“HAYAAZ AYISH!!!”
Terbangun terus Hayaaz apabila mendengar jeritan temannya dari luar bilik tidurnya.
“Ish! Awal pagi lagi dia dah buat hal. Ergh!” Hayaaz geram. Dia mahu sambung tidur tetapi terbantut apabila pintu biliknya dirempuh oleh Elan. Terkejut dia.
“Hoi, Elan! Kau ni tak reti nak bagi ketukkah, hah? Aku tengah tidur kau pula sibuk nak kacau aku.” Hayaaz merungut sambil meramas kasar rambutnya.
“Kau kena turun sekarang juga. Cepatlah!” Elan menarik tangan Hayaaz.
“Ish, buat apa nak turun? Kalau setakat nak tengok lukisan baru kau tu lagi baik tak payah. Aku nak sambung tidur aku balik.” Hayaaz baring tetapi ditarik lagi oleh Elan.
“Tak. Tak. Tak. Kau kena turun juga Hayaaz.”
Hayaaz mendengus kasar. Terpaksa jugalah dia menurut kata temannya itu.
MEREKA berhenti di anak tangga yang terakhir. Hayaaz dan Elan saling berpandangan dengan kerutan di dahi. Perempuan berambut panjang itu sedang leka memerhatikan ruang tamu mereka. Sebelah tangannya memegang lukisan kanvas baru milik Elan.
“Kawan kaukah?” Bisik Hayaaz.
“Kau gila! Aku tahulah aku ni playboy tapi aku tak pernah bawa perempuan masuk ke sini. Perempuan tu pun bukannya aku kenal.”
“Kalau kau tak kenal. Aku tak kenal. Habis, dia tu siapa? Kawan siapa?” Hayaaz meneliti perempuan itu lagi. Pakaian yang dipakai oleh perempuan itu agak pelik. Hiasan rambutnya pula ada bermacam-macam jenis.
“Manalah aku tahu. Entah-entah kawan kakak kau tak?”
“Kawan kakak aku mana ada macam dia ni? Kau tengok saja penampilan dia tu. Pelik.”
Elan garu kepala. “Aku tak kisahlah dia siapa. Yang aku kisah sekarang ni lukisan aku yang ada di tangan dia. Mahal tu. Kalau rosak memang aku naik marah.” Dia mengetap gigi. Sakit hatinya melihat lukisan baru itu disentuh sesuka hati oleh orang yang tidak dikenalinya.
“Kenapa kau tak minta dia balik?”
“Aku dah puas dah minta tadi. Tapi dia marah aku pula. Dia kata lukisan tu milik dia.” Elan mendengus geram. Tadi, bukan main terkejut lagi dia sewaktu dia turun ke bawah. Terbeliak matanya melihat ada perempuan di rumah ini. Bukan setakat itu sahaja, ada lagi yang membuatkan hatinya panas. Dia naik marah apabila melihat lukisan barunya dalam pelukan perempuan itu.
“Dah tu. Bagi sajalah dia.”
“Senang kau cakap. Kau ingat harga lukisan tu murahkah?”
“Banyak lagi lukisan kau, kan.”
“Banyak memang banyak. Tapi semua tu ada makna yang berlainan.”
Hayaaz menjulingkan matanya ke atas. “Kita ke sanalah.” Dia terus ke ruang tamu. Elan ke dapur mengambil sesuatu.
HAYAAZ AYISH merenung dalam perempuan di hadapannya. Wajah perempuan itu manis dan comel. Mekapnya pula tidaklah terlalu tebal. Cuma dia tidak suka melihat hiasan-hiasan rambut perempuan itu. Semak.
“Jangan dekati saya!” Perempuan itu bersuara sambil memeluk kuat lukisan kanvas yang ada padanya itu.
“Bila masa saya dekat dengan awak? Saya dari tadi lagi berdiri dekat sini.” Kata Hayaaz tenang sambil berpeluk tubuh.
“Awak tahu tak awak sekarang ada dekat mana?”
Perempuan itu diam. Ekor matanya memerhatikan ruang itu. Ini rumahkah? Tak nampak macam rumah pun. Nampak macam gudang lukisan. Sana sini ada lukisan.
“Awak tahu tak mencuri itu salah?” Hayaaz bersuara lagi apabila perempuan itu tidak membalasnya.
“Saya bukan pencurilah!”
“Kalau bukan pencuri apa? Itu. Lukisan tu kenapa ada pada awak? Awak mesti nak curi lukisan tu, kan?”
Dia mengerling sekilas lukisan kanvas yang dipeluknya itu. “Saya tak curi. Tapi, saya perlukan lukisan ni.”
Hayaaz senyum sinis. Baru sahaja dia mahu membalas perempuan itu Elan pula muncul.
“Hoi, pencuri! Baik kau pulangkan lukisan aku tu balik!” Suara Elan tinggi satu oktaf. Tangannya memegang senduk besi dan sebelah tangan lagi memegang pan.
Perempuan itu senyum sinis. “Awak ingat saya takutkah dengan benda yang ada di tangan awak tu?”
“Eee! Perempuan ni, kan! Sudahlah masuk rumah tanpa kebenaran. Mencuri lagi. Memang tak tahu malu langsung!”
“Elan...”
Elan menepis tangan yang mahu mendarat ke bahunya. “Kau ke tepi Hayaaz.”
“Eh, perempuan! kalau boleh aku tak nak berkasar dengan kau tau. Sebab kau tu perempuan. Tapi kalau dah masuk bab benda kesayangan aku ni aku memang tak boleh biarkan begitu saja. Baik kau bagi balik lukisan tu sebelum senduk besi dengan pan ni kena dekat wajah cantik kau tu.” Amaran keras dari Elan.
“Saya tak akan bagi balik lukisan ni. Ini sudah jadi hak milik saya!”
Elan bertambah geram. Nafasnya sudah tidak teratur. Dia mahu melepaskan amarahnya pada perempuan itu. Tapi belum sempat dia berbuat apa-apa temannya pula menghalang.
“Kamu berdua boleh tak berhenti bergaduh?!” Hayaaz bersuara.
“Tak!” Jawab mereka serentak. Masing-masing mahu mempertahankan diri.
Hayaaz mengetap bibir. Dia bercekak pinggang. Bingit telinganya mendengar suara dua orang ini. Yang satu nak lukisannya semula. Yang satu pula sebaliknya.
“Cik manis. Yang salah dekat sini adalah awak. Baik awak kembalikan saja lukisan tu pada kawan saya ni.” Hayaaz merenung tajam perempuan di hadapannya ini.
“Tak! Saya tak akan kembalikan lukisan ni pada lelaki ni. Lukisan ni penting bagi saya.”
Hayaaz mengurut belakang tengkuk. Sabar Hayaaz. Sabar.
“Cik manis! Awak bagi balik lukisan tu sebelum saya telefon polis.” Hayaaz mengeluarkan telefonnya.
“Hayaaz, telefon saja polis. Bagitahu rumah kita ni ada pencuri.” Elan menggesanya.
Perempuan itu pula nampak kebingungan.
“Okey. Okey.” Hayaaz menekan skrin telefonnya.
“Apa benda yang awak pegang tu, hah?” Tanya perempuan itu.
Hayaaz dan Elan tersentak. Mata mereka serentak memandang telefon itu sebelum beralih pandang perempuan di depan mereka.
“Ini?” Hayaaz meminta kepastian.
Dia mengangguk.
“Benda ini pun awak tak tahukah?” Elan menahan ketawa.
“Ya. Sebab itulah saya tanya.” Perempuan itu menjelingnya.
“Biar betul awak ni? Awak hidup zaman apa sampai tak tahu benda ni, hah? Ini telefonlah.” Elan meledakkan tawanya.
Perempuan itu tersentak. Marahnya memuncak apabila lelaki itu tidak berhenti mentertawakannya. Sabarnya hilang. Lantas, dia mengayunkan tangannya memecahkan pasu bunga yang ada di meja sudut belakang dua lelaki itu.
Kedua-duanya tersentak. Mata mereka terbeliak dengan mulut yang terbuka luas.
Tidak cukup dengan itu, dia melayangkan lagi senduk besi itu ke wajah lelaki tersebut. Lelaki itu mengadu kesakitan.
“Padan dengan muka!” Dia puas hati. Geli hati dia melihat reaksi mereka.
Hayaaz dan Elan telan liur.
MEREKA duduk dengan wajah ketakutan. Apa tidaknya, dari tadi perempuan itu menakut-nakutkan mereka. Lepas pasu bunga dan senduk besi, benda lain yang ada di dalam rumah itu pula menjadi mainannya.
“Eh, Elan. Aku tak tahu pula dunia kita ni betul-betul wujud perempuan sihir macam dia. Aku sangkakan orang macam dia ni ada dekat dalam cerita-cerita magik di televisyen tu saja.” Kata Hayaaz perlahan. Dia mengerling temannya di sebelah. Temannya itu menggigit hujung pakaian.
“Hoi, perempuan sihir! Baik kau turunkan semua lukisan-lukisan aku tu. Itu semua bernilai bagi aku tau!” Jerkah Elan. Hatinya panas melihat lukisan-lukisannya berada di awang-awangan.
“Ada saya kisah!”
“Awak siapa sebenarnya, hah?!” Tanya Hayaaz kasar. Ya, aku lelaki. Buat apa aku nak takut dengan seorang perempuan. Lagipun kuasa yang ada pada dia itu bukannya boleh apa-apakan aku dengan kawan aku ni, Hayaaz menyakinkan dirinya.
“Saya Puteri Ayanna Rania dari kota Wiza, Loka Ayangan. Saya manusia macam kamu berdua juga.” Akhirnya Rania memperkenalkan dirinya.
Elan senyum sinis. “Puteri? Tak masuk dek akal langsung. Apatah lagi dengan nama tempat tu. Kau janganlah nak menipu kami. Kau ingat wujudkah tempat tu di sini? Entah-entah kau ni ahli sihir dari seberang laut lari ke sini sebab nak menyelamatkan diri dari polis atau orang lain, kan?”
Hayaaz pandang Elan. “Kenapa kau boleh fikir macam tu pula?”
“Yalah. Bukti dah ada di depan mata. Mungkin juga dia ini menipu. Mungkin dia belajar dari orang yang pakar magik lepas tu buat jahat dengan kelebihan yang dia ada. Macam sekarang ni. Mencuri lukisan aku tu.”
“Saya bukan pencurilah! Saya ada di sini pun sebab lukisan awak ni. Saya keluar melalui lukisan ni.”
“Kau ingat aku percaya?”
Rania geram. “Baik! Kalau awak berdua tak percaya saya boleh ceritakannya.”
“Cerita apa?” Hayaaz tiba-tiba ingin tahu.
Rania menjulingkan mata ke atas. Ah, ceritakan sajalah semuanya pada mereka.
HAMPIR sejam Rania bercerita. Tapi tidak semua dia ceritakan pada dua jejaka itu. Hanya perkara yang berlaku pada dirinya dan bagaimana dia ke sini sahaja yang dia ceritakan kepada mereka berdua.
Hayaaz dan Elan diam. Masing-masing mencerna cerita yang tidak masuk akal itu. Sukar bagi mereka untuk mempercayai apa yang diceritakan oleh Rania tadi.
“Dunia saya memang wujudlah. Kuasa yang ada pada saya ini pun saya dah tunjukkan pada kamu berdua tadi, kan. Takkan itu pun masih tak percaya lagi?” Geram pula Rania apabila mereka berdua tidak memberi sebarang reaksi kepadanya.
“Entahlah. Lagipun selama ni cerita mengarut macam ni kami hanya dengar dari orang-orang luar dan teman-teman kami saja.”
Elan mengangguk menyokong kata temannya.
Rania tepuk dahi.
“Beginilah. Anggap saja saya ni bunian. Alam saya dengan alam awak berbeza. Di tempat saya orang-orangnya mempunyai kelebihan masing-masing. Tidak seperti orang-orang yang ada di bumi ini.”
Hayaaz dan Elan memandang sesama sendiri.
“Kami tak kisahlah semua tu. Apa yang kami kisah sekarang ni adalah awak. Mana awak nak tinggal lepas ni, hah?”
“Sinilah.”
Hayaaz berdiri tegak. Terkejut. “Mana boleh! Awak tak boleh tinggal dekat sini. Ini rumah kami. Rumah lelaki.”
“Habis, saya nak tinggal dekat mana kalau bukan dekat sini?” Rania tidak puas hati.
“Aku ada idea! Aku tahu tempat tinggal yang sesuai untuk dia ni.” Elan angkat jari telunjuknya ke atas dengan reaksi teruja.
“Dekat mana?” Serentak Hayaaz dan Rania bersuara.
Elan tersengih. “Rumah kak Adina kau.”
Hayaaz garu kepala. Rania pula bingung.
SESEKALI dua jejaka itu mengerling ke belakang melihat Rania yang sedang asyik memerhatikan bangunan-bangunan yang tersergam indah di kanan dan kirinya. Mahu ketawa mereka bila melihat air muka teruja itu. Matanya terbuka luas dengan mulut yang melopong. Tersengih-sengih si Elan melihat tingkah Rania.
“Hei, Hayaaz. Aku suka pula tengok dia ni. Sudahlah cantik. Comel lagi.” Suaranya perlahan memuji Rania.
“Tadi bukan main marah lagi. Sekarang dah jatuh hatikah dengan dia ni?” Hayaaz menjelingnya. Sekarang fikirannya kusut memikirkan jawapan kakaknya itu nanti. Kalau kakaknya tidak terima Rania terpaksalah mereka bawanya ke hotel. Ish! Sudahlah hotel tu mahal.
“Jatuh hati tu taklah. Tapi aku suka tengok dia. Aku tak sangka pula dimensi lain ada makhluk cantik macam dia ni.”
Hayaaz mencebik. “Puji tu pujilah juga. Lukisan kau tu macam mana pula? Kau nak dia ambil teruskah?” Hayaaz memerhatikan lukisan kanvas yang ada di sebelah tempat duduk Rania itu.
“Biarkan sajalah dia simpan lukisan aku tu.”
Hayaaz senyum miring. “Kecewakah?”
“Memanglah kecewa. Sakit hati ni masih ada. Tapi tak apalah. Biarkan dia simpan dulu lukisan tu. Ada masa nanti aku tagihlah balik.”
“Lukisan-lukisan kau dekat rumah tu macam mana pula? Separuh dari lukisan tu ada rosak tepi, kan?”
“Itu nanti sajalah difikirkan. Kalau ikutkan hati memang aku nak marah dia ni. Tapi aku tak tahan bila dia buat muka minta kesian dia tu. Macam kucing. Comel.”
“Aku ingatkan kau Elan. Kau jangan jadikan Rania ni macam perempuan-perempuan kau tu. Rania ni bukan macam mereka. Kalau kau usik dia macam kau usik perempuan-perempuan kau tu, siaplah kau.” Hayaaz memberi amaran. Dia kenal sangat dengan perangai nakal temannya ini.
“Ala, kau ni. Gurau pun tak boleh.”
“Kalau kau, gurau pun tak boleh. Apatah lagi dengan mulut manis kau tu.”
Elan mencebik.
“Hei, kamu berdua. Seronok pula naik kereta kuda ni. Tak macam kereta kuda dekat sana.”
“Ini bukan kereta kudalah. Tapi kereta berenjin.” Berapa kali sudah Hayaaz menerangkan kenderaan ini kepada dia. Tapi, Rania tetapi dengan fikirannya itu.
“Ah, kereta dengan kereta kuda sama saja. Kenderaan juga, kan. Cuma benda ni lagi laju berbanding dengan kereta kuda.” Rania nampak begitu teruja sekali.
Elan yang mendengarnya hanya ketawa kecil. Dia meneruskan pemanduannya ke tempat destinasi.
***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****
ISTANA WIZA. Putera Aydin Hayy penat melayan kerenah klon kakaknya ini. Ingatkan bila sudah bertukar manusia perangai Bima ini pun akan berubah sekali. Rupanya tidak. Hanya sikap Bima yang satu ini sahaja yang memeningkan kepalanya sekarang. Soal makan dia tidak cerewet. Apa yang manusia makan dia juga makan sekali.
“Bima. Boleh tak jangan buat perangai kucing kamu tu. Sekarang ni kamu dah jadi manusia tau. Jadi, kena berperangai manusia.” Geram sungguh Aydin melayannya. Nasib baiklah pintu kamar peraduan kakaknya ini berkunci. Kalau dilihat oleh orang-orang istana yang lain pasti dia akan mendapat susah.
“Maafkanlah patik, tuanku. Patik tidak tahan melihat bola mainan yang bergerak itu. Lagipun, bola mainan itu kan permainan kesukaan patik.”
“Saya tahu. Tapi, masalahnya sekarang ini kamu dah bertukar jadi kakak saya. Jadi, kamu kenalah berperangai macam kakak saya. Kalau orang lain nampak habislah kita.”
Dia tersengih. “Baiklah, tuanku. Lepas ini patik akan jadi Puteri Ayanna Rania yang sebenar. Tapi, sebelum tu. Bolehkah tuanku alihkan semua benda-benda yang menarik perhatian patik ini? Takut pula patik tidak tahan nanti melihat benda-benda kesukaan patik itu.”
Aydin menghela nafas. Ada-ada saja si Bima ini.
“Yalah. Sekarng ini, saya mahu kamu berlatih lagi. Hafal apa yang Puteri Ayanna Rania suka dan tidak suka. Lepas tu, kamu ikut saya ke taman. Kita berlatih naik kuda. Lagipun, kakak saya suka menunggang kuda.”
“Baik tuanku!” Bima tersenyum lebar.
Share this novel