PUTERI AYANNA RANIA menongkat dagu sambil sebelah tangan menguis-nguis meja. Matanya memandang ke tempat lain tapi telinga mendengar perbualan rancak dua jejaka itu. Sesekali Elan mengajaknya berborak tapi dia tidak mahu.
Ish, manalah kak Adina ni? Lambat juga dia ke tandas, dia menggerutu di dalam hati. Sepatutnya mereka sudah bergerak keluar dari tempat Science A’Magic ini tadi. Tapi Adina pula ke tandas.
“Rania. Kau okey tak ni?” Tanya Elan.
“Aku okey.”
“Kalau okey kenapa muka tu berkerut-kerut?” Soal Hayaaz pula.
Rania mencebik. Siap jeling lagi lelaki itu.
“Saya tunggu kakak awaklah. Lambat juga dia ke tandas.”
“Sabarlah. Mungkin kak Adina sakit perut.” Kata Elan.
Rania tidak menjawab. Dia terus meliarkan pandangannya di kawasan kafe itu. Bola matanya besar apabila melihat susuk tubuh seorang lelaki yang duduk di salah satu meja kafe D’Ciense.
Dia mengecilkan matanya. Cuba meneliti lelaki itu. Bukankah itu abang Rehan?!
Rania berdiri. Tingkahnya membuatkan Hayaaz dan Elan terkejut.
“Rania. Kau kenapa? Macam nampak hantu saja?”
“Abang Rehan.”
“Rehan? Siapa tu?” Elan memandang temannya. Hayaaz juga tidak tahu siapa yang disebutkan oleh Rania.
“Itu. Saya memang tak salah. Itu memang abang Rehan!” Dia bergerak ke tempat lelaki tersebut.
“Rania! Awak nak ke mana tu?” Hayaaz tidak sempat menghalangnya. Rania sudah jauh dari tempat mereka.
“ABANG REHAN!”
“Tuan puteri?!”
Kedua-duanya terkejut.
“Saya tak sangka akan jumpa abang Rehan dekat sini. Puas tau saya cari abang.”
Rehan menundukkan kepalanya. Bibir bawah digigit-gigit untuk melepaskan rasa geramnya. Macam manalah Puteri Ayanna Rania boleh ada dekat tempat macam ni? Tak boleh jadi ni! Aku kena pergi dari sini cepat.
“Maafkan patik. Patik hendak minta diri dulu.” Pantas dia berdiri meninggalkan tempat tersebut.
Rania yang bingung itu laju mengejar Rehan yang sedang menuju ke arah pintu keluar kafe. “Abang Rehan. Tunggu!” Rania berdiri di hadapannya sambil mendepakan kedua belah tangan. Mana mungkin dia mahu melepaskan lelaki itu kali ini.
“Tuan puteri! Apa ni!” Terkejut dia dengan perbuatan Rania.
“Halang abang Rehanlah.” Balas Rania selamba.
Rehan geram. Dia menolak Rania ke tepi dengan kasar.
“Tolong jangan buat patik macam ni. Patik tak suka!” Tegang suaranya.
“Shh! Kalau marah pun janganlah kuat sangat.” Rania mengerling ke kiri dan kanan dengan ekor mata. Takut jika mereka menjadi perhatian di dalam kafe itu.
Rehan menarik nafas dalam. Rania betul-betul mencabar kesabarannya.
“Kenapa abang Rehan nak larikan diri dari saya, hah? Lagi satu. Kenapa panggil saya macam tu. Saya tak suka. Bukankah sebelum ini abang Rehan panggil saya dengan nama Rania? Kenapa tuan puteri pula?” Rania berpeluk tubuh seiring dengan dengusan kasarnya.
Rehan merenungnya tajam. Perangai dari dulu sampai sekarang tak berubah langsung!
“Maaf. Patik hendak pulang.” Dia menolak Rania ke tepi dengan kasar. Namun, langkahnya mati apabila Rania menarik lengannya.
“Kali ini saya tak akan lepaskan abang Rehan. Abang Rehan kena ikut saya.”
“Pergi mana?!” Tanyanya kasar.
“Jumpa Qiandra.”
Rehan tersentak.
“Abang tahu tak yang dia rindu sangat dengan abang Rehan. Cinta dia dekat abang Rehan tak pernah berubah tau.”
Rehan tersenyum sinis. Dia menarik kasar tangannya yang digenggam itu.
“Patik tak nak jumpa dengan dia. Patik nak balik!”
“Tap...”
Rehan menoleh dengan pandangan yang agak menggerunkan Rania. Perempuan itu cuak.
“Degil!” Rehan terus menarik Rania keluar daripada kafe tersebut.
DI sudut lain, Hayaaz dan Elan sedang memerhatikan tingkah Rania dengan lelaki itu. Mereka saling berpandangan.
“Kau kenalkah?” Tanya Elan.
“Kau tanya aku? Kau ingat aku kenalkah?”
“Apa yang kau orang berdua tengah tengok ni?” Muncul Adina.
“Mana Rania?” Dia perasan yang Rania tidak ada dengan mereka berdua.
“Keluar.” Jawab mereka serentak.
“Hah? Pergi mana?”
“Entah. Ada lelaki tarik dia keluar tadi.”
“Siapa Elan?”
“Rehan. Nama lelaki tu Rehan. Itu yang kami dengar tadi.”
Adina memandang adiknya. “Rehan? Rehan...”
“Rehan!” Adina baru teringat. Itu lelaki yang pernah diceritakan oleh Rania kepadanya sebelum ini dan mereka juga pernah terserempak dengan lelaki itu di tasik Dhura.
“Rehan bawa dia ke mana?”
Hayaaz dan Elan serentak menunjuk ke arah pintu keluar kafe.
“Mari ikut kakak.” Adina terus keluar dari kawasan tersebut.
“Lain macam saja kak Adina tu.”
“Ish, kau ni. Jomlah ikut kakak aku tu. Fikiran aku ni pun dah kusut memikirkan hubungan Rania dengan lelaki tu. Setahu aku lelaki yang dia kenal hanya kita dengan pekerja-pekerja dekat kedai buku pak cik aku tu saja.”
Elan mengerling temannya. “Eh, kau ni risau lebih pula. Sepatutnya itu ayat aku tau.”
“Ayat kau? Ayat kau yang mana satu?”
“Err...”
Hayaaz menggeram. “Sudahlah. Jom!” Hayaaz mengejar kakaknya. Elan membuntutinya dari belakang.
“TUAN PUTERI!”
“Rania. Abang Rehan dah lupakah? Dulu, abang panggil saya dengan nama tu saja.”
Rehan mengetap bibir. Dia bercekak pinggang dan menarik nafas dalam.
“Saya tak akan dengar apa-apa dari mulut abang Rehan selagi abang Rehan panggil saya macam tu. Lagipun kita bukan berada di Loka Ayangan. Ini bumi tau!” Rania mendengus seiring dengan jelingannya.
Ish! Budak ni. Bagi aku kusut kepala saja. Rehan meramas kasar rambutnya.
“Okey. Okey. Rania. Puas hati?!”
Rania senyum dan angguk kepala.
“Bila lagi Rania jumpa Qiandra?” Soal Rehan.
“Hmm... Beberapa hari yang lepas. Itu pun mahu sebulan lebih saya cari dia dengan abang.”
“Sebulan lebih?! Maksudnya, Rania sudah lama dekat sini?”
Rania mengiakannya.
“Macam mana Rania ke sini? Rania kena buang dari sanakah? Jangan beritahu abang yang Rania buat hal di sana.” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Rehan.
“Tak juga.”
“Habis?”
“Hmm... Saya sebenarnya dah lama simpan niat nak ke sini.”
Bulat mata Rehan mendengar alasan itu. “Niat apa ni?”
“Saya ke sini nak bawa abang Rehan dengan Qiandra pulang semula ke sana.”
“Apa?!”
“Ya.”
“Rania! Kamu tahukan undang-undang Loka Ayangan?”
“Tahu. Tapi abang Rehan jangan risau. Ahli-ahli sihir tak tahu pun saya ke sini.”
Rehan resah. Dia jadi tidak keruan. Dia mundar-mandir sambil mengurut belakang tengkuknya.
“Rania dengar. Apa yang Rania buat ni semua sia-sia saja. Rania tahu tak? Perbuatan Rania lagi bawa masalah di sini dengan di sana tau!”
“Ma... masalah apa pula?”
“Masalah besarlah. Kalau mereka tahu mereka akan cari Rania sampai ke sini tahu.”
“Ergh. Kan tadi saya cakap, ahli-ahli sihir tu tak tahu saya ke sini. Hanya bonda...”
“Apa?! Bonda? Permaisuri Almira?” Potongnya. Terkejut.
“Ya.”
“Siapa lagi yang tahu Rania ke sini?”
“Adik saya. Abang Aelan dan Abang Raid. Itu saja.”
Aelan? Raid? Bukankah kedua-duanya itu putera raja?
“Hanya mereka berempat saja?”
“Iya.”
Rehan diam. Dia memandang sekeliling.
“Benda ni sebenarnya tak sesuai cakap di sini. Kita pergi tempat lain.”
“Kamu berdua nak pergi mana?”
Serentak Rania dan Rehan berpaling.
“Siapa mereka bertiga ni?” Wajahnya tegang melihat tiga orang yang baru muncul di hadapan mereka.
“Ini Adina. Yang ni Hayaaz dan yang ni Raid. Mereka bertiga kawan saya dan mereka jugalah yang tolong saya selama ini.”
“Mereka tahu?”
“Tahu.” Belum sempat Rania membalas, Adina terlebih dulu memberi jawapan.
“Jadi, awaklah Rehan. Awak yang larikan diri waktu kami jumpa awak dekat tasik Dhura tu?”
“Ya, saya. Saya nak beri amaran dengan kau orang bertiga. Ingat, apa yang kamu tahu tentang kami jangan ceritakan pada orang lain. Faham!”
Terhinjut bahu mereka berempat dengan nada tinggi Rehan itu.
“Faham. Faham. Tadi, kau kata nak bawa dia pergi. Pergi mana?” Tanya Elan.
“Ikut saja kalau nak tahu.” Rehan menarik Rania pergi dari situ. Mereka bertiga membuntuti dua orang itu dari belakang.
Share this novel