PUTERI AYANNA RANIA duduk termenung di hujung kafe Kasturi sambil memerhatikan kedai buku Read Lover yang ada di seberang jalan. Hari ini kedai buku itu mula ditutup sehinggalah hujung bulan. Encik Taha mahu membuat penambahbaikkan kedai bukunya. Dia ingin memperluaskan lagi tempat tersebut memandangkan kedai sebelah sudah menjadi miliknya. Sebelum ini, kedai sebelah itu menjual pakaian tetapi pemiliknya mahu menjual kedai tersebut kerana mahu berpindah ke tempat lain.
“Nah. Aisrim kacang vanila untuk kau.” Elan meletakkan aiskrim itu di hadapan Rania.
“Terima kasih.” Balas Rania dengan nada malas. Malang betul nasibnya apabila memikirkan keadaan pagi tadi. Belum sempat dia berbuat apa-apa tiba-tiba pintu rumah diketuk. Dia ingatkan Adina. Rupanya lelaki ini. Elan mengajaknya keluar jalan hari ini. Mahu tolak tetapi bila teringatkan situasi tempoh hari dia mengalah. Biarlah hari ini dia ikut sahaja kehendak Elan.
“Aku dari tadi perasan wajah kau ni macam ada masalah saja.”
“Mana ada.”
“Yakah?”
Rania diam. Dia tidak tahu sama ada mahu cerita masalahnya atau pun tidak.
“Ceritalah kalau ada masalah. Aku sedia mendengar ni. Mana tahu aku boleh tolong.” Ujarnya sambil menyuap aiskrim mangkuk miliknya.
Rania mengigit-gigit bibir bawahnya. Hatinya ragu-ragu hendak cerita pada lelaki ini.
“Huh, masalah apa?”
Rania menarik nafas.
“Pasal kawan awaklah.”
“Hayaaz?”
“Ya.”
“Kenapa dengan dia? Apa masalahnya?” Nadanya bertukar. Agak keras sedikit.
“Kami bergaduh.”
“Pasal apa pula?”
“Err...”
“Pasal apa kamu berdua bergaduh?” Sekali lagi dia menyoalnya.
“Pasal papa dia.” Perlahan namun dapat didengari oleh Elan.
“Rania. Kau tahu tak? Hayaaz tu tak suka kalau cakap pasal papa dia.”
Aku tahulah. Tapi janganlah marah aku macam tu, marah Rania dalam hati.
“Dia dengan papa dia memang ada masalah sejak dari dulu lagi. Sejak papa dia kahwin dengan perempuan lain.”
“Saya tahu.”
“Kau tahu? Kak Adina yang bagitahu kau?”
“Bukan kak Adina yang bagitahu tapi uncle Taha. Dia yang ceritakan semuanya pasal hubungan Hayaaz dengan papa dia.”
“Oh. Jadi, kalau kau dah tahu kenapa masih nak pujuk dia?”
“Saya kesian dengan papa dia.”
“Kau dah jumpa papa dia?” Agak terkejut apabila Elan mendengar ayat itu.
Rania angguk.
“Papa dia dah buntu, Elan. Sebab itulah dia minta saya pujuk Hayaaz. Lagipun antara semua kawan perempuan yang dia ada, saya yang paling dia rapat sekali.”
“Rapat? Habis aku ni bukan kawan rapat kaulah?”
Rania tersentak. Tiba-tiba pula Elan memarahinya.
“Kenapa dengan awak ni? Kita sekarang ni cakap pasal Hayaaz, kan.”
“Hayaaz. Hayaaz. Hayaaz. Boleh tak kalau kita jumpa jangan cakap pasal dia? Aku nak kita berdua saja. Berseronok tanpa memikirkan sesiapa.”
Rania mengeluh.
“Tak boleh, Elan. Selagi masalah ni tak selesai selagi itulah saya kena cari jalan untuk pujuk dia.”
Elan mengetap bibir. Geram.
“Rania. Itu bukan masalah kau. Itu masalah dia. Kau janganlah masuk campur. Kau mahukah kalau masalah ini jadi lagi besar? Huh?”
“Aku tak nak. Tapi, aku terpaksa. Lagipun, papa dia yang suruh aku pujuk Hayaaz. Kalau aku tak pujuk siapa lagi yang akan pujuk dia?”
“Ish! Menyusahkan!”
“Elan!”
Elan memandangnya tajam.
“Sejak dari mula lagi kau tak pandang aku, kan. Padahal, aku dulu yang nampak kau. Kalau aku tahu kau pilih Hayaaz, aku tak akan bangunkan dia masa tu. Aku nak kau pandang aku saja.” Elan sungguh menyesal apabila mengingatkan kejadian lalu.
“Elan, awak janganlah macam ni.”
“Ah! Aku begini pun sebab kau.” Suaranya tinggi sedikit.
“Sudahlah. Aku nak pulang. Hilang terus mood aku nak keluar dengan kau.” Dengan kasar dia meninggalkan kafe Kasturi tersebut.
Rania bingung. Apa sudah jadi dengan kawan Hayaaz itu? Marah sungguh dia pada Rania. Ketika itu, dia tidak sedar yang perbualannya didengari oleh seseorang.
ELAN terus memecut laju membelah jalan besar. Hatinya panas mengingatkan perbualannya dengan Rania tadi. Tidak bolehkah perempuan itu kalau tidak bercerita tentang Hayaaz?! Sakit betul hati aku bila tengok wajah kerisauan dia itu. Seolah-olah baginya Hayaaz lebih penting daripada aku.
“Tak guna kau Hayaaz!” Dia menumbuk-numbuk stereng keretanya dan kemudian berhenti di tepi jalan.
Dia merengus kasar. Kau ingat aku tidak tahukah, huh?! Dalam telefon kau tu ada gambar dia. Kawan-kawan kau pula selalu cakap yang kau dengan dia macam pasangan kekasih. Eh, Hayaaz! Dia itu bukan penduduk bumilah! Marahnya dalam hati.
“Aku pun bodoh! Macam manalah aku boleh suka dengan perempuan yang bukan berasal dari bumi ni.” Dia mentertawakan dirinya. Tidak lama kemudian dia senyap.
Dia menyandarkan kepala di atas stereng kereta sambil memikirkan keadaan dirinya. Wajahnya bertukar muram. Tidak semena-mena air mata lelakinya jatuh.
“Walaupun aku marah kau tapi kau kawan aku, Hayaaz. Kawan baik aku.” Dia menghela nafas dan menutup mata. Dia cuba menenangkan dirinya sebelum pulang ke rumah.
WAKTU hampir senja. Elan pulang dengan perasaan yang bercampur baur. Dia langsung tidak mempedulikan temannya yang sedang sibuk melayan laptop di ruang tamu. Berkali-kali namanya dipanggil tetapi dia buat tidak tahu sahaja.
“Kenapa pula dengan kawan aku ni?” Hayaaz pelik melihat sikap Elan.
Beberapa minit kemudian Elan turun membawa dua beg pakaian. Berdiri terus Hayaaz melihat kelakuan temannya. Pasti ada sesuatu yang buatkan dia bertindak begini, fikir Hayaaz.
“Elan, kau dapat rumah barukah?”
Elan senyun sinis. “Cara kau cakap tu kau memang nak halau akukah?”
Hayaaz terkejut. Nada suara Elan agak kasar bunyinya. Dia marahkah?
“Kau kenapa, hah? Kalau marah pun janganlah macam ni. Masalah boleh bawa berbincang, kan. Aku ada kalau kau nak luahkan masalah kau.”
“Masalah?” Dia ketawa sinis sebelum memandang tajam temannya.
“Eh, Hayaaz. Kau betul-betul nak dengar masalah akukah?”
“Yalah. Bukankah aku ni selalu jadi pendengar setia kau bila kau ada masalah.”
Lagi sekali dia ketawa sinis. Dia meletakkan beg pakaiannya di atas kerusi.
“Ya, kau memang pendengar setia bagi setiap masalah yang aku hadapi. Tapi, masalah kali ini aku tak nak kau masuk campur.”
“Huh?”
“Sudahlah. Aku pergi dulu. Kau jangan halang aku.” Elan menolaknya ke tepi. Dia mengangkat beg-beg pakaiannya ke dalam kereta.
Hayaaz yang tidak puas hati laju mengejar temannya.
“Elan. Kau tak pernah macam ni lagi. Bagitahu aku, siapa yang buat kau begini? Biar aku saja yang kerjakan dia.”
Elan mendengus geram. Pintu kereta menjadi sasaran penumbuknya.
“Kau nak kerjakan dia? Kau bolehkah? Dia tu sebiji macam kau. Kau tahu tak?”
“Maksud kau? Lelaki tu iras-iras akukah?”
“Hayaaz. Hayaaz. Takkan ini pun kau tak faham? Ada lagikah lelaki yang iras macam kau dekat Amaryllis city ni, huh? Kau satu-satunya lelaki tu.”
“Aku?”
“Ya!”
Terdiam Hayaaz.
“Kau nak tahu sangat kan masalah aku. Sekarang ni masalah aku adalah kau. Engkau, Faham!”
Hayaaz terkedu.
“Sebelum aku lepaskan marah aku ni pada kau baik kau diam. Kau jangan halang aku dan aku tak nak tengok muka kau buat masa ni. Faham?!” Elan menepis tangan yang menyentuh bahunya. Dia masuk ke dalam perut kereta dan terus memandu keluar daripada kawasan tersebut.
Hayaaz masih kaku di situ. Salah aku? Apa yang aku dah buat sampai dia marah aku macam ni?
Share this novel