ENJIN kereta sudah dimatikan. Masing-masing keluar dari perut kereta dengan perasaan gementar. Entah, bagaimanalah reaksi Adina melihat Rania nanti?
“Wah!” Teruja sungguh si Rania. Sekejap dia ke sana dan sekejap dia ke sini. Asyik sungguh dia memerhatikan rumah-rumah teres yang ada di sekelilingnya itu.
Hayaaz dan Elan tepuk dahi. Sepertinya di tempat Rania itu tidak ada rumah-rumah seperti ini.
“Puteri Ayanna Rania.”
Rania menjeling Hayaaz. “Rania. Jangan panggil saya dengan nama panjang saya tu. Saya tak suka!” Dia mendengus geram.
“Okey. Okey. Rania. Puas hati?”
“Ya.” Rania kembali meneliti rumah-rumah di sebelah kanannya. Ada macam-macam gaya halaman rumah mereka dan semuanya cantik.
“Ah, pedulikanlah dia tu. Sekarang ni macam mana? Kau nak teruskan jugakah?” Elan kurang yakin pula. Takut sekiranya kakak Hayaaz tidak mahu menerima tetamu untuk tinggal di rumahnya.
“Yalah. Habis, takkan kita nak bagi Rania tinggal dekat hotel pula? Mahal tu.”
“Kalau kakak kau tanya siapa dia ni, apa kau nak jawab?” Sesekali matanya mengerling ke arah Rania yang sedang leka dengan dunianya sendiri.
“Ceritakan sajalah semuanya.” Tenang sahaja di Hayaaz membalas.
“Hayaaz! Elan!”
Kedua-dua jejaka itu tersentak. Mereka menoleh ke arah Adina dengan sengihan.
“Tadi kakak dengar bising-bising dekat luar ni. Rupanya kamu berdua. Kenapa tak masuk dalam?”
“Err...”
“Tak sangka rumah-rumah dekat sini cantik-cantik belaka. Tak sama macam rumah-rumah kampung yang ada di tempat saya.”
Adina terkejut. Dia memandang Hayaaz dan Elan silih berganti.
“Siapa perempuan ni?” Soal Adina sambil berpeluk tubuh dengan kening yang terangkat sebelah.
Mereka terkelu lidah. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya.
“Kekasih kaukah Elan?”
Elan pantas menidakkannya.
“Atau kekasih kau Hayaaz?”
“Tak. Saya kawan mereka. Saya Rania.” Laju Rania menolak ke tepi kedua-dua jejaka itu. Dia menyimpul senyuman lebar buat Adina.
“Kawan?” Dari atas ke bawah Adina meneliti perempuan di hadapannya itu. Pelik. Setahu aku perempuan macam ni bukannya jenis kesukaan mereka berdua. Sudahlah berpakaian gaun pelik. Rambutnya pula banyak hiasan. Dia ni baru balik dari parti pari-parikah?
“Panjang ceritanya kak Adina. Rania ni bukannya manusia biasa tau.”
“Habis, dia ni siapa kalau bukan manusia biasa?” Adina bingung.
“Nanti kita cerita dekat dalam, ya.” Hayaaz terus menolak kakaknya masuk ke dalam rumah. Elan dan Rania membuntuti mereka dari belakang.
SEGALA-GALANYA telah diceritakan oleh Hayaaz dan Elan. Rania siap menunjukkan lagi kuasa sihirnya pada Adina. Terkejut besar juga Adina apabila melihat benda-benda di sekelilingnya itu bergerak dan ada juga yang berterbangan di ruang rumahnya itu.
Sejam berlalu dan Adina masih lagi mendiamkan diri di ruang tamu. Dia membiarkan sahaja mereka bertiga makan terlebih dulu. Dia masih memikirkan sama ada mahu perempuan itu tinggal di sini atau pun tidak. Tapi, dia kesian melihat Rania yang tidak punya sesiapa pun di sini.
“Wah! Sedap! Sedap!”
Hayaaz dan Elan terkejut melihat tingkah Rania itu. Sampai menjilat pinggan dan sudu sekali.
“Rania. Awak kata awak tu puteri. Beginikah perangai puteri yang sebenar, huh?”
“Aku tengok kau ni pun langsung tak ada rupa macam puteri.” Kata Elan pula.
“Saya memang puterilah. Cuma di sini saya tak nak jadi puteri. Saya nak jadi macam orang lain. Saya nak jadi orang biasa. Saya penat tau tak! Hari-hari kena jaga adab. Hari-hari kena itu dan ini. Nak keluar dari istana pun kena tipu dulu baru dapat keluar.” Luah Rania.
Mereka tersentak. Begitu juga dengan Adina.
“Hmm... Kalau macam tu kakak setuju. Biar Rania tinggal dengan kakak saja. Lagipun Rania tak ada siapa-siapa dekat sini, kan.”
Rania senyum lebar. Laju dia memeluk Adina. “Terima kasih kak Adina!”
MEREKA berdua meminta diri untuk pulang. Rania sempat mengeluarkan lukisan kanvas dan juga kotak yang diberikan oleh bondanya itu.
“Err... Rania boleh tak lukisan tu aku ambil balik?”
Rania menjelingnya dengan tajam. “Saya kata ini milik saya. Awak tak boleh ambilnya semula!” Rania memeluk kuat lukisan kanvas itu.
“Sudahlah tu Elan. Biarkan sajalah Rania ambil lukisan ni.”
“Tapi kak Adina. Lukisan tu mahal.”
“Tak apa. Nanti, pandai-pandailah akak tengok nanti.”
“Yalah. Kalau macam tu kami pulang dululah.” Elan masuk ke dalam perut kereta dengan perasaan kecewanya.
“Kak Adina, tolong jaga dia baik-baik ya. Apa-apa telefon Hayaaz.” Pesan Hayaaz pada kakaknya.
“Jangan risaulah! Kakak pasti akan jaganya dengan baik.” Katanya sambil memeluk bahu Rania.
Rania pula masih dengan wajah tegangnya. Apa tidaknya, Elan masih merenung lukisan dalam pelukannya itu. Rania menjelir lidah dan terus masuk ke dalam rumah. Dua beradik itu menggelengkan kepala.
“Hayaaz pulang dululah.”
“Pesan dengan Elan. Hati-hati memandu.”
Hayaaz angguk kepala dan terus pergi.
ADINA pening kepala melihat tingkah Rania di rumahnya. Semua benda dia kena terangkan. Rania kata, benda-benda yang ada di dalam rumah ini langsung tidak ada di Loka Ayangan.
“Rania, awak tak nak tidur lagikah?” Terkantuk dia menunggu perempuan itu di ruang dapur. Tadi, habis semua benda di ruang tamu dan di dalam bilik tidur itu di usik olehnya. Sekarang ini di bahagian dapur pula. Sempat juga Adina melirik mata ke arah jam dinding. Hampir jam 12.00 tengah malam.
“Sekejap lagilah kak Adina. Rania tak habis lagi tengok mesin ni bergerak.” Rania masih bermain dengan pengisar makanan itu. Tidak lama kemudian tangannya menyentuh pula pembakar roti yang berada di sebelah mesin pengisar makanan itu.
“Esok masih ada, kan. Rania tak penatkah?” Adina cuba memancingnya.
“Penat. Tapi, Rania masih nak tengok benda ni semua.”
Adina menjulingkan matanya ke atas. Kalau dilayan budak ni, sampai ke pagilah aku tak tidur.
Lantas dia menarik lengan Rania. “Esok sambung. Dah lewat malam ni. Kalau tak tidur, bengkak mata tu pagi-pagi nanti.”
“Tapi...”
Adina tidak peduli. Dia terus menarik Rania naik ke atas. Malam ini Rania tidur di biliknya kerana bilik tetamu belum dikemaskan lagi.
PUTERI AYANNA RANIA tidak dapat melelapkan matanya. Dia bangun dan menuju ke arah cermin. Dia membelek-belek dirinya di cermin itu. Penampilannya nampak biasa dengan baju t-shirt lengan pendek dan juga seluar panjang.
Rania kemudiannya membelai rambutnya yang panjang hingga paras pinggang itu. Semua perhiasan rambut telah dibuka oleh Adina sebelum dia ke bilik air tadi. Ketika itu dia teringat sesuatu. Laju dia ke katil semula.
Kotak yang bondanya beri kepadanya itu diambil dan dibuka. Terkejut dia melihat bola-bola sakti yang ada di dalam kotak tersebut.
“Rania tak tidur lagikah?” Adina terbangun apabila tidurnya diganggu oleh kilauan cahaya yang datang dari kotak Rania itu.
“Tak. Saya tak dapat tidur.” Jawab Rania. Tangannya laju membuka satu persatu bola sakti itu.
Adina bangkit dari tidurnya. Dia mendekati Rania yang sedang memegang bola bercahaya itu.
“Ini apa Rania?” Tanya Adina. Dia tiba-tiba tertarik dengan benda yang ada di dalam kotak tersebut.
“Ini bola sakti. Setiap bola ini ada menyimpan benda yang Rania perlukan.”
Adina mengerutkan dahi. Dia terus diam apabila Rania mula membuka satu persatu bola sakti itu.
“Apa benda ni semua Rania?” Soal Adina sekali lagi apabila melihat benda-benda pelik yang keluar dari bola-bola sakti tersebut.
“Rania kurang pastilah kak Adina. Rania pun tak pernah nampak benda-benda ini semua. Tapi...” Dia mengambil salah satu barang yang ada di atas kotak itu.
“Ini saja yang Rania tahu. Ini loket pengesan. Harap-harap ini boleh bantu Rania cari teman Rania di sini.” Rania terus memakai loket tersebut.
Sementara Rania mencuba loketnya Adina menyentuh salah satu barang yang ada di situ. Dia memerhati si di dalam botol kecil. Ada cecair berwarna biru pekat di dalamnya.
“Cecair apa pula ni?” Geli pula Adina melihat cecair itu. Dia meletakkan semula cecair itu di tempatnya dan kemudian mengambil lagi salah satu barang yang ada di situ.
“Ini pil apa pula? Gelang ni untuk apa pula?” Tidak cukup dengan itu, bola suara itu juga di usik olehnya. Entah di mana silapnya bola suara itu terjatuh dari genggamannya dan kemudian mengeluarkan bunyi.
Rania tersentak mendengar suara bondanya. Masing-masing mendiamkan diri mendengar pesanan itu.
BERKALI-KALI dia melepaskan keluhan. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi. Dia pula masih memikirkan pesanan bondanya itu. Terkejut juga dia apabila mengetahui hal tersebut. Rupanya, Lamont dan anak-anak buahnya selama ini sudah merancang sesuatu di sana. Bukan main risau lagi bondanya apabila mengetahui dia dengan adiknya mempunyai kuasa sihir. Disebabkan itulah bondanya telah merancang semua ini.
“Tak sangka pula bonda lebih cepat bertindak daripada aku.” Sekali lagi dia menghela nafas. Mujurlah ada bonda membantu Aydin menghapuskan kuasa sihirnya. Tapi aku tetap risau. Bagaimana kalau ahli-ahli sihir di sana tahu tentang hal ini. Pasti mereka akan cari aku di sini, kan? Yalah, aku mana ada dekat sana. Aku harap adik aku dengan yang lain dapatlah buat sesuatu sepanjang aku tidak ada di sana.
Matanya tertumpu pula pada gelang tangan yang dipakai olehnya itu. Saiz gelang tangan itu tadi bukannya kecil seperti yang tersarung di pergelangan kirinya itu sekarang. Sebaik sahaja dia memakai gelang tersebut terus saiznya berubah. Berkali-kali dia mencuba untuk menanggalkan gelang tangan itu tetapi tetap gagal juga.
Nampak seperti gelang tangan mutiara tetapi sebenarnya bukan. Pesan bondanya, ini adalah undang-undang Loka Ayangan. Setiap mereka yang keluar daripada dimensi itu pasti akan memakai benda ini dan tidak boleh ditanggalkan setelah memakainya. Benda ini akan mengawal mereka ke mana sahaja mereka pergi. Gelang tangan ini akan beri amaran kepada mereka agar tidak jatuh cinta mana-mana makhluk di luar dimensi Loka Ayangan. Sekiranya aku jatuh cinta pada mana-mana lelaki di sini pasti aku akan jadi debu. Bola-bola kecil yang ada pada gelang tangan ini akan bertukar warna setiap kali aku tidak dapat mengawal perasaan suka aku pada manusia di sini. Haaih...
“Pil tu Rania nak kakak simpankankah?” Adina muncul dengan dua cawan coklat panas. Dia memberikan satu cawan coklat panas itu kepada Rania.
Rania masih mendiamkan diri. Mungkin dia tengah berfikir.
Kesian Adina melihat Rania yang dari tadi bermasam muka. Dia sudah mendengar semua apa yang dikatakan oleh bonda Rania itu. Pil yang di pegang oleh Rania itu adalah pil Fomori. Kegunaan pil itu untuk melupakan memori yang tidak sepatutnya di ingat lagi. Pil itu bukan untuk Rania tetapi untuk dia dan juga orang-orang yang tahu mengenai Rania.
“Kakak simpanlah.” Rania memberikan pil itu kepada Adina.
“Cecair ni pula?”
“Patutkah Rania minum cecair ni?” Rania meminta pendapat memandangkan Adina sudah mengetahuinya.
“Akak rasa patut. Sebab manusia dekat sini tak ada macam Rania. Lagipun ini untuk keselamatan Rania juga.”
“Tapi...” Sayang pula dia kalau tidak ada kuasa sihirnya itu nanti.
“Bukan Rania ada kata yang Rania nak jadi macam orang lain? Nak jadi orang biasa?”
Rania angguk perlahan.
“Kalau nak jadi orang biasa kenalah minum cecair ni. Orang biasa mana ada kuasa-kuasa sihir ini semua.”
“Betul juga. Jadi kena minumlah benda ni?” Rania tidak yakin.
“Rania jangan risau. Kalau Rania minum sekalipun Rania masih ada loket pengesan Rania tu. Rania boleh cari teman Rania dengan loket tu juga, kan.” Pujuk Adina.
Rania berfikir lagi.
“Tak apa. Kakak ke dapur dulu. Rania fikir-fikirkanlah, ya. Kalau tak ada kuasa pun Rania boleh hidup macam orang lain juga. Kakak kan ada untuk Rania.” Adina menyentuh pipi Rania sebelum beredar dari situ.
Share this novel