BAB 15

Fantasy Series 13998

PUTERI AYANNA RANIA sungguh seronok sekali. Misi mencari teman baiknya sudah berjaya. Tapi, lelaki itu pula yang menjadi masalahnya sekarang ini. Dia masih ingat lagi kata Qiandra tadi. Temannya tidak akan pulang kalau Rehan tidak ditemui.

Rania garu kepala. “Mana aku nak cari abang Rehan ni?” Dia terus berjalan ke arah tasik Dhura.

“Rehan. Adiandra. Dua-dua lelaki ni buatkan hati teman aku itu rasa selamat dan rasa selesa. Tapi, siapa Adiandra?” Rania mengusap dagunya. Berfikir lagi. Ketika itu dia tidak sedar yang dia sedang melintas jalan dan kebetulan ada kereta masuk ke lorong itu dan meluncur laju ke arahnya.

“Rania!!”

Pantas tangannya ditarik. Rania jatuh dalam pelukan lelaki itu.

“Hayaaz!”

“Apa yang awak buat ni, hah?! Awak lintas jalan macam tu saja. Langsung tak tengok kiri kanan awak. Kalau awak kena langgar tadi macam mana?” Marah Hayaaz. Tangannya spontan memeriksa wajah dan anggota tubuh Rania yang lain.

“Luka ni dapat dari mana pula, hah?” Wajah tenang itu kembali tegang apabila mendapati ada luka lain di bahagian lutut dan lengan kanan perempuan itu.

Rania telan liur. Gerun dia melihat wajah itu.

“Ta... tadi... tadi saya jatuh parit.”

“Hah?!”

“A... awak pula. Macam mana tiba-tiba boleh muncul dekat sini?” Seingat Rania, dia tidak bagitahu pun tempat yang dia pergi ini.

“Suka hati sayalah nak muncul dekat mana. Saya datang sini pun sebab nak ambil awak. Awak tahu tak yang awak dah buat saya risau. Saya jadi tak keruan, tahu!” Hayaaz menggeram. Berkali-kali dia menghubungi Rania tetapi panggilannya langsung tidak dijawab oleh perempuan itu. Nasib baiklah Dania membantunya pagi tadi. Kalau tidak, dia tidak tahu ke mana Rania pergi.

Rania angkat kening sebelah. “Tiba-tiba nak risaukan saya, kenapa? Bukankah saya dah bagitahu awak dalam telefon tu? Saya boleh jaga diri sayalah.” Rania menjelingnya.

Hayaaz gigit bawah bibirnya. Geramnya bertambah. Mahu saja dia mencubit perempuan di hadapannya ini. Saya tak akan cari awak kalau hati ini tak fikirkan pasal awaklah. Ini hampir sehari awak tak ada dekat sana. Hati saya tak tenang, tau! Asyik fikirkan awak saja! Hayaaz mengeluh. Ayat itu hanya mampu diucap di dalam hati sahaja.

“Awak nak ke mana pula tu?” Tanya Hayaaz menyedari Rania mahu ke seberang jalan.

“Baliklah!” Jerit Rania. Cepat langkahnya menyeberang jalan ke tasik Dhura.

Hayaaz menggeram. Laju dia ke seberang mengejar Rania. Langkahnya mati apabila Rania berpatah balik ke arahnya.

“Hayaaz. Patah balik. Patah balik.” Rania tiba-tiba menolak Hayaaz ke belakang.

Hayaaz pelik. “Kenapa ni? Apa yang awak nampak?” Dia cuba mengintai di belakang Rania.

“Tak ada. Baik kita pergi dari sini cepat.” Rania menggesanya pergi dari situ. Namun Hayaaz tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

“Yakah? Pasti ada sesuatu ni, kan?” Hayaaz mengeraskan tubuhnya apabila Rania berkali-kali menariknya pergi dari situ.

“Mana ada! Marilah balik, Hayaaz.” Pujuk Rania. Tangannya spontan memeluk tubuh itu.

Hayaaz tergamam. Dia angkat kening sebelah.

“Kejaplah. Awak begini ni mesti ada sorokkan sesuatu dari saya, kan.” Hayaaz menolak Rania ke tepi. Dia cuba mencari sesuatu di tasik itu. Matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang dikenali. Elan.

“Apa pula dia buat dekat sini?”

Rania mendongak.

“Baik kita pergi dari sini sebelum dia nampak kita, ya.” Rania buat muka kesian. Dia tidak mahu Elan melihatnya di sini. Nanti, teruk jadinya. Lelaki itu suka mengusiknya bila mereka bersama.

“Awak takut dengan dia tu sangat kenapa? Bukan sebelum ni kamu berdua okey sajakah?”

“Okey tu memanglah okey. Cuma, saya tak nak dia rosakkan mood saya hari ni. Awak pun tahukan perangai dia itu macam mana kalau dengan saya. Asyik nak mengusik saja.”

“Yakah? Habis, saya ni tak macam diakah?”

Rania mengecilkan pandangan. Geram pula dia dengan lelaki ini.

Rania mengerling Elan yang sedang mencari sesuatu. Lelaki itu kemudian mengeluarkan telefonnya. Entah, siapa agaknya yang di telefon oleh si Elan itu?

Tiba-tiba telefon Hayaaz berbunyi. Rania tersentak. Mungkin juga Elan yang menghubunginya.

“Haya...” Rania tidak sempat menghalang Hayaaz. Lelaki itu sudah menjawab panggilan tersebut. Sekali lagi dia mengerling ke belakang. Ya, Elan sedang bercakap dengannya.

“Aku dekat mana?” Hayaaz memandang Rania. Perempuan itu dalam keadaan yang tidak keruan.

“Aku dekat...” Tiba-tiba Rania menekup mulutnya.

“Shh! Jangan bagitahu awak ada dekat sini.” Kata Rania dengan nada berbisik.

“Hayaaz! Kau dekat mana ni? Bagitahulah aku.” Jelas kedengaran suara Elan di telefon itu.

Hayaaz menarik tangan Rania ke atas. Tubuh mereka begitu rapat sekali.

Rania mengetap bibir. Dia cuba melepaskan diri tetapi genggaman lelaki itu terlalu kuat.

“Aku ada dekat gerai makanan. Lepas ni aku nak jumpa uncle aku. Kenapa?” Tipunya.

“Aku pergi kedai buku pak cik kau. Tapi, mereka kata kau tak ada. Kak Dania cakap yang kau ada dekat tasik Dhura. Aku cari-cari kau tapi tak jumpa pula. Rania pun tak ada dekat kedai buku. Kau ada dengan diakah?”

Rania yang mendengarnya laju menggeleng kepala. Dia tidak mahu lelaki itu tahu dia ada di sini.

“Tak ada. Eh, Elan. Aku nak gerak dulu. Nanti aku lambat pula jumpa uncle aku tu.”

“Okeylah.”

Hayaaz terus menutup telefonnya.

Rania menoleh ke arah tasik semula. Elan sudah meninggalkan tempat tersebut. Dia melepas lega.

“Dia dah pergi. Jadi, kita pun kena pergilah.” Hayaaz masih tidak melepaskan tangan Rania. Dia mengemaskan lagi genggaman tersebut. Rania pula membiarkannya saja perbuatan Hayaaz itu.

“Kita nak pergi mana?” Rania jadi bingung seketika.

“Rahsia. Kita pergi tempat tu dulu. Kita lepak sekejap. Lepas tu saya hantar awak pulang.”

“Tapi, kita nak pergi naik apa?” Tanya Rania lagi.

“Kereta kuda.” Jawab Hayaaz selamba.

“Perli sayakah?!”

“Gurau pun tak bolehkah?” Mahu ketawa Hayaaz melihat air muka Rania.

Rania mendengus.

Hayaaz ketawa. “Naik kereta sayalah. Jom!”

MALAM itu sungguh indah sekali. Banyak cerita yang Rania kongsikan pada Hayaaz. Dia juga menunjukkan gambar Qiandra kepada Hayaaz.

Hayaaz dan Rania duduk di atas tembok kecil yang tersedia di kawasan tersebut. Sambil duduk sambil mereka menikmati pancuran air yang berwarna-warni di hadapan mereka.

“Cantik! Tak puas tengok. Dekat sana langsung tak ada macam ni tau.” Beritahu Rania sambil menggigit wafel yang berintikan jem mentega kacangnya. Sejak dia merasa wafel yang dibelikan oleh Hayaaz hari itu dia jadi suka dan wafel ini sudah menjadi makanan kegemarannya.

“Yakah? Hari tu cakap dekat sana tak ada bangunan-bangunan macam ni. Hari ni pula cakap benda tu tak ada dekat sana.”

“Ya. Dekat sana, hanya istana dan beberapa bangunan tertentu saja yang dibina menggunakan konkrit dan batu-batu macam ni. Rumah-rumah yang lain pula semuanya dibina menggunakan kayu. Tapi mereka kreatif. Mereka bina rumah mereka dengan macam-macam gaya dan sangat cantik.”

“Oh...”

“Balik nanti, saya nak cadangkanlah benda ni pada ayahanda saya. Suka pula saya melihatnya.”

Ayat itu membuatkan hati Hayaaz terasa lain. Dia mengerling sekilas Rania di sebelahnya.

“Awak mesti rindukan keluarga awak, kan?”

“Mestilah. Saya tak pernah berjauhan dengan mereka.”

“Tapi...” Rania menundukkan kepalanya.

“Kenapa?”

“Entahlah. Sejak beberapa hari ini hati saya tak tenang saja. Asyik fikirkan keluarga di sana. Saya tak tahulah bagaimana mereka hendak selesaikan masalah di sana.” Dia mengeluh.

“Janganlah risau. Pasti semuanya akan baik-baik saja.”

“Awak tak tahu Hayaaz. Di sana bukan macam di sini. Kalau ahli-ahli sihir tu dapat tahu tentang hal ni pasti mereka akan cari saya di sini dengan teman-teman saya tu. Saya cuma harap mereka dapat sembunyikan hal ni sehinggalah kami balik ke sana. Tapi...” Rania mendongak ke langit. Sekali lagi helaan nafas berat dilepaskan.

“Tapi apa?”

“Kalau saya berjaya bawa mereka berdua balik pun belum tentu kami akan selamat di sana. Mungkin mereka berdua kena tinggal dekat tempat rahsia tu dulu sementara saya dengan yang lain cari jalan untuk selesaikannya nanti.”

Hayaaz angguk-anggukkan kepala. Kemudian dia terfikir sesuatu. Dia menoleh ke sebelah.

“Kalau awak dengan teman-teman baik awak tu pulang ke sana nanti, kamu akan guna lukisan Elan tu lagilah?”

Rania ketawa kecil. “Mungkin ya. Mungkin tak. Tapi lukisan tu... rasanya saya tak nak pulangkanlah.”

Hayaaz mencebik.

“Awak jangan main-main dengan lukisan Elan tu Rania. Awak pun tahu kan yang dia tu sayang sangat dengan koleksi lukisan-lukisan dia tu.”

Laju Rania geleng kepala. Dia tidak mahu.

“Saya tak main-mainlah. Saya suka dengan lukisan tu. Saya nak bawa lukisan tu pulang ke sana. Saya tak kisah kalau dia nak marah saya.”

“Tapi awak dah berjanji dengan Elan kan yang awak...”

“Saya janji saya akan jaga lukisan tu baik-baik. Awak janganlah beritahu dia yang saya ada niat lain.”

“Rania. Rania. Kalau Elan tahu niat awak ni, pasti dia akan naik marah. Tidak kira lelaki atau perempuan kalau mereka ada buat sesuatu pada lukisan-lukisan dia itu pasti dia akan mengamuk. Awak tak takutkah?”

“Takutlah. Sebab tu awak kena tolong saya rahsiakannya. Biar dia fikir saya jaga lukisan dia itu saja.”

Hayaaz mahu mengatakan sesuatu tetapi dia menahannya. Lebih baik diamkan sajalah. Kalau aku cakap nanti dia balas lagi. Kalau saling balas-membalas sampai bila pun tak akan habis, kata Hayaaz dalam hati.

“Rania. Awak nak tahu sesuatu tak?” Hayaaz mendongak ke langit malam. Indah sungguh melihat langit yang dihiasi dengan bintang-bintang berkelipan dan juga bulan purnama.

“Apa dia?”

“Kalau dunia awak ada kuasa sihir dekat sini pun ada juga. Tapi, kami panggilnya silap mata atau magik.”

Rania memandangnya tanpa berkelip. “Silap mata? Magik? Macam mana tu?” Tanyanya ingin tahu.

Hayaaz senyum. “Macam ni. Awak tengok bintang tu.”

Rania mendongak ke langit. “Kenapa? Awak boleh ambil bintang itukah?” Tanya Rania, pelik.

Hayaaz tersengih. “Buat apa saya nak ambil bintang tu sedangkan bintang yang paling cantik ada di depan mata saya.”

Laju Rania menoleh ke arahnya.

“Saya bintang awakkah?” Tanyanya bingung.

Hayaaz menepuk dahi. Kalau perempuan lain, sudah tersenyum-senyum bila dibuat begitu. Si Rania ni pula sebaliknya.

“Tak adalah. Tengok sini.” Hayaaz menyuruh Rania melihat kedua-dua tapak tangannya yang kosong itu.

“Tak ada apa-apa pun. Awak nak buat apa?”

Hayaaz menyimpul senyuman. “Awak tahu tak saya boleh keluarkan duit syiling dengan tangan ni.”

“Macam mana?” Tiba-tiba Rania jadi teruja.

“Macam ni.” Hayaaz menunjukkan telapak tangannya yang kosong itu. Kemudian dengan pantas tangannya ke belakang Rania. Dalam kiraan tiga dia terus memetik jari. Dia menarik tangannya ke depan semula dan menunjukkan duit syiling yang dia keluarkan dari belakang Rania itu.

Matanya membulat. Rania melopong sambil menekup mulut. “Macam mana awak buat? Awak ada baca apa-apa menterakah keluarkan duit syiling tu?” Dia betul-betul tidak menyangkanya.

Hayaaz menahan tawa. Dia tarik nafas sebelum berbicara.

“Inilah yang dipanggil silap mata. Sebenarnya, apa yang saya buat tadi tu mudah saja. Tak perlukan mentera macam kuasa sihir awak tu. Benda ni cuma kena berlatih banyak dan kena pantas.”

Rania terangguk-angguk. Rasanya aku boleh belajar silap mata ni. Boleh aku bawa ke sana nanti dan tunjukkan kepada mereka, kata Rania dalam hati.

“Hayaaz. Takkanlah satu saja. Awak tunjukkan lagilah saya silap mata yang lain. Ajar sekali, ya?” Rania buat muka comel.

“Saya boleh tunjukkan saja. Tapi, kalau nak ajar tu nanti-nanti sajalah. Sebab saya tak ada mood nak ajar orang sekarang ni.”

Rania buat muka cemberut. Dia berpeluk tubuh dan menghalakan pandangannya ke tempat lain.

“Ala, takkan merajuk pula.”

“Mestilah! Sebab awak tak sudi ajar saya pun.”

Hayaaz menghela nafas.

“Okey. Okey. Saya ajar awak. Tapi bukan hari ini. Kita tunggu masa yang sesuai, okey?”

Rania berpaling dengan riak sukanya.

Hayaaz geleng kepala dengan senyuman kecil. Macam budak-budak saja si Rania ini. Pada saat itu dia terfikir akan sesuatu. Dia memandang Rania semula.

“Nak pergi satu tempat tak?”

“Mana?”

“Nanti awak tahulah. Hujung minggu ni saya bawa awak pergi tempat tu. Sana lagi banyak magik tau. Yang pastinya akan buatkan awak terpegun.”

Bola matanya besar. “Yakah?! Yakah?! Mereka ada kuasa macam saya jugakah?”

“Mereka tak ada kuasalah. Tapi mereka boleh buat magik dengan benda-benda yang ada di tempat tu.”

“Wow! Tak sabarnya.”

Hayaaz ketawa kecil melihat tingkah Rania. Dia berdiri dan mengibas punggungnya.

“Sudahlah. Cukuplah saya bawa awak jalan-jalan sampai sini. Sekarang kita pulang.”

Rania tidak membantah. Dia terus membuntuti Hayaaz ke kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience