SCIENCE A’MAGIC. Seperti yang telah dijanjikan, Hayaaz membawa Rania ke tempat tersebut. Hujung minggu begini, pengunjung lebih ramai berbanding dengan hari-hari biasa. Maklumlah, hari-hari biasa mereka sibuk bekerja.
Hayaaz memerhati Rania dari belakang. Dia agak kecewa. Sepatutnya hari ini dia hendak bawa Rania sahaja. Tetapi tidak sangka pula Elan dan kakaknya ikut sekali.
Sejak mereka masuk ke tempat ini dia langsung tidak berpeluang untuk bercakap dengan Rania. Elan asyik berkepit di sebelah perempuan itu saja. Semalam, Elan mengatakan kepadanya yang dia mahu menghabiskan masanya dengan Rania dan Elan tidak mahu dia mengganggu mereka.
“Kenapa tak pergi dengan meraka?” Tegur Adina.
“Biarlah mereka berdua tu. Hayaaz malas nak kacau mereka kacau.”
“Yakah? Kakak dari tadi lagi perhatikan Hayaaz tau. Mata Hayaaz tu asyik melekat pada Rania saja.”
“Mana ada.” Hayaaz menafikannya.
Adina mencebik. “Tipu. Kalau Hayaaz tak tahan pergi sajalah kacau mereka tu. Lagipun, akak kesian tengok Rania kena usik dengan dia. Dari tadi lagi akak tengok muka dia asyik tegang saja bila dengan teman baik Hayaaz tu.”
“Kakak sendiri tahu kan perangai Elan macam mana. Dia memang macam tu bila dengan perempuan. Dia tak akan bagi peluang dekat Hayaaz kacau perempuan dia.”
Kening Adina terangkat sebelah. “Eh, bila masa pula Rania tu jadi perempuan dia?” Adina merenungnya tajam.
“Err...”
Adina menjulingkan mata ke atas. “Ergh. Kalau akaklah. Akak buat tak tahu saja dengan si Elan tu. Hayaaz ni mesti penakut, kan. Yalah, Hayaaz kan tak pernah bercinta.”
“Kak Adina jangan nak rosakkan mood Hayaaz ya. Hayaaz bukannya penakut. Cuma tak ada hati lagi nak bercinta.”
Adina senyum sinis. Yalah tu.
“Hayaaz rasa si Elan tu ada hatikah dengan si Rania?”
Hayaaz tersentak. Mulut kakaknya itu memang tak pandai diam. Ada saja soalan yang terpancul di mulut mungil itu.
“Hayaaz?” Adina pelik. Kenapa dengan adik aku ni?
“Hayaaz tak jawab lagi soalan kakak tu?”
“Hah? So... soalan. Soalan apa?”
Adina menampar dahinya. Alahailah adik aku ni. “Akak tanya tadi. Si Elan tu ada hatikah dekat si Rania?”
“Oh. Err... mungkin. Kalau dia tak ada perasaan dengan Rania dia tak akan buat macam tu, kan?”
Adina jungkit bahu.
“Kadang-kadang dia ada juga tanya dengan Hayaaz tentang Rania. Macam mana keadaan si Rania dekat kedai buku tu. Dia selesakah atau tidak di sana. Makan minum Rania pun dia tanya. Macam-macam lagilah soalan dia pasal Rania. Tapi...” Hayaaz berhenti di situ.
“Tapi Hayaaz buat-buat tak tahu saja dengan soalan Elan tu, kan? Malas nak jawab soalan dia.” Adina mengerling ke sebelah. Adiknya tidak pula membalas katanya.
“Hayaaz mengaku sajalah. Tak ada hati nak bercinta tu cuma alasan Hayaaz saja, kan? Hayaaz sebenarnya ada hati juga dengan Rania, kan?”
Hayaaz menggenggam tangannya menahan perasaan yang sedang bermain di hati lelakinya itu. Mahu saja dia melepaskan marahnya pada kakaknya itu. Tapi, soalan itu membuatkan dia berfikir panjang. Aku jatuh cinta? Huh!
“Hayaaz adik kakak tau. Akak tahulah sikap adik akak ni. Tengok dari tingkah dan cara Hayaaz pandang Rania tu akak tahu yang Hayaaz memang sudah jatuh cinta dengan dia, kan?”
Dia tidak menjawab.
Adina mematikan langkah di hadapan adiknya. Mata mereka bertembung. Baru sesaat Hayaaz terus melarikan pandangannya ke tempat lain.
“Hayaaz. Kakak bukan tak suka tengok Hayaaz dengan Rania. Hayaaz pun tahu yang Rania bukan dari sini. Elan tu pun akak dah bagi amaran dah. Kakak tak nak kamu berdua simpan apa-apa perasaan terhadap Rania tu. Hayaaz mahupun Elan tak mungkin akan bersama dengan dia.” Mahu saja Adina beritahu perkara sebenar tentang gelang tangan yang Rania pakai itu. Tetapi dia sudah janji dengan Rania yang dia akan merahsiakannya daripada mereka berdua. Hayaaz dan Elan boleh tahu hal lain mengenai Rania dan juga Loka Ayangan tetapi hal gelang tangan itu Rania tidak mahu mereka berdua tahu.
“Apa maksud kak Adina?”
“Maksud akak...”
“Kak Adina. Walaupun dunia kita dengan dia berbeza tapi dia manusia juga, kan. Hanya kelebihan dia saja yang membezakan dia dengan kita.” Potong Hayaaz.
Adina tergamam. Tidak sangka ayat seperti itu keluar daripada mulut adiknya.
“Hayaaz. Hayaaz tak boleh fikir macam tu. Dia sama macam kita pun tetap tak boleh. Ingat, selesai misi dia di sini dia akan balik ke sana juga.”
Belum sempat Hayaaz membalas, kakaknya terlebih dulu memberikan reaksi. Kakaknya betul-betul naik geram dengan dirinya. Lantas dirinya ditinggalkan dan kakaknya menarik Rania ke tempat lain. Jeritan Elan langsung tidak dipedulikan oleh kakaknya.
“KAK ADINA. Kenapa kakak tiba-tiba marah ni?” Tanya Rania. Takut pula dia melihat wajah bengis itu.
“Kakak geram dengan adik kakak tu. Si Elan pun sama. Dua-dua buat kakak naik geram.” Dia mendengus kasar.
“Pasal apa pula?”
“Kalau akak cakap ini ada kena mengena dengan Rania?”
Rania tersentak. Keningnya terangkat sebelah. “Kenapa pula Rania?”
“Kalau mereka ada...” Adina diam.
Rania masih menunggu bicara Adina seterusnya.
Adina berdeham. “Lupakan sajalah. Kita pergi sana, jom.” Dia menarik tangan Rania ke satu bahagian.
Sampai di tempat tersebut Rania terpesona melihat aktiviti yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Macam-macam benda yang ada di atas meja panjang itu dan masing-masing menunjukkan bakat.
Apa yang menarik perhatiannya lagi apabila ahli-ahli sains itu menunjukkan reaksi bahan-bahan kimia terhadap bahan yang ada di sekeliling mereka. Dia berhenti di bahagian bahan api. Ahli-ahli sains di bahagian itu menggunakan bahan api sebagai bahan uji kaji kepada bahan kimia yang digunakan oleh mereka. Rania terpegun melihat warna api yang asal bertukar warna kepada hijau dan ada juga yang berubah menjadi warna merah terang.
Bukan itu sahaja, mereka juga menunjukkan bagaimana api biasa itu menjadi tornado api. Pasu kaca yang berbentuk silinder dibahagikan kepada dua. Kemudian mereka mengambil bekas kecil dan mengisi cecair lalu membakarnya. Silinder yang sudah terbahagi kepada dua itu diambil untuk menutupi kawasan di sekeliling api itu. Apabila mereka menggerakkan silinder, api itu bertukar menjadi tornado api. Keadaan itu adalah disebabkan oleh silinder yang mengawalnya.
Banyak lagi uji kaji lain yang menarik perhatiannya dengan yang lain. Semuanya memukau pandangan mereka. Dari uji kaji yang boleh di buat di rumah sehinggalah uji kaji bahan kimia yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini.
“Kak Adina! Tak sangka di bumi ini ada benda-benda macam ini. Mereka tak guna langsung kuasa sihir, kan.”
“Yalah. Di sini mana ada kuasa sihir macam kamu. Semuannya guna bahan-bahan yang ada di muka bumi ini. Bagi mereka yang tak pernah tengok benda-benda ini semua, mereka akan menganggapnya magik. Benda yang tak pernah terlintas di fikiran mereka, benda yang tak mungkin akan terjadi sebenarnya ada saja di dalam tempat ni. Eksperimen yang ada di dalam ni boleh membantu mereka memperluaskan lagi pandangan mereka terhadap dunia sains.” Ujar Adina. Lagaknya seperti seorang profesor. Rania hanya tersenyum angguk.
KAFE D’CIENSE. Mereka berempat menikmati hidangan petang di kafe sebelum keluar dari kawasan Science A’Magic. Penat seharian mereka berjalan di dalam kawasan yang luas itu. Dari melihat eksperimen-eksperimen yang dijalankan oleh ahli-ahli sains di sini, mencuba aktiviti-aktiviti sains yang disediakan sehinggalah mereka keluar masuk kedai-kedai yang ada di tingkat bawah Science A’Magic itu. Penat juga mereka melayan kerenah Rania yang rambang mata di kedai cendera hati tadi.
“Hayaaz. Terima kasih sebab bawa saya ke sini. Tempat ni memang ajaib. Penuh dengan magik. Saya tak pernah tengok semua ni di tempat saya. Di sana kami hanya menggunakan kuasa sihir saja. Tapi, itu empat tahun yang lepas.” Nadanya kendur di hujung ayat. Ketika itu hanya mereka berdua sahaja di meja itu. Adina dan Elan ke kaunter memesan makanan.
“Kehidupan kami di sana tak sama macam dulu. Tak ada kuasa-kuasa tu semua lagi. Hidup kami biasa sama seperti di sini. Kuasa-kuasa sihir hanya dimiliki oleh ahli-ahli sihir saja.”
“Tak apalah. Kalau boleh jalani kehidupan seperti di sini pun sudah cukup baik.”
Rania hanya membalas dengan senyuman tawar. Kemudian dia senyap.
Hayaaz kesian melihat air muka Rania yang sedih itu. Dia berdeham. “Sebenarnya bukan tempat ini saja yang nampak magik di mata orang. Ada lagi. Tapi, tempat tu tak ada dekat sini.”
“Tempat apa?”
“Ingat tak malam tu. Magik yang saya tunjukkan pada awak?”
“Ingat. Kenapa? Awak nak tunjukkan saya magik lainkah?”
“Eh, taklah. Sebenarnya, magik yang saya tunjukkan pada awak malam tu baru sikit saja. Kalau awak jumpa dengan orang-orang yang mahir tentang benda ni lagi awak tergamam nanti. Tapi, dekat kota Amaryllis ini tak ramai yang mahir pasal silap mata ni. Kebanyakkannya dari negara lain.”
Rania memuncungkan mulut. “Yakah. Rugilah kalau saya tak tengok magik mereka.”
Hayaaz hanya tersengih.
“Kau orang berbual pasal apa?” Elan muncul dengan makanan yang dipesan olehnya tadi. Dia duduk di sebelah Hayaaz.
“Tak ada. Bual-bual kosong saja.” Kata Hayaaz.
“Nah.” Elan memberi piring kecil yang berisi sepotong kek coklat kepada Rania.
“Untuk saya? Betul ni?” Terliur terus Rania melihat kek itu.
“Yup. Aku belanja kau.”
“Habis, aku?”
Elan memandang temannya. Dia buat muka. “Kau tak payah. Kalau kau nak, kau pergi pesan sendiri.”
Hayaaz mencebik.
“Tak payah buat muka masam macam tu. Nah.” Adina turut datang dengan membawa makanan yang telah dia pesan tadi. Kek berperisa vanila itu diberikan kepada adiknya. Tersenyum lebar si Hayaaz.
“Lepas makan kita gerak ke tempat lain pula.”
“Pergi mana kak Adina?” Tanya Rania.
“Akak tak fikir lagi. Nanti kalau tempat tu muncul dekat kepala akak ni akak bagitahu.” Sengihnya.
Rania angguk dan terus diam. Hayaaz dan Elan pula sibuk bercerita sesama sendiri.
Share this novel