BAB 9

Fantasy Series 13998

ISTANA WIZA. Putera Aydin Hayy membawa klon kakaknya berjalan di halaman istana sambil berlatih menunggang kuda. Bima masih belum mahir lagi mengawal kuda itu. Apa tidaknya, belum sampai beberapa minit Bima sudah berputus asa. Sekejap katanya lapar. Sekejap katanya panas. Ada-ada saja alasan.

“Bima. Tolonglah berlatih bersungguh-sungguh. Kamu mahukah ditangkap oleh Lamont dengan anak-anak buahnya itu, hah?”

Bima yang bermalas-malasan di atas kuda terus menegak apabila mendengar nama ahli sihir itu disebut.

“Tak nak, tuanku. Patik akan berusaha lagi.” Bima meneruskan latihannya.

“Bagus! Macam itulah kucing kesayangan saya.” Putera Aydin Hayy terus melatihnya.

Sedang Putera Aydin Hayy sibuk melatih Bima mengawal kuda, dia ditegur oleh salah seorang pengawal istana. Terkejut dia apabila diberitahu oleh pengawal istana itu tentang kedatangan Lamont dan dua orang anak buahnya. Tiga ahli sihir itu ke situ seperti biasa mahu melawat Raja Danendra.

“Mereka tahukah yang kami ada di sini?”

“Tidak, tuanku.”

“Bagus. Kamu boleh pergi.” Kata Putera Aydin Hayy. Sebaik sahaja pengawal istana itu pergi dia terus panik.

“Tuanku, janganlah khuatir. Patik ada caranya.”

Laju dia memandang Bima. “Cara apa?”

“Kita ikut jalan belakang. Dekat bahagian dapur. Biasanya mereka tidak ke situ. Patik kenal sangat dengan mereka itu. Mereka pasti tidak akan duduk diam bila sampai ke sini. Biasanya, salah seorang dari mereka pasti akan berlegar di dalam istana itu.”

“Macam mana kamu tahu?”

“Mestilah tahu. Patikkan kucing. Patik selalu perhatikan mereka bila mereka ke sini.”

Tak boleh jadi ni. Aku mesti bagitahu bonda. Abang Aelan dengan abang Raid pun perlu tahu tentang ni, kata Aydin dalam hati.

“Mari kita pergi.”

“Baik.” Bima tenang membuntuti Putera Aydin Hayy dari belakang.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

HARI ini tidak seperti hari-hari yang sebelumnya. Pengunjung tidak putus-putus datang ke kedai buku Read Lover sejak pagi tadi. Mungkin juga kerana tuah yang ada pada Rania itu. Yalah, Rania itukan cantik. Comel lagi. Apa yang ada pada dirinya itu menjadi tarikan pengunjung luar terutama sekali lelaki.

“Rania, habislah kau.”

Rania menoleh ke kiri. “Ada apa abang Jack?” Dia menyambung semula menyusun stok alat tulis yang baru sampai tadi di dalam bilik stor itu.

“Itu, hah. Kak Masha kita tu tengah marah pasal kau tau.”

Keningnya bertaut. “Apa maksud abang Jack?” Kotak-kotak kecil yang berisi pen dan pensil itu hampir jatuh ke lantai. Mujurlah Jack tangkas menyambut kotak itu.

“Terima kasih.”

“Sama-sama.” Jack meletakkan kotak itu di rak.

“Maksud abang, kak Masha tu tak suka kalau ada orang lebih cantik daripada dia.”

“Kenapa pula?”

Jack menarik nafas dalam. Geram pula bila Rania tidak memahaminya.

“Yalah. Dia tu kan tak suka kalau populariti dia jatuh. Lagipun, sebelum kau datang dia selalu jadi perhatian dalam kedai ni.”

“Oh, jadi lepas saya ke sini perhatian dia jatuhlah.”

Jack angguk.

Rania mencebik. “Ah, pedulikan sajalah dia tu abang Jack. Hal remeh macam tu pun nak marah-marah.”

Jack tersenyum melihat pipi kembung Rania itu. Comel.

“Rania!”

Serentak Rania dengan Jack menoleh ke arah pintu.

“Ada apa kak Dania?”

“Mari ikut kakak ke bilik kawalan. Kakak ada benda nak tunjuk dekat Rania.”

Rania dengan Jack saling berpandangan.

“Benda apa?” Tanya Rania.

“Nanti Rania tahulah. Jom.” Dania menarik tangannya.

“Tak apa. Kau pergilah. Biar abang yang buat semua ni.” Ujar Jack.

“Terima kasih, abang Jack.”

Jack membalas dengan anggukkan.

PUTERI AYANNA RANIA menajamkan matanya melihat benda bercahaya di dalam cctv itu. Cahaya yang timbul di sebalik pakaiannya itu tidaklah terlalu terang. Mungkin sebab itu jugalah dia tidak perasan akan hal itu.

“Kakak peliklah. Cahaya apa tu Rania?” Tanya Dania.

“Err...” Dia sendiri tidak tahu. Dia menyentuh dadanya dan terasa sesuatu. Dia tersentak.

“Oh, mungkin cahaya tu datang dari rantai yang saya pakai ni.” Rania menunjukkan rantainya yang bertatahkan permata biru itu. Sebelum ini, rantai yang dipakai olehnya itu loket batu lava. Tetapi buah rantai itu sudah ditukar dan diganti dengan batu permata biru ini.

Dia masih ingat lagi pesanan terakhir bondanya sebelum bola suara itu lenyap pada malam itu. Bondanya menyuruhnya menukarkan loket itu kepada rantai biasa yang bertatahkan permata biru yang bondanya bawakan bersama dengan bola-bola sakti yang lain. Lagipun, loket batu lava itu tidak sesuai dengan dirinya. Nampak agak pelik, kata bondanya.

Sebelum dia menghapuskan kuasa sihirnya tempoh hari, bondanya telah menyuruhnya membaca mentera yang diberikan kepadanya untuk menukarkan batu lava itu kepada buah rantai permata biru. Bondanya memberitahunya, permata biru sakti ini akan bercahaya apabila orang yang di cari itu ada berdekatan dengannya. Permata biru ini juga boleh mencari orang lain atau benda lain.

Rania tersedar akan sesuatu. Kaunter pembayaran pada masa itu di jaga oleh Hayaaz.

“Kenapa ni Rania?” Dania pelik melihat wajah Rania yang berkerut-kerut itu.

“Err... kak Dania. Saya nak keluar dululah.” Rania terus meninggalkan Dania dengan dua pekerja yang mengawal bilik kawalan itu.

“Rania.”

Langkahnya mati apabila Hayaaz muncul di depannya.

“Hayaaz. Ikut saya. Kita keluar sekejap.”

“Pergi mana?” Tanya Hayaaz bingung. Dia baru sahaja mahu menjenguk bilik kawalan itu tapi Rania pula tiba-tiba mengajaknya ke tempat lain.

“Ikut sajalah.” Rania menarik Hayaaz mengikutnya keluar daripada kedai buku itu. Hal yang dia mahu ceritakan itu tidak sesuai diceritakan di kedai buku ini.

TAMAN REKREASI TULIP. Rania tidak senang duduk apabila memikirkan cahaya itu. Sekejap dia berdiri dan sekejap dia duduk. Hayaaz pula diam memerhatikan tingkah Rania sambil menggigit wafel berintikan jem kacang menteganya.

“Rania. Awak tak nak makankah wafel awak ni?”

“Kejap lagi. Hayaaz, awak ada tak jumpa pelanggan kedai buku yang pelik dekat kedai buku pak cik awak tu?”

“Perempuan atau lelaki?”

“Perempuan.”

Hayaaz berfikir sambil menguyah wafel yang ada di dalam mulutnya.

“Perempuan pelik, ya? Kalau pelik macam awak tak adalah. Tapi...” Dia menggigit wafel itu lagi. Mindanya cuba mengimbas pelanggan-pelanggan yang datang ke kedai buku mereka hari ini.

“Rasanya tak ada. Kenapa?”

Rania memuncungkan mulutnya.

Hayaaz senyum segaris melihat mulut itik itu. Entah apalah yang difikirkan oleh Rania sampai dia tidak puas hati hari ini.

“Sini.” Hayaaz menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya.

Rania tidak mahu.

“Duduk sini dulu. Makan wafel ni. Kalau sejuk tak sedap pula.” Kata Hayaaz.

Rania menghentak kaki. Dia menghenyakkan punggungnya dengan kasar di sebelah Hayaaz.

“Sekejap merajuk. Sekejap marah. Kenapa ni?”

“Mana ada saya merajuk. Marah. Saya cuma berfikir tentang sesuatu. Saya rasa pelik.”

“Pelik? Apa yang pelik? Cuba awak cerita dekat saya. Mana tau saya boleh bantu.”

Rania memandang Hayaaz dengan renungan kecilnya.

“Cerita sajalah. Tak payah buat muka macam tu.” Hayaaz menggigit lagi wafelnya.

“Begini. Awak ingat tak petang hari tu? Ala, yang saya hampir jatuh. Lepas tu awak sambut saya.”

Hayaaz angkat kening sebelah. “Kenapa? Awak nak saya buat macam tu lagi dekat awakkah? Saya okey saja.”

Rania menggeram. Lantas lengan lelaki itu menjadi mangsa pukulannya. Hayaaz tersengih.

“Usik lagi, saya cubit awak.”

“Okey. Okey. Jadi, kenapa dengan hari tu?”

“Masa tu...” Rania terus menceritakan apa yang berlaku pada masa itu. Dia juga memberitahu tentang cahaya yang tiba-tiba muncul di rantainya.

“Hmm... Maksudnya kalau benda tu bercahaya, orang yang awak cari tu ada dekat-dekat dengan awaklah?”

“Ya dan sebab itulah saya tanya awak. Awak nampakkah atau tidak perempuan pelik yang datang ke kedai buku tu?”

“Seingat sayalah, kan...” Hayaaz mengusap dagunya. Dia cuba ingat semua pengunjung-pengunjung yang pernah datang ke kedai buku itu.

“Ada seoranglah yang selalu buat saya tertanya-tanya.”

“Siapa?”

“Saya tak kenal perempuan tu. Tapi dia selalu datang ke sana beli alat tulis. Dia tak sama dengan pengunjung-pengunjung yang lain. Tak mesra. Tak ada perasaan. Pendiam. Mungkin juga dia bisu. Setiap kali dia ke sana mesti dia macam tu.” Hayaaz diam. Ada sesuatu yang dia teringat. Laju dia berpaling ke arah Rania.

“Hah! Hari tu... dia ada datang lagi beli alat tulis.”

“Bila?”

“Hari itulah. Hari yang awak hampir jatuh dari tangga. Sebelum saya cari awak saya jaga kaunter pembayaran. Dia datang macam biasa beli keperluan dia. Lepas bayar terus pergi.”

Rania mengerutkan dahi. “Agaknya dia akan datang lagi tak?”

“Entahlah.”

Rania menghela nafas.

Hayaaz tarik nafas panjang melihat wajah masam itu. Lantas dia mengambil wafel Rania dan memberikan kepadanya.

“Tak payahlah fikir pasal tu dulu. Makan wafel ni. Dah nak sejuk tu.”

“Tapi...” Rania tergamam apabila Hayaaz menyumbat wafel itu ke dalam mulutnya.

“Makan. Pasal teman awak tu nanti kita carilah sama-sama lepas ni. Yakin saja yang dia akan datang lagi ke sana.”

Rania diam dan terus menggigit wafelnya.

CUACA petang itu sungguh indah sekali. Mereka berjalan-jalan di sekitar taman Tulip sambil menenangkan fikiran. Hayaaz sudah memberitahu pak ciknya yang dia dengan Rania tidak ke tempat kerja petang itu.

Dalam diam, Hayaaz senyap-senyap mengambil gambar Rania yang sedang bermain dengan sekumpulan budak-budak di taman itu. Macam-macam gaya perempuan itu yang diambil olehnya.

“Hayaaz! Marilah. Seronok tau main dengan budak-budak ni semua.” Bukan main gembira lagi Rania bermain bersama mereka.

“Awak sajalah main. Saya tunggu awak dekat sini.”

“Ala, abang ni. Marilah main dengan kami. Seronok tau.” Kata Mimi sambil menarik tangan Hayaaz.

Hayaaz ketawa kecil. Dia mencubit pipi gebu budak perempuan itu.

“Abang tak naklah. Biar kak Rania saja yang bermain dengan kamu dengan yang lain. Abang ke sana belikan minuman untuk kamu semua. Okey?”

Laju budak itu mengangguk. “Abang belanja?”

“Ya.” Hayaaz mengusap kepala budak itu dan kemudian bergerak pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience