PUTERA AYDIN HAYY seperti biasa akan membawa kakak palsunya itu keluar berjalan di sekitar taman istana. Dia duduk di gazebo sambil memerhatikan tingkah Bima. Nampaknya, Bima semakin pandai membawa watak kakaknya. Walaupun dia sudah berjaya melatih Bima tetapi hatinya tetap runsing.
Bukan dia tidak perasan dengan kehadiran ahli-ahli sihir itu ke istananya. Sebelum ini mereka jarang ke sini. Tetapi sejak beberapa hari yang lepas dia perasan yang mereka berperangai pelik. Lamont dan anak-anak buahnya sering kali datang melawat ayahandanya. Tingkah mereka itu semakin lama semakin mencurigakannya.
“Bima. Kita pergi dari sini dulu.”
“Kita hendak ke mana, tuanku?”
“Ikut saja. Kita ke kota Sahmura. Saya nak berjumpa dengan abang sepupu saya.”
“Baiklah tuanku.”
Putera Aydin Hayy meminta pengawal istana menyediakan kuda untuk mereka. Sebelum berangkat pergi dia meminta pengawal istana untuk beritahu bonda dan ayahandanya tentang keberangkatan mereka ke kota Sahmura.
KOTA SAHMURA. Putera Aelan Izz tersenyum lebar menyambut kedatangan adik sepupunya. Dia juga berasa lega melihat Puteri Ayanna Rania yang palsu ada bersama mereka. Sebelum ini, bukan main risau lagi dia mengingatkan keadaan mereka berdua itu.
“Aydin apa khabar? Macam mana dengan keadaan di sana? Ada apa-apa yang pelik berlaku? Lamont dengan orang-orang dia ada pergi sanakah?” Bertubi-tubi soalan Putera Aelan Izz ajukan kepada Putera Aydin Hayy. Maklumlah, sudah berapa hari dia tidak menjenguk mereka di sana.
“Banyaknya soalan. Macam mana Aydin hendak jawab?”
“Jawab saja semua.”
Aydin mencebik.
“Abang Aelan janganlah risau sangat. Buat masa ini semuanya baik-baik saja. Apa yang penting, Aydin sihat. Keluarga Aydin pun sihat. Tengok Bima ini. Dia pula terlebih sihat. Kuat makan.” Aydin mentertawakannya. Mujurlah Bima itu tidak ada perasaan. Kalau kakaknya, sudah tentu telinganya kena pulas.
Putera Aelan Izz menghela nafas lega. Jawapan adik sepupunya sedikit sebanyak mengurangkan rasa risaunya pada mereka.
“Marilah masuk. Kita berbual di dalam saja. Putera Raid Ezhar sedang menunggu kita di ruang istirahat di atas.”
“Raja dan permaisuri?” Aydin mahu juga melepaskan rindu pada pak cik saudaranya iaitu abang sulung kepada bondanya.
“Mereka tidak ada di sini untuk beberapa hari ini. Mereka berangkat ke Roara Dawn. Ada urusan dengan Raja Albendra di sana.”
“Oh. Pasti raja dan permaisuri hendak berbincang tentang perkahwinan abang dengan puteri sulung Raja Albendra itu, kan?”
PUKK!!
“Aduh! Sakitlah.” Aydin menggosok kepalanya.
“Tahu pun sakit. Lain kali jangan main lepas cakap saja. Abang belum ada hati lagi hendak berkahwin sekarang.” Putera Aelan Izz mengorak langkah masuk ke dalam istana.
“Mari.”
Putera Aydin Hayy dan klon Puteri Ayanna Rania membuntuti Putera Aelan Izz ke ruang istirahat.
MEREKA berdua mundar-mandir di depan Putera Aydin Hayy dan juga klon Puteri Ayanna Rania. Putera Aydin Hayy sudah menceritakan keadaan di istana Wiza. Mereka khuatir rancangan mereka ini tidak akan bertahan lama.
“Bonda kamu sudah tahu tentang ini?” Tanya Putera Raid Ezhar.
“Tahu. Bonda pun tengah risau dengan keadaan sekarang. Beberapa kali jugalah bonda cuba mengajak ahli-ahli sihir itu berbual di halaman istana tetapi ayahanda pula menolak.”
“Susahlah kalau begini. Kalau mereka kerap ke sana mereka akan tahulah siapa Puteri Ayanna Rania yang palsu ini.” Putera Raid Ezhar semakin bimbang dengan situasi mereka.
Sementara Putera Aelan Izz pula dari tadi merenung Bima yang sedang bermain dengan helaian kertas kosong yang ada di atas meja itu.
“Aydin. Memang beginikah sikap Bima di sana?” Geram pula Putera Aelan Izz melihat tingkah Bima itu.
“Macam itulah. Nasib baiklah dia boleh kawal diri juga apabila berhadapan dengan ayahanda dengan orang-orang istana yang lain. Cuma...”
“Kenapa Aydin? Bima ada buat benda-benda yang melanggar peraturan istanakah?” Soal Putera Raid Ezhar.
“Tak adalah. Cuma, Aydin takut. Baru-baru ini ada beberapa orang istana mengadu dengan Aydin tentang sikap klon kakak Aydin ini. Mereka kata sikap dia agak pelik sejak kebelakangan ini.” Aydin mengeluh.
“Jadi, jawapan apa yang Aydin berikan kepada mereka pula?” Abang sepupunya memandangnya.
“Aydin balas dengan gurauanlah. Mereka pun tahu yang Aydin suka bergurau. Aydin cakap Aydin cabar kakak Aydin buat itu dan buat ini depan orang. Mereka pun percaya.”
Putera Raid Ezhar diam. Dia melangkah ke arah tingkap besar yang terbuka luas itu. Lama dia berfikir dan kemudian menghela nafas berat.
“Kenapa Raid? Apa yang sedang kau fikirkan itu?”
“Aku rasa...” Putera Raid Ezhar berpaling menghadap mereka.
“Buat masa ini lebih baik kita sembunyikan Bima dulu. Kalau ahli-ahli sihir itu tidak ke sana lagi barulah kita bawa dia ini pulang semula ke sana.”
Terdiam Putera Aydin mendengar cadangan itu.
“Aku setuju dengan cadangan kau itu Raid. Kalau makin kerap ahli-ahli sihir itu ke sana, nanti mereka akan tahu rahsia kita.”
“Tapi abang Aelan. Abang Raid. Di mana kita hendak sembunyikan dia ini? Alasan apa pula yang perlu Aydin berikan kepada keluarga Aydin nanti? Lagi pula, kakak Aydin tidak pernah meninggalkan istana Wiza seorang diri.” Risau pula Aydin dengan cadangan mereka berdua.
“Aydin jangan khuatir. Esok abang datang ke sana. Nanti, abang sendiri yang akan minta izin dengan ayahanda Aydin untuk bawa dia ke sini.”
“Tapi... alasan apa pula yang abang Aelan hendak beri pada mereka?”
“Itu semua Aydin akan tahu esok. Apa yang penting sekarang ini adalah kerjasama kita dan jangan sampai ahli-ahli sihir itu tahu pasal benda ini.”
Aydin tidak angguk tidak juga menjawab. Dia masih berfikir.
PUSAT SIHIR. Kelihatan beberapa ahli sihir sedang berlatih di dalam dewan utama pusat sihir itu. Lamont dan tiga orang anak buahnya duduk di dalam sebuah bilik sambil memerhatikan anak-anak buahnya yang lain yang sedang sibuk berlatih kuasa sihir di dalam dewan tersebut.
“Aku yakin orang-orang itu ada di sana.” Dia menggenggam kuat tangannya sambil mengetap bibir.
“Tidak mungkin bola Desia itu menipu aku dengan anak-anak buah aku.” Lamont berdiri dan berjalan menuju ke bahagian rak-rak buku lama.
Sebelum ini dia menggunakan bola Desia untuk mencari sihir-sihir yang masih bersembunyi di kota Wiza ini. Bola Desia ini mampu mencari dan mengesan kuasa sihir sekiranya kuasa itu masih ada di sekitar kota Wiza. Bola ini juga tahu sama ada tahap kuasa sihir itu kuat atau pun lemah.
Apa yang bola sihir itu beritahu pada mereka, mereka tidak boleh melengkapkan kuasa sihir Wiza lagi kerana masih ada kuasa sihir lain yang kuat bersembunyi di kota Wiza itu. Bola Desia mengesan punca kuasa sihir itu datang dari kawasan istana.
Lamont teringat perbualannya dengan Meldy sebelum ini. Meldy dari Alam Indera itu juga mempunyai niat yang sama sepertinya. Kuasa sihir dari Alam Indera itu juga tidak lengkap kerana dua daripada mereka sudah dibuang ke bumi. Dia memberitahunya bahawa kuasa sihir dari dua orang yang mereka ambil itu adalah palsu.
“Ketua. Esok bagaimana? Kita hendak ke sana lagikah?” Tanya Eldin. Sejak beberapa hari ini mereka asyik ke istana Wiza saja.
“Pastilah. Selagi kita tak dapat benda itu selagi itulah kita tidak boleh ke langkah yang seterusnya.”
“Tapi, ketua yakinkah apa yang kita cari itu ada dekat sana?” Tanya Chaz pula.
“Puas saya cari tapi tidak ada apa-apa pun yang pelik di sana. Raja dan permaisuri juga biasa-biasa saja. Tapi, puteri dan putera mereka itu...”
“Kenapa Mika?” Eldin memandangnya. Biasanya, kalau mereka ke istana Mikalah yang akan di suruh memerhatikan orang-orang di dalam istana itu. Dia pula hanya sesekali sahaja di suruh oleh Lamont. Lagipun, Mika lagi mahir mencari kuasa tersembunyi itu berbanding dirinya.
“Apa yang saya pelik, Puteri Ayanna Rania dan juga Putera Aydin Hayy selalu tidak ada bila kita ada di sana.”
“Maksud kamu?” Lamont memandang anak buahnya itu.
“Takkan ketua tidak perasan? Puteri Ayanna Rania dengan Putera Aydin Hayy memang tidak ada di istana setiap kali kita datang melawat raja.”
Lamont terangguk-angguk. Ya, dia perasan juga tentang hal itu.
“Tak apa. Kita teruskan saja perhatikan orang-orang di dalam istana itu.”
“Baik!”
“Saya pergi dulu.” Lamont meninggalkan mereka.
Share this novel