KOTA AMARYLLIS. Rania masih susah hati. Sudah dua hari dia memikirkan kuasa sihirnya yang mungkin tidak akan pulih lagi. Adina beberapa kali memujuk dan menenangkannya tetapi semua usaha itu hanya sia-sia sahaja.
Lebih baik aku jumpa Qiandra, katanya dalam hati.
Selesai berpakaian dia terus keluar. Tapi langkahnya terhenti apabila melihat sebuah kereta berhenti di depan rumah. Kereta itu milik Elan. Cepat-cepat dia bersembunyi di belakang pokok besar dalam kawasan rumah itu.
“Janganlah dia nampak aku dekat sini.” Rania mengetap bibir sambil memerhati Elan keluar dari kereta menuju ke pagar rumah.
Beberapa kali jugalah Elan memanggil namanya. Tetapi Rania tetap diam membisu di belakang pokok itu. Namanya sekali lagi dipanggil dan kali ini Adina yang keluar.
“Awalnya kau datang Elan.”
Elan tersengih malu.
“Sebenarnya saya cari Rania. Dia ada?”
“Rania tak ada. Kakak tak tahu dia ke mana.” Kata Adina dengan rambutnya yang kusut masai.
Elan kecewa mendengar jawapan itu.
“Hmm... Mungkin dia pergi kedai buku. Kamu cari sajalah dia di sana.”
“Yalah. Saya pergi dulu.” Elan bergerak pergi.
CUACA agak redup. Rania meneruskan perjalanan ke rumah teman baiknya. Nasibnya baik kali ini. Dia dapat mengelak daripada berjumpa dengan Elan. Cutinya juga diterima oleh Encik Taha. Tentang Adina dan Hayaaz, dia langsung tidak memberitahu mereka ke mana dia pergi hari ini.
Rania membelok ke kiri. Langkahnya mati apabila melihat seorang lelaki menuju ke rumah Qiandra. Laju dia bersembunyi di belakang sebuah kereta yang dia sendiri tidak tahu siapa pemiliknya. Kereta itu berparkir di tepi rumah tidak jauh dari rumah teman baiknya.
“Siapa lelaki itu?” Tanya Rania pada dirinya. Berkerut-kerut dia memerhatikan tingkah lelaki itu dengan Qiandra.
“Tersenyum saja si Qiandra dengan lelaki tu. Takkanlah pengganti abang Rehan?” Penat duduk mencangkung dia berdiri pula sambil membongkokkan tubuhnya. Dia tidak mahu dirinya dilihat oleh mereka mahupun orang lain.
Lama juga dia perhatikan dua pasangan itu. Lelaki itu kemudiannya memberikan Qiandra sebakul buah-buahan dan juga makanan ringan. Kalau abang Rehan nampak mereka berdua ini pasti dia akan rasa menyesal. Mungkin juga dia akan marah, fikir Rania.
Beberapa minit berlalu. Mereka masih lagi berbual di luar pagar rumah. Rania menumbuk lembut betisnya yang mula terasa kejang.
“Adiandra! Hati-hati jalan.” Jeritan Qiandra membuatkan Rania berpaling laju ke arah temannya.
“Adiandra? Bukankah itu lelaki yang Qiandra cerita sebelum ini?”
Rania berfikir. Matanya masih melekap pada lelaki itu yang telah jauh meninggalkan kawasan rumah.
“Ah, hari ini aku tak jadilah pergi rumah kau. Maaf, Qiandra.” Rania terus mengekori lelaki yang bernama Adiandra itu.
PUTERI AYANNA RANIA memaku pandangan ke arah tandas awam lelaki dari jauh. Tidak ramai orang lalu di tasik Dhura dengan cuaca yang semakin mendung ini. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Tapi dia tetap bertahan duduk di pondok sambil menunggu lelaki itu keluar. Dia siap mengira dan perhatikan lagi lelaki-lelaki yang keluar masuk dari tandas awam itu.
“Ish, mana dia ni? Tak keluar-keluar lagi dari tandas tu.” Rania menggeram. Hampir setengah jam dia menunggunya.
Rania mengetap bibir sambil memintal hujung rambut. “Adiandra. Adiandra. Keluarlah kau. Aku ada banyak soalan nak tanya dengan kau ni.” Dia menggumam sambil memeriksa mesej yang masuk ke telefonnya. Mesej dari Hayaaz dan Elan itu dipandang sepi tanpa balasan.
Rania mengangkat wajah. Ketika itu dia terpandang seorang lelaki yang baru keluar daripada tandas awam tersebut.
“Abang Rehan? Bila masa pula dia masuk tandas tu?” Rania cuba mengingat lelaki-lelaki yang keluar masuk ke tandas itu tadi. Dia yakin Rehan tidak ke situ.
Rania mengamati lelaki itu. Ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Pakaian yang dipakai oleh Rehan sama seperti pakaian yang dipakai oleh Adiandra tadi. Lantas Rania mengekorinya perlahan dari belakang. Setiap gerak-geri lelaki itu diperhatikan olehnya.
Rehan berhenti di sebuah pondok. Tempat itu agak sunyi dan jauh daripada orang ramai. Rania bersembunyi di sebalik pokok besar sambil memerhatikannya. Lelaki itu sedang menjawab panggilan. Rania pasang telinga. Dia cuba mendengar perbualan tersebut.
Tidak sampai 10 minit, Rehan mematikan talian. Ketika itu tingkahnya mencurigakan Rania. Kenapa dengan abang Rehan tu? Tanya Rania dalam hati. Dia terus memerhatikan lelaki itu.
Rania melopong. Dalam sekelip mata sahaja rupa lelaki itu bertukar. Rehan bertukar menjadi Adriandra!
“Tidak mungkinglah. Abang Rehan dengan Adriandra adalah Orang yang sama?!” Rania menekup mulut. Tidak percaya dengan apa yang dilihat olehnya.
Lelaki itu bergerak pergi. Pantas Rania mengekorinya. Rehan yang sudah bertukar menjadi Adriandra itu berpatah balik ke rumah Qiandra.
“Kenapa dia ke situ lagi?” Rania bingung. Nampaknya, hari ini kerjanya mengekori Rehan sahaja. Dia perlu tahu kenapa Rehan buat seperti itu.
MINI KAFE. Rania duduk termenung di hujung kafe. Hidangan sepotong kek dan juga minuman teh jasmin yang masih hangat itu dibiarkan tanpa usik. Hal tadi masih berlegar-legar di kepalanya.
Tidak sangka rumah Rehan hanya di sekitar kawasan perumahan D’Cherry. Rumah lelaki itu tidak jauh dari rumah Qiandra. Tapi kenapa Qiandra tidak dapat mengesannya? Padahal jarak rumah mereka tidak jauh pun.
Dia membuang pandang ke luar dinding kaca yang luas itu. Hujan turun dengan begitu lebatnya. Apa yang dia boleh buat sekarang ini hanyalah duduk sambil menikmati hidangannya sementara menunggu hujan berhenti.
“Rehan. Adiandra. Rehan. Adiandra...” Berulang kali dia menyebut nama itu. Sungguh dia masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi.
Kasihan Qiandra. Dia tidak tahu pun selama ini abang Rehan ada di depan mata dia saja. Tapi, aku masih belum puas hati lagi. Aku sudah ikut dia sampai ke rumahnya tapi aku tak dapat masuk ke sana, Rania mengerut-ngerutkan dahi.
Dia berpeluk tubuh sambil menggigit bibir bawahnya. “Hmm... Aku patut siasat lebih pasal abang Rehan.”
“Siasat siapa?”
Rania tersentak. Dia mendongak dan tergamam.
“Elan! A... apa awak buat dekat sini?”
Elan tersenyum miring. Dia menarik kerusi dan menghenyakkan punggungnya.
“Aku cari tempat berteduh sementara tunggu hujan berhenti. Tak sangka pula jumpa kau dekat sini.”
Rania mencebik. Banyak-banyak tempat, kafe ini juga yang kau pilih. Ergh!
“Rania.”
“Apa?” Dia menghirup tehnya.
“Sebenarnya pagi tadi aku cari kau.”
Ya, aku tahu kau memang cari aku tadi. Jawabnya dalam hati.
“Buat apa awak cari saya?”
Elan tersengih dan kemudian berdeham. Rania menjelingnya.
“Sebenarnya aku nak bawa kau keluar jalan.”
“Ke mana?”
“Mana-mana saja. Kalau boleh, aku nak bawa kau keluar sehari dua. Aku nak bawa kau pergi melawat tempat-tempat menarik dekat kota Amaryllis ni.”
“Kalau saya kata tak nak?”
Elan berubah riak.
“Ja... janganlah begitu. Aku memang serius nak bawa kau keluar jalan.” Nadanya kedengaran agak kecewa.
Rania berdiri. “Elan. Walaupun kita dah kenal sebulan lebih tapi tak bermakna saya sesuka hati saja terima ajakan awak.”
“Tapi takkan ajak keluar pun tak boleh?” Elan mengeluh.
Rania mahu membalasnya tetapi tidak jadi apabila Elan menyambung bicaranya semula.
“Dengan Hayaaz awak senang saja terima. Kalau aku, kau asyik tolak saja.”
“Elan, Hayaaz lain. Awak dengan dia tak sama.”
Elan diam. Kemudian senyum sinis. “Kenapa? Sebab dia lelaki baik. Sedangkan aku kau pandang lelaki yang nakal. Kaki perempuan. Begitu?”
Rania terkedu. Wajah Elan tegang ketika itu.
“Bukan itu maksud saya, Elan.”
“Habis apa?” Renungan tajam diberikan kepada Rania.
Rania diam. Tidak tahu hendak membalas apa dengannya. Jauh di sudut hatinya, dia lagi selesa berkawan dengan Hayaaz berbanding dengan lelaki di hadapannya ini. Haaih... Alasan apa yang aku hendak berikan kepada Elan ini? Dari mula lagi aku memang tidak suka dan tak selesa bila berhadapan dengannya. Ah, baik aku ke tandas dulu. Biarlah dia bersendirian di sini.
Elan memandang dengan ekor mata apabila Rania bergerak ke belakang kafe. Dia menghela nafas berat.
Share this novel