MEREKA berlima menuju ke kawasan lapang di tengah hutan. Kedudukan mereka semakin jauh daripada kota Wiza. Sesekali Putera Aelan Izz memandang ke belakang. Takut jika mereka diekori oleh makhluk-makhluk lain.
“Mamanda, mengapa kita ke sini? Mengapa tidak membawa orang-orang istana sekali?” Tanya Putera Aelan Izz yang masih tidak mengetahui apa-apa.
“Sebentar lagi kamu akan tahu. Ikut saja mamanda.” Kata Permaisuri Almira. Dia memberi isyarat laju kepada kuda putihnya. Mereka yang lain membuntuti Permaisuri Almira dari belakang.
Beberapa minit kemudian mereka memberi isyarat berhenti kepada kuda mereka. Masing-masing turun dari atas kuda tersebut.
“Aydin, lekas buat apa yang bonda suruh pagi tadi.”
“Err... baik, bonda!” Laju dia ke tengah kawasan lapang itu.
“Ma... mamanda apa semua ini?” Putera Aelan Izz kebingungan.
“Sebenarnya Aelan...” Akhirnya, Putera Raid Ezhar yang dari tadi mendiamkan diri menceritakan segalanya yang dia tahu tentang Rania dan juga Aydin.
PUTERI AYANNA RANIA membantu adiknya. Mereka membaca mentera dan beberapa minit kemudian kawasan itu dilindungi dengan kuasa kalis lindung. Rania menuju ke tempat bondanya. Sementara Aydin pula masih lagi terkumat-kamit membaca mentera. Semakin laju Aydin membaca mentera itu semakin kuat angin yang menghembus di kawasan sekeliling pelindung itu.
“Bonda. Mengapa bonda tiba-tiba saja menyuruh kami melakukan ini semua?” Tanya Rania. Dia tahu bondanya masih marahkannya. Tapi apa yang berlaku sekarang ini sungguh mengelirukannya. Bondanya siap mengajar lagi mereka cara menggunakan sihir-sihir lain yang mereka tidak pernah tahu lagi sebelum ini.
“Rania jangan banyak tanya. Pergi sana dan fokus.” Kata Permaisuri Almira sebelum menoleh ke arah Putera Raid Ezhar.
“Putera Raid, tolong beta ambilkan kotak di dalam uncang dekat kuda itu.” Permaisuri Almira memberi arahan.
Pantas Putera Raid Ezhar mengambil kotak tersebut dan membawanya kepada Permaisuri Almira.
“Serahkan kepada Rania.”
Putera Raid Ezhar menurut kata. Dia memberikan kotak itu kepada Rania.
“Kotak apakah ini bonda?”
“Kamu tak perlu tahu sekarang. Kamu simpan baik-baik kotak ini. Faham?!”
Rania mengerutkan dahi. “Tapi...”
ZZRUPP!! ZZRUPP!!
Rania tidak sempat meneruskan bicaranya kerana portal ke bumi sudah terbuka. Mereka masing-masing memakukan pandangan ke arah portal itu. Di dalamnya sedang berpusar. Semakin kuat pusaran itu semakin kuat angin di sekitar mereka. Tanah di sekelilingnya pula merekah dan daun-daun berterbangan tanpa arah.
“Rania. Masuk ke dalam cepat!” Arah bondanya.
Rania teragak-agak. Hatinya tiba-tiba tidak senang dengan apa yang dilakukan oleh mereka sekarang. Dia mahu bersuara tetapi mulutnya berat hendak mengeluarkan kata-kata itu.
“Rania, semalaman bonda memikirkan semua ini. Bonda sudah membuat keputusan dan kamu harus pergi ke sana. Cari Puteri Qiandra dan juga lelaki itu. Bawa mereka berdua balik ke sini sebelum terlambat.”
“Sebelum terlambat? Apa maksud bonda?”
“Bonda tidak ada masa hendak terangkan semua. Bawa kotak tu dan jangan hilangkannya. Semua yang kamu ingin tahu dan perlukan ada di dalam kotak itu. Cuma bonda mahu pesan dengan kamu. Kalau hendak membukanya kenalah di tempat yang selamat. Tempat yang tersembunyi yang orang tidak nampak. Faham?”
Rania tidak memberi sebarang reaksi. Fikirannya masih mencerna ayat-ayat bondanya itu.
“Bonda! Aydin dah kehabisan tenaga ni.” Berkerut-kerut lagi Aydin menahan kuasa gelombang itu.
“Pergi.”
“Tapi bonda...” Tidak sanggup pula Rania mahu meninggalkan bondanya.
“Pergilah Rania.”
Rania memandang abang sepupunya.
“Bawa pulang Puteri Qiandra ke sini. Abang pun tak sanggup tengok Raja Tameem itu sakit lagi.” Kata Putera Aelan Izz.
Mahu menangis Rania ketika itu. Air matanya cuba ditahan.
“Baiklah. Abang Aelan tolong jagakan keluarga Rania, ya.”
Putera Aelan Izz mengangguk dengan senyuman kecil.
Baru sahaja dia mahu mengorak langkah tiba-tiba Putera Raid Ezhar memanggilnya.
“Rania. Kalau boleh abang tak nak Rania pergi. Abang tak sanggup.”
“Abang Raid janganlah risau. Rania pasti akan kembali ke sini semula.” Rania menyimpul senyuman.
“Rania janji dengan abang. Janji yang Rania akan balik dengan selamat. Abang tunggu Rania di sini. Abang tak akan kahwin dengan sesiapa melainkan Puteri Ayanna Rania abang ni.” Raid menyentuh pipi Rania dan mengelusnya.
Rania tidak tahu sama ada dia boleh mengotakan janjinya atau tidak. Jadi, dia hanya membalasnya dengan senyuman sahaja.
“Rania sudah tiba masanya untuk pergi sekarang.” Permaisuri Almira cuba menahan diri. Dia tidak mahu dirinya nampak lemah di depan anak sulungnya itu. Yalah, ibu mana yang tidak risau jika anaknya pergi jauh meninggalkannya. Lagi-lagi kalau anaknya itu adalah perempuan.
“Kakak! Lekas!” Aydin tidak dapat menahan kuasanya.
Rania dengan berat hatinya mengatur langkah ke arah portal.
Awan yang tadinya cerah sudah bertukar gelap. Angin pula semakin kencang sebaik sahaja Rania berada di depan portal itu. Rania menoleh ke belakang untuk kali yang terakhir. Dia pasti akan merindui mereka semua.
“Kak Rania, hati-hati.” Pesan Aydin.
Rania angguk kepala. “Jaga bonda dan juga ayahanda. Tengok-tengokkan Bima juga, ya.” Pesan Rania juga sebelum melangkah masuk ke dalam portal itu.
Aydin angguk. Tangannya semakin lemah kerana mengawal portal itu.
“Masuk Rania! Jangan risaukan kami semua. Abang janji abang akan jaga mereka!” Jerit Putera Aelan Izz.
Rania yang membelakangi mereka menyimpul senyuman kecil. Dia tidak mahu buang masa lagi. Dia menutup mata dan terus masuk ke dalam portal.
Beberapa minit kemudian portal itu tertutup semula dan terus lenyap. Keadaan kembali seperti biasa. Aydin terduduk. Penat. Habis semua tenaga digunakan olehnya tadi.
“Bonda.” Aydin menoleh ke arah bondanya. Nafasnya tidak teratur. Wajahnya berkeringat.
“Lepas ni apa kita nak buat? Alasan apa yang kita hendak bagi pada ayahanda sekiranya ayahanda bertanya tentang kakak Rania?” Soal Aydin yang masih termengah.
“Itu kita fikirkan kemudian. Sekarang ini Aydin bawa bonda dengan yang lain ke tempat rahsia kamu.”
“Sekarang?”
“Ya. Bonda akan beritahu kamu kalau semua sudah selesai nanti.”
“Beritahu apa?”
Permaisuri Almira menggeram. Banyak soal pula anak bongsunya itu.
“Bolehkah Aydin jangan banyak soal sekarang. Buat dulu apa yang bonda suruh. Selesai nanti baru bonda bagitahu.”
Aydin tersengih. Dia berdiri merapikan pakaian sebelum menuju ke arah kudanya.
“Seperkara lagi.” Permaisuri Almira memandang satu-persatu wajah jejaka di hadapannya.
“Mulai sekarang, kita semua kena berhati-hati. Apa yang terjadi hari ini jangan sampai orang lain tahu terutama sekali ahli-ahli sihir itu termasuklah dengan raja.”
Mereka bertiga angguk serentak.
Sebelum ke tempat rahsia, Permaisuri Almira meminta Putera Aydin Hayy kembalikan keadaan asal kawasan tersebut. Permaisuri Almira tidak mahu ada sebarang kesan pun ditinggalkan di situ. Apabila selesai semuanya barulah mereka bergerak ke tempat tersebut. Kuda milik Rania pula sudah dikecilkan oleh anak bongsunya dengan kuasa sihir agar senang mereka membawa kuda itu ke tempat rahsia.
MEREKA masuk ke dalam dan Aydin cepat-cepat menutup semula lubang pelindung ghaib itu. Kuda milik Rania yang dikecilkan tadi dikembalikan dalam bentuk yang asal semula. Masing-masing turun dari kuda dan kemudian membuntuti Aydin masuk ke dalam pondok buruk itu.
Terpegun mereka melihat isi di dalam pondok tersebut. Luar bukan main buruk lagi tetapi di dalam megah dan indah sekali. Mengalahkan sebuah istana.
“Ini semua Aydin dengan Raniakah yang buat?” Tanya Putera Aelan Izz.
“Ya. Dalam ni ada lebih kurang 15 tingkat dan bermacam-macam jenis bilik.” Beritahu Aydin.
“Pari-pari kecil itu semua?” Permaisuri Almira pula bersuara.
“Itu kakak Rania yang cipta. Itu semua pari-pari bunga. Kakak Rania mencipta mereka menggunakan sihir dan juga benih bunga.”
“Hebat!” Puji Putera Raid Ezhar.
“Err, bonda. Apa rancangan bonda yang seterusnya?” Aydin baru teringat tujuan mereka itu.
“Bonda mahukan sesuatu yang hidup yang boleh gantikan tempat kakak kamu.”
Mereka bertiga memandang serentak dengan wajah yang berkerut.
“Benda yang macam mana pula bonda mahukan ini. Kalau manusia, hanya kita saja yang ada. Tapi benda hidup yang lain yang ada di sini hanyalah pari-pari kecil itu dan juga Bima.”
“Bima kucing kesayangan kamu itukah?” Permaisuri Almira meminta kepastian.
Aydin angguk.
“Ambil Bima dan bawa ke sini.” Arah bondanya.
“Sekarang?”
“Ya!”
Aydin laju memberi arahan kepada pari-pari kecil yang berterbangan di sekitar mereka. Beberapa minit kemudian Bima dibawa turun ke tempat mereka.
“Aydin.”
“Ya, bonda.”
“Guna sihir kamu dan ikut apa yang bonda suruh. Faham?!”
“Baik.” Balas Aydin tanpa soal.
Setiap arahan bondanya dituruti tanpa bantahan. Putera Aelan Izz dan Putera Raid Ezhar ke belakang memberi laluan kepada dua beranak itu membuat tugas mereka.
Pari-pari kecil itu meletakkan Bima di hadapan Aydin. Kucing itu kelihatan tenang sahaja apabila berada di tengah mereka. Setelah itu, Aydin memulakan tugasnya. Dia membaca mentera yang diberikan oleh bondanya sebentar tadi. Beberapa minit kemudian muncul satu lingkaran yang mengelilingi Bima.
Aydin meneruskan bacaan menteranya sambil menutup mata. Tangannya pula diletakkan di atas Bima. Mereka yang lain berundur ke belakang memerhatikan Aydin dan juga kucing betina itu.
Lingkaran kecil yang mengelilingi Bima tiba-tiba menjadi besar dan tidak lama kemudian lingkaran itu bergerak dari atas ke bawah beberapa kali. Masing-masing memakukan pandangan ke arah Bima yang sedang berubah bentuk itu. Sempat lagi Permaisuri Almira memberi arahan kepada pari-pari kecil untuk mengambil selimut atau pakaian. Putera Aelan Izz dan Putera Raid Ezhar pula diminta untuk pandang ke tempat lain.
Tugas Aydin selesai. Permaisuri Almira pantas mendapatkan Bima yang sudah bertukar menjadi bentuk manusia. Cepat tangannya membalut tubuh tanpa seurat benang itu.
“Aydin. Bawa Putera Aelan Izz dengan Putera Raid Ezhar keluar dulu.”
Laju Putera Aydin Hayy menurut arahan.
“PUTERI AYANNA RANIA!” Putera Raid Ezhar melopong melihat manusia di hadapannya itu. Manusia itu sangat mirip dengan Rania.
“Mamanda, itu bukankah Rania?” Putera Aelan Izz langsung tidak berkedip melihat perempuan itu.
“Kamu berdua jangan tertipu dengan apa yang ada di hadapan kamu sekarang ini. Ini bukan Puteri Ayanna Rania yang asli. Ini adalah Bima yang sudah bertukar menjadi dia. Kucing ini akan menggantikan tempatnya selama Puteri Ayanna Rania berada di sana.”
“Tapi, dia betul-betul nampak asli.” Putera Raid Ezhar meneliti dari atas ke bawah Bima yang sudah bertukar menjadi manusia itu.
“Baguslah kalau kamu nampak klon ini asli. Tapi beta khuatir jika Puteri Ayanna Rania yang palsu ini dilihat oleh ahli-ahli sihir yang lain. Orang biasa mungkin tidak perasan tentang ini tetapi ahli-ahli sihir itu mungkin akan perasan. Lagipun, mereka ada kelebihan yang kita tidak ada.”
“Jadi, apa yang harus kita buat sekarang ini?”
Permaisuri Almira memandang anak bongsunya.
“Jaga dia. Jangan biarkan dia keluar dari istana.”
“Bagaimana dengan suara klon ini pula?” Tanya Putera Aelan Izz ingin tahu.
“Bima tolong bersuara.” Permaisuri Almira memberi arahan kepada Bima.
“Hai! Saya Puteri Ayanna Rania. Kamu semua tidak perlu risau. Saya tahu bagaimana hendak jalankan tugas saya sebagai Puteri Ayanna Rania.” Bima senyum.
Putera Aelan Izz dan Putera Raid Ezhar melopong. “Samalah!” Kata mereka serentak.
“Ingat! Bima akan bertahan begini sehingga Puteri Ayanna Rania kembali ke sini. Tetapi, nasib dia kita tidak akan tahu. Lagipun, ahli-ahli sihir di luar sana sentiasa ada berkeliaran. Kalau mereka tahu Bima menyamar mungkin dia akan ditangkap oleh mereka dan kita semua akan dapat susah nanti.”
Masing-masing menunjukkan air muka risau.
“Kalau begitu kita kena fikirkan cara untuk bawa Bima ini ke istana.” Kata Putera Raid Ezhar.
“Ya. Tapi, ada lagi.”
Semua mata memandang ke arah Permaisuri Almira.
“Aydin. Bonda mahu kamu minum ubat sakti ini.”
“Ubat apakah ini bonda?” Takut pula Aydin melihat cecair biru pekat itu.
”Ini ubat untuk buang semua kuasa sihir yang ada di dalam tubuh kamu itu.”
“Hah?! Tapi...”
“Jangan risau. Ini untuk sementara saja. Kuasa kamu akan pulih seperti sedia kala selepas dua bulan nanti. Bonda buat begini kerana takut sekiranya mereka terhidu bau sihir di tubuh kamu itu.”
“Oh.” Aydin angguk, faham. Tapi dia tidak faham. Dari mana pula bondanya mendapatkan ubat sakti ini?
“Pasal kakak kamu pun tidak usahlah dirisaukan. Semua yang dia perlu ada di dalam kotak yang bonda beri pada dia tadi. Bonda harap dia tidak akan hilangkan kotak itu.”
Aydin tersentak mendengarnya. Dia pasti kotak yang dimaksudkan oleh bondanya itu adalah kotak yang sama yang dia berikan kepada bondanya awal pagi tadi.
Awal pagi tadi, bondanya meminta dia untuk membawa salah satu kotak yang ada di dalam kamar peraduannya. Selepas itu, bondanya menyuruhnya menggunakan sihir untuk keluarkan beberapa jenis bola sakti. Terkejut juga dia apabila bondanya mengetahui rahsia mereka. Tapi nasib baiklah bondanya mahu berpihak kepada mereka. Semua pesanan dan beberapa benda penting sudah diletakkan di dalam kotak itu.
“Bagaimana dengan kawasan ini pula?”
“Biarkan dulu. Selagi tempat ini tidak diketahui oleh orang selagi itulah tempat ini menjadi tempat rahsia kita.”
Semua diam.
Permaisuri Almira menghela nafas. “Sebenarnya banyak benda lagi yang bonda mahu bagitahu Aydin dengan yang lain. Tapi itu semua bonda akan ceritakan selepas ini. Sekarang bonda mahu kamu minum cecair itu dulu.”
Aydin memandang bondanya dan ubat sakti itu bersilih ganti. Keluhan kecil dilepaskan. “Baiklah.”
***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****
HAYAAZ AYISH turun ke bawah menuju ke dapur. Dia mengambil minuman sejuk di dalam peti ais. Entah mengapa dia tidak dapat melelapkan matanya malam ini. Tadi, baru sahaja dia selesaikan beberapa bab cerita baru yang masih lagi tidak diketahui nama tajuknya.
Selesai minum, dia naik semula ke biliknya. Tapi langkahnya mati di tengah tangga apabila melihat lukisan baru yang tergantung di antara anak tangga bawah dan juga anak tangga naik ke atas.
Lama dia merenung gadis yang ada di dalam lukisan itu. Gadis itu berdiri di tengah kawasan lapang yang berangin. Seketika dia terleka. Lukisan itu seolah-olah hidup dan seperti mahu menariknya masuk ke dalam lukisan tersebut. Sedang asyik dia menatap wajah tepi gadis itu, tiba-tiba daun-daun yang berguguran di dalam lukisan itu bergerak.
Laju Hayaaz menggosok matanya. Namun daun-daun itu tetap bergerak di tiup angin.
“Hoi, Hayaaz! Termenung jauh kau ni. Dah terpikat dengan gadis berambut pendek paras bahu dalam lukisan kanvas itukah?” Tersengih si Elan.
“Eh, Lan. Kau tengok lukisan ni. Bergerak, kan?”
Elan mengerutkan dahi. Dia menoleh ke arah lukisan tersebut. Namun tidak ada apa-apa pun yang bergerak dalam lukisan itu.
“Kau ni gilakah apa?” Ketawa Elan. Dia terus ke dapur meninggalkan temannya itu.
Hayaaz mengurut belakang tengkuknya. “Aku pasti lukisan tu bergerak. Mata aku tak salah.” Gumamnya sendirian. Matanya masih melekat pada lukisan tersebut.
“Tak habis-habis lagikah?” Elan muncul semula. Dia gelang kepala sambil menepuk bahu Hayaaz.
“Sudahlah. Naik atas, tidur lagi bagus. Itu semua ilusi kau saja. Lagipun, kau dari pagi sampai ke malam dengan laptop kau saja, kan. Mungkin itu pasal kau jadi macam tu.”
“Mungkin juga.” Hayaaz cuba menyedapkan hati sendiri.
“Jom. Abaikan sajalah lukisan tu.” Elan terus naik ke biliknya. Hayaaz membuntutinya dari belakang.
Share this novel