BAB 12

Fantasy Series 13998

PUTERI AYANNA RANIA bersendirian di dalam biliknya. Tangannya menggenggam rantai permata biru miliknya. Sudah sebulan lebih sudah dan dia masih lagi tidak dapat mencari di mana keberadaan Puteri Qiandra. Banyak kali dia mencuba meminta daripada rantai sakti itu dan jawapan yang diberikan tetap sama.

“Dia ada berdekatan dengan aku saja? Tapi di mana?” Rania berguling-guling di atas tilam. Kusut fikirannya memikirkan teman baiknya itu.

“Rania.”

BUKK!!

Adina mentertawakannya. “Rania. Rania. Apalah yang Rania tengah khayalkan tengah hari macam ni, huh? Sampai jatuh dari katil.”

“Mana ada. Rania cuma tertekan fikirkan teman baik Rania. Sudah banyak kali Rania tanya benda yang sama dengan rantai sakti ni. Tapi, jawapan tetap sama.” Rania mendengus geram. Dia bangun dan berbaring semula di tilam. Adina ikut sama berbaring di atas tilam sambil memandang siling atas.

“Rania. Bukan sebelum ini Rania cerita ada dua orang yang dibuang dari dimensi Rania ke sinikah? Yang satu tu teman baik Rania sendiri, kan. Seorang lagi siapa?” Adina ingin tahu.

Rania tersentak. Dia bangun dan menggenggam rantai batu permatanya.

Adina bingung melihat tingkah laku Rania itu.

“Rania?”

“Shhh!” Rania menyuruh Adina senyap untuk seketika. Dia merenung batu permata biru itu.

ADINA menemani Rania berjalan-jalan di sekitar kawasan tasik Dhura. Tasik itu terkenal kerana kawasannya amat luas dan tempat riadah itu amat disukai oleh orang-orang kota Amaryllis.

“Rania. Akak penatlah. Dah jauh sangat kita berjalan ni.” Termengah-mengah si Adina.

“Sekejap lagilah kak. Dekat hujung tasik itu kan ada perumahan. Sampai sana kita rehatlah, ya?” Rania memujuknya.

Adina menjulingkan matanya ke atas. “Yalah. Yalah.”

Beberapa minit kemudian mereka tiba di hujung tasik. Di situ ada kawasan perumahan D’Cherry yang berhadapan dengan kawasan tasik. Rania menanggalkan rantai permata biru dari lehernya. Dia menggenggam rantai tersebut sambil memerhatikan orang yang lalu lalang di situ. Adina pula sedang berehat di bawah pokok rendang sambil menikmati minuman teh sejuk dalam botol yang dibeli olehnya tadi.

“Dapat carikah orang tu, Rania?” Adina bertanya setelah lama berdiam diri. Dia hanya memerhati sahaja tingkah Rania dari tempat dia duduk.

“Tak. Tapi, batu permata ni dari tadi lagi bercahaya.” Dia yakin orang yang dicari olehnya itu ada di sekitar kawasan ini.

“Cuba Rania tenang. Duduk sini. Minum minuman yang kakak beli ni dulu.”

“Tak naklah.”

Adina geram. Dia berdiri dan menarik Rania ke tempat duduk.

“Duduk. Rehat. Dari sini pun kita masih boleh cari orang tu, kan.”

“Ala, kakak ni.” Rania memuncungkan mulutnya.

PUTERI AYANNA RANIA menongkat dagu sambil matanya merenung batu permata yang masih bercahaya. Adina pula sedang memanaskan badannya. Dia mahu bersenam sementara menunggu Rania yang masih mencari orang yang bernama Rehan itu.

Sedang Rania asyik merenung rantainya, tiba-tiba dia tersentak mendengar suara garau menyapa Adina. Batu permata itu pula semakin kuat bercahaya. Dia berpaling ke arah Adina dan bola matanya besar.

“Abang Rehan!” Rania bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya itu.

“Abang Rehan. Ini Rania. Abang masih ingat Rania, kan?” Rania mendekatinya. Selangkah dia ke hadapan selangkah jugalah lelaki itu mengundur ke belakang.

“Pu... Puteri Ayanna!” Macam mana dia ada di sini?

Langkah Rania semakin menghampirinya. Tapi dia mengambil keputusan untuk melarikan diri.

“Abang Rehan! Tunggu Rania!” Rania mengejarnya tetapi Rehan terus lesap dari pandangan.

“Abang Rehan!” Rania meliarkan pandangan mencari kelibat lelaki itu. Tetapi sudah tidak ada di situ lagi.

“Rania, itu siapa? Itukah orang yang Rania cari?” Tercungap-cungap Adina menyoalnya.

“Kak Adina. Abang Rehan lesap macam tu saja.”

“Hah?! Lesap macam mana pula?” Dia bingung. Yalah, dia baru sahaja sampai dan tiba-tiba pula Rania memberitahunya seperti itu.

Rania menggigit bibir.

“Marilah. Kita cari dia lain kali saja.”

Adina menggeram. Ada saja perangai budak ini. Lantas dia mengejar Rania yang sudah jauh meninggalkannya.

“ISH! TAK GUNA!”

Rania menyumbat sebanyak mungkin hidangan malam itu ke dalam mulutnya.

“Sudahlah. Apa yang penting kita sudah tahu lelaki itu tinggal di situ. Nanti kita carilah dia lagi.” Adina geleng kepala. Dia mengambil daging yang sudah di perap dan meletakkannya di atas alat pemanggang. Ketika itu mereka berada di sebuah restoran Home Food dekat dengan kawasan tasik Dhura.

Selepas sahaja situasi tadi Adina terus membawa Rania ke sini. Hari ini dia tidak ada hati mahu memasak di rumah. Lagipun, barang-barang dapur sudah banyak habis. Mungkin esok dia akan minta adiknya untuk tolong belikan barang-barang dapurnya.

“Tapi Rania geramlah kak Adina. Kenapa dia larikan diri dari Rania pula. Padahal tadi terang-terang lagi dia panggil nama Rania.”

“Mungkin dia terkejut.”

“Terkejut? Huh!” Rania senyum sinis. Penat aku menunggu dia di sana tapi dia pula boleh lari dan hilang begitu saja.

“Rania yakin abang Rehan pasti tahu di mana Puteri Qiandra berada.”

“Rania yakin?” Adina menggigit daging yang baru sahaja siap dipanggang olehnya.

“Yalah. Rania yakin sebab Puteri Qiandra itu kekasih abang Rehan. Dia pasti tahu di mana teman baik Rania itu tinggal.” Rania mengetap bibir bawahnya.

“Apa marah-marah ni, huh?”

Kedua mereka tersentak dengan kehadiran Elan. Hayaaz juga ada di situ.

“Kamu berdua buat apa dekat sini? Kak Adinakah yang bagitahu mereka kita ada dekat sini?” Rania memandang mereka bersilih ganti.

“Mana ada! Kakak langsung tak telefon pun mereka berdua ni tau.” Adina laju geleng kepala.

“Tak payahlah marah Rania. Kami dah dua jam dekat sini. Kami makan dengan teman-teman kami dekat sana tu.” Elan menunjuk meja di hujung restoran itu.

“Kami memang nampak kakak dengan Rania tadi. Tapi, kami biarkan saja.” Kata Hayaaz pula.

“Jadi sekarang?” Tanya Rania. Kalau boleh dia tidak mahu mereka berdua duduk di sini. Lagipun, moodnya tidak baik hari ini.

“Duduk dan makan dengan kau oranglah.” Elan menyengih dan mengambil tempat di sebelah Rania. Hayaaz duduk di sebelah kakaknya.

“Mana boleh!” Rania menolak Elan dengan kasar.

“Apa main tolak-tolak ni. Kami nak duduk makan saja. Bukannya nak usik kau pun.”

“Ya. Tapi sekarang tak boleh. Sebab kami tengah bincang pasal hal kami berdua.” Rania menolak lelaki itu dengan sekuat hatinya.

“Hal apa pula?” Tanya Hayaaz.

“Hal perempuan. Lebih baik kamu berdua pergi sana. Hari ini jangan kacau kami. Okey?”

“Ala, kak Adina. Kami duduk makan saja. Takkan itu pun tak boleh?” Elan buat muka comel.

“Tak boleh! Pergi sana.” Adina menjeling tajam ke arah mereka berdua.

“Sudahlah Elan. Kita ke sana sajalah.” Hayaaz bangun dan mahu bergerak pergi.

“Tapi...”

Rania menjelingnya tajam. “Pergi sebelum saya simbah air ni dekat muka awak.” Tangan kanannya sudah bersedia mahu menyimbah air kosong yang di pegang olehnya itu.

“Okey. Okey. Aku pergi.” Elan angkat tangan menyerah kalah.

Hayaaz ketawa sahaja melihat tingkah dua orang itu.

“Dahlah tu Elan. Kita ke sana sajalah. Tak payahlah ganggu mereka berdua ni.”

“Lepas ni kalau kita makan sedap-sedap lagi jangan bawa dia ni.” Sempat Elan menjelir lidah ke arah Rania sebelum pergi.

Rania mengajuk kata Elan seiring dengan rasa sakit hatinya. Macam budak-budak saja. Menyampah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience