KOTA WIZA. Rania tersenyum lebar menyambut kedatangan abang sepupunya. Tapi sakit hati pula melihat teman abang sepupunya itu.
“Ergh! Kenapalah dia datang sekali. Benci betul aku!” Dari jauh Rania menjeling lelaki itu.
“Eh, Putera Raid Ezhar pun ada sekali?” Aydin muncul.
“Setiap kali nampak muka tu buat kakak sakit hati tau.” Rania berpeluk tubuh dan mendengus kasar.
Aydin tersengih. “Jangan begitu kakak. Nanti perasaan benci tu lama-lama berubah jadi suka.”
Rania menjeling tajam.
“Ala, gurau sajalah.”
“Sekali lagi Aydin kenakan kakak, siaplah!” Rania beri amaran.
“Hah, borak pasal apa tu?” Tegur Putera Aelan Izz yang sudah ada di depan mata. Putera Raid Ezhar pula tersenyum-senyum kepada Rania. Rania tidak mahu membalasnya.
“Kami borak kosong saja.” Balas Aydin lalu membawa mereka berdua masuk ke dalam istana.
“Abang Aelan! Rania nak keluar, boleh?” Sebelum terlambat lebih baik dia melarikan diri dulu. Seperti biasa dia ke tempat rahsianya.
“Abang dengan Raid baru saja tiba. Kenapa cepat sangat Rania hendak pergi? Rania hendak ke mana juga?” Lembut Aelan menyoal adik sepupunya itu.
“Tak ke mana pun. Rania cuma mahu ambil angin di sekitar kawasan istana ni saja.”
“Kalau macam tu, kami ikut. Kami semua boleh temankan Rania ambil angin.” Putera Raid Ezhar pula menyampuk.
Rania menjulingkan matanya ke atas. “Tak payah. Rania dah biasa jalan sendiri.”
Aelan menggeram. Ada saja perangai adik sepupunya yang satu ini.
“Kalau tak nak Putera Raid Ezhar yang temankan, biar pengawal istana atau dayang istana yang temankan Rania.”
“Ala, abang Aelan ni. Rania tak naklah.” Rungutnya.
Tarik nafas Aelan melihat tingkah yang buatkan dia rasa hendak marah itu. Sabar Aelan, dia menenangkan dirinya.
“Pergilah. Tapi, jangan balik lewat sangat.”
Senyumannya lebar hingga ke telinga. “Terima kasih abang Aelan. Rania pergi dulu!” Laju dia mengatur langkah pergi.
Putera Aelan Izz melepaskan keluhan. Dia rasa kurang percaya dengan adik sepupunya itu.
“Tak apa. Biar saya saja yang tengok-tengokkan dia.” Putera Raid Ezhar menawarkan diri. Aydin mahu menghalangnya tetapi abang sepupunya terlebih dulu memberikan jawapan.
“Terima kasih, Raid.”
“Hal kecil saja.” Dia menepuk bahu Aelan dan kemudian mengejar Rania yang sudah jauh meninggalkannya.
Aydin telan liur. Janganlah kakak pergi tempat rahsia kita. Habislah kalau abang Raid tahu.
“Pucat wajah Aydin. Aydin tak apa-apakah?”
Aydin tersentak. “Eh, tidaklah! Mari, abang Aelan. Kita masuk ke dalam.” Dia mempelawa abangnya. Sempat Aydin berpaling ke belakang. Manalah tahu kakaknya kembali ke sini. Tetapi nampaknya tidak. Habislah!
PUTERI AYANNA RANIA merasakan dirinya seperti diekori oleh seseorang. Tetapi apabila dia pandang ke sekelilingnya tidak ada apa-apa pula yang mencurigakan.
Sampai di tempat itu dia terus membaca mentera dan kawasan lindungan ghaib itu muncul membuka lubang untuk dia masuk ke dalam. Belum sempat lubang itu tertutup muncul Putera Raid Ezhar di depan mata.
Rania bungkam. Matanya terbuntang luas.
“A... abang Raid?!” Rupanya teman baik abang sepupunya itu pula yang mengekorinya tadi.
“Rania! Apa yang Rania buat ni?!” Suara garau itu naik satu oktaf.
Rania cuak. Rahsia yang selama ini disimpan akhirnya diketahui juga. Dalam keadaan begini mana mungkin dia mahu membenci lelaki itu. Dia takut sekiranya Putera Raid Ezhar membocorkan rahsianya. Dia perlu pujuk lelaki ini.
“Ra... Rania...”
“Rania tahukan semua ni salah! Rania mahu ditangkap oleh merekakah?” Raid betul-betul tidak sangka dengan apa yang dilihatnya sekarang.
“Abang. Abang Raid. Tolonglah jangan bagitahu sesiapa, ya? Ya?” Rayu Rania.
“Buang semua sihir Rania ni sebelum abang bagitahu ayahanda Rania. Rania tak ingatkah apa yang jadi pada Puteri Qiandra dengan lelaki tu? Rania nak jadi macam merekakah?!” Panas hatinya dengan perbuatan Rania itu.
“Tak! Rania takkan buang kuasa ni. Rania tahu Rania salah. Tapi Rania buat semua ini bersebab. Abang Raid jangan risau. Ini semua takkan menganggu ketenteraman penduduk kota Wiza mahupun seluruh penduduk dimensi Loka Ayangan ni.” Rania menyakinkannya. Tapi, kalau di suruh buang kuasa sihir ini pun aku tidak tahu caranya.
“Tak mengganggu Rania kata? Rania, empat tahun dimensi kita ni aman tanpa kuasa tu. Rania sendiri tahu yang berhak pegang dan jaga semua kuasa sihir itu Lamont dan anak-anak buah dia saja.”
Rania diam. Putera Raid Ezhar benar-benar marah kepadanya.
“Jujur dengan abang. Sejak bila lagi Rania berani buat semua ni? Bukankah semua kuasa sihir Rania dah diambil oleh mereka. Kenapa Rania boleh ada kuasa tu balik?” Raid bercekak pinggang menunggu jawapan Rania.
“Rania pun tak tahu. Lepas kejadian abang Rehan dengan Puteri Qiandra tu, memang anak buah Lamont dah ambil semua kuasa sihir Rania. Tapi kuasa tu pulih balik selepas seminggu daripada kejadian tu.”
Raid melopong. Biar betul?
“Setahu abang, kuasa sihir yang telah diambil oleh mereka tidak akan ada lagi dalam diri seseorang tu. Tapi Rania lain pula.” Dia musykil.
“Selain abang, siapa lagi yang tahu pasal benda ni?” Raid memandangnya semula.
“Aydin. Dia sama macam Rania juga.”
Keningnya bertaut. “Putera Aydin Hayy?”
Rania angguk.
“Pasti ada yang tidak kena.” Kata Raid perlahan. Dia harus cari tahu tentang hal ini.
“Sudahlah. Malas Rania nak fikir pasal tu. Alang-alang abang Raid dah ada dekat sini, marilah masuk dalam pondok tu.” Rania kembali tenang.
“Buat apa?” Tanyanya sambil melihat pondok buruk itu. Di dalamnya kosong dan gelap.
“Kita makan-makan dalam itulah.” Dia bergerak masuk ke dalam. Kebetulan Bima muncul. Laju kucing itu menerpa ke arahnya. Rania membelainya sebelum mendukung kucing belaannya itu.
“Ini bukan kucing...”
“Ya, kucing istana. Tapi, Bima tak suka tinggal dalam istana. Kucing ni lagi suka dekat sini. Jadi, Rania tinggalkan sajalah dia dekat sini. Lagipun, tempat ni ada yang menjaganya. Makan minum dia pari-pari kecil dalam pondok tu yang uruskan.”
Reaksi terkejut itu membuatkan Rania ketawa sendiri.
“Pari-pari kecil apa pula ni Rania?” Tegang wajah si putera raja.
“Tak apa. Rania akan ceritakan semuanya dekat abang Raid. Tapi, abang Raid kena janji dengan Rania tak boleh bagitahu siapa-siapa pasal ni. Rahsia ni hanya abang saja yang tahu, ya?”
Lama Raid mendiamkan diri.
“Abang Raid!”
Dia tersentak.
“Janji dengan Rania dulu.”
“Baiklah.” Dia mahu marah tetapi kesian pula. Akhirnya dia akur juga.
Rania terus membawanya masuk ke dalam.
SEMINGGU telah berlalu. Putera Aydin Hayy sudah mengetahui hal yang berlaku di antara kakaknya dengan Putera Raid Ezhar. Dia berharap agar putera itu mengotakan janjinya. Jangan sampai rahsia mereka diketahui oleh penduduk kota Wiza.
Petang itu, Aydin dan abang sepupunya bersiar-siar di sekitar taman istana. Penat berjalan mereka pun beristirahat di salah satu gazebo yang ada di kawasan taman itu. Aydin memberi arahan kepada beberapa orang istana untuk menyediakan minuman petang mereka.
“Dalam seminggu ni abang perasan yang dua orang tu semakin rapat. Mereka berdua ada apa-apakah?” Tanya Aelan pada adik sepupunya.
“Maksud abang, kakak Rania dengan abang Raidkah?”
Aelan angguk. “Tak pernah-pernah mereka berdua tu rapat sebegitu. Biasanya, kalau mereka berjumpa pasti Rania akan tunjuk muka ketat dia.”
“Yakah? Aydin tak rasa macam tu pun.”
“Memanglah kamu tak rasa sebab kamu tu masih muda. Tak kenal apa erti cinta.”
Aydin mencebik. “Cinta? Tak mungkinlah mereka berdua bercinta. Aydin kenal sangatlah kakak Aydin tu. Selagi dia tidak jumpa kawan baik dia selagi itulah dia tidak mahu bercinta dengan mana-mana lelaki di Loka Ayangan ini.”
“Yalah tu. Tapi abang memang suka tengok mereka berdua. Rania tu dah 24 tahun. Raid pula 27 tahun. Mereka berdua memang dah boleh kahwin dah.”
“Abang Aelan jangan pula pandai-pandai nak kenankan mereka berdua tu pada ayahanda dan bonda kami. Abang kenal kakak Rania tu macam mana, kan?” Ish! Abang sepupu aku ini memang tidak mahu dengar cakap aku, kan.
“Ala, rajuk dia tu bukan panjang pun.”
Aydin menggeram. Yang penat pujuk bukan abang tapi aku, Aydin membebel dalam hati.
***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****
HAYAAZ AYISH singgah ke rumah kakaknya sebentar. Dia bosan duduk di rumah bujangnya itu. Lagipun, Elan tidak ada di rumah sekarang ini. Lelaki itu sibuk mengambil gambar di luar kota Amaryllis.
“Kamu tak penatkah hadap laptop tu 24 jam. Kalau akak, akak memang tak larat nak hadap benda tu semua.”
“Itu kak Adina. Hayaaz lain. Hayaaz ni penulis. Biasalah nak kena hadap laptop. Lagipun, benda ni dah macam nyawa kedua Hayaaz tau.”
“Yalah tu. Kalau mata tu rabun karang padan dengan muka.”
“Mata Hayaaz juga. Bukan mata akak pun.”
Adina menggeram. Kecil besar saja dia tengok adiknya itu. Tapi dia tidak boleh marah sekarang. Nanti tambah berkedut pula wajahnya. Lagipun hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum hari perkahwinannya. Dia sudah membayangkan dirinya naik pelamin.
“Eee! Tak sabarnya. Akak tak sabarlah nak kahwin!”
Hayaaz mencebik.
“Memang patut kahwin pun. Akak tu bukan muda lagi. 29 tahun. Sekarang ni sepatutnya dah beranak-pinak dah.”
Perlahan tetapi didengari oleh Adina. Laju dia ke tempat adiknya yang duduk di ruang tamu itu. Dipulasnya telinga Hayaaz dengan kuat.
“Aduh, kak! Sakitlah!!” Hayaaz menarik tangan kakaknya.
“Tau sakit. Perli lagi, siaplah.” Adina menjelingnya. Dia menghenyakkan punggung di sebelah adiknya.
Hayaaz mengajuk katanya.
“Yang kau tu. Umur dah 26 tahun tapi masih membujang. Cubalah tutup laptop tu dulu. Keluar cari teman wanita. Lupakan dunia penulisan kau tu sekejap.”
“Ish, tak naklah. Hati Hayaaz tak terbuka lagi nak cari peneman hidup. Sekarang ni Hayaaz nak fokus dengan benda ni dulu.”
“Ergh! Lantak kaulah. Nanti, kalau papa dengan mama tanya. Kau jawablah sendiri. Kakak tak nak bantu.” Adina berdiri dan ke dapur.
“Oh, Hayaaz lupa. Kak Adina boleh tak jangan sebut dua orang tu. Hayaaz tak suka.” Suaranya tegang.
Adina tersentak. Dia tidak jadi ke dapur.
“Hayaaz. Yang lepas, lepaslah.”
“Itu akak. Tapi, Hayaaz tak. Hati Hayaaz ni masih sakit lagi dengan perbuatan mereka tu.”
“Hayaaz...”
“Sudahlah kak. Kak pergilah masak. Hayaaz nak buat kerja Hayaaz dulu.” Dia terus naik ke atas membawa laptopnya.
Adina mengetap bibir. Begitu susah sekali dia hendak memujuk adiknya itu. Degil.
MATANYA masih melekat pada skrin laptop. Jari-jemarinya pula sibuk menari-nari di atas papan kekunci. Banyak sungguh idea yang dicurahkan olehnya ke dalam cerita barunya itu.
Sebelum ini, Hayaaz telah menulis lima buah cerita dan telah berjaya dibukukan dan dipasarkan ke kedai-kedai buku termasuklah kedai buku pak cik saudaranya. Tiga daripada lima cerita itu adalah cerita seram dan selebihnya cerita cinta-seram. Dia bersyukur kerana semua ceritanya di terima baik oleh semua golongan pembaca.
Tapi, kali ini dia ingin mencuba genre baru. Dia teringin hendak membuat cerita cinta yang berbeza daripada apa yang dia selalu baca dan tengok di kaca televisyen. Tetapi, malangnya dia sendiri tidak tahu hendak mula bagaimana. Sedangkan jalan ceritanya yang sekarang ini juga tidak dapat memuaskan hatinya.
“Ish, dah sebulan lebih masih hadap bab yang sama saja. Padahal cerita cinta ni lagi senang daripada cerita seram.” Hayaaz melepas keluh. Dia mengurut belakang tengkuknya yang mulai terasa lenguh.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi meminta dijawab. Panggilan daripada teman serumahnya.
“Hello.”
“Hayaaz! Kau dekat mana?’
Hayaaz garu kepala. Dia bangun dan ke dapur. Kakaknya sudah keluar ke pasaraya.
“Aku dekat rumah kakak aku. Kenapa?”
“Aku ingatkan kau dekat rumah. Tadi, aku pergi galeri. Saja cuci mata tengok lukisan dekat sana.”
“Eh, bukan kau pergi ambil gambar dekat luar kotakah?”
“Ya. Tapi, tak jadi. Aku lupa bawa kamera aku. Jadi, aku ke galeri. Lagipun aku dapat tahu yang hari ni ada lukisan-lukisan baru sampai.”
“Kau pantang dengar ada lukisan baru mesti nak ke sana. Eh, Elan. Aku bagi kau amaran. Kalau kau beli lagi...”
“Aku dah tempah pun. Aku tempah satu. Lusa atau hari ni mereka akan hantar lukisan tu ke rumah.” Potong Elan.
“Kau ni ada-ada saja, kan. Kau tau tak dekat rumah tu dah banyak sangat lukisan-lukisan yang kau beli. Kau nak letak dekat mana lagi lukisan baru tu, hah?” Hayaaz mengurut dahi. Mana lagi temannya ini mahu letak lukisan baru yang ditempah olehnya itu nanti. Sudahlah rumah itu macam galeri lukisan. Banyak tergantung di sana sini. Sehinggakan lukisan-lukisan yang lain terpaksa di simpan di dalam bilik.
Pernah sekali dia menyuruh Elan menjual sebahagian daripada lukisan-lukisan tersebut tetapi temannya tidak mahu. Apatah lagi menyuruhnya memindahkan lukisan-lukisan itu ke rumah keluarga. Katanya, setiap lukisan itu mempunyai maknanya yang tersendiri. Dia sayang dengan lukisan itu semua dan tidak mahu berpisah dengan lukisan-lukisan tersebut.
“Dekat rumahlah.”
Hayaaz menarik nafas dalam. Kalau diikutkan hati memang dia hendak marah temannya ini.
“Suka hati kaulah.” Hayaaz terus mematikan talian. Malas dia hendak memikir panjang tentang hal temannya itu. Lebih baik dia cari ilham untuk ceritanya ini.
Share this novel