LOKA AYANGAN, KOTA WIZA. Raja Danendra duduk termenung di halaman istana. Sehinggakan permaisurinya muncul duduk di sebelahnya pun langsung tidak disedari olehnya. Fikirannya melayang memikirkan sesuatu.
“Kanda. Apa yang kanda fikirkan itu?” Permaisuri Almira mencuit bahu suaminya.
“Hah?” Raja Danendra tersentak.
Ketawa permaisuri Almira melihat tingkah suaminya yang terkejut itu.
“Dinda. Dinda. Kalau kanda pengsan tadi siapa yang susah?” Raja Danendra menggeram.
“Dindalah yang susah. Tapi tidak apa. Nanti dinda panggil pengawal-pengawal istana angkat kanda ke kamar peraduan. Itupun kalau kanda pengsanlah.” Terkekek-kekek permaisuri Almira mentertawakannya.
“Amboi. Suka mengusik kanda, kan.” Lantas satu cubitan mengena di pipi kanan permaisuri Almira. Raja Danendra ketawa melihat wajah cemberut isterinya. Tapi ketawanya sekejap sahaja. Dia kembali mendiamkan diri.
“Kenapa kanda? Kenapa dengan muka yang nampak risau ini?” Tanya permaisuri Almira.
Raja Danendra menghela nafas berat. Dia berdiri membelakangi isterinya.
“Kanda cuma berfikir.”
“Fikir tentang apa?”
“Kanda fikir pasal Lamont dengan anak-anak buah dialah.”
Permaisuri Almira diam. Kanda sudah tahukah? Tanyanya dalam hati.
“Err... Kenapa dengan mereka?”
“Mereka kerap ke sini. Tapi cerita sama saja. Itu yang buatkan kanda rasa pelik.”
Mereka buat begitu pun sebab mereka ada niat jahat, kata permaisuri Almira dalam hati.
“Err... kanda. Kanda tidak rasakah yang mereka itu ada niat lain?”
“Hmm...” Raja Danendra kembali duduk di sebelah permaisuri Almira.
“Kanda ada juga rasa macam itu.”
“Kalau kanda rasa mereka ada niat lain, baik kanda bagitahu saja mereka lepas ini. Jangan suruh mereka datang ke sini lagi. Kita mana tahu apa yang mereka mahu buat nanti. Lagipun mereka ada sihir. Bila-bila masa saja mereka akan musnahkan kita. Sebelum terlambat baik kanda ambil tindakan. Jangan sampai nanti mereka yang pijak kita.”
Terkejut raja Danendra mendengarnya. Raja Danendra diam seketika.
“Hmm... Baiklah.” Katanya sambil menghirup minuman teh yang suam-suam suku itu.
“Dinda. Khabar puteri kita macam mana? Sudah terlalu lama dia tinggal di kota Sahmura itu. Bila ditanya dengan putera kita, mesti jawapannya sama. Tolong putera Aelan Izz.”
Permaisuri Almira tersentak.
“Kanda jangan risaulah. Puteri kita baik-baik saja. Lagipun selama dia tinggal di sana tak ada apa-apa berita buruk pun yang kita terima, kan.” Permaisuri Almira menenangkannya. Selain putera Aydin Hayy, mereka juga terima khabar melalui pengawal istana dari sana. Haaih... macam manalah agaknya puteri palsu itu? Selamatkah dia? Dia betul-betul takut kalau rahsia mereka diketahui oleh ahli-ahli sihir itu atau yang lain. Kawasan istana ini pula memang sudah tidak selamat lagi, risau permaisuri Almira dengan keadaan mereka sekarang.
“Marilah, dinda. Kanda tengok awan tu nampak mendung saja. Nanti hujan, dinda kena sakit pula. Lagipun, dinda ini senang kena sakit kalau hujan.” Raja Danendra berdiri dan menarik tangan isterinya.
“Yalah.” Permaisuri Almira akur.
KOTA SAHMURA. Putera Aelan Izz sibuk menelaah buku-buku yang ada di atas mejanya. Putera Raid Ezhar pula sibuk melayan Puteri Ayanna Rania yang palsu itu. Sementara Putera Aydin Hayy, dia duduk termenung di halaman rumah kayu-bambu.
“Haaih... Apa agaknya khabar kak Rania di sana? Bilalah dia hendak pulang ke sini?”
“Fikir apa?” Muncul abang sepupunya.
“Fikir pasal kakaklah. Makin lama kakak dekat sana makin risau hati Aydin ni. Abang tak rasa macam itukah?”
“Rasalah juga. Tapi, Aydin kenalah yakin dengan kakak Aydin tu. Dia pasti akan selamat.”
“Selamat apa abang Aelan. Kak Rania sudahlah salah minum ubat. Mustahil dia dapat balik ke sini.” Aydin menggeram.
“Hari tu, abang tak cerita lagi.” Aydin baru teringat akan hal itu.
“Cerita apa?”
“Yalah. Lepas Aydin cerita yang kakak Rania salah makan ubat tu, abang kata abang nak cerita sesuatu. Tapi sampai sekarang abang tak cerita lagi.”
“Nanti sajalah. Tunggu masa yang sesuai.”
“Kenapa pula?”
“Bila tiba masanya, abang akan cerita juga. Sekarang ni kita berharap saja yang Rania dalam keadaan yang baik dan selamat.” Kata Aelan sambil menepuk lembut bahu Aydin.
“Sudahlah. Mari masuk. Kita tengok apa Putera Raid Ezhar dengan si Bima tu buat dekat atas.”
Aydin hanya mengangguk lemah. Fikirannya masih memikirkan keadaan kakaknya di sana.
Share this novel