“JADI! Kali ni ciptaan kita menjadi Rania!” Gembira bukan kepalang lagi si Aydin apabila ciptaannya itu berjaya.
Rania hanya menunjukkan muka kecewanya. Entah berjaya atau tidak ciptaan adiknya itu. Bukan dia tidak tahu. Sudah berbulan-bulan mereka mencipta benda itu tetapi hasilnya tetap gagal. Jadi, tidak hairanlah dia kalau adiknya itu menjerit macam makhluk gila di ruang bilik uji kaji mareka itu.
“Kak Rania! Marilah sini. Lekaslah!” Sekali lagi Aydin memanggil kakaknya yang duduk bersenang-lenang di atas kerusi malas hujung sudut ruang bilik mereka.
“Ish, tak naklah. Lebih baik layan Bima daripada menghadap benda tak guna tu.” Rania membelai kucing belaannya. Bima kucing betina yang berkaki pendek dan mempunyai bulu yang tebal. Warna bulunya putih-kelabu.
“Puteri Ayanna Rania! Ciptaan Aydin kali ini betul-betul menjadilah.”
Rania menjulingkan matanya ke atas. “Putera Aydin Hayy. Dah berapa kali kakak cakap dengan kamu. Jangan panggil nama panjang kakak tu. Kakak tak suka!” Rania menggeram. Putera raja itu tersengih.
“Maaflah. Tapi, Aydin cakap benar kali ini. Alat pengesan ni Aydin sudah ubah semula dan menambah mentera di dalamnya. Aydin sudah mencubanya tadi dan benda ni berjaya mengesan bola cahaya yang Aydin sembunyikan di belakang rak buku tingkat atas tu.”
“Tipulah.” Rania tidak mempercayainya.
“Aydin tak tipulah!” Geramnya. Lantas dia membawa benda ciptaannya itu ke tempat Rania.
“Nah, cubalah sendiri.” Aydin memberi alat itu kepada kakaknya.
Rania melepaskan Bima dari pangkuan dan mengambil alat pengesan tersebut. Dia meneliti alat pengesan yang berbentuk loket ciptaan Putera Aydin Hayy. Sebelum ini sudah beberapa kali loket pengesan itu gagal berfungsi dan membuatkan semangatnya semakin lama semakin hilang. Lama-kelamaan dia tidak berminat lagi untuk ambil tahu tentang loket tersebut.
“Lekaslah kak. Aydin sembunyikan Bima dulu. Kakak cari guna loket pengesan itu, ya.” Laju Aydin mengambil Bima dan menyembunyikannya di tempat lain.
Rania masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia masih meneliti loket pengesan itu. Ada sebab dia dengan adiknya mencipta benda ini.
Dia merenung loket lava yang berwarna hitam itu. Nampak saja seperti kaca atau kristal tetapi sebenarnya batu yang berwarna kehijauan yang ditemui oleh Aydin setahun lebih yang lepas di kawasan lereng-lereng gunung berapi Lava Indera. Cumanya, untuk kali ini dia telah menambah mentera di dalam loket tersebut yang membolehkan loket itu mengesan benda dekat dan benda jauh yang tersembunyi dari penglihatan mereka.
“Tapi, macam mana nak tahu tempat persembunyian Bima tu?” Rania baru perasan. Dia tidak tahu bagaimana hendak menggunakan loket pengesan yang baru ini.
‘Kakak Rania!’
Rania terkejut. Dia mendengus geram sebaik sahaja dia menangkap bola suara itu. “Apa?!” Tanyanya dengan nada marah. Bola suara itu adalah perantara di antara dia dengan adiknya.
‘Kalau nak menggunakan benda tu, kakak haruslah panggil loket tu dengan nama Ami. Lepas tu kakak bolehlah tanya benda tu di mana tempat persembunyian Bima.’
Rania mendengus. Ada-ada saja adik bongsunya ini. Semua benda hendak diberi nama.
“Baiklah.” Balas Rania. Bola suara itu terus lenyap sebaik sahaja Rania melepaskannya dari genggaman.
“Siaplah dia kalau benda ni buat masalah lagi.” Rania bangun dan terus mencari Bima.
Hampir sejam dia mencari kucing kesayangannya itu. Dari tingkat bawah rumah sehinggalah ke tingkat atas. Bima langsung tidak kelihatan di mana-mana. Kelibat adiknya juga tidak ada di situ.
“Eee! Penipu! Penat saja mulut aku ni bercakap dengan benda ni tau.” Rania mendengus geram untuk sekian kalinya. Dia mengalah dan akhirnya turun ke tingkat bawah. Lebih baik dia pulang sahaja ke istana. Sudah tentu bonda dan ayahanda sedang menunggunya di sana. Dia tidak mahu berlama-lama duduk di sini. Takut nanti tempat ini dihidu oleh orang-orang istana dan ahli-ahli sihir yang ada di kota Wiza ini.
Rania keluar dari rumah pondok kecil. Kalau makhluk-makhluk lain yang datang masuk ke pondok kecil ini sudah tentu mereka tidak akan percaya dengan apa yang dilihat. Luaran nampak saja kecil dan usang. Boleh dikatakan pondok ini pondok berhantu tetapi bila masuk di dalamnya bukan main bertingkat-tingkat lagi dan mempunyai ruang yang luas. Ini semua hasil menteranya dan juga adiknya.
Dia terus bergerak keluar daripada kawasan lindungan ghaib. Mentera itu dibuat untuk melindungi kawasan sekitar pondok ini. Dari luar kawasan mentera ini tidak akan ada sesiapa pun yang akan nampak pondok tersebut melainkan dia dengan adiknya.
Rania mematikan langkah apabila mendengar suara ngiauan Bima. Lantas dia berpusing mencari arah suara itu. Geram dia apabila melihat adiknya sedang bermain dengan kucing belaan mereka.
“Sini pula kamu dengan kucing tu, ya.” Rania berlari mengejar adiknya.
“Kakak ni dah kenapa, hah?!” Aydin juga tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu kakaknya menangkapnya. Namun, nasibnya malang. Bima tiba-tiba lalu di hadapan dan menyebabkan dia terjelepok jatuh ke tanah. Lantas Rania memulas telinga Aydin. Loket itu pula dibuang ke tubuh adiknya.
“Penipu! Aydin kata benda ni akan beritahu keberadaan Bima. Tapi apa yang kakak dapat penat berjalan. Dari atas sampai ke bawah kakak cari Bima. Tak jumpa-jumpa. Rupanya dekat sini.”
“Soalan apa yang kakak beri pada pada loket pengesan ni, hah?” Aydin mahu tahu. Dia meneliti loket itu. Manalah tahu kalau-kalau ada kerosakan lagi.
“Kakak tanya mana Bimalah.” Rania menjelingnya dan berdiri semula. Dia mengangkat Bima yang dari tadi menggesel-geselkan tubuhnya di kaki.
“Kakak tanya macam itu sajakah?”
“Yalah. Takkan nak bagitahu dia tu kucing. Bukan loket pengesan ni sudah tahu semuakah?”
Aydin ketawa. Dia berdiri dan mengetuk kepala kakaknya. “Mestilah kakak kena bagitahu loket tu.”
Rania mengerutkan dahi. Sebelah tangannya masih membelai tubuh montel Bima.
“Lain kali bagitahulah Bima tu apa. Kakak pun tahu dalam tu banyak benda yang namanya Bima. Posyen yang kita buat ada nama Bima. Buku yang akak tulis pasal Bima pun ada dekat dalam. Gambar galaksi bima sakti pun ada tergantung besar dekat tingkat atas tu.”
Rania termalu sendiri. Ya, tadi dia terus tanya di mana Bima sembunyi. Tapi dia tidak pula bagitahu Bima itu kucing peliharaannya.
Cepat-cepat dia berdeham. “Ah, nampak sangat benda ni tak pandai. Nak terangkan juga Bima tu apa.” Rania cuba menutup rasa malunya.
Sekali lagi Aydin mengetuk kepala Rania.
“Apa?!”
“Mentera tu baru sikit Aydin bagi masuk. Belum semua.”
“Kalau semua pun tetap benda ni tak pandai, kan.”
Aydin mengerut dahi. “Kakak ni kenapa?”
“Yalah. Benda tu mana ada akal. Tak ada otak. Tak macam kita.”
“Tapi benda ni ada mentera Aydin.” Balas Aydin.
Rania merengus kecil. Ada saja jawapan daripada budak ini.
“Sudahlah. Kita pulang. Nanti bonda dengan ayahanda cari pula kita.” Rania terus keluar dari kawasan lindungan ghaib itu bersama dengan kucing peliharaannya.
ISTANA WIZA. Rania dan Aydin sudah membersihkan diri mereka sebelum ke sini. Mereka takut sekiranya keluarga mereka dapat tahu yang mereka menggunakan kuasa sihir tadi. Lagipun, kota Wiza sudah melarang penggunaan kuasa sihir kerana berbahaya dan bukan di sini sahaja malah seluruh dimensi Loka Ayangan ini. Semua kuasa magik telah dirampas oleh ketua kumpulan sihir Wiza iaitu Lamont. Dia tidak mahu sebarang penggunaan kuasa sihir ada di kota Wiza ini. Begitu juga dengan ahli-ahli sihir yang ada di kota lain.
Penggunaan kuasa tersebut telah dilarang sejak empat tahun yang lepas akibat kejadian besar yang hampir meragut nyawa makhluk-makhluk di Loka Ayangan ini. Kejadian itu berpunca daripada seorang lelaki yang kecewa kerana cintanya terhalang. Lelaki itu hanyalah manusia biasa tetapi perempuan yang dicintainya itu pula tinggi darjatnya. Disebabkan keluarga perempuan itu tidak menyukainya maka lelaki itu mengamuk dan buat hal sehingga dia melepaskan semua kuasa sihir yang dia ada pada masa itu. Kemarahan dan kekecewaan itulah yang menyebabkan separuh dimensi Loka Ayangan ini rosak dan mengambil masa setahun lebih untuk memulihkannya semula.
“Kesian abang Rehan...” Dalam diam dia melepaskan keluhan.
Ya, Rehanlah lelaki yang membuat huru-hara empat tahun lepas itu. Selepas daripada kejadian tersebut mereka telah sepakat mahu membuang Rehan ke dimensi lain. Bumi.
Kata mereka, makhluk-makhluk yang ada di bumi itu lebih kurang sama sahaja dengan mereka. Cumanya, di Loka Ayangan ini masing-masing memiliki kuasa dan kelebihan yang tersendiri yang tidak ada pada makhluk-makhluk di muka bumi itu.
“Teman baik aku pun dibuang ke sana.” Bergenang air matanya apabila memikirkan nasib temannya itu. Temannya pula dibuang ke sana selepas dua minggu kejadian besar itu berlaku.
“Kakak, mari. Bonda dan ayahanda menunggu kita di ruang santapan.” Aydin muncul memberitahu Rania di kamar peraduan kakaknya itu.
Laju Rania menyeka air matanya. “Ya. Kejap lagi kakak ke sana.”
“Baiklah.” Aydin terus menghilangkan diri.
RUANG santapan. Raja Danendra dan Permasuri Almira sedang berbual mengenai Raja Tameem, teman baik mereka. Rania dan Aydin muncul setelah mereka bertukar pakaian. Mereka masing-masing mengambil tempat duduk.
“Rania. Aydin. Ayahanda mahu beritahu kamu berdua.”
“Apa ayahanda?” Tanya Rania.
“Esok, ayahanda dengan bonda akan berangkat ke Alam Indera.”
“Untuk apa?” Soal Aydin pula.
“Kami hendak menziarahi Raja Tameem. Salah seorang daripada orang istana sana telah mengkhabarkan berita kepada kami tentang keadaan Raja Tameem. Orang istana memberitahu ayahanda bahawa raja mereka dalam keadaan gering.”
Rania pandang bondanya. Sakit lagi? Tahun ini sudah beberapa kali ayahanda Qiandra sakit. Aku tahu, Raja Tameem sakit kerana terlalu rindukan anak bongsunya itu. Begitu juga dengan aku. Aku terlalu rindu dengan Qiandra. Tapi tahap sakit aku ini tidaklah seperti Raja Tameem.
“Jadi, berapa hari ayahanda dan bonda ke sana?” Soal Rania.
“Mungkin dalam seminggu atau kurang daripada itu.”
“Sepanjang kami tidak ada di sini, Putera Aelan Izz akan jaga kamu berdua. Bonda sudah menghantar pemberitahuan itu kepadanya pagi tadi.” Beritahu Permaisuri Almira.
Rania dan Aydin pandang sesama sendiri. Nampaknya mereka akan bebas untuk beberapa hari. Putera Aelan Izz adalah abang sepupu mereka sebelah bonda mereka. Mereka kenal dan rapat sangat dengan abang sepupu mereka yang satu ini. Putera Aelan Izz sangat mesra, baik dan yang paling penting abang sepupunya itu boleh dibawa berbincang dan senang dipujuk.
“Baiklah.” Jawab dua beradik itu serentak diiringi dengan senyuman lebar mereka.
***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****
AMARYLLIS CITY. Dia sibuk mengemas stok-stok buku baru yang sampai dua hari lepas. Selesai tugasnya dia kembali ke meja kecil yang ada di sudut hujung kedai buku Read Lover itu.
Hampir sejam dia menghadap laptop miliknya itu. Wajahnya sekejap berubah riak. Tidak lama selepas itu dia menggeram dengan diri sendiri. Minuman teh panas ditepinya langsung tidak diusik.
“Aduh, tolonglah wahai otak yang aku sayang ni. Tolonglah berfungsi dengan baik.” Dia meramas kasar rambutnya. Sakit hati kerana masih belum dapat idea yang menarik untuk ceritanya itu.
“Sudahlah tu Hayaaz. Kalau dah tak ada idea, mari tolong uncle dekat depan tu. Uncle nak alihkan buku-buku dekat depan tu ke belakang.” Geleng kepala orang tua itu melihat tingkah anak saudaranya.
“Uncle Taha bagi Hayaaz sikit masa lagi, ya. Dah nak habis dah.”
“Yalah tu. Tambah masa. Tambah masa. Sampailah ke petang. Daripada kamu duduk menghadap novel kamu yang tak siap-siap tu, baik tolong uncle.”
“Ala, uncle Taha.”
“Jangan nak buat perangai budak-budak dekat sini. Cepat tolong uncle sekarang!” Tegas encik Taha.
Hayaaz merengus. Geram.
WAKTU hampir senja. Pengunjung yang bertandang ke kedai buku pak ciknya semakin berkurang. Pekerja-pekerja juga sudah ada yang mahu bersiap-siap untuk pulang ke rumah.
Hayaaz pula masih menyibukkan diri di bahagian rak buku depan. Ketika itu dia tersedar apabila kelibat seorang perempuan lalu di hadapannya. Dia segera bangun dan ke kaunter pembayaran kerana perempuan itu sudah berada di situ.
Hayaaz bukanlah mesra orangnya. Hanya bila pelanggan itu bertanya sahaja dia akan menjawabnya.
Sesekali ekor matanya mengerling wajah di depannya. Tiada langsung wajah ceria yang terlukis di wajah itu. Mungkin dia lagi ada masalah, gumamnya dalam hati.
“Terima kasih. Datang lagi!” Kata Hayaaz sambil menghantar perempuan itu keluar dengan ekor mata.
Dia mengurut belakang tengkuk. Sekali lagi dia memandang ke arah pintu. Wajah tanpa riak itu masih bermain di mindanya. “Hmm... Mungkin juga dia ada masalah dengan teman lelaki dia.” Hayaaz terus ke belakang meneruskan kerjanya yang tergendala tadi.
Share this novel