BAB 19

Fantasy Series 13998

KOTA WIZA, LOKA AYANGAN. Permaisuri Almira mundar-mandir di ruang istirahat. Wajahnya tampak risau. Ada sesuatu yang sedang difikirkan olehnya ketika itu.

“Bonda buat apa sendirian di ruang istirahat ini?” Muncul Putera Aydin. Tadi dia mencari bondanya di ruang makan tetapi tidak ada. Pembantu istana memberitahunya yang bondanya ada di ruang istirahat.

“Aydin. Sebenarnya bonda khuatirkan kakak kamu.” Kata permaisuri Almira. Dari semalam lagi hatinya tidak tenang memikirkan keadaan puteri sulungnya.

“Sabarlah bonda. Kakak Rania pasti selamat di sana.”

Permaisuri Almira menghela nafas berat. Kata-kata putera bongsunya itu langsung tidak mengurangkan rasa risaunya pada Rania.

“Aydin. Ada sesuatu yang bonda hendak beritahu kepada kamu.”

“Hal apakah itu bonda?”

“Tentang kakak kamu.” Permaisuri Almira menoleh ke belakang memandang ke arah pintu besar yang tertutup rapat.

“Bonda jangan risau. Aydin sudah pun menguncinya.”

“Baguslah kalau macam tu. Bonda takut kalau ada yang mendengar apa yang bonda hendak beritahu ini.”

Aydin mengerutkan dahi.

“Hal seriuskah?”

Sekali lagi permaisuri Almira menghela nafasnya.

“Aydin, rasanya bonda sudah tersalah bagi ubat pada kakak kamu.”

“Err... Maksud bonda?”

“Maksud bonda ubat penghapus kuasa yang bonda beri pada kakak kamu. Bonda sudah beri ubat penghapus yang salah pada Rania.”

Aydin mengerutkan dahi. “Maksudnya?”

“Bonda ingatkan cecair biru yang bonda beri pada kakak kamu itu sama seperti cecair yang bonda beri pada kamu. Tapi bonda tersilap. Bila bonda periksa di bilik rahsia bawah istana ini rupanya ubat penghapus kuasa sementara itu masih ada di situ.”

“Hah? Bilik rahsia? Sejak bila pula istana ini ada bilik rahsia?” Setahu dia di bawah istana itu semuanya bilik kawalan dan bilik pengawal istana. Di mana pula bilik rahsia yang dimaksudkan oleh bondanya ini pula?

“Sudah lama, Aydin. Bonda buat bilik rahsia itu sebelum kuasa sihir bonda di ambil oleh ahli-ahli sihir lagi. Tapi bilik rahsia ini hanya bonda saja yang tahu. Ayahanda kamu mahupun yang lain tidak tahu tentang ini.”

Aydin sungguh tidak percaya.

“Err... Aydin tidak kisahlah pasal bilik rahsia itu. Apa yang Aydin kisah sekarang ini ubat yang bonda cakapkan itu. Bonda pastikah ubat yang bonda beri pada kakak Rania itu ubat lain?”

“Ya. Bonda pasti. Bonda sudah periksa ubat-ubat itu di bilik rahsia tadi. Bonda perasan yang ubat penghapus kuasa untuk selamanya tidak ada. Lagipun, ubat itu hanya tinggal satu saja.”

“Mustahillah. Mungkin pembantu istana atau pengawal istana...”

“Tak Aydin. Mereka semua tidak tahu.” Potong permaisuri Almira. Selama ini pun hanya permaisuri sahaja yang masuk ke dalam bilik rahsia itu. Apabila hendak ke sana permaisuri akan memastikan semua pengawal-pengawal istana keluar dari situ.

Aydin diam. Tidak tahu hendak berkata apa.

Permaisuri Almira menyentuh bahu Putera Aydin Hayy apabila perasan air muka putera bongsunya itu berubah.

“Mari. Ikut bonda.” Permaisuri Almira keluar dari ruang itu. Putera Aydin membuntuti dari belakang.

“BONDA! Apa semua ini?” Alangkah terperanjatnya Aydin sebaik sahaja masuk ke dalam bilik rahsia yang dimaksudkan oleh bondanya tadi. Ruang itu penuh dengan cecair-cecair yang dia juga sendiri tidak tahu apa kegunaannya.

“Apa semua cecair ini bonda?” Tanya Aydin sambil matanya memerhatikan satu-persatu cecair yang tersusun di rak depannya. Dia tidak tahu pun semua ini.

“Inilah cecair-cecair dan ubat-ubat yang bonda ambil dari pusat sihir.”

Mata Aydin membulat. Bila masa pula bonda ambil benda-benda pelik ini dari sana?

“Bonda. Setahu Aydin, ahli-ahli sihir di pusat sihir itu tidak membenarkan sesiapa pun mengambil apa-apa dari sana. Tapi, macam mana bonda...”

“Bonda curi masuk ke dalam bilik rahsia mereka.”

Aydin melopong. “Tidak ada yang perasankah dengan perbuatan bonda itu?”

“Tidak.” Yakin permaisuri Almira menjawabnya.

“Sebab bonda ada orang dalam dari sana. Bonda percayakan dia dan setakat ini tidak ada siapa lagi yang tahu pasal ini.” Sambungnya lagi.

Aydin tidak senang hati. Resah. Dia mundar-mandir.

“Bonda. Bonda. Bonda tidak takutkah? Bagaimana kalau perbuatan bonda ini diketahui oleh ayahanda? Habislah kita. Dengan kakak sekali akan kena nanti. Tidak pasal-pasal nanti ayahanda murka dan kita semua akan di hukum.”

Kata-kata putera bongsunya itu langsung tidak terkesan di hatinya.

“Tenang, Aydin. Ayahanda Aydin tidak akan tahu. Selagi tidak ada yang ikut kita ke sini selagi itulah kita selamat. Pasal klon kakak kamu itu. Kita berharap saja dia selamat dengan Putera Aelan.”

Aydin diam. Mereka sudah berbincang tentang hal itu sebelum ini. Semua sepakat bersetuju yang klon kakaknya di jaga oleh Putera Aelan. Tentang ayahandanya pula, mereka terpaksa menipunya. Selagi Puteri Ayanna Rania yang palsu dalam jagaan Putera Aelan Izz selagi itulah rahsia mereka selamat. Lagipun, ahli-ahli sihir dan rakyat-rakyat di kota Sahmura itu tidak berani hendak mendekati Putera Aelan Izz yang terkenal dengan sikap tegas dan pemarahnya. Dia hanya begitu dengan orang-orang yang dia tidak kenal rapat sahaja.

“Tapi bonda. Kita jangan berharap saja. Kita kena juga fikirkan sesuatu. Terutama sekali kakak Rania. Aydin tahu mereka yang keluar daripada Loka Ayangan ini tanpa kuasa tidak akan kembali lagi ke sini melainkan dengan kuasa mereka...” Aydin diam sejenak. Dia terfikir sesuatu tentang kakaknya.

“Ish, kakak Rania ini pun satu. Yakin sangat dia boleh bawa mereka berdua balik ke sini. Padahal, kuasa Puteri Qiandra dengan abang Rehan itu sudah tidak ada. Tengok sekarang apa jadi. Dia sendiri tidak punya kuasa lagi. Macam mana ni bonda?”

Permaisuri Almira memandang anaknya. “Bonda juga buntu Aydin.”

“Kalau macam itu, Aydin ke tempat Putera Aelan Izz dululah. Aydin akan berbincang dengan dia tentang hal ini. Dia pasti tahu hendak buat apa nanti.”

Permaisuri Almira hanya membalas dengan anggukkan.

PUSAT SIHIR. Lamont mengetap giginya dengan kuat. Usahanya hari ini juga tidak berjaya. Tadi, anak-anak buahnya memberitahunya yang mereka tidak jadi ke istana hari ini kerana kuda mereka tiba-tiba sahaja mengalami masalah. Pelik.

“Lamont.”

Dia berpaling dengan wajah bengis. Wajah di hadapannya di pandang dengan sinis.

“Apa hal kau datang ke sini?” Dia menghenyak punggung di kerusi. Teh suam di atas meja bulat itu di teguk perlahan.

“Aku dengar kau masih tak dapat cari dua orang itu. Betulkah?”

Lamont senyum miring. Dia memanggil salah satu anak buahnya yang berada di luar bilik bacaan itu. Dia meminta anak buahnya menyediakan minuman kepada tetamunya.

“Cepat sungguh masalah di sini sampai ke Alam Indera.”

“Aku tak perlukan orang mahupun makhluk lain untuk sampaikan masalah kau pada aku. Aku hanya guna kuasa sihir aku saja.”

“Huh?” Dia ketawa sinis. Diteguknya lagi air teh itu.

“Meldy. Meldy. Kau macam perli aku saja. Bukankah masalah kau tu sama juga dengan masalah aku? Kau tak mungkin berjaya sempurnakan kuasa sihir kau sebab kuasa yang kau tarik daripada dua penduduk Alam Indera itu palsu, kan.”

Dalam diam Meldy mengepal tangannya. Sinis kata-kata lelaki itu kepadanya.

“Setidaknya aku tahu siapa dua orang itu. Kau?”

“Aku masih belum tahu lagi. Tapi bola Desia itu bagitahu aku yang kuasa sihir kuat bersembunyi dekat istana Wiza. Masalahnya di istana itu ada ramai orang dan seorang pun tidak memiliki kuasa itu.”

Meldy angkat kening sebelah. Senyumannya miring ke kanan. Dia berdiri dan menepuk hujung lengan kiri pakaiannya.

“Aku rasa kau terlepas pandang. Mereka sebenarnya ada saja di depan mata kau. Tapi kau yang tak tahu.” Dia menyengih.

“Maksud kau?” Lamont berdiri.

“Kau cari sendiri.” Meldy mahu bergerak pergi tetapi langkahnya terbantut. Dia berpaling ke belakang.

“Aku boleh bagi kau petunjuk. Tapi kau jangan bertindak melulu. Kau kena fikir baik-baik lepas ini. Kau fikir macam mana hendak dapatkan kuasa mereka.”

“Ah, aku tahulah. Cepatlah bagitahu.” Lamont sudah tidak sabar hendak tahu.

Meldy senyum sinis.

“Mereka berdua sebenarnya memang ada di istana itu. Mereka bijak. Mereka menghilang setiap kali kau dan anak-anak buah kau ke sana.” Meldy terus pergi meninggalkan tanda tanya kepada Lamont.

“Tapi mereka siapa?!” Lamont mengejar Meldy yang sudah keluar daripada bilik tersebut.

“Meldy!” Panggilannya tidak diendahkan oleh lelaki itu. Meldy yang membelakanginya hanya membalas dengan lambaian tangan.

Lamont mengetap gigi. “Siapa yang dimaksudkan oleh dia itu?”

“Ketua. Ini...”

“Tak payah. Dia dah pergi.” Kata Lamont pada anak buahnya yang baru sahaja muncul dengan dulang yang berisi secawan teh dan juga sepotong kek.

“Jangan ganggu saya.” Lamont terus masuk ke bilik bacaan itu semula dan menguncinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience