KEDAI BUKU READ LOVER. Berkali-kali Rania meminta ulang semula rakaman cctv di bahagian kaunter pembayaran. Tidak cukup dengan itu dia meminta lagi rakaman lain. Semua rakaman yang di rakam di dalam kedai buku itu dia perhatikan dengan teliti. Namun, dia hampa. Hasil yang ditunjukkan sama sahaja.
Rania mengetap gigi. Kenapalah semua cctv ini tunjuk muka tepi saja. Macam mana aku hendak pastikan yang perempuan ini teman baik aku?
“Cik Rania, awak dah cukup masa ni.” Ziwan mengingatkannya semula. Sudah dua jam Rania berada di dalam bilik kawalan itu memerhatikan rakaman-rakaman yang dia minta sejak dari tadi.
“Abang Ziwan. Kenapa abang Ziwan tak pasang cctv ni betul-betul?” Rania geram.
“Apa maksud cik Rania?”
“Yalah. Tengok semua rakaman ni. Macam mana nak nampak wajah depan kalau semua muka tepi saja.” Rania mendengus.
Ziwan ketawa kecil.
“Cik Rania janganlah salahkan kamera yang di pasang tu. Salahkan orang dalam cctv itulah.”
Keningnya bertaut. “Kenapa pula?”
“Sebab dia tak pandang pun kamera cctv ni.” Ziwan ketawa lagi.
Rania mencebik.
“Abang Ziwan sambunglah kerja abang Ziwan. Terima kasih bagi saya tengok rakaman tu.”
Baru sahaja Rania mahu mengatur langkah keluar dari situ, Ziwan memanggilnya semula.
“Ada apa lagi abang Ziwan?”
“Err... kalau saya tanya sesuatu boleh?”
“Tanya apa?”
“Pasal rantai yang cik Rania pakai tu. Saya pelik. Macam mana rantai tu boleh bercahaya dengan tiba-tiba?”
Rania tersentak.
“Err... err... rantai ni sebenarnya rantai istimewa. Rantai pusaka keluarga saya. Nenek saya kata, batu permata ini akan bercahaya pada hari-hari tertentu saja dan pada hari itu mungkin akan membawa tuah kepada saya.” Tipu Rania.
“Oh, yakah?” Percaya tidak percaya sahaja Ziwan dengan cerita Rania itu.
“Ya.” Balas Rania. Dia terus keluar dari bilik kawalan tersebut.
SEDANG Rania sibuk mengemas buku-buku komik yang dihamburkan oleh sekumpulan budak lelaki tadi, dia terdengar suara Hayaaz sedang bercakap dengan seorang lelaki yang bersuara parau di lorong buku sebelah. Suara mereka kedengaran agak tegang. Dia senyap-senyap mengintai mereka dari tepi rak buku itu.
Rania tergamam. Lelaki separuh abad yang bernama Almersyah itu rupanya papa kepada Hayaaz. Papanya sedang memujuk Hayaaz untuk kembali ke rumah tetapi Hayaaz tidak mahu.
Rania mahu mendengar lagi perbualan itu tetapi dia ditegur pula oleh Encik Taha yang tiba-tiba lalu di lorong itu.
“Uncle Taha. Ra... Rania...” Dia cuak. Dia tahu dia sudah buat salah. Dia pasang telinga mendengar apa yang tidak sepatutnya di dengar.
“Hmm... Mari ikut uncle sekejap. Kita keluar ambil angin.”
Rania terkedu. Dia ingat dia akan dimarahi oleh pemilik kedai buku ini. Rupanya tidak.
“Tapi... Hayaaz...”
“Biarkan budak tu dengan papa dia. Kamu temankan uncle keluar.” Encik Taha mengatur langkah keluar dari kedai bukunya. Dalam diam dia menyimpul senyuman.
KAFE KASTURI. Mereka duduk menghadap bangunan sebelah. Dari tempat duduk itu, mereka boleh melihat kedai buku Read Lover di seberang jalan sana. Gembira hati encik Taha melihat pengunjung yang tidak putus-putus datang mengunjungi tempat tersebut.
Rania mengerling sekilas. Encik Taha kelihatan tenang sahaja sambil menikmati kek tiramisunya. Sementara kek green tea dia pula masih elok di atas pinggan. Langsung tidak diusik olehnya.
“Uncle Taha.”
“Hmm...”
“Kenapa uncle tiba-tiba saja ajak Rania makan dekat sini?”
“Saja. Lagipun, uncle tak nak kamu kacau daun dua beranak tu.”
Kening Rania terangkat sebelah. “Rania dengar saja, kan. Rania tak menyampuk pun perbualan mereka.”
“Ya. Tapi lebih baik kamu tak payah dengar semua. Nanti perasaan ingin tahu kamu itu tinggi.” Encik Taha menyuap sesudu keknya.
Rania mencebik.
“Tapi uncle Taha. Rania tengok Hayaaz tu macam biasa saja. Tak sangka pula di sebalik ketenangan diri dia itu ada tersimpan kemarahan terhadap seorang papa.”
Encik Taha menghela nafas.
“Apa yang kamu nampak tadi itu pergaduhan kecil di antara dia dengan papa dia saja. Selepas kematian mama Hayaaz, papa dia kahwin satu lagi. Tapi, perempuan yang papa dia kahwin itu sudah punya anak sendiri.”
“Berapa orang?”
“Dua orang dan kedua-dua anak tiri dia itu lelaki.”
“Oh.”
“Tak nak tahukah kenapa mereka berdua bergaduh?”
Rania laju memandangnya. Tadi beria-ia tak nak aku tahu cerita pasal dua beranak itu.
“Bukankah tadi uncle cakap tak nak Rania tahu semua tu?”
“Uncle fikir lebih baik uncle ceritakan sajalah. Lagipun, kamu kawan baik dia.”
Rania diam. Dia mengacau minuman jusnya dengan penyedut minuman.
“Jadi, Hayaaz marah sebab apa?” Tanya Rania.
“Hayaaz marah sebab papa dia lebih utamakan adik-beradik tiri dia daripada dia. Anak tiri sulung itu tua setahun dari Hayaaz dan yang anak tiri kedua papa dia itu pula muda dua tahun dari Hayaaz. Apa yang uncle tahu, papa dia mahu anak tiri sulung dia itu ambil alih perniagaan dia.”
“Jadi, sebab itulah Hayaaz marah?”
“Ya.”
“Tapi...” Bicaranya terbantut apabila encik Taha berdiri.
“Cukuplah. Nanti saja kita sambung lagi.” Dia mengukir senyuman.
“Okey. Tapi kek ni? Rania tak habis lagi.”
Encik Taha ketawa kecil. “Tak apa. Kamu makan dulu. Hari ini uncle belanja.”
“Terima kasih uncle Taha.” Rania senyum girang.
PETANG itu Rania meminta diri untuk pulang awal. Hari ini dia mahu ke tasik Dhura lagi. Dia mahu mencari Rehan. Selagi dia tidak jumpa lelaki itu selagi itulah dia akan ke sana.
“Rania!”
Langkahnya mati. Dia menoleh ke belakang.
“Ha... Hayaaz?! Bukan awak sibuk mengemas bilik storkah tadi? Macam mana pula awak di sini?”
“Uncle Taha bagitahu yang awak nak balik awal hari ni. Jadi, saya minta izin keluar awallah cari awak.”
Rania tunjuk dirinya. “Saya? Kenapa awak nak cari saya pula?”
“Nak hantar awak pulanglah. Lagipun saya dah biasa hantar awak pergi dan balik, kan. Kalau awak seorang-seorang, siapa yang nak hantar awak nanti?”
Rania menjulingkan matanya ke atas seiring dengan rasa geramnya.
“Saya boleh balik sendirilah. Lagipun, saya dah biasa dengan tempat ni.” Rania meneruskan langkahnya. Hayaaz membuntutinya dari belakang.
“Tak apalah. Kita kan dah biasa balik bersama. Kalau awak balik sendirian nanti saya yang jadi risau.”
“Risau awak ni melebih-lebih pula.” Rania menanggalkan rantainya.
“Awak nak buat apa dengan rantai tu?”
“Saya nak cari orang.” Balasnya tanpa memandang lelaki itu.
“Siapa?”
“Nanti awak tahu jugalah.”
Baru sahaja dia mahu membaca mentera tiba-tiba batu permatanya mengeluarkan cahaya. Mujurlah tempat mereka jauh daripada orang-orang yang sedang lalu lalang di sekitar kawasan tasik itu.
“Kenapa benda tu bercahaya Rania?” Tanya Hayaaz.
“Saya tak tahu. Saya tak tanya apa-apa lagi benda ni dah bercahaya.” Rania memandang sekeliling. Pasti ada sesuatu yang sedang menarik perhatian batu permatanya itu.
Rania meliarkan pandangan di sekeliling kawasan tersebut. Matanya menangkap seorang perempuan yang duduk di bawah pokok rendang. Perempuan itu sedang termenung jauh. Rania mengamatinya lama. Wajah tepi itu dia pernah nampak sebelum ini. Tapi di mana aku pernah nampak dia ini, ya?
“Rania, awak okey tak?”
Rania tersentak apabila bahunya di cuit oleh Hayaaz.
“Saya okey. Hayaaz, awak pernah tak nampak perempuan yang duduk dekat bawah pokok rendang tu?” Rania menunjuk ke arah perempuan berambut panjang itu.
Hayaaz menajamkan pandangan. Rasanya dia kenal.
“Dialah pelanggan kedai buku kita. Pelanggan yang saya cerita dekat awak sebelum ni. Langsung tak ada senyuman di wajah dia.”
Bola matanya membesar. Laju dia ke arah perempuan itu.
“Qiandra?!”
Perempuan itu menoleh. Riak wajahnya berubah apabila melihat Rania dan juga Hayaaz.
“Kau Qiandra, kan?” Dia pasti perempuan di hadapannya ini adalah teman baiknya yang dia cari selama ini.
“Qiandra jangan lari!” Rania pantas menggenggam lengan itu apabila dia cuba hendak melarikan diri.
Perempuan itu menoleh ke arahnya dan tidak lama kemudian dia menangis.
Rania dan Hayaaz bungkam.
“RANIA, macam mana kau boleh cari aku sampai ke sini?” Qiandra mengelap air matanya. Ketika itu mereka berada di restoran Home Food.
“Rantai ni. Batu permata ini yang beritahu aku keberadaan kau.” Jawab Rania. Hayaaz ketika itu sedang memesan hidangan makan malam mereka di kaunter.
Qiandra memandangnya. Banyak persoalan yang timbul di benak fikirannya itu.
“Qiandra, kau tau tak. Kesihatan ayahanda kau sekarang ni tak berapa baik. Dia rindukan kau sangat-sangat.”
Qiandra diam. Kemudian dia tersenyum sinis.
“Rindu? Rindu apa kalau dia buat anak dia macam ini?!” Suaranya naik satu oktaf.
“Aku tahu perasaan kau tu. Tapi, ayahanda kau perlukan kau sekarang ni. Kau tak kesiankankah dengan ayahanda kau, Qiandra?”
“Nak kesian macam mana Rania?! Dia sendiri tak pernah fikir perasaan anak dia ini. Disebabkan dia, abang Rehan dengan aku dibuang ke sini. Disebabkan dia jugalah aku tak dapat cinta abang Rehan lagi. Kau tahu tak betapa sakitnya hati ini. Sampai hari ini abang Rehan tak muncul walaupun aku yakin yang dia ada di sini.”
Rania tersentak. Dia sangkakan temannya sudah bertemu kembali dengan lelaki kesayangannya itu. Rupanya tidak.
“Qi... Qiandra... kau...”
“Sudah! Aku nak balik. Buat masa sekarang kau jangan cari aku!” Qiandra berdiri dan terus pergi.
Rania menghela nafas beratnya. Macam mana aku nak pujuk dia ni?
Hayaaz muncul dengan dulang yang berisi minuman. Sempat dia melihat teman Rania itu keluar dari restoran ini.
“Teman awak nak ke mana?”
“Dia balik. Dia masih marah dengan apa yang berlaku pada diri dia.”
“Awak pernah kata yang awak ke sini nak cari teman awak. Tapi apa yang berlaku pada teman awak tu awak tak pernah cerita lagi dekat saya.” Hayaaz meletakkan minuman teh sejuk di depan Rania. Dia pula memilih minuman panas untuk dirinya. Minuman Qiandra dibiarkan di atas dulang itu.
“Cerita...” Rania berfikir. Ya, bukan semua Hayaaz dan teman baik lelaki itu tahu ceritanya. Selama ini pun hanya Adina sahaja yang tahu semua cerita keseluruhan yang berlaku pada dirinya dan juga teman baiknya. Adina juga tahu apa yang berlaku di Loka Ayangan. Banyak lagilah yang Rania ceritakan kepada Adina dan hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
“Tak apalah kalau awak tak nak cerita. Kita cerita pasal topik lainlah.” Hayaaz sekadar ingin tahu sahaja. Tapi, kalau Rania tidak sudi dia tidak akan memaksanya.
“Nanti saya cerita dekat awak. Lepas ni. Kita tunggu makanan kita dulu, ya.” Dia tidak mahu merosakkan mood makan malamnya itu.
Hayaaz ketawa kecil. Makanan saja dalam fikiran dia ini.
Share this novel