RAJA DANENDRA dan permaisurinya telah tiba di istana. Banyak cerita yang mereka bawa dari Alam Indera terutama sekali mengenai Raja Tameem. Malam itu mereka berkumpul di ruang santapan. Putera Aelan Izz dan Putera Raid Ezhar juga ada bersama dengan mereka.
“Ayahanda kesian melihat keadaan Raja Tameem itu. Kesihatannya semakin hari semakin terjejas.” Kata Raja Danendra.
“Apa maksud tuanku? Adakah kesihatan Raja Tameem semakin tenat?” Tanya Putera Raid Ezhar.
“Beta pun tidak pasti. Hendak kata tenat tapi fizikalnya masih kuat. Luarannya juga nampak baik. Tapi tidak tahu pula kalau dalaman Raja Tameem itu.”
“Raja Tameem itu bukannya tenat. Tapi, sakit rindu. Permaisuri Quitta itu pula sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi dengan Raja Tameem itu.” Permaisuri Almira pula bersuara.
“Mungkin juga Raja Tameem begitu sebab terlalu rindukan puteri bongsunya.” Kata Putera Aelan Izz.
Rania dan Aydin berpandangan lama. Seolah-olah mereka sedang berbicara di dalam hati.
Tingkah laku mereka disedari oleh Putera Raid Ezhar. Entah apa agaknya yang difikirkan oleh dua beradik itu. Dia sudah mengetahui semua rahsia tentang mereka berdua. Apa yang mereka buat dan apa yang mereka rancang itu sangat membahayakan diri mereka.
“Kalau macam itu, kita bawalah Puteri Qiandra pulang ke sini semula.” Cadang Putera Aydin Hayy.
“Bagaimana hendak membawa Puteri Qiandra pulang ke sini semula sedangkan Raja Tameem tidak memberi apa-apa arahan pada ketua sihir Alam Indera. Lagi pula, bukan mudah untuk mencari Puteri Qiandra di bumi itu.”
Aydin memandang abang sepupunya. Kata-kata abang sepupunya itu ada betulnya juga. Ahli-ahli sihir yang ada di Loka Ayangan ini belum tentu dapat mencari Puteri Qiandra di sana. Bumi itu bukannya kecil. Tapi luas. Jika menggunakan bola sakti pun belum tentu dapat mencari puteri itu.
“Err... Bonda. Bukankah lelaki biasa itu juga dibuang ke sana?”
“Siapa? Rehan budak kampung itukah?” Permaisuri Almira bernada sinis.
“Ya.”
“Lupakan saja tentang lelaki itu. Disebabkan dia jugalah Puteri Qiandra berbuat demikian.” Wajah lembut itu bertukar bengis.
“Sudah. Kita sambung saja perbualan kita nanti.” Raja Danendra mematikan perbualan mereka.
PUTERI AYANNA RANIA dan juga adiknya mengambil angin malam di luar. Mereka duduk di dalam gazebo sambil berfikir. Kedua-duanya berwajah tegang.
“Kakak nak teruskan jugakah?”
“Mestilah!” Susah payah aku berusaha selama ini senang-senang saja nak batalkan. Jangan haraplah!
“Kakak tak rasa tempat tu berbahaya?”
“Tak. Rasanya sana dengan sini sama saja.” Balasnya bersahaja.
Aydin pandang kakaknya dengan kening yang terangkat sebelah. Biar betul kakak aku ni.
“Kak Rania, tolonglah. Aydin rasa lebih baik kita batalkan saja rancangan kita tu. Aydin takut nanti orang-orang Lamont tahu pasal kita.”
“Aydin jangan risaulah. Mereka bukannya tahu pun. Tempat rahsia kita tu pun bukan mereka dapat cari. Lagipun tempat tu jauh dari pusat sihir mereka, kan.”
“Yakin sangat!” Aydin mencebik.
“Abang tak setuju!”
Mereka tersentak dan berpaling.
“Abang Raid!” Cuak dia melihat Putera Raid Ezhar. Matanya mencari kelibat abang sepupunya.
“Aelan tak ikut abang. Dia temankan ayahanda kamu berdua berbual di dalam.”
Rania dan Aydin melepas lega.
“Apa yang abang tak setuju ni?”
“Kamu berdua ingat abang tak dengarkah apa yang kamu bualkan tadi?”
Rania memandang adiknya. Telan liur dua beradik itu.
“Abang tahu rancangan Rania tu. Tapi sebaiknya tolonglah batalkan. Abang tak nak ada apa-apa masalah berlaku di sini nanti.”
Rania berdiri. Dia tidak puas hati dengan bicara Putera Raid Ezhar itu.
“Abang Raid. Rania tak akan batalkan rancangan Rania tu. Rania nak teruskan juga. Rania nak bawa kawan baik Rania tu balik ke sini semula.”
Aydin bangun dan ke tempat Putera Raid Ezhar.
“Abang Raid nasihatkanlah kakak.” Bisik Aydin.
“Aydin ingat kakak tak dengar apa yang Aydin cakap dengan abang Raid tu. Kakak tetap dengan keputusan kakak.” Rania menjelingnya.
“Tapi...”
“Aydin. Bukankah sebelum ni Aydin dah berjanji dengan kakak. Apa saja yang kakak buat Aydin akan ikut saja.”
“Aydin buat begitu pun sebab keadaan kita sama. Kuasa kita ni pulih sendiri dan Aydin tak tahu hendak buat apa dengan kuasa ni.”
“Kamu berdua tak usahlah bergaduh. Apa yang jadi pada kamu pasti ada sebabnya.”
“Sebab? Sebab apa abang Raid?” Rania berpeluk tubuh.
“Manalah abang tahu. Tapi, Rania. Tolonglah fikirkan semula. Jangan bertindak terburu-buru. Abang tak nak ada apa-apa berlaku pada Rania mahupun adik Rania ni.”
Hatinya panas. Dia memandang tajam Putera Raid Ezhar itu. “Tiada siapa yang boleh halang Rania ke sana. Lagipun, Rania sudah lama buat persediaan ni dan Rania tetap mahu membawa pulang Puteri Qiandra ke sini.”
“Tapi macam mana? Bumi itu bukannya kecil.” Suara Raid tinggi sedikit.
“Sebab tu Rania minta Aydin buat loket pengesan tu.”
Diam terus Putera Raid Ezhar. Dia tahu tentang loket pengesan ciptaan Aydin itu. Batu lava yang dijumpai oleh Putera Aydin Hayy itu diubahsuai menjadi loket kecil seperti buah-buah rantai yang lain. Dia tidak mahu orang lain perasan apabila memakainya. Dalam loket itu pula ada mentera. Tetapi dia tidak sangka pula itu adalah tujuannya.
“Rania. Sekali lagi abang minta Rania berfikir. Bahaya semua ni. Kalau Rania pergi sana abang nak kahwin dengan siapa nanti?”
“Hah?! Kahwin?” Rania tiba-tiba bingung. Aydin pula tersengih di belakang sana.
“Ya. Abang cintakan Rania. Perasaan cinta ni sudah lama wujud sejak pertama kali abang melihat Rania. Kalau boleh abang nak kahwin dengan Rania.”
Wajah Rania membahang.
Rania, kau jangan termakan dengan kata-kata dia. Kau kena teruskan rancangan kau tu dulu, bisik hatinya.
“Sudah! Titik! Rania tetap dengan pendirian Rania.” Rania terus meninggalkan mereka berdua.
PUTERI AYANNA RANIA menghempas pintu biliknya dengan kuat. Geram. Sakit hati bila mereka tidak mahu menyokongnya. Sudah lama dia merancang untuk ke sana.
Rania menutup wajahnya dengan bantal dan menjerit sekuat hati melepaskan segala rasa marah. Dia perlu fikir cara untuk melepaskan diri jauh dari mereka. Barulah dia senang hendak membuka portal untuk ke sana.
Dia mengiringkan tubuhnya ke kiri menghadap beranda bilik. Sambil berfikir sambil dia bermain dengan sihir kecilnya. Jari telunjuk kanan diayun beberapa kali. Saat itu keluar satu cahaya biru-putih dari jari telunjuknya. Dia kemudian menggerakkan jari itu seolah-olah sedang melukis sesuatu di udara.
Setiap bentuk yang dilukis dibiarkan bebas di awang-awangan. Suka dia melihat lukisan-lukisan sihirnya. Saat itu, luahan putera raja itu menjengah ke fikiran. Rania tersenyum sendiri. Tapi, dia tidak boleh menerima Putera Raid Ezhar itu sekarang. Dia tidak mahu rancangannya rosak gara-gara luahan manis si putera.
“Puteri Ayanna Rania!”
“Bo... bonda!”
Rania terkejut. Dia langsung tidak menyedari yang dirinya diperhatikan oleh bondanya sendiri. Pantas dia bangkit dari pembaringan.
“Bo... bonda. Rania boleh terangkan.” Tergagap-gagap dia mahu bersuara.
Permaisuri Almira masih membelalakkan matanya. Tangannya laju mengunci pintu bilik tersebut.
“Puteri Ayanna Rania, apa semua ini?!”
Rania laju melutut di depan bondanya.
“Bonda, ampunkan Rania bonda. Rania tidak ada niat pun hendak merahsiakan perkara ini daripada bonda dengan yang lain.” Dia menundukkan kepala dengan mengatup kedua tangan di depan dada.
“Rahsia?!” Suara Permaisuri Almira naik satu oktaf. Permaisuri Almira merenung tajam puteri sulungnya itu.
“Sejak bila lagi Rania rahsiakan semua ini daripada pengetahuan bonda dengan yang lain, hah?”
“Em... empat tahun lepas.”
Terbeliak bondanya apabila mengetahu hal tersebut. “Puteri Ayanna Rania! Kamu tahukan ini berbahaya. Bagaimana sekiranya ayahanda kamu tahu? Apatah lagi hal ini diketahui oleh Lamont dan anak-anak buah dia itu. Rania nak jadi macam Puteri Qiandra itukah?” Marah sungguh Permaisuri Almira. Tidak sangka selama ini puterinya menyimpan kuasa sihir dan mereka langsung tidak mengetahuinya. Bagaimana puterinya ini boleh menyimpan benda itu selama empat tahun tanpa ada sesiapa pun yang dapat mengesannya?
Rania geleng kepala. “Rania tak nak jadi macam teman Rania itu tapi Rania mahu dia balik ke sini, bonda. Kalau kuasa yang ada pada Rania ini boleh membantu Rania mencari Puteri Qiandra, Rania sanggup hadapi semua risiko yang ada di sini dan di sana.”
Permaisuri Almira menghela nafas berat. Dia menuju ke arah tingkap yang terbuka.
“Siapa lagi yang tahu tentang hal ini?”
Rania diam seketika. Kalau boleh dia tidak mahu Aydin dan juga Putera Raid Ezhar terlibat dalam hal ini.
“Cakap Puteri Ayanna Rania!”
“Aydin dan Putera Raid Ezhar, bonda.” Laju dia menjawab apabila bondanya meninggikan suara.
Permaisuri Almira mendengus geram. Tak boleh jadi ni! Aku kena buat sesuatu sebelum perkara buruk berlaku pada puteri aku ini.
Permaisuri Almira ke tempat puterinya dengan wajah bengis.
“Esok ikut bonda. Bawa Putera Aydin dan juga Putera Raid Ezhar sekali. Kita ke tempat lain.” Permaisuri Almira terus keluar daripada bilik itu.
Rania bungkam.
***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****
HAYAAZ AYISH naik geram dengan Elan, teman karibnya itu. Dari tadi dia disuruh ke sana dan ke sini membawa lukisan yang baru sampai tadi.
“Elan, letak sajalah lukisan ni dekat bilik kau.” Hayaaz naik rimas.
“Ish, tak naklah aku. Dalam bilik dah penuh dengan lukisan-lukisan teragung aku tu. Yang ni pula cantik dan perlu digantung. Biar teman-teman kita yang datang nanti nampak lukisan ni. Nanti dia orang puji. Aku suka!”
“Kau suka tapi aku tak. Rumah ni dah macam gudang lukisan kau tau tak.” Hayaaz membawa lukisan itu turun ke bawah semula. Penat tangannya dari tadi lagi memegang lukisan kanvas itu.
“Itulah kau. Aku suruh pindah rumah banglo kau tak nak. Kau nak juga rumah teres dua tingkat ni.”
“Aku punya sukalah nak duduk dekat mana. Yang beli rumah ni aku, kan. Lagipun, aku mana ada banyak duit nak beli rumah besar-besar macam orang kaya tu.”
“Eleh, tak ada duit konon. Cerita dia laris tapi kata tak ada duit. Kau tu lebih daripada mampu okey. Beli sajalah rumah banglo.”
“Habis yang kau tu. Ada duit sendiri tak nak beli rumah pula. Nak juga kongsi dengan aku.” Hayaaz menjelingnya.
Elan tersengih.
“Kau pun tahukan bapa aku tu dah bekukan akaun aku semua. Nasib baik jugalah dia bagi aku duit setiap bulan. Itu pun sikit saja. Tak sampai lapan ribu pun.”
Hayaaz senyum sinis. “Itulah kau, Elan. Bapa kau buat macam tu pun sebab kau ni boros sangat. Tak pandai jimat duit.”
“Kau nak salahkan aku pula. Dah bapa aku kaya. Duit tu pun bukannya boleh bawa mati. Daripada disimpan macam tu saja lebih baik guna.”
Makin geram pula si Hayaaz mendengarnya. “Cakap dengan kau memang tak akan ada penamatnya. Cakap satu balas satu. Ada saja Alasan.” Hayaaz menggeram. Daripada dia melayan kerenah temannya lebih baik dia ke dapur sediakan makan malam mereka.
“Eh, tak habis lagi ni.” Elan menghalangnya.
“Ah, kau buatlah sendiri.” Hayaaz terus mengayunkan langkah ke dapur.
Share this novel