“KAK ADINA.”
“Hmm...” Adina tidak memandangnya. Dia fokus menonton rancangan hiburan kesukaannya itu.
“Rania tanya sesuatu, boleh?”
“Tanya apa?”
“Pasal adik kakak.”
Adina tersentak dan berpaling. “Kenapa dengan Hayaaz?”
“Hayaaz ada cerita apa-apa dekat kak Adinakah?”
“Cerita apa? Yang kakak tahu dia buat hal dia sendiri sajalah.”
“Yakah?” Rania sedikit kecewa. Dia fikir Hayaaz ada meluahkan masalah dia pada kakaknya ini.
“Ya. Kakak sempat jumpa dia tengah hari kelmarin. Tapi pelik. Kakak tengok dia macam marah saja. Mahu tanya tapi tak sempat. Lagipun, kakak nak cepat kelmarin.”
Keluhan kecil dilepaskan. “Tak apalah. Rania naik atas dululah.”
“Aik. Baru pukul 9.00 malam. Masih awal. Takkan dah mengantuk? Temanlah kakak tengok rancangan ni sekejap.”
“Tak naklah. Rania nak tidur awal. Esok Rania nak jalan.”
“Pergi mana?”
“Rahsia. Kakak tak boleh ikut.”
Adina mengecilkan mata. “Sejak bila Rania ni pandai berahsia dengan kakak?”
“Ala, kak Adina ni.” Rania memuncungkan mulut.
“Rania nak pergi rumah Qiandra.”
“Kakak ikut.”
“Nanti sajalah. Lagipun, Rania tak sedia lagi nak bawa kakak ke sana.”
Adina mencebik.
“Yalah. Pergilah tidur. Kakak nak sambung tengok rancangan kakak ni.” Adina kembali fokus pada rancangan di televisyen itu. Rania pula sudah mengangkat kaki naik ke atas.
DIA melajukan langkah ke rumah temannya. Rindu sungguh dia mahu berjumpa dengan Qiandra. Tapi janganlah lelaki itu ada di sana. Kalau tidak, dia tidak dapatlah melepaskan rindunya pada teman baiknya itu.
Rania tersenyum gembira sambil menekan loceng rumah Qiandra. Nampaknya lelaki itu tidak datang hari ini.
“Rania!”
“Hai, Qiandra! Rindu aku dengan kau tau.” Laju Rania memeluknya. Qiandra membalas pelukan itu seiring dengan senyuman lebar.
“Lamanya kau tak pergi sini. Aku ingat kau tak datang lagi.”
“Aku memang nak datang sini. Tapi...” Situasi tempoh hari terus menjengah ke mindanya.
“Kenapa?”
“Tak adalah. Aku ada hal sebelum ni. Itu yang lambat ke sini.” Jangan terburu-buru Rania. Kena soal siasat dulu, katanya dalam hati.
“Oh. Jom, masuk. Aku ada buat banyak kek tau. Aku nak kau rasa sedapkah atau tak kek yang aku buat ni.” Pantas dia menarik Rania masuk ke dalam. Dia begitu teruja mahu temannya merasa kek-kek yang dibuat olehnya sepanjang malam semalam.
“Eh, sejak bila pula kau pandai buat kek ni?”
“Dua tahun lepas. Aku kan dah lama tinggal sini. Jadi kenalah belajar masak sendiri. Tak rugi pun kalau kita belajar masak. Untuk diri kita sendiri juga, kan.”
Rania mencebik. Mereka terus masuk ke dalam.
SEMENTARA menunggu Qiandra menyediakan kek-keknya di atas meja, Rania pula mengintai di luar kawasan rumah. Takut sekiranya Rehan datang ke sini.
“Rania, sini.”
Terkejut Rania dek suara Qiandra. Lantas dia ke meja makan.
“Wah! Nampak sedap!” Terpegun Rania melihat kek yang pelbagai jenis itu. Ada yang berkrim dan ada yang dihias dengan potongan buah-buahan.
“Rajin betul kau buat kek-kek ni semua.”
“Mestilah! Aku kenalah rajin. Aku buat kek ni pun sebab nak bagi dekat Adiandra.”
Rania tersentak. Adiandra? Pasti abang Rehan yang dimaksudkan olehnya ini.
“Sekejap lagi dia datang. Nanti aku kenalkan kau dengan dia, ya.”
“Eh, tak payah! Aku tak naklah jumpa dia. Biar aku di sini saja. Duduk, makan kek-kek kau ni.”
“Ish, janganlah macam tu. Aku nak juga kau jumpa dia. Sekejap pun tak apalah.”
“Qian...”
TING TONG! TING TONG!
Bola matanya besar apabila mendengar bunyi loceng tersebut. Qiandra pula terlalu gembira dan teruja ketika itu. Laju temannya berlari ke arah pintu.
“Adiandra!”
Mendengar saja nama itu Rania terus bersembunyi di dalam dapur. Biar dia pasang telinga dari situ sahaja.
“Nampak gembira betul awak hari ni.”
“Mestilah. Sebab awak dah sampai.”
Ketawa si Adiandra.
“Adiandra. Teman saya pun ada dekat dalam tau.”
“Teman? Siapa?” Adiandra cuba mengintai dari luar.
“Tak ada sesiapa pun di dalam tu.”
Qiandra berpaling. Dia mengerutkan dahi. Mana pula Rania ni? Tiba-tiba saja menghilangkan diri.
“Qiandra. Qiandra!”
Qiandra tersentak. “Hah?”
“Awak tak apa-apakah?”
“Tak. Tak. Saya cuma mengelamun saja tadi.” Dia tersengih.
Adiandra ketawa kecil. Di matanya, Qiandra begitu comel sekali.
“Nah. Seperti yang dijanjikan. Saya belikan awak buah strawberi dan anggur. Ini buah kesukaan awak, kan.” Dia memberi Qiandra bakul kecil berisi buah-buahan kegemarannya.
“Terima kasih!” Senyum hingga ke telinga dia menerimanya.
“Kejap, ya. Saya pun ada nak bagi dekat awak.”
“Apa?”
“Kejap.” Qiandra terus ke meja makan mengambil bekas makanan yang sudah di isi dengan lima jenis potong kek. Sempat juga dia mencari kelibat Rania tetapi tidak ada di ruang tamunya itu. Ish, mana pula dia ni?
“Qiandra.”
“Ya! Kejap.” Pantas Qiandra membawa bekas makanan itu kepada Adiandra.
Tingkah Qiandra diperhatikan oleh Rania yang sedang bersembunyi di sebalik dinding dapur. Nampaknya mereka masih berbual lama di luar tu. Lebih baik aku larikan diri dulu, katanya dalam hati.
Rania keluar perlahan melalui pintu dapur. Halaman belakang rumah Qiandra ada pintu keluar. Sempat dia menulis nota kecil untuk Qiandra dan melekatkan nota itu di meja dapur sebelum keluar dari situ.
WAJAHNYA berkeringat. Penat berlari. Jadi, dia duduk di pondok tasik Dhura merehatkan diri sekejap. Dia mengeluarkan telefonnya dan kebetulan pada masa itu ada paggilan masuk. Panggilan daripada Elan. Rania buat muka. Tidak suka dia dengan lelaki ini.
“Ah, biarkanlah.” Dia meletakkan telefon itu di atas ribanya. Beberapa kali jugalah Elan menghubunginya tetapi dia buat tidak tahu sahaja.
“Rania!”
Dia berpaling. Terkejut. Secara spontan dia berdiri dan telefonnya jatuh di atas lantai konkrit itu.
“A... abang Rehan.”
“Rania buat apa dekat sini?” Tanya lelaki itu. Sempat dia mengutip telefon Rania yang jatuh dan memberikan kepadanya semula.
“Terima kasih.” Tersengih. Pada masa yang sama dia tidak keruan.
Rehan senyum. “Nasib baik tak pecah. Lain kali hati-hatilah.”
“Abang Rehanlah ni. Buat saya terkejut saja.” Rania duduk semula. Dia cuba berlagak tenang.
Rehan ketawa kecil. Dia mengambil tempat di sebelah Rania.
“Rania buat apa dekat sini?”
“Eh, bukan soalan tu Rania dulu ajukan pada abangkah? Abang tak jawab lagi.”
“Ala. Siapa-siapalah dulu. Tadi abang tak dengar pun.”
Rania buat muka.
“Abang cubit pipi tu tau. Rania ingat, buat muka macam tu comelkah?”
“Ish, abang ni.” Rania menggeram.
“Sebenarnya, Rania keluar nak tenangkan fikiran.” Tipunya.
“Kenapa? Rania ada masalahkah? Kawan-kawan Rania?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut lelaki itu.
Rania geleng kepala. “Malaslah nak cerita.” Ketika itu dia perasan Rehan membawa sesuatu. Bukankah itu bekas makanan yang Qiandra beri pada Adiandra?
“Abang Rehan ni sebenarnya dari mana? Benda apa pula yang abang Rehan bawa tu?” Tanya Rania.
“Oh, ini. Abang sebenarnya dari rumah kawan. Dalam bekas makanan ni ada kek. Nak rasa?”
“Tak naklah.” Rania tersengih.
“Tak nak tak apa. Rugi kalau Rania tak rasa kek ni. Sedap tau.”
“Tak apalah. Tadi abang Rehan kata dari rumah kawan? Siapa kawan abang tu?”
Rehan tersentak. “Err... Bukan Rania kenal pun.”
Rania mencebik. Dia ingat aku tak tahukah.
“Rania.”
“Hmm...” Lain macam saja aku tengok abang Rehan ni. Tiba-tiba berubah rentak.
“Abang nak cakap pasal...”
“Pasal apa?” Potong Rania.
“Pasal kuasa sihir Rania tu...”
“Kenapa abang? Abang dah jumpa cara hendak pulihkan kuasa sihir Raniakah?”
“Err...” Rehan berfikir sekejap. Tidak lama kemudian dia menghela nafas.
“Beginilah. Rania bagi abang nombor telefon Rania. Hari tu abang tak minta lagi nombor telefon Rania, kan? Nanti abang telefon bagitahu bila kita akan berjumpa.”
“Kenapa tak bagitahu sekarang saja?” Rania tidak puas hati.
“Rania banyak soal ni kenapa? Abang minta nombor telefon Rania saja, kan.”
“Ala...”
Rehan menggeram.
“Yalah. Yalah.” Rania mengalah dan memberikan nombor telefonnya kepada lelaki itu.
“Rania. Abang nak Rania bersedia.”
Terangkat wajah perempuan itu. “Sedia apa?”
Rehan diam, tidak membalas. Dibiarkan sahaja hal itu menjadi tanda tanya kepada Rania. Semuanya Rania akan tahu nanti, katanya dalam hati.
Share this novel