BEBERAPA hari telah berlalu. Rania sudah dapat membiasakan diri dengan kehidupan di sana. Tapi, harinya bukanlah setenang yang di sangka. Ada sahaja yang mahu mengacaunya. Terutama sekali Elan. Sejak dia berada di sini, lelaki itu tidak habis-habis menganggu hidupnya.
Rania berbaring di atas tilam. Dia tersenyum sendirian. Ini kali pertama dia memegang telefon pintar. Telefon itu hadiah daripada Adina. Semalam macam-macam Adina ajarkan kepadanya mengenai penggunaan telefon tersebut.
Dia masih ingat lagi sejak pertama kali datang ke sini. Dia agak terkejut juga melihat rumah Hayaaz yang penuh dengan lukisan. Di rumah Adina pula ada macam-macam alat canggih. Semua benda-benda canggih itu tidak ada di Loka Ayangan.
Perbezaan paling ketara lagi di antara dunia sini dengan di sana adalah bangunan dan juga kenderaan yang masih nampak klasik di matanya berbanding dengan dunia yang dia duduki sekarang. Semuanya nampak moden dan hebat.
“Tak sangka pula duduk dekat sini seronok. Tapi aku rindu dengan keluarga aku.” Rania mengeluh di bilik tidurnya.
“Ah, rindu tu ke tepi dulu. Sekarang ni aku nak ambil gambar aku.” Rania tersengih. Dia terus berswafoto. Macam-macam posisi dan gaya dia buat.
“Amboi, bukan main seronok lagi.” Adina muncul di depan pintu bilik Rania. Bilik tetamu yang sudah dikemaskan olehnya beberapa hari yang lepas itu sudah menjadi bilik tidur Rania sepanjang dia berada di sini.
“Hehehe. Mestilah. Rania teruja. Macam-macam boleh buat dengan telefon ni.” Dia menyambung semula swafotonya.
“Teruja tu teruja juga. Tapi janganlah sampai tak ingat dunia. Jom, turun.”
“Buat apa?”
“Semalam kata nak buat biskut. Kakak nak ajar Rania buat biskutlah.”
Matanya membesar. Bertambah teruja bila Adina mahu mengajarnya membuat biskut. Telefonnya dibuang ke tepi dan terus menerpa ke arah Adina.
“Jom!” Rania menarik tangan Adina turun ke bawah.
“Ish, budak ni. Kalau ya pun janganlah buang telefon tu macam tu. Mahal tau.”
“Ala, kak Adina ni. Rania bukannya buang dekat lantai pun. Atas tilam, kan.”
Adina menggeram.
“Cepatlah, kak. Rania tak sabar nak buat biskut ni.” Laju dia turun ke bawah. Adina membuntuti dari belakang.
“Ya. Ya. Budak ni.” Adina geleng kepala.
ADINA ketawa melihat adunan biskut Rania itu. Terlalu cair. Doh sebelumnya pula terlalu keras dan ada kulit telur lagi di dalam doh tersebut. Berkali-kali jugalah Adina menyuruhnya mengulang semula adunan biskutnya itu.
“Ingatkan senang nak buat biskut ni.” Rungutnya.
“Ala, tak apa. Banyak lagi bahan-bahan dekat rak tu. Kalau pertama kali buat memanglah macam tu. Jangan mengalah. Buat lagi.” Adina menyuruhnya membuat semula.
“Baik.” Rania membersihkan bar dapur itu dan kemudian mengadun semula adunan biskut. Adina pula meminta diri ke halaman rumah sekejap.
Ketika Rania sedang sibuk di dapur, Hayaaz dan Elan datang bertandang ke rumah. Rania langsung tidak menyedari dengan kehadiran mereka berdua.
Hayaaz dan Elan sedang memerhatikan tingkah Rania dari luar dapur. Mereka ketawa kecil setiap kali Rania melakukan kesalahan dalam membuat adunan biskut itu.
“Dari tadi kakak panggil kamu berdua. Seorang pun tak dengar.” Tegur Adina. Penat dia menjerit nama mereka berdua dari halaman rumah itu. Semalam dia sudah menelefon dan memberitahu Hayaaz agar datang ke sini dengan Elan untuk membantunya membersihkan halaman rumah.
“Kakak panggil kamikah?”
“Yalah. Kakak minta tolong angkat pasu-pasu bunga dekat luar tu. Alihkan ke halaman belakang.” Geram dia dengan adiknya.
“Eh, bila kamu berdua sampai?” Rania mahu mengambil cip coklat hitam di bar tengah dapur dan baru perasan dengan kehadiran mereka berdua.
“Beberapa minit yang lepas. Kami saja tak nak kacau kau.” Elan mengukir senyumannya.
“Oh...”
“Hah, macam mana biskut? Jadi?” Tanya Adina.
“Rasanya jadi. Tak. Eh, entahlah. Ish, tak tahulah.” Rania bingung. Adunan biskutnya nampak kelihatan berbeza daripada gambar dalam buku resepi itu.
“Hmm... Kalau macam tu biar Hayaaz yang ajar Rania. Elan pula ikut akak ke halaman. Tolong akak angkat pasu-pasu tu ke belakang.”
“Hah? Saya pula. Biarlah saya yang tolong Rania. Hayaaz tolong akak. Okey?”
“Pergilah tolong Rania. Kalau habis bahan-bahan tu semua, akak suruh kau pergi beli balik. Nak?” Adina tahu yang Elan itu bukannya pandai membuat biskut pun. Makan saja tahu tapi membuatnya tidak pandai.
Elan tersengih. “Tak naklah. Biar Elan saja yang tolong akak.”
Hayaaz senyum sinis. “Kau ni Elan. Duit pun nak berkirakah? Kalau lukisan bukan main lagi kau buang duit, kan. Kalau bahan-bahan biskut ni kau tak nak pula keluarkan duit kau.”
“Ala, aku boleh saja keluarkan duit aku. Tapi...” Dia mendekatkan wajahnya ke telinga Hayaaz.
“Aku tak yakin lagi dengan si Rania ni. Tengok saja macam mana dia buat. Dah berapa kali dia ulang buat adunan biskut tu. Kalau aku beli jadi benda yang sama kan susah. Nanti, terpaksa beli lagi bahan-bahan baru untuk dia.” Bisik Elan. Dia tidak mahu Rania dan Adina mendengarnya.
“Yalah tu. Sudahlah. Kau pergi tolonglah kakak aku. Biar aku saja tolong si Rania tu.” Hayaaz terus ke dapur.
“Sini. Ikut akak.” Adina menarik Elan ke halaman rumah.
PUTERI AYANNA RANIA merenung lama biskut-biskutnya di dalam loyang. Dia tidak tahu sama ada mahu bakar atau tidak biskut-biskut itu. Langsung tidak ada rupa biskut dilihatnya.
Rania menggaru tepi kepala dengan tangan yang penuh tepung. Dia tersentak apabila ada orang mentertawakannya.
“Janganlah ketawakan saya!” Bentaknya. Sudahlah dia sakit hati dengan biskut itu. Lelaki ini pula mentertawakannya.
“Macam mana saya tak ketawa kalau muka awak tu kotor. Sana sini tepung melekat dekat wajah awak tu tau.”
“Hah?!” Laju Rania melihat wajahnya di cermin ruang tamu.
“Ala, malunya!” Rania ke dapur semula mencuci tangannya dan mengambil tisu yang ada di atas bar tengah dapur. Baru sahaja dia mahu mengelap wajahnya tiba-tiba tisu di tangannya dirampas oleh Hayaaz.
“Bagilah tisu tu.” Rania geram.
“Sini.” Dia menarik Rania rapat dengannya.
Rania terkejut. “A... apa awak buat ni?” Dia cuak.
Hayaaz hanya menyimpul senyuman.
Rania tergamam apabila Hayaaz mengelap wajahnya dengan tisu tadi. Matanya langsung tidak lepas memandang wajah kacak di depannya. Telan liur dia melihat senyuman yang sungguh menawan itu.
“Nah. Buang tisu ni.”
“Hah?” Rania tersentak.
“Muka awak dah bersih dah. Jadi, tolong buang tisu tu dan kita buat semula biskut ni.”
“Bis... biskut? Oh, ya! Biskut.” Dia hampir terlupa pasal itu. Cepat-cepat dia membuang tisu kotor itu dan kemudian membersihkan bekas-bekas adunan biskut.
“Saya nak bar tu bersih dan susun semula bahan-bahan biskut tadi. Adunan awak tu awak buang. Kita buat yang baru.”
“Takkan saya nak bersihkan semua ni? Awak tolonglah saya sekali.” Rania buat muka comel, memujuk lelaki itu.
Hayaaz menggoyangkan jari telunjuk kanannya seiring dengan gelengan kepala.
“Saya duduk dekat sini tengok awak saja. Apa yang saya suruh, awak buat. Okey?”
Rania memuncungkan mulutnya.
“Cepat. Bersihkan semua ni. Kalau tak siap hari ni kita tak boleh keluar tau. Lagipun, saya dengan Elan nak bawa awak pergi makan.”
“Makan?! Baik. Baik. Saya buat.” Rania pantas membuat kerjanya tanpa rungutan.
Hayaaz ketawa kecil. Bukan dia tidak tahu Rania itu sedang mengelamun jauh tadi. Entah apalah yang difikirkan olehnya.
TADI bukan bersemangat lagi Rania membuat biskutnya. Tapi, lepas beberapa minit semangatnya itu turun semula. Dia masih tidak puas hati dengan adunan biskutnya. Apa yang buatkan dia geram lagi apabila Hayaaz tidak berhenti-henti mahu mengusiknya.
Rambut ni pun nak bagi aku marahkah?! Rania mengetap bibir setiap kali rambutnya itu jatuh ke depan. Betul-betul menghalang fokusnya pada biskut itu.
“Macam mana? Dah siap?” Adina muncul di dapur.
“Belum. Macam mana nak siap kalau dia ni asyik buat salah saja. Tengok saja apa dia buat dengan tepung tu. Habis satu wajah dia kotor balik. Bukan tu saja, akak tengok bar dengan lantai ni. Penuh dengan tepung.”
“Itu sebab Hayaaz tak tolong dia, kan.” Adina memulas telinga Hayaaz. Faham sangat dia dengan sikap adiknya itu. Kalau dengan perempuan bukan main lagi dia mahu mengusik. Lagi-lagi dengan perempuan yang rapat dengan dia ini.
“Betul tu, kak Adina. Hayaaz tahu mengarah saja. Bukan pandai tolong Rania pun.” Luah Rania dengan perasaan geramnya.
“Okey. Okey. Hayaaz tolong dia. Akak lepaslah. Sakit tau.”
Adina melepaskan tangannya. “Tahu sakit. Cepat ajar Rania tu. Jangan sampai mood Rania tu hilang.” Adina menjeling adiknya dan berlalu ke halaman semula. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat di halaman itu.
Hilang kelibat Adina, Hayaaz terus ke tempat Rania.
“Baiklah. Kali ini kita buat betul-betul. Saya bantu awak.”
“Tipu!”
“Betul. Saya tak kan main-main lagi macam tadi.” Hayaaz tahu Rania sedang menahan marah. Tapi, dia tidak kisah. Dia tahu bagaimana hendak memujuknya. Lagipun, perangai Rania tidak jauh beza pun dengan kakaknya.
“Yalah tu.” Rania membuang adunan biskutnya. Bahan-bahan biskut hanya tinggal sedikit. Kalau lepas ini tidak jadi lagi terpaksalah dia keluar membeli bahan-bahan baru untuk biskutnya.
“Marah?” Hayaaz menegurnya apabila perempuan itu senyap.
“Mestilah marah. Awak dari tadi main-mainkan saya. Saya ingatkan awak serius nak ajar saya buat biskut ni. Tapi, apa yang saya dapat usikan awak pula.”
Dia betul-betul marahlah pula. Hayaaz rasa bersalah.
“Sini saya tolong awak.”
Rania diam. Dia tidak mahu melayan lelaki itu. Lebih baik kemas dapur ni. Lepas tu naik atas. Tidur lagi bagus.
Selesai tugasnya, Rania terus keluar dari dapur.
“Rania. Maaflah. Saya tahu awak bersungguh-sungguh nak buat biskut ni. Saya janji saya akan tolong awak. Saya tak main-main macam tadi. Ya?”
Rania buat-buat tidak dengar. Dia mengatur langkahnya ke arah tangga tapi Hayaaz cepat menangkap tangan gadis itu.
“Maafkan saya, ya?” Lembut suaranya memujuk Rania.
Wajah Rania membahang sebaik sahaja memandang wajah Hayaaz yang sedang memujuknya itu. Rania menarik tangannya dan ke dapur semula.
“Awas kalau awak usik saya lagi.”
Hayaaz angkat tangan. “Tak. Saya janji.” Dia senyum lebar. Berjaya juga dia pujuk Rania.
KALI ini Hayaaz serius mengajarnya. Sepanjang mereka membuat adunan itu, dia perasan Rania asyik menyelitkan rambutnya yang jatuh ke muka dan tepinya. Hayaaz kesian pula melihat dia begitu.
“Rania, kejap. Saya ke ruang tamu dulu. Nak ambil sesuatu.”
“Okey.” Rania siap menguli tepungnya. Kali ini doh biskutnya nampak sempurna. Dia mengambil dulang dan juga bahan hiasan biskut.
Sedang Rania mencuci tangan tiba-tiba rambutnya disentuh oleh seseorang. Dia berpaling ke belakang tetapi tangan itu menolak wajahnya ke depan semula.
“Jangan gerak. Saya nak ikat rambut awak ni dulu.”
Rania terdiam. Dia terus kaku di situ. Hatinya tiba-tiba berdebar. Kenapa dengan aku ni? Soalnya dalam hati.
“Pusing.” Arah Hayaaz pula. Rania seperti dijampi hanya mengikut sahaja kata lelaki itu.
Tertahan nafasnya saat itu. Hayaaz sedang mengelipkan rambutnya. Dia tahu dia tidak boleh menyembunyikan wajahnya yang sudah merona merah.
“Macam ni barulah nampak cantik.” Hayaaz mencubit pipinya.
Rania memandang ke tempat lain.
Hayaaz menahan tawa. Dia berdeham.
“Dah. Cepat buat biskut tu. Nanti tak siap pula.” Arah Hayaaz.
“Ah... ya!” Jadi kelam-kabut Rania dibuatnya.
HAYAAZ AYISH dan Elan sedang berehat di halaman rumah. Adina menyediakan minuman untuk mereka. Sementara Rania pula menyediakan biskut yang telah siap dibakar tadi.
“Wah! Berjaya juga kau buat biskut. Nampak sedap.”
Rania tersengih. Dia meletakkan piring berisi biskut itu di atas meja.
Elan menghidu bau biskut Rania. Dia mengambil sekeping biskut dan merasanya.
“Macam mana?” Tanya Rania.
“Sedap!”
“Mestilah. Aku yang ajar dia.” Hayaaz bangga diri.
“Yalah tu. Bukan kau usik diakah tadi?”
“Mana ada.”
Elan menjeling tajam. Dia menarik kerusi rapat dengan temannya.
“Kau ingat aku tak nampak apa kau buat tadi? Sakit hati aku ni tau.” Elan mendengus geram.
“Apa yang kau nampak bukan seperti yang kau fikirkan. Aku cuma bantu dia saja. Lagipun, tangan dia kotor.” Tenang Hayaaz membalasnya.
“Hah, apa pula yang kamu berdua tengah bercakap tu? Ingat suara perlahan macam tu kakak tak dengarkah?” Adina duduk dan menuang teh di setiap cawan.
“Shhh!! Kak Adina jangan cakap kuat-kuat.” Elan mengerling ke arah Rania. Nasib baik perempuan itu tidak dengar. Rania lagi sibuk mengambil gambar biskut yang dibuatnya itu.
“Tahu takut. Tak payahlah buang masa bergaduh pasal dia. Dia tak akan pernah sukakan kamu berdua pun. Sebab kamu berdua ni kaki mengusik.”
“Eleh. Kakak cakap macam tu pun sebab cemburu, kan?” Hayaaz mengerling temannya meminta sokongan.
“Betul tu. Maklumlah, mata kami ni dah tak pandang kakak sejak dia di sini.” Elan tersengih.
Adina menggeram. Lantas dia mencubit kedua-dua lengan lelaki itu.
“Sakitlah!” Adu mereka.
“Padan dengan muka! Daripada layan kamu berdua lebih baik akak layan Rania.” Adina mendengus geram.
Share this novel