Bab 12

Romance Series 6062

Pagi itu Nuril singgah di sebuah kafe untuk membeli secawan kopi kegemarannya iaitu mocha latte sebelum dia meneruskan perjalanan ke pejabat. Nuril membuat pesanan di kaunter, sementara menunggu pesanannya siap dia meninjau roti-roti yang tersusun di rak berhampiran kaunter. Bau aroma kopi dan roti yang sedang dibakar menusuk hidungnya.

Hhmm...sedapnya bau. Roti-roti ni pun nampak macam sedap je. Nuril berkata-kata di dalam hati lalu menyepit beberapa buku roti yang berjaya menarik seleranya lalu diletaknya ke atas talam. Sesudah membuat bayaran Nuril berjalan keluar dari kafe tersebut.

Ketika melalui koridor deretan kedai tersebut Nuril terkial-kial mencari kunci kereta dari dalam beg tangannya. Di tangan kirinya dia memegang cawan kopi dan satu plastik roti manakala tangan kanannya masih meraba-raba dalam beg mencari kunci kereta. Dia mengintai-intai ke dalam beg tangannya.

“Haiish! Mana pulak kunci ni? Aku rasa aku letak dekat poket beg ni tadi.” Nuril mengomel.

Nuril mengambil keputusan untuk berhenti seketika bagi mencari kunci keretanya. Sedang dia membelek beg tangannya, tanpa disedari dia dilanggar oleh seorang pemuda yang sedang bercakap di telefon dari arah hadapan.

“Errkk...!!” Nuril terkejut. Cawan mocha latte yang dipegangnya terlepas dari genggaman lalu jatuh ke lantai. Air tersebut tumpah membasahi lantai koridor dan percikan air kopi terkena pada skirt yang dipakainya. Nuril tergamam.

“Huh!!!?” pemuda itu berpaling dengan wajah yang terkejut.

“Jalan tak pandang depan ke?!” Jerkah pemuda itu sambil memandang ke arah Nuril lalu matanya terpandang pada cawan kopi yang berada di lantai. Dia mengibas-ngibas kaki seluarnya yang juga terkena percikan air kopi yang tumpah tadi. Percikan itu meninggalkan kesan kotor pada seluar berwarna khaki yang dipakainya. Pemuda itu tanpa menyedari telah mengundur ke belakang ketika dia sedang berbual di telefon lalu melanggar Nuril yang berdiri dibelakangnya. Nuril membalas pandangan pemuda tersebut dengan dahi yang berkerut.

Eh, dia ni. Dia yang langgar aku, aku pulak yang dipersalahkan?! Haiish!

“Encik...siapa yang langgar siapa sebenarnya ni? Saya berdiri dekat sini dari tadi lagi.”

“Eh? Awak yang jalan tak pandang depan. Awak salahkan saya pulak?” Pemuda itu mempertahankan dirinya.

“Tak apalah encik. Saya minta maaf sebab seluar encik dah kotor.” Ucap Nuril. Dia malas untuk bertekak, dia risau dia akan terlambat tiba di pejabat jika dia melayan kerenah lelaki terbabit.

“Aiish! Awak tahu tak saya ada meeting pagi ni. Macam mana saya nak pergi dengan keadaan macam ni?” Kata pemuda itu lagi. Dia mengomel sambil memandang kaki seluarnya yang kotor.

“Minta maaflah encik. Itu encik fikirlah sendiri.” Kata Nuril selamba. Dia geram, ikutkan hatinya mahu saja dia untuk melihat CCTV dari kedai yang berdekatan tapi memandangkan dia sudah lambat untuk ke pejabat, dia membiarkannya sahaja. Nuril kemudiannya mengutip cawan yang jatuh tersebut lalu dibuangnya ke dalam tong sampah berdekatan.

“Ish! Dia ni!” Kata pemuda itu tidak berpuas hati.

Nuril kemudiannya masuk ke kedai di sebelahnya untuk memaklumkan kepada pemilik kedai, berkenaan air kopinya yang tertumpah itu. Tujuannya hanya untuk memastikan tumpahan itu dibersihkan segera agar tidak mengganggu perjalan kaki yang lain. Pemuda tersebut terkebil-kebil memandang gelagat Nuril.

“Ye ka Miss? Owh, tak apa. Nanti saya panggil itu staf untuk bersihkan.” Kata penjual Cina terbabit.

“Maaf uncle. Terima kasih uncle. Sorry, menyusahkan uncle.”

“Owh, tak apa. Small matter saja.”

Nuril kemudiannya melangkah keluar dari kedai tersebut, dia memerhati sekitar sama ada lelaki terbabit masih ada di situ atau pun sudah beredar.

Erm, dia dah tak ada. Huh! Tak tahu langsung nak minta maaf. Nuril mengomel di dalam hati. Dia kemudiannya menuju ke keretanya.

“Bukan rezeki aku dapat minum mocha latte hari ni. Nak pergi beli semula tak sempat dah. Hmm...tak apalah.” Nuril mengeluarkan tisu basah dari dashboard kereta lalu dia mengelap skirtnya yang terkena tumpahan air kopi tadi kemudian dia meneruskan perjalanannya ke pejabat.

*****

“Hei! Dr. Jauzan Muqhriz.. Lama tak jumpa kau.” Sapa Adwa saat terserempak dengan rakan lamanya di perkarangan tempat letak kereta.

“Eh! Kau Adwa. Kau buat apa dekat sini?” tanya Jauzan.

“Aku ada meeting.” Balas Adwa pendek sambil berjalan beriringan di sebelah Jauzan.

“Owh, meeting pengurusan ke?”

“Ha ah...kau meeting juga ke?” soal Adwa ingin kepastian.

“Ha ah, sama meeting lah kita ni? Tak perasan pulak nama kau hehe.”

“Haha..aku pun tak perasan nama kau..”

Setelah berjalan seketika mereka tiba di bilik mesyuarat. Hanya beberapa orang sahaja yang baru berada di situ.

“Kau masuklah dulu aku nak je toilet sekejap nak bersihkan kaki seluar aku ni.” Ujar Jauzan.

“Huh?! Laa...Kenapa dengan seluar kau?” tanya Adwa yang memerhati keadaan seluar Jauzan yang sedikit kotor. Kesan kotoran tersebut tidaklah terlalu ketara jika tidak diberi perhatian.

“Hurmm, ada perempuan buta mana ntah tadi tumpahkan kopi. Habis terkena dekat seluar aku.” Terang Jauzan.

“Owh...” Adwa hanya memerhati Jauzan yang sedang mengibas-ngibas seluarnya. Dia amat mengenali perangai Jauzan yang pentingkan kesempurnaan dan dia sememangnya seorang yang cerewet.

“Tak apa. Kau masuk dulu.” Kata Jauzan lalu meninggalkan Adwa dan terus menuju ke tandas.

“Aissh, Jauzan.. Jauzan. Perangai cerewet kau memang tak pernah berubah.” Adwa mengomel sendirian sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Adwa kemudiannya terus menuju ke bilik mesyuarat.

“Assalamualaikum Dr. Adwa.” Sapa satu suara saat Adwa melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

“Waalaikumussalam. Eh! Kau Asrar.. terlibat jugak ke?” balas Adwa sambil tersenyum.

“Hehe...aku ganti bos.” Ujar Asrar yang duduk berhadapan dengan Adwa sambil tersengih.

“Owh...”

“Kau nampak berisilah sejak-sejak dah kahwin ni. Hehe.” Asrar mengusik.

“Hahaha...memandai je kau.”

“Hahaha...”

“Aku tak sabar nak tunggu kau kahwin pulak...” Adwa membalas.

“Haha...tunggu aku? Entahlah bila, tengah tunggu my belahan jiwa aku datang lengkapkan belahan kat hati aku ni hah.. hahaha.” Asrar berseloroh.

“Adoi kau ni. Haha...nanti aku kenalkan kau dengan adik aku.”

Aku dah kenallah adik kau tu Adwa. Hehe. Asrar berkata-kata di dalam hati. Sengaja dia tidak memberitahu pada Adwa bahawa dia sudah pun mengenali Nuril.

“Nak kenalkan untuk lengkapkan belahan dekat jiwa aku ni ke? Haha.” ujar Asrar bergurau.

“Amboi...” jawab Adwa tersengih.

“Haha.. aku gurau je.” Asrar tersengih dengan jawapan Adwa walaupun hakikatnya dia mengharapkan perkara itu benar-benar berlaku.

“Kau jugak yang nak kenalkan sangatkan? Manalah tahu kot kau nak jadikan aku adik ipar kau ke haha.” Sambung Asrar lagi.

“Haha... jadi adik ipar? Hmm... kata putus bukan ada pada akulah. Kena tanya tuan punya badan hehe, walaupun aku ni abang yang overprotective, tapi aku tetap nak adik aku bahagia macam orang lain. Pilihan ada di tangan dia kecuali dia yang minta aku carikan suami untuk dia. Barulah aku boleh pilih sesuka hati aku.”

“Eh... Apasal tiba-tiba jadi serius conversation pulak ni? Hahaha.” Sambung Adwa lagi apabila tersedar percakapannya tiba-tiba menjurus ke arah yang lebih serius.

“Entah kau.. hehe.” Balas Asrar pendek.

“Eh, borak pasal apa ni?” tegur Jauzan yang baru melabuhkan punggungnya di sebelah Adwa. Asrar melemparkan senyuman pada Jauzan sambil melambaikan tangannya.

“Aa...pasal nikah kahwin hehe..”

“Huh? Siapa yang nak kahwin?”

“Asrar ni..” jawab Adwa selamba.

“Eh! Eh! Bukanlah, saje borak-borak.” Cepat-cepat Asrar menyangkal. Adwa sudah ketawa kecil. Sengaja dia mengusik Asrar. Jauzan hanya tersengih melihat gelagat mereka berdua. Asrar dan Jauzan sudah mengenali antara satu sama lain memandangkan Jauzan juga merupakan senior Asrar ketika dia belajar dahulu. Namun begitu hubungan dia dan Jauzan tidaklah serapat hubungannya dengan Adwa.

Adwa ni! Sengaja ye kenakan aku. Sabar jelah.

Seketika kemudian mesyuarat tersebut dimulakan selepas semua ahli mesyuarat yang lain hadir.


*****


Petang itu Asrar ditugaskan di klinik pesakit luar akibat kekurangan pegawai perubatan yang bertugas pada hari tersebut. Asrar berjalan menuju ke klinik, suasana klinik pada ketika itu agak sesak dengan pesakit yang sedang menunggu rawatan. Asrar kemudiannya menuju ke bilik rawatan tempatnya ditugaskan.

“Fuhh! Ramainya patient hari ni...” keluh Asrar sendirian saat dia mengambil tempat di bilik rawatan.

Seketika kemudian pintu biliknya diketuk, seorang jururawat masuk sambil meletakkan kad rawatan pesakit di atas mejanya.

“Doktor...kalau dah ready boleh tekan nombor giliran tu ye.” Pesan jururawat terbabit lalu keluar meninggalkannya. Asrar hanya mengangguk walaupun jururawat tersebut sudah pun hilang dari pandangannya.

Asrar membelek satu persatu kad tersebut sambil lalu. Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu kad yang tertera nama Sarahana binti Jamlus.

Huh?!! Macam nama Sara. Eh..dia ke? Jauhnya dia datang buat rawatan dekat sini. Erm.. Aish! Abaikanlah, mungkin kebetulan nama je sama. Asrar cuba menyangkal. Dia kemudiannya mengabaikan apa yang difikirnya sebentar tadi lagi pula dia sudah tiada apa-apa hubungan dengan Sara. Selesai membelek kad-kad tersebut Asrar lalu menekan butang pada mesin sistem giliran yang berada di tepi mejanya untuk memulakan rawatan.

Rata-rata pesakit yang hadir adalah pesakit yang perlu mendapatkan rawatan susulan di mana satu tarikh temu janji telah diberikan ketika mereka mendapatkan rawatan mereka sebelum ini iaitu seperti pesakit yang menghidap darah tinggi dan kencing manis. Namun begitu ada juga yang datang untuk mendapatkan rawatan harian seperti mereka yang mengalami gejala demam, sakit kepala, selesema, batuk dan sebagainya.

Asrar dengan sabar merawat dan melayan kerenah pesakit yang pelbagai. Adakala boleh memeningkan kepalanya. Pernah pada suatu hari ketika dia ditugaskan di klinik, terdapat seorang pesakit wanita yang sudah berumur dalam lingkungan enam puluhan ramah berbicara dengannya. Asrar hanya melayan ala kadar sahaja, dia tidak mahu terlalu rapat dengan pesakit kerana perkara itu boleh mengganggu tugasannya di kemudian hari.
Apa yang dilakukan oleh pesakit wanita tersebut sangat mengejutkannya. Pesakit tersebut sanggup datang pada keesokan harinya dengan membawa satu plastik buah-buahan lalu diberikan kepadanya. Kata pesakit wanita itu, buah yang diberikannya itu adalah sebagai tanda terima kasih dan juga sebagai tanda untuk dia menjodohkan anaknya dengan Asrar. Terbeliak mata Asrar pada ketika itu, dia sangat terkejut namun dia cuba bertenang dan dengan menggunakan sedikit ilmu psikologi yang dia ada, dia berjaya memberi nasihat kepada pesakit wanita terbabit dan wanita itu menerimanya dengan baik.

Tuk!

Tuk!

Pintu bilik rawatan di ketuk, seorang pesakit wanita yang mengenakan blouse hijau, berseluar jeans yang sedikit ketat dan bertudung masuk ke dalam. Bulat mata Asrar memandang ke wajah pesakit wanita tersebut. Wajah yang sudah lama hilang dari memori silamnya kini muncul di hadapannya semula. Asrar sudah bersedia sejak dari dia membaca nama pesakit wanita tersebut untuk sebarang kemungkinan. Pesakit wanita itu memandang ke arah Asrar dengan mata yang terbeliak. Asrar hanya bertingkah seperti biasa, sebagai seorang doktor yang akan merawat pesakitnya.

“Jemput duduk puan.” Ujar Asrar saat melihat Sara yang masih tercegat di tepi pintu. Asrar berpura-pura tidak mengenali Sara. Sara memerhati tanda nama dipin kemas pada kemeja yang dipakai oleh Asrar, tertera nama Dr. Khairun Asrar pada tanda nama tersebut. Sara melabuhkan punggungnya.

“Puan ada masalah apa hari ni?” Asrar menyoal sambil menatap pada kad rawatan ditangannya. Mengikut rekod sebelum-sebelum ini, dia hadir hanya kerana pening kepala. Tidak ada sebarang penyakit serius yang direkodkan.

“Asrar...” panggil Sara.

Haish! Dia nak mula lagilah tu. Asrar mengomel dalam hati.

“Ada masalah kesihatan apa datang hari ni untuk rawatan?” Asrar mengulangi soalannya.

“Asrar...aku dah lama cari kau. Kenapa kau abaikan aku? Kenapa kau tak jawab call dan mesej aku? Kenapa kau tak cari aku langsung? Kau marahkan aku lagi ke?” Sara mula menyoal bertalu-talu. Asrar hanya mendiamkan diri. Baginya dia sudah tidak ada keperluan untuk menjawab segala pertanyaan Sara tersebut.

“Asrar...aku..” panggil Sara lagi.

“Puan...saya tanya puan lagi sekali. Boleh puan bagitahu, apa masalah kesihatan puan datang hari ni?” Asrar memotong percakapan Sara. Terasa geram dihatinya, mahu sahaja dia menghalau Sara keluar dari biliknya segera namun dia masih dapat mengawalnya.

“Asrar.. Tolonglah aku, tolonglah terima aku semula dalam hidup kau. Aku menyesal dengan apa yang telah aku buat pada kau selama ni.” Sara merayu. Dahi Asrar berkerut, dia mulai serabut dengan rayuan Sara. Dia mengerling ke arah Sara dengan kerlingan yang sinis.

Ish! Perempuan ni, dah lebih setahun pun masih berperangai macam ni! Dia ni kenapa? Dah macam orang gila talak.

Sara mendapat tahu Asrar berkerja di hospital itu melalui rakan-rakan Asrar yang berada di Kedah. Sara berusaha datang ke klinik tersebut berkali-kali dengan tujuan untuk berjumpa dengan Asrar namun dia hampa kerana Asrar tidak bertugas di klinik ketika dia hadir mendapatkan rawatan. Dia sering datang mendapatkan rawatan walau hakikatnya dia tidak sakit. Dia sengaja berpura-pura. Sara menghadapi masalah rumahtangga dengan suaminya Nik. Nik selalu bertekak dengan Sara sejak mereka berkahwin. Mereka sering bergaduh. Nik bertingkah sedemikian kerana dia tidak berpuas hati akibat dipaksa berkahwin dengan Sara oleh Najib.

“Asrar...aku dalam proses bercerai dengan suami aku. Bila dah selesai nanti aku nak kembali semula pada kau.” Kata Sara lagi. Asrar hanya diam sambil memerhati Sara dengan riak wajah yang sinis, tiada sepatah perkataan pun yang dibalasnya. Asrar menggeleng-gelengkan kepalanya.

Senangnya kau berkata-kata! Apa kau anggap hidup ni hanya sebuah permainan?! Yang kau rasa kau boleh buat sesuka hati kau?! Seolah-olah hanya kau sorang sahaja yang punya perasaan dan semua orang di sekeliling kau perlu ikut semua aturan permainan kau! Cara kau ni membuatkan aku semakin benci dengan kau Sara!! Asrar berkata-kata di dalam hati. Dia tidak mahu menghamburkan kata-kata itu. Dia masih boleh berfikir secara rasional. Dia sedang bertugas dan tugasannya itu tidak boleh dicampur aduk dengan hal-hal peribadinya. Itu prinsip yang dipegangnya.

“Puan...sudah tiga kali saya bertanya soalan yang sama tapi saya tak dapat jawapan yang saya mahu. Kalau puan tak mahu mendapatkan rawatan, saya rasa puan boleh keluar sekarang. Masih ada ramai patient yang sedang menunggu untuk rawatan.” Tegur Asrar sambil menghulurkan kad rawatan pada Sara. Dia memang tidak mahu langsung mengendahkan kata-kata Sara. Bak kata Remy ‘kau ignore je.. settle, tenang hidup’.

“Asrar...please!” Sara cuba merayu lagi. Asrar bangun dari kerusinya, dia melangkah menuju ke arah pintu, ditariknya tombol pintu tersebut lalu membuka pintu itu seluas yang mungkin.

“Puan boleh keluar sekarang, terima kasih.” Kata Asrar selamba. Dia sudah malas untuk melayan kerenah Sara. Hatinya sudah tiada untuk Sara. Hatinya sudah tidak boleh menerima kehadiran Sara lagi. Hatinya hanya akan diberikan kepada insan yang selayaknya yang boleh menerima dirinya seadanya. Asrar masih menahan pintu sambil menunggu Sara melangkah melepasinya. Sara memandang ke arah Asrar dengan wajah yang muram. Asrar langsung tidak mengendahkannya, dia hanya melemparkan pandangannya ke luar pintu. Dengan perlahan Sara melangkah keluar.

Asrar menghabiskan tugasannya tepat jam 5.20 petang seusai waktu klinik yang sepatutnya berakhir pada pukul 4.30 petang. Dia bangun dari kerusi lalu merenggangkan badannya. Terasa lenguh belakang badannya. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk lalu muncul seorang jururawat di sebalik pintu tersebut.

“Doktor...” panggil jururawat tersebut.

“Ya? Saya baru siap tulis report. Ada patient lagi ke?” Asrar menyoal. Jururawat itu menggeleng.

“Bukan...ada seorang perempuan nak jumpa dengan doktor.”

“Huh? Siapa?”

“Tak pasti doktor.” Asrar kemudiannya mencapai kot putihnya. Dia memang sudah bersiap-siap untuk pulang, lalu dia melangkah keluar dari bilik.

“Tu doktor...dia tunggu dekat luar.” Kata jururawat tadi. Asrar memerhati dari dalam klinik melalui pintu kaca. Dengan sekilas pandang dia sudah pun mengenali siapa perempuan itu.

Haissh! Apa lagilah yang dia nak ni? Asrar menggaru-garu dahinya yang tidak gatal sambil berfikir apa tindakan yang patut dia buat, dia kemudiannya melangkah menuju ke arah pintu klinik lalu dia menghampiri Sara yang sedang menunggunya.

“Sara! Mari ikut aku.” Tegur Asrar sambil dia berjalan di tepi Sara. Sara menoleh ke arahnya lalu membuntuti Asrar yang menuju ke bawah sepohon pokok yang tidak jauh dari bangunan klinik.

“Kau jangan dekat sangat dengan aku.” Arah Asrar tatkala melihat Sara cuba berdiri berdekatan dengannya. Sara berhenti saat Asrar berkata demikian. Asrar kemudian menjarakkan dirinya agak jauh dari Sara. Dia mengambil pendekatan untuk berhati-hati, risau kalau-kalau Sara cuba membuat fitnah padanya lagi.

“Asrar...” Perlahan Sara bersuara.

“Kau nak apa lagi dari aku?”

“Aku...”

“Cukuplah Sara! Boleh tak kau jangan cari aku lagi? Aku tak nak jumpa kau. Aku nak kau tahu yang hati aku ni dah tak ada untuk kau... tak ada...kau faham tak?!”

“Tapi kenapa Asrar? Aku masih sayangkan kau.”

“Sayang?! Dah tak ada perasaan sayang aku untuk kau. Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?! Kalau betul kau sayangkan aku dulu, kau tak akan curang di belakang aku! Tapi aku dah tak nak ingat dah semua tu, semua tu dah tak penting untuk aku... Dan untuk kau... Kau dah bersuami, baik kau jaga suami kau tu baik-baik. Jadi isteri yang setia untuk suami kau. Carilah kebahagian dalam rumahtangga kau. Ingat Allah, Sara, berubahlah.”

“Tak guna kau cari aku, aku tak akan mungkin terima kau kembali dalam hidup aku. Jadi, aku harap kau jangan ganggu aku lagi.” Tambah Asrar lagi. Dia ingin mengakhiri semua ini dengan Sara. Dia sudah rimas dengan kehadiran Sara yang tidak henti-henti mencarinya bak orang gila talak.

“Asrar! Aku nak kahwin dengan kau lepas aku cerai dengan suami aku.” Ujar Sara tanpa segan silu. Asrar menggeleng-gelengkan kepalanya.

Ya Allah! Perempuan ni memang dah gila agaknya!

“Hey!! Kau tak faham ke apa yang aku cakap tadi? Aku tak akan terima kau lagi!” ujar Asrar dengan nada yang sedikit tinggi. Dia sudah naik angin dengan kata-kata Sara.

“Kau dah ada orang lain ke selain aku?” soal Sara.

“Ya! Aku dah ada orang lain! Dan orang tu sahaja yang berada dalam hati aku. Jangan kau datang cari aku lagi. Kalau aku nampak kau dekat sini lagi, aku tak akan teragak-agak untuk buat laporan.” Tegas Asrar dan dia berlalu meninggalkan Sara sendirian. Sengaja dia berkata demikian untuk membuat Sara menjauhkan diri darinya.

Haishh! Entah apa yang difikirnya perempuan ni. Masih mengharap yang bukan-bukan. Ya Allah! Kau jauhkanlah perempuan yang bernama Sara ni dari hidup aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience