BAB 7

Fantasy Series 13998

AWAL pagi lagi Adina menyediakan sarapan untuk mereka berdua. Rania turun saat dia sedang menyediakan minuman panas. Ketawa kecil dia melihat tingkah Rania menuruni anak-anak tangga itu.

“Selamat pagi kak Adina.” Ucapnya sambil menguap. Rambut yang kusut-masai itu dibiarkan begitu sahaja.

“Selamat pagi. Dah cuci mukakah?”

“Dah. Apa ni?” Tanyanya. Dia menghidu bau hidangan yang ada di atas meja.

“Sedap!” Laju tangannya mengambil sudu dan mencuba hidangan tersebut.

Adina geleng kepala. Ada-ada saja perangai dia ni.

“Itu nasi goreng. Cuba Rania makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh sangat nanti tersedak.” Adina menggeram.

Rania menyengih.

“Lepas ni ikut kakak keluar. Kakak nak bawa Rania jalan-jalan tengok kota Amaryllis ni. Lepas tu, beli barang-barang keperluan untuk Rania.”

“Tak naklah. Rania takutlah. Mana tau orang-orang di luar sana jahat.”

“Mana ada jahat. Orang-orang dekat sini semuanya baik-baik saja. Lagipun kita bukan keluar berdua. Kakak bawa Hayaaz dengan Elan sekali.”

Laju Rania memandangnya. Teruja pula dia mahu berjumpa dengan dua orang itu.

“Yakah? Kalau macam tu Rania ikut kak Adina!” Katanya dengan girang.

Adina senyum puas.

PENAT mereka melayan kerenah Rania yang dari tadi keluar masuk kedai. Semua benda dia mahu. Tapi yang jadi mangsa membayarnya adalah Hayaaz. Setiap kali Rania mahu membayar barang-barangnya pasti Adina dan Elan menjauhkan diri. Hayaaz yang faham dengan perangai dua orang itu terpaksalah mengalah.

“Maafkanlah kakak, ya.” Adina memujuk adiknya. Dia tahu adiknya sedang menahan marah kerana dia dengan Elan langsung tidak mahu membantunya membayar barang-barang Rania itu.

“Hayaaz, janganlah macam tu. Tak kacaklah adik kakak ni kalau merajuk.” Adina menahan ketawa bila melihat wajah cemberut itu. Rania dengan Elan pula sibuk berbual di meja sebelah. Mereka ketika itu sedang menikmati hidangan tengah hari di sebuah kafe dekat dengan pusat beli belah A'ryls.

Hayaaz menjeling kakaknya. “Maaf. Maaf. Kakak dengan Elan sama saja. Langsung tak nak bantu Hayaaz. Duit Hayaaz banyak habis gara-gara beli benda-benda tak berguna tu saja. Kalau dia pilih pakaian tadi tak apalah. Ini tidak! Buku-buku kosong, lampu bilik, perkakas dapur, benda-benda yang memang dah ada dalam rumah akak itu pula yang dia beli.” Hayaaz menggeram.

“Ala, biarkan sajalah. Lepas ni kita belilah pakaian untuk dia. Lepas tu kita ke salun. Kita ubah dia, nak? Akak tak sukalah tengok penampilan dia yang kurang menarik di mata akak ni.”

“Banyak cantik muka akak. Yang keluar duit Hayaaz juga, kan.” Sekali lagi Hayaaz menjelingnya.

Adina membalas dengan sengihan.

BEAUTY SALOON. Selesai sahaja berurusan di bahagian kaunter Adina terus membawa Rania masuk ke dalam. Dia mengambil beberapa beg pakaian dan kasut yang dibeli oleh mereka tadi bersamanya. Hayaaz dan Elan pula menunggu mereka di luar. Kata mereka, malas hendak masuk ke dalam sana. Lagipun, mereka tidak suka dengan tempat itu.

“Hayaaz.”

“Apa?” Hayaaz lagi sibuk melayan telefonnya.

“Tadi Rania ada cerita dekat aku.”

Hayaaz mengerling sekilas temannya. “Cerita apa?”

“Pasal bola sakti. Semalam...”

Hayaaz mendengar cerita Elan tentang apa yang terjadi di rumah kakaknya semalam. Rania menceritakan tentang bola-bola sakti yang bondanya hantar kepadanya. Bukan itu saja, Rania juga ada memberitahu temannya tentang kuasa sihirnya. Rania tidak mempunyai kuasa sihir lagi. Sihirnya hanya akan pulih sekiranya dia bertemu dengan temannya semula. Lagipun, misi Rania ke bumi ini untuk mencari dan membawa pulang semula temannya ke Loka Ayangan.

Elan masih meneruskan ceritanya sementara menunggu mereka berdua keluar dari salun itu. Hayaaz sesekali menyampuk cerita temannya itu. Saat itu, dia sedang memeriksa mesej-mesej di dalam telefonnya. Baru saja tadi pak ciknya menghantar mesej menyuruhnya datang ke sana untuk menjaga kedai buku itu. Tetapi, Hayaaz menolak kerana mahu menemani kakaknya berjalan hari ini. Mujurlah pak ciknya memahaminya.

TERGAMAM kedua-duanya apabila melihat perubahan gadis itu. Berbaloi juga mereka menunggu lama di luar salun ini. Perubahan Rania jauh beza sekali daripada sebelumnya. Rambutnya sudah di potong hingga paras bahu. Gaya rambutnya dipintal dan dipin ke belakang. Mekapnya tidak terlalu tebal. Nampak cantik. Pakaiannya juga sudah bertukar. Dia memakai gaun hingga paras lutut yang berwarna kuning dan bercorak bunga.

Cantik, puji Hayaaz dalam hati.

“Ini barulah puteri dari kayangan. Cantik. Comel lagi. Nak jadi teman wanita aku tak?”

Adina dan Hayaaz serentak memandang Elan dengan pandangan tajam.

“Ala, gurau sajalah. Tapi aku cakap betul. Kau memang cantik Rania.”

Rania senyum kecil. Malu dia dengan pujian itu. “Terima kasih.” Ucapnya.

“Hah, sekarang nak pergi mana pula?” Tanya Hayaaz.

“Makan!” Laju Rania memberi cadangan.

“Makan lagi. Dari pagi sampai sekarang dah berapa kali kita masuk kedai makan. Takkan tak kenyang lagi?” Adina geleng kepala.

“Kenyang. Tapi Rania nak makan lagi. Makanan-makanan dekat sini semuanya sedap-sedap. Tak macam di tempat kami.”

“Yakah?”

“Ya. Marilah kak!!” Rania menarik tangan Adina mencari kedai makan.

Hayaaz dan Elan hanya membuntuti mereka dari belakang sambil membawa beg-beg beli belah.

MALAM itu Hayaaz mengambil angin di luar halaman rumah. Seperti biasa dia akan membawa laptopnya sekali. Dia tersengih sendirian apabila mengingatkan hal petang tadi. Telatah Rania itu sekejap menyakitkan hati tapi pada masa yang sama pandai mengambil hati mereka.

“Jauh termenung. Ingat siapa?” Elan muncul dengan dua cawan kopi panas. Satu diberikan kepada temannya itu.

“Tak adalah. Aku tengah fikir pasal cerita aku ni.”

Elan angguk dengan sebelah kening terangkat. Dia menghirup kopi panasnya sambil menyandarkan tubuh di kerusi.

“Esok kau ke mana?” Tanya Elan.

“Aku pergi kedai buku pak cik akulah. Kenapa? Kau nak bantu aku di sanakah?”

“Tak adalah. Aku banyak lagi kerja dekat syarikat bapa aku tu. Mana lagi aku kena uruskan anak-anak syarikat dia. Nak pantau kilang dekat luar kota lagi.” Dia menghela nafas berat.

“Aku rasa macam nak ambil cuti saja.”

“Cuti? Macam mana kau nak ambil cuti sedangkan kerja kau tu melambak sana sini.”

“Ala, cuti sekejap sajalah. Kalau aku cuti aku boleh bantu si Rania tu. Kau pula tak payah susah-susah datang ke rumah kakak kau. Biar aku saja yang ke sana ambil dia.”

Hayaaz menoleh sekejap ke arah temannya. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Elan, kau boleh saja tipu dia orang tu. Tapi, kau tak boleh nak tipu aku. Kita dah lama berkawan tau. Aku tahu kau ni macam mana orangnya. Mesti kau nak rapat dengan si Rania itu, kan?”

“Kenapa? Tak bolehkah kalau aku rapat dengan dia?”

Hayaaz mengeluh. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi.

“Tak salah kalau nak rapat dengan dia. Tapi, kau kenalah beringat. Dia itu bukannya dari sini. Lagi satu, dia bukan seperti perempuan lain yang gedik terhegeh-hegeh nakkan kau.” Hayaaz mengingatkan dia semula.

“Aku tahulah. Tapi kan Hayaaz. Aku tak bolehlah berhenti berfikir pasal dia.” Elan tersenyum sendiri apabila terbayang wajah manis Rania itu.

“Kau ni Elan. Perempuan sebelum ni pun kau kata yang sama. Rania pun kau kata begitu juga. Hah, kali ni apa sebab pula kau tak boleh berhenti fikirkan dia?”

“Rania tu lain. Dia perempuan pertama yang layan aku dengan kasar. Kalau aku buat baik dengan dia pun mesti dia marah aku balik.”

“Memang patut pun dia buat begitu dengan kau. Sebab kau ni tak puas dengan satu perempuan. Nasib baiklah perangai kau tak juga jahat macam lelaki lain yang sanggup bawa perempuan sampai ke katil.”

“Eh, jaga sikit mulut kau tu. Aku nakal, nakal juga. Tapi, nakal aku bukanlah sampai ke tahap tu.”

Hayaaz cuma ketawa kecil. Labih baik dia menyambung ceritanya di dalam laptop itu daripada melayan temannya yang sudah mengelamun jauh. Pasti dia sedang memikirkan si Rania itu.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

PUTERA RAID EZHAR mundar-mandir di depan gazebo laman istananya. Putera Aelan Izz juga ada di situ bersamanya. Sejak Rania pergi risaunya semakin menjadi-jadi. Temannya pula nampak tenang sahaja.

“Aelan. Macam manalah keadaan Rania sekarang ini? Aku takut tempat tu tak sesuai untuk dia. Aku takut dia dalam bahaya.”

“Janganlah kau risau pasal adik sepupu aku tu. Dia pasti selamat. Dia tahu jaga diri dia.” Aelan menenangkan temannya.

“Tapi hati aku tetap tak tenang. Tidak ada cara lainkah hendak ke sana lagi?” Tanya Raid yang masih belum berputus asa.

“Kalau kau ada kuasa sihir mungkin boleh. Tapi, masalahnya sekarang ni kau dengan aku pun langsung tak ada kuasa tu. Hanya ahli sihir tak guna itu saja yang memiliki kuasa tu semua.” Aelan mendengus kasar.

Setelah mengetahui cerita daripada Permaisuri Almira, Aelan begitu marah sekali. Begitu juga dengan Raid. Tidak sangka rupanya mereka ada udang di sebalik batu. Lamont dengan anak-anak buahnya itu telah merancang sesuatu tanpa pengetahuan mereka dan juga penduduk kota Wiza. Dalam diam ahli-ahli sihir itu mahu menguasai kota Wiza dan mahu menjatuhkan Raja Danendra.

Permaisuri Almira tahu semua itu pun semasa Permaisuri Almira melawat ke pusat sihir mereka. Tanpa sengaja Permaisuri Almira terdengar perbualan di antara Lamont dengan beberapa anak buahnya di bilik tetamu.

Permaisuri Almira mahu memberitahu Raja Danendra tetapi takut pula sekiranya raja tidak mempercayainya. Jadi, Permaisuri Almira mendiamkan sajalah hal itu. Tapi tidak sangka pula setelah Rania pergi ke sana, Permaisuri Almira membuka cerita tentang rancangan jahat Lamont dan anak-anak buahnya kepada mereka.

Aku perlu bantu Raja Danendra dan Permaisuri Almira, kata Putera Aelan Izz dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience