PUTERI AYANNA RANIA berjalan di sekitar Rain Street. Tempat itu agak terkenal di kota Amaryllis. Kawasannya ada pelbagai jenis pancuran air. Ada juga lorong berair yang disediakan khas untuk pengunjung berjalan di situ. Apa yang membuatkan dia teruja lagi apabila ada pertunjukkan pancuran air muzikal ketika itu.
Rania duduk di salah satu bangku konkrit yang basah. Dia melihat pertunjukkan pancuran air muzikal itu dari jauh. Sebenarnya, ini kali kedua dia datang ke tempat ini. Kali pertama semasa Hayaaz membawanya ke sini pada waktu malam itu. Mereka melihat pancuran air yang berwarna-warni. Tapi, kali ini dia datang seorang sahaja.
“Haaih...” Tidak seronok juga kalau berjalan seorang di sini, katanya dalam hati.
Dia mengangkat punggung dan meneruskan langkah ke tempat lain. Terhibur juga hatinya melihat telatah budak-budak yang bermain di dalam kolam cetek itu.
“Jom kita kenakan abang Hayaaz!!” Jerit mereka.
Mendengar nama itu disebut dia laju berpaling mencari kelibat lelaki itu. Bulat matanya melihat Hayaaz sedang berseronok dengan budak-budak-budak di kolam cetek itu. Aku tak sangka pula dia ada di sini.
Dia mahu ke sana tapi kakinya masih kaku di situ. Apabila teringatkan sikap Hayaaz yang masih tidak mahu menegur sapa dengannya, tidak jadilah dia hendak mengacaunya. Biarlah dia bermain dengan budak-budak itu. Rania terus pergi.
Sebelum pulang dia singgah sekejap di gerai manisan yang ada di lorong tepi jalan Rain Street. Pelbagai jenis manisan yang ada di jual di gerai kecil tersebut. Semuanya memikat hati. Susah untuk dia buat pilihan.
“Cik adik nak beli apa?” Tanya pemilik gerai manisan itu dengan mesra.
Rania tersengih. “Saya tak tahu mana nak pilih.” Katanya sambil tersengih lagi.
“Kalau macam tu, pak cik bagi cik adik rasa gula-gula yang ni. Gula-gula ni ada macam-macam rasa.” Pemilik gerai itu mengambil gula-gula yang berbalut dengan plastik lutsinar dan memberikan kepada Rania untuk merasanya.
Rania teragak-agak hendak mengambilnya.
“Err... Bolehkah pak cik?”
“Tentulah boleh. Nah, cubalah rasa dulu.”
Rania mencuba gula-gula itu. Matanya membulat. Rasa gula-gula itu pelik. Agak masam, kenyal dan berangin. Tapi di hujungnya timbul rasa manis.
“Sedap!”
Ketawa pemilik gerai itu. “Kalau nak rasa lagi pak cik boleh bagi yang ni. Ini perisa kelapa. Agak manis dan berlemak. Cubalah.” Dia memberikan Rania gula-gula perisa kelapa pula.
“Gula-gula ni pun sedap juga. Kalau macam ni susahlah saya nak buat pilihan.” Rania betul-betul tidak dapat membuat pilihan ketika itu.
“Kalau macam tu beli semualah.”
Rania terkejut apabila suara garau berbisik di telinga kanannya. Dia berpaling dan terkejut.
“Ha... Hayaaz!”
Hayaaz tersenyum dengan penampilannya yang basah itu.
“Awak...”
“Saya nampak awak tadi. Jadi, saya ikutlah awak sampai ke sini.”
“Ini teman lelaki cik adikkah?” Pemilik gerai itu menyampuk.
“Err... tak. Kami kawan saja.” Kata Rania.
“Rugilah kalau macam tu.”
“Kenapa pula?” Tanya Rania pada pemilik gerai itu.
“Sebenarnya, hari ni pak cik ada buat promosi bagi yang berpasangan saja. Kalau status kawan tak dapatlah.” Tersengih-sengih pak cik itu memberitahu mereka.
Rania dan Hayaaz berpandangan. Tidak lama kemudian Rania buat muka kecewanya. Kalau boleh dia mahu bawa balik semua manisan itu.
“Kalau macam tu, sayang ambil mana saja yang sayang suka.”
“Hah?!” Rania terpinga-pinga. Dia tidak salah dengarkah?
“Jadi, kamu berdua ini pasangan kekasihlah?” Pemilik gerai itu memandang Rania dan Hayaaz silih berganti.
“Ya. Dia ni sebenarnya teman wanita saya. Tapi, kami bergaduh dan sekarang saya tengah pujuk dia.”
Rania mengerutkan dahi. Dia ni okeykah atau tak? Lain macam saja ayat tu.
“Patutlah lain macam saja muka cik adik ni bila nampak kamu.” Ketawa pemilik gerai itu.
“Sayang pilihlah manisan yang sayang suka.”
“Err...” Kekok. Panggilan itu terasa geli di anak telinganya.
“Pilih. Pilih. Lepas ni, abang nak bawa sayang ke tempat lain pula.”
“Hah?! Dengan pakaian yang basah macam ni?”
“Ala, nanti abang tukarlah pakaian abang ni. Lepas tu baru bawa sayang ke tempat tu.”
Ish! Apa kena dengan dia ni? Tiba-tiba panggil aku macam tu. Aku tahulah panggilan tu untuk pasangan kekasih. Tapi kami bukannya bercinta pun!
Pemilik gerai manisan itu hanya tersenyum melihat kerenah Rania dengan Hayaaz. Dia membiarkan mereka dan melayan pelanggannya lain yang baru tiba.
TERSENYUM dia sambil menggigit gula-gula kapas yang berwarna biru. Hayaaz yang sudah bertukar pakaian itu terus fokus memandu ke tempat destinasi mereka. Entah ke mana agaknya dia mahu membawa Rania itu pergi?
“Jangan ingat saya dah maafkan awak.” Hayaaz bersuara setelah lama berdiam.
Mati terus senyuman si Rania. Dia memandang Hayaaz yang sedang memandu.
“Apa sebenarnya salah saya pada awak, huh?”
Hayaaz senyum sinis. Dia langsung tidak menoleh ke sebelah.
Rania mengetap bibir.
“Kelmarin. Hari sebelumnya lagi. Bila saya tegur awak, awak langsung tak nak layan saya. Kenapa?” Suara Rania sedikit tegang.
“Itu sebab...” Terhenti bicaranya. Dia tidak boleh melepaskan marah dalam keadaannya yang sedang memandu.
“Sebab apa?”
“Nanti sajalah saya bagitahu. Jangan kacau saya tengah memandu.” Hayaaz terus senyap.
Rania menjelingnya. Tidak puas hati.
Sesekali ekor matanya mengerling ke sebelah. Dibiarkan sahaja perempuan itu membebel seorang diri. Sampai destinasi nanti tahulah dia hendak buat apa dengan Rania ini.
MOON PARK. Hari hampir senja. Tapi masih ramai pengunjung datang berkunjung ke tempat itu. Taman yang luas. Penuh dengan pelbagai warna dan jenis lalang. Ada lalang yang berwarna keperangan. Ada yang berwarna ungu. Ada warna putih dan banyak lagi.
Hayaaz berjalan di hadapan sementara Rania pula di belakang sambil menguyah manisannya. Sejak dari dalam perut kereta lagi dia tidak henti-henti makan manisan-manisan yang dibeli oleh mereka di gerai manisan tadi.
Hayaaz mengerling ke belakang. Hendak marah tidak jadi. Rania di depannya sekarang ini terlalu comel di matanya. Telatah perempuan itu dengan manisannya begitu mencuit hati.
“Awak nak ke mana pula tu?” Tanya Rania apabila menyedari langkah Hayaaz menyimpang ke tempat lain.
“Awak tunggu saja situ. Saya nak ke sana.” Hayaaz meninggalkan Rania yang masih terpinga-pinga. Dia ke gerai kecil yang ada di tepi jalan untuk membeli sesuatu.
Beberapa minit kemudian Hayaaz kembali ke tempat tadi. Tetapi Rania tidak ada di situ. Dia mula tidak keruan. Ke mana pula Rania pergi?
Hayaaz mencari Rania hingga ke jambatan panjang yang menuju ke tasik teratai. Geram dia apabila melihat Rania duduk bersantai di bangku panjang atas jambatan itu. Aku suruh tunggu, dia lari pula ke sini. Ish!
“Rania!”
“Hayaaz.”
Aku tengah geram. Dia sibuk nak melambai aku. Nanti kau! Marah Hayaaz dalam hati. Sakit hatinya melihat senyuman itu.
“Hayaaz tadi...”
“Tadi saya suruh awak tunggu, kan?! Kenapa lari ke sini pula?” Suaranya tinggi.
Terhinjut bahu Rania diherdik olehnya.
“Tadi...”
“Tadi apa?!”
Sekali lagi bahunya terhinjut dek suara tinggi itu. Mahu menangis dia melihat wajah bengis Hayaaz. Sebelum ini lelaki ini tidak pernah begini. Memang aku ada salah dengan diakah?
“Kenapa awak tiba-tiba marah saya ni, hah?! Kalau saya ada salah, cakaplah. Bagitahu saya!” Rania membalas dengan rasa marahnya.
Hayaaz terkedu. Dia baru sedar. Dirinya hilang kawalan akibat terlalu menyimpan perasaan amarah pada perempuan di hadapannya ini.
“Rania...”
Rania menepis tangan yang mahu menyentuh bahunya. Tidak semena-mena air matanya jatuh. Dia menolak Hayaaz ke tepi dan terus berlari ke hujung jambatan.
“Aduh! Itulah kau Hayaaz. Tengok apa dah jadi sekarang ni.” Hayaaz memarahi dirinya sambil meramas kasar rambutnya. Rania sudah jauh meninggalkannya.
Baik aku pujuk dia, katanya dalam hati. Dia berlari mengejar Rania yang sudah menghilangkan diri.
“RANIA. Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak marah awak tadi.” Tercungap-cungap Hayaaz sambil mengelap peluhnya.
Rania tidak memandangnya. Dia mengesat air mata yang masih mengalir.
“Rania...”
“Apa?!” Tinggi suaranya. Nasib baik tidak ada orang di tempat mereka itu. Mereka berdua betul-betul di hujung jambatan.
“Saya minta maaf. Saya tak sengaja nak marah awak tadi.”
“Siapa yang marah siapa ni, hah?! Saya begini pun sebab awak!” Rania menjauh sedikit dari Hayaaz.
Hayaaz terdiam.
“Dari hari tu lagi awak bersikap negatif dengan saya. Awak tak layan saya. Awak tak tegur saya. Awak tak macam sebelum ni tau!” Rania melepas geram.
“Ya, saya salah. Tapi saya juga geram dengan awak tahu. Geram bila awak tak angkat panggilan saya. Berkali-kali saya telefon awak tapi awak langsung tak nak jawab. Bagi mesej pun tak balas.”
Rania baru tersedar akan hal itu. Ya, sebelum ini dia langsung tidak menjawab panggilan lelaki ini. Apatah lagi mahu membalas mesejnya. Dia tidak mahu lelaki itu tahu yang dia sedang siasat Rehan.
“Saya minta maaf. Tapi masa tu saya memang tak nak sesiapa pun ganggu saya.”
“Kenapa pula? Apa yang awak sibukkan sangat hari tu sampai awak tak nak sesiapa pun termasuk saya ganggu awak?”
Ini yang aku malas nak jawab ni. Rania mengetap bibir.
“Rania. Jawablah pertanyaan saya. Saya tak nak hubungan kita renggang disebabkan hal remeh.”
“Hal tu tak penting pun. Tak ada kena mengena dengan awak juga.”
Hayaaz senyum sinis.
“Rania. Awak tak pernah pun begini sebelum ni. Kenapa sekarang pandai nak berahsia dengan saya pula?”
“Hayaaz. Tak bolehkah saya berahsia. Awak pun ada rahsia juga, kan? Tapi saya tak pernah pun tanya rahsia awak, kan?”
Hayaaz diam lagi.
“Ya, tapi...” Entah kenapa dia tidak mahu perempuan di hadapannya ini berahsia dengannya. Kalau boleh dia mahu tahu segalanya. Lagi-lagi bila hal itu berkenaan dengan Qiandra ataupun Rehan. Sudah lama dia tidak mendengar khabar tentang mereka berdua itu.
Rania mengeluh. Memang dia tengah marah. Tetapi, marahnya tidaklah berlebih-lebih. Hatinya mudah lembut dengan Hayaaz. Tetapi tidak dengan Elan.
“Yalah. Yalah. Saya cerita.” Rania mengalah. Hendak simpan lama pun tidak boleh. Nanti diketahui juga oleh mereka.
“Sebenarnya, saya siasat abang Rehan.”
“Rehan? Lelaki yang awak jumpa masa dekat kafe hari itukah?”
Rania angguk perlahan.
“Kenapa tiba-tiba awak siasat dia? Atau dia bukan Rehan yang awak cari?”
“Dia memang Rehan. Tapi...” Sekali lagi dia mengeluh. Dia mengalah. Dia menceritakan juga segalanya.
Share this novel