother. Saya ni sebenarnya kawan Adwa.”

“Hah? Awak kawan abang saya? Satu universiti ke?”

“Yup. Satu universiti. Hehe.”

“La...ye ke? Awak ada datang masa kenduri kahwin dia dulu?” Nuril menyoal.

“Owh, tak. Saya tak datang, masa tu saya ada dekat luar negara.”

“Oo...ye ke.”

“Erm, boleh ke saya nak berkawan dengan awak ni?” Jauzan menyoal ingin kepastian.

Adoi. Apa aku nak jawab ni? Serba salah pula nak tolak.

“Err...boleh je kalau setakat nak berkawan tu. He...” Jauzan tersenyum mendengar jawapan Nuril.

“Tapi kenapa tiba-tiba awak nak berkawan dengan saya?”

“Aa...? Hehe...tak ada apa-apa, hanya nak berkawan je. Sebab saya baru tahu yang Adwa ada adik, jadi saya rasa elok juga kalau saya kenal-kenal dengan awak. Selama ni dia tak pernah cerita pada saya yang dia ada adik.”

“Owh, ye ke. Awak mesti busy kan? Pesakit awak dah datang tu.” Ujar Nuril sambil memerhati ke arah pintu klinik yang sedang dimasuki oleh pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

“Aa...ye, tapi waktu lokum saya jam tujuh. By the way terima kasih sebab sudi jumpa saya petang ni.”

“Aa...sama-sama.” Ujar Nuril sambil melemparkan senyuman menampakkan giginya yang putih bersih.

“Awak kerja dekat hospital mana?”

“Saya kerja di klinik kesihatan. Erm, petang-petang tak ada apa nak buat saya buat lokum dekat sini dua atau tiga kali seminggu. He...” Mata Jauzan melirik pada wajah Nuril.

“Owh. Awak orang mana?”

“Saya asal Johor. Awak orang Pahang kan?”

“Ha ah...Pahang.”

“Tapi saya pelik kenapa Adwa tak pernah nak bercerita pasal family dia pada saya ye?” Kata Jauzan sambil memeluk tubuhnya.

“Aa...dia memang macam tu. Dia jenis yang tak suka nak bercerita hehe.”

“Itulah, kalau saya tanya bab family, dia tak pernah nak jawab. Hehe.”

“Hehe. Erm, awak dah kahwin ke?”

“Huh?? Hehe...awak rasa?”

“Erm, entah.”

“Tapi kenapa awak tanya soalan tu?” soal Jauzan tersenyum.

“Manalah tahu kalau-kalau awak ni suami orang ke. Orang zaman sekarang ni dah tak boleh nak dipercayai sangat. Takut saya. He...”

“Hehe...saya tak kahwin lagi. Kalau awak tak percaya, awak boleh tanya dengan Adwa.”

“Owh...” ujar Nuril sambil mengerling ke arah jam di tangannya.

“Awak. Dah dekat pukul tujuh ni. Nanti  lambat awak masuk kerja.” Tegur Nuril.

“Erm, yelah. Sekejap pula rasa masa berlalu.”

“He...selamat bertugas. Saya nak kena gerak balik dah ni.”

“Okay, drive carefully.” Pesan Jauzan. Nuril hanya mengangguk.

“Thanks again. Saya masuk dulu.”

“Okay.” Nuril berkata seraya memerhati Jauzan melangkah menuju ke pintu klinik.

Aishh, macam-macam. Harap je kawan along, kalau tak malas dah aku nak layan.

Terima kasih pada yang sudi membaca cerita saya. ???

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience