HARI ini Rania tidak ke tempat kerja. Dia sudah memaklumkan hal itu kepada encik Taha semalam. Dia juga sudah meminta izin daripada Adina untuk keluar seharian hari ini.
Rania meneruskan langkahnya. Tenang saja dia berjalan di sepanjang tepi tasik itu. Cuaca ketika ini tidaklah terlalu panas. Angin yang bertiup pun tidak terlalu kuat. Dia suka dengan cuaca seperti ini. Redup dan berangin.
Seperti hari-hari kelmarin, dia ke hujung tasik mencari temannya. Dia yakin Puteri Qiandra masih ada di kawasan situ. Lagipun, di hujung tasik itu ada kawasan perumahan D’Cherry. Dia juga yakin yang Rehan juga ada tinggal berdekatan dengan kawasan perumahan tersebut.
Dia mengeluh. “Kenapalah aku tidak tanya dia semalam. Kalau aku tahu rumah dia, aku terus saja ke sana. Ini tidak! Terpaksalah aku cari Qiandra dekat tempat biasa tu.”
Rania terkeju apabila telefonnya berdering. Cepat dia menjawab panggilan tersebut tanpa melihat siapa pemanggilnya.
“Ha... Hayaaz.” Rania telan liur saat mendengar suara garau itu.
“Uncle Taha bagitahu yang awak tak datang ke kedai buku hari ini.”
“Ya. Jadi, kenapalah kalau saya tak datang ke sana?” Rania mencebik. Menyesal dia tidak lihat nama pemanggil tadi. Tapi, nasib baiklah yang menelefonnya ini bukan si Elan.
“Awak tahu tak saya risau. Sekarang awak dekat mana? Rumah?”
“Saya ada dekat tempat lain. Awak tak payahlah nak ambil tahu. Saya tahu jaga diri saya juga.”
“Jaga diri macam mana? Awak kan masih belum kenal semua tempat di kota Amaryllis ni.”
“Saya bukannya nak melawat satu kota Amaryllis ni pun. Saya cuma nak pergi satu tempat saja.”
“Tempat mana?” Keras dia menyoalnya.
Rania garu tepi lehernya. Banyak tanya pula lelaki ni, dia mengetap gigi.
“Tak payahlah tahu.”
“Saya perlu tahu Rania. Kalau awak hilang macam mana?”
Rania mengepal tangan seiring dengan mata yang dijulingkan ke atas.
“Saya bukannya budak kecil lagi. Saya tahulah jalan balik nanti.” Rania menggeram.
“Budak kecil pun boleh hilang. Ini kan awak yang dah dewasa. Bagitahu sajalah. Biar saya datang ke sana ambil awak.”
“Tak nak!”
“Rania...” Hayaaz membebel lagi.
Rania mengeluh. Dia menjauhkan telefon itu dari telinganya. Dalam kiraan tiga dia terus mematikan panggilan tersebut. Dia tidak kisah kalau lelaki itu mahu memarahinya selepas ini. Apa yang penting sekarang adalah misi mencari temannya semula. Dia berharap sangat Puteri Qiandra atau Rehan muncul di depan mata.
DIA duduk di bawah pokok rendang sambil menikmati aiskrim mangkuk berperisa strawberi yang dibelinya tadi. Telefonnya yang asyik berdering langsung tidak dijawab olehnya. Dia tahu siapa pemanggil tersebut. Siapa lagi kalau bukan Hayaaz.
Hayaaz tidak henti-henti menghubunginya sejak dia mematikan panggilan tadi. Tetapi dia malas hendak menjawabnya. Tidak pasal-pasal nanti lelaki itu membebelnya lagi. Lebih baik biarkan saja telefon itu berdering di dalam beg sandang kecilnya daripada menjawabnya.
Rania menggenggam rantai saktinya itu sambil mencari kelibat Qiandra dan juga Rehan. Cahaya yang keluar daripada batu permata biru itu semakin kuat. Dia yakin salah seorang daripada mereka berdua itu ada tidak jauh dari tempat dia duduk ini.
“Qiandra. Rehan. Qiandra. Rehan.” Bersilih ganti dia menyebut nama mereka sambil meliarkan pandangan di kawasan tasik itu.
Sekejap-kejap dia menggaru tepi kepalanya yang berkeringat. Sudahlah dia lupa hendak bawa tisu. Bahagian leher pakaiannya pula yang digunakan untuk mengelap peluh di wajah.
Sekali lagi telefonnya berdering. Dia menjulingkan mata ke atas. “Ish! Dia ni tak penatkah telefon aku?!” Dengan perasaan marah dia menarik keluar telefonnya dari dalam beg sandang itu.
“Kak Dania?” Keningnya bertaut melihat pemanggil tersebut. Lantas dia menjawab panggilan.
“Ada apa kak Dania telefon saya ni?” Tanya Rania.
“Kakak cuma nak tanya. Rania ada dekat mana sekarang ni? Akak baru perasan yang Rania tak ada dalam kedai buku ni. Semua orang cari Rania tau kecuali si kak Masha tu.” Dia tersengih di hujung ayat.
“Uncle Taha tak bagitahukah?” Pelik. Semalam, uncle Taha kata dia akan maklumkan pada mereka semua yang aku tak pergi ke sana hari ni.
“Tak ada pun. Lagipun, uncle Taha tak ada dekat sini. Katanya, ada urusan di luar.”
“Yakah? Mungkin uncle Taha lupalah tu.”
“Rania tak datang sini sebab sakitkah?” Dania melanjutkan pertanyaannya.
“Saya tak sakitlah. Saya cuma tak nak datang ke sana hari ni. Sebab saya ada urusan lain.”
“Urusan apa?”
“Sa... saya cari sesuatu.”
“Dekat mana?”
“Tasik Dhura.”
TUTT....
Rania memandang telefonnya. “Aik? Tiba-tiba kak Dania tutup telefon ni, kenapa?”
Dia cuba mendail nombor telefon Dania. Namun, tidak bersambut. Sebaliknya, suara lembut dan sopan operator itu pula yang menjawab.
“Ish, tutupkah? Atau telefon kak Dania dah habis cas?” Lama dia berfikir sebelum meletakkan telefon itu semula ke dalam beg sandang.
Tekaknya terasa kering. Baru sahaja dia mahu membuka penutup botol air mineralnya, tiba-tiba dia ditegur oleh seseorang dari arah belakang. Lantas Rania berpaling.
“Qian...”
“Kau tahu tak?! Disebabkan kau, aku jadi serba salah.” Qiandra melepaskan marahnya.
“Ke... kenapa pula?” Soalnya. Jarak mereka agak jauh sedikit.
“Kau sendiri tahu yang aku tak boleh tengok kau merajuk. Aku tahu. Kelmarin pasti kau sedang merajuk dengan aku, kan?”
Rania diam. Bila masa pula aku merajuk dengan dia? Aku cuma marah. Geram bila dia tinggalkan aku kelmarin macam tu saja.
“Aku tak tahu kenapa kau tiba-tiba muncul di sini cari aku. Tapi, kau tak boleh paksa aku ikut kau.” Qiandra terus membelakanginya. Dia mahu menyeberang jalan ke kawasan perumahan D’Cherry.
Rania tidak keruan melihat temannya pergi. Lantas dia mengerjarnya. Tapi, malang tidak berbau apabila dia tersandung akar kayu dan terjatuh ke dalam parit. Mujurlah parit itu tidak terlalu dalam.
“Aww!!”
“Rania!” Laju Qiandra berpatah balik. Dia memapah Rania keluar dari parit kecil itu. Habis seluar temannya basah. Kotor lagi. Lutut dan lengan kanan Rania pula luka berdarah.
“Nasib baik luka kecil saja. Kalau kau pengsan macam mana?!” Bertambah marah si Qiandra.
Rania tersengih. “Risau juga kau, ya.”
“Mestilah! Kalau ada apa-apa jadi, siapa yang susah nanti? Walaupun, kita dengan mereka sama tapi darah kita dengan darah orang-orang di bumi ini berbeza, tahu!” Marah Qiandra. Hal inilah yang dia paling risau dan takuti sekali. Walaupun dia manusia tetapi dia tidak sama dengan mereka. Sepanjang dia tinggal di bumi ini dia menjaga dirinya dengan baik dan tidak mahu ada sebarang cedera pun ada pada dirinya. Darah manusia merah pekat tetapi dia dan orang-orang di Loka Ayangan berdarah biru pekat.
“Yakah? Saya tak tahu pula.” Katanya dengan nada bergurau.
Tidak semena-mena lengan kanan Rania di cubit.
“Aww!! Sakitlah.” Adu Rania seiring dengan mulut yang muncung. Nasib baiklah tidak kena luka aku ni.
“Tau pun sakit. Kalau macam ni, ikut aku baliklah.”
“Balik ke mana?”
“Rumah akulah.”
“Rumah kau? Rumah besarkah atau kecil?”
Qiandra menjulingkan matanya ke atas. Geram. Banyak tanya pula si Rania ini.
“Kau jangan banyak mulut boleh tak. Aku cubit baru tau. Sampai sana nanti kau tahulah." Dia menggeram.
“Kalau kau nak cerita, cerita saja dekat sana nanti. Semalaman aku berfikir pasal kau, tahu. Macam mana kau ke sini? Pasal apa kau ke sini? Banyak lagilah.”
“Oh, yakah?”
Qiandra menjelingnya.
Rania tersengih dan terus diam. Dia hanya mengikut Qiandra pulang ke rumahnya. Terkedek-kedek dia berjalan sambil di papah oleh teman baiknya itu.
“RANIA! Kau tahu tak apa yang kau buat ini akan bawa masalah besar. Kau tak takutkah mereka akan cari kau sampai ke sini. Silap-silap nanti kita semua mati di tangan jahat mereka tu.” Qiandra mundar-mandir di ruang tamu dengan perasaan marahnya. Rania sudah menceritakan segalanya yang berlaku di sana. Temannya juga menceritakan tentang niat jahat ahli-ahli sihir di sana.
“Apa kau ni Qiandra. Aku ke sini pun sebab nak bawa kau pulang ke sana semula. Kau tak rindukah dengan keluarga kau?” Rania sakit hati pula di marah begitu.
“Itu pula yang kau fikir.” Qiandra geleng kepala sambil mengurut dahi.
“Yalah. Aku ke sini pun sebab nak bawa kau pulang saja. Pasal ahli-ahli sihir tu, sampai sana nanti baru fikirlah.”
Qiandra menggeram. Perangai tak ubah langsung!
“Siapa yang tak rindukan keluarga sendiri, Rania. Tapi, masalahnya ayahanda aku sendiri yang buang aku ke sini. Disebabkan hal empat tahun lepas itu, keluarga aku sanggup buat aku begini. Salahkah aku mencintai lelaki biasa yang tidak setaraf dengan aku?!”
Rania telan liur. Kemarahan yang terpendam lama itu akhirnya terluah juga hari ini.
“Qiandra...”
“Kau tau tak, betapa seksanya aku bila berada di sini. Sudahlah tempat ini asing bagi aku. Tempat tinggal tak ada. Lelaki itu pula aku tidak tahu hendak cari di mana.” Dia menyelak rambut depan ke belakang dengan kasar sambil menarik nafas panjang.
“Le... lelaki? Maksud kau abang Rehankah?”
“Siapa lagi kalau bukan dia.” Qiandra menghenyak punggung dengan kasar di sofa. Dia menangis.
Rania tersentak melihat tangisan itu. Tapi... takkanlah? Aku baru saja jumpa abang Rehan tempoh hari. Macam mana pula Qiandra tak boleh jumpa lelaki tu?
“Kau pastikah Qiandra? Kau memang tak pernah jumpa lagi dengan abang Rehankah?”
“Ya.” Jawabnya sambil mengesat air mata.
Kening Rania bertaut. “Bertahun kau dekat sini, takkanlah kau tak pernah jumpa dia lagi? Atau kau memang tak cari dia?” Rania agak terkejut juga dengan jawapan temannya. Habis, siapa pula lelaki yang aku jumpa hari tu?
“Aku carilah! Tapi tetap tak jumpa.”
Rania mengerutkan dahi. Dia mahu bersuara tetapi Qiandra lebih dulu membuka mulut.
“Tapi nasib baiklah ada orang yang sudi membantu aku di sini. Dia memahami diri aku ini walaupun aku tak cerita sepenuhnya apa yang berlaku.”
“Siapa? Lelaki? Atau... perempuan?”
“Lelaki. Namanya Adiandra. Dialah yang bantu aku selama ini. Setiap kali aku ada masalah dia pasti akan muncul dan menenangkan aku.”
Eh, setahu akulah Qiandra ini bukan suka kongsi masalah dengan orang yang dia tidak kenal. Lagi-lagi lelaki. Seingat aku, teman aku ini hanya akan kongsi masalah dia dengan aku ataupun kekasih hati dia itu saja.
“Setahu aku, kau ni bukan jenis yang senang rapat dengan lelaki. Kau akan ambil masa yang lama untuk kenal seseorang tu. Itu pun kalau kau nak kenal dialah.”
Qiandra senyum miring. “Entahlah, Rania. Dengan Adiandra tu lain. Aku rasa selesa. Dia lelaki kedua selepas Rehan yang buatkan aku rasa senang dan selesa.”
Rania diam. Dia befikir sesuatu sebelum memandang temannya.
“Qiandra, bukan kau boleh kesan abang Rehankah? Dulu, kau pernah kata yang kau boleh guna kuasa sihir untuk cari dia sekiranya kau perlukan dia atau bila dia hilang. Kenapa kau tak guna kuasa tu saja cari dia?”
Qiandra berdiri. Dia membelakangi temannya dan menghela nafas berat.
“Qiandra?”
Qiandra memandangnya dan duduk semula.
“Aku dah guna kuasa tu. Tapi, aku tak tahu kenapa kuasa aku tak berhasil untuk mencarinya. Padahal, masa di sana boleh saja aku guna kuasa Redra ni.”
“Mungkin juga kuasa yang kau dengan abang Rehan cipta tu tak dapat guna di sini.”
Qiandra tidak menjawab. Dia menyandarkan tubuhnya di sofa.
Rania hanya memerhatikan sahaja tingkah Qiandra. Kuasa Redra adalah kuasa magnet cinta yang dicipta oleh Qiandra dan Rehan sebelum ini. Kuasa sihir ini boleh mengesan di mana sahaja dia berada. Kuasa ini hanya digunakan apabila ada hal tertentu sahaja.
Tapi, mustahillah. Aku yakin yang abang Rehan ada dekat-dekat sini saja. Tapi, kenapa Qiandra tak dapat kesan juga? Berkerut-kerut Rania memikirkannya.
“Tak payahlah kita cakap pasal hal tu. Sekarang kita cakap pasal hal kita. Aku tak habis marah lagi dengan kau. Ada banyak hal lagi yang aku nak tanya dengan kau.”
“Banyak sampai mana tu?”
“Banyaklah.”
“Tapi, Qiandra. Aku tetap dengan keputusan aku ni. Mahu atau tak, kau mesti ikut aku pulang ke sana juga. Kita cari abang Rehan dan lepas tu kita balik ke Loka Ayangan sama-sama.”
Qiandra menjelingnya. “Macam mana kau nak bawa aku dengan Rehan pulang sedangkan diri kau tu dah tak ada kuasa sihir lagi?”
Rania simpul senyuman. “Kau jangan risau. Kuasa sihir aku akan pulih. Lagipun bonda aku kata bila aku bertemu semula dengan kau, kuasa sihir aku akan pulih seperti sedia kala.”
“Bilanya kuasa sihir kau tu akan pulih?”
“Manalah aku tahu. Mungkin pulih dalam masa yang terdekat inilah.” Balas Rania dengan tenang.
“Tak payah fikir pasal kuasa aku tu dulu. Apa yang penting sekarang ini adalah abang Rehan. Kita kena cari cara untuk cari dia. Lagi cepat lagi bagus. Dapat balik ke sana semula.”
“Beria-ia pula kau nak cari dia. Kau ingat senang?"
“Apa guna batu permata sakti ini kalau tak digunakannya.”
Qiandra mencebik. “Belum tentu dapat cari dia dalam masa yang terdekat ni.” Dia berdiri.
Rania muncung mulut. “Aku bukannya apa, Qiandra. Aku cuma takut kalau aku tak dapat jaga hati aku ni. Kau pun tau kan pasal gelang tangan yang aku pakai ni. Kalau kau tak apalah. Tak pakai pun tak apa. Sebab hati kau memang dekat abang Rehan. Tak pernah berubah pun.”
Qiandra serba salah. Dia duduk dan memeluk tubuh Rania. “Aku yakin dengan kau, Rania. Kau tak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki yang ada di sini. Kau tak akan jadi debu, Rania. Lagipun kau sendiri kata tadi yang Putera Raid Ezhar suka dengan kau dan tunggu kau di sana, kan. Lebih baik kau fikirkan dia saja.”
Kau cakap memanglah senang. Tapi hati aku ni... Rania menghela nafas berat.
“Sudahlah. Tak payah fikir pasal tu dulu. Perut aku ni dah lapar. Kita makan dulu. Lepas tu, kita sambung cerita balik. Okey?”
Rania hanya membalas dengan senyuman nipis.
WAKTU hampir petang. Rania meminta diri untuk pulang walaupun Qiandra sudah puas memujuknya untuk tinggal di situ.
“Kau jangan larikan diri lagi lepas ni, ya.” Rania beri amaran. Ketika itu mereka sudah berada di luar rumah. Rania memakai kasutnya.
“Tidaklah. Sekarang hati aku lega bila kau ada di sini.” Ujar Qiandra dengan senyuman lebarnya.
“Okeylah. Nanti aku ke sini lagi. Terima kasih dengan pakaian ni. Cantik.” Suka Rania melihat pakaian barunya itu. Pakaian yang diberikan oleh Qiandra kepadanya ini adalah gaun paras lutut berwarna hijau zamrud dan mempunyai bunga-bunga kecil berwarna kuning di hujung gaun itu.
“Sama-sama. Hati-hati pulang.” Pesan Qiandra. Dia menghantar temannya itu sehingga ke luar pagar rumah. Mereka saling melambai tangan dan kemudian Rania terus bergerak pergi.
Qiandra mendongak memandang langit petang yang tenang. Dia tersenyum lega. Bagus juga dia ada peneman di sini.
Pada masa yang sama, dia memikirkan kata-kata Rania. Hatinya masih tidak boleh menerima apa yang Rania beritahunya tadi tentang ayahandanya.
“Harap-harap ayahanda baik-baik saja.” Doanya. Dia masih tidak dapat melupakan apa yang ayahandanya buat kepadanya sebelum ini. Marah tetap marah. Tapi itu keluarga kandung aku. Siapalah yang tak sayang dengan keluarga sendiri.
Dia mengeluh. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Ketika itu, dia tidak perasan yang dia sedang diperhatikan oleh seseorang.
Share this novel