BAB 8

Fantasy Series 13998

KEDAI BUKU READ LOVER hari ini sibuk sekali. Tidak pernah lagi mereka menerima pengunjung yang ramai sebegini. Tapi... Apa yang peliknya, pengunjung lelaki yang datang ke kedai buku ini lebih ramai berbanding dengan pengunjung perempuan.

Ketika Hayaaz sedang mengemas buku di belakang tiba-tiba dia di tegur oleh seseorang. Dia berpaling dan melihat temannya sedang menahan marah.

“Bila lagi kau ada dekat sini?” Terkejut juga Hayaaz bila melihat Elan muncul di kedai buku pak ciknya ini.

“Beberapa minit yang lepas. Tak sangka ramai pelanggan pak cik kau hari ni. Ini mesti sebab si Rania tu, kan.” Dia mendengus geram.

Hayaaz mengerutkan dahi. “Kenapa pula sebab dia? Dia ada buat apa-apa yang kita tak tahukah?” Tanyanya sambil mencari kelibat Rania. Pagi tadi sahaja dia ada bersama dengan perempuan itu. Selepas Rania berkenal mesra dengan teman-teman sekerjanya yang lain, dia terus ditinggalkan olehnya. Sampai sekarang ini dia masih belum menegur perempuan itu lagi.

“Tadi, aku ada tanya beberapa pelanggan lelaki. Mereka ke sini pun sebab nampak perempuan cantik. Sanggup mereka beli buku yang disentuh oleh Rania tu.”

“Hah? Rania dekat mana?”

“Dekat bahagian tengah. Masih melayan pelanggan.”

Segera Hayaaz ke sana. Dia betul-betul tidak tahu tentang hal ini. Mungkin juga sebab dia terlalu fokus dengan kerjanya.

Terkejut bukan kepalang dia melihat lelaki-lelaki sedang beratur meminta buku daripada Rania. Perempuan itu pula melayan sahaja kerenah mereka dengan wajah cerianya. Hayaaz mengetap bibir. Laju dia menghampiri Rania.

“Rania. Apa yang awak buat ni?” Perlahan suaranya dan kedengaran tegang.

Rania senyum. “Layan pelangganlah. Awak sendiri kata kalau ada pelanggan minta tolong kenalah bantu dia. Jadi, saya tengah bantu mereka inilah.”

Hayaaz menepuk dahi. “Yalah. Tapi bukan macam ini nak layan mereka.” Geram Hayaaz.

Semalam kakaknya memanggilnya ke rumah kerana ada hal yang kakaknya ingin bincangkan kepadanya. Kakaknya sudah mendapat persetujuan daripada pak cik mereka dan Rania akan membantu pak cik mereka di kedai buku itu. Lagipun, Rania memberitahu kakaknya yang dia sukakan buku.

Kakaknya juga berpesan agar menjaga Rania dengan baik. Tapi apa yang berlaku sekarang ini jelas sekali menampakkan dia tidak menjaga perempuan itu dengan baik.

“Kenapa pula? Salahkah?”

“Err... Cik lawa. Boleh bantu saya?”

Laju Rania menolak Hayaaz ke tepi. Dia mengukir senyuman lebar. Dia perlu melayan pelanggan dulu.

“Ya. Ada apa saya boleh bantu?”

Hayaaz yang berada di belakangnya itu menahan sabar. Ketika itu muncul Elan. Dia berdiri di sebelah Hayaaz. Mereka memerhatikan sahaja tingkah laku pelanggan-pelanggan itu.

“Saya nak buku dekat tepi awak tu.” Dia tersengih sambil menunjuk buku tebal di sebelah tepi Rania.

Rania segera mengambil buku yang ditunjukkan dan memberikan kepada pelanggan lelaki itu.

“Terima kasih. Awak cantik macam bidadarilah.”

“Yakah? Saya tak cantik pun. Saya biasa-biasa sajalah.” Tersipu malu si Rania kena puji.

Pelanggan lelaki itu mengeyitkan mata sebelum bergerak ke kaunter pembayaran.

“Awak pula nak cari buku apa?” Tanya Rania pada pelanggan lelaki yang seterusnya. Pelanggan itu memakai cermin mata tebal dan rambutnya disikat tepi.

“Buku dekat tepi kanan awak tu. Saya nak dua.” Katanya dengan senyuman lebar. Sempat lagi dia membetulkan cermin matanya.

Rania pelik. Pelanggan ini pun sama seperti dengan pelanggan-pelanggan lelaki yang sebelumnya. Hanya minta buku yang ada disekelilingnya dan kemudian terus pergi. Langsung tidak beritahu tajuk buku yang dimahukan.

Baru sahaja Rania mengambil buku tepi kanannya itu tiba-tiba ada tangan lain yang mengambilnya dulu. Rania tersentak apabila Elan mengambil dua buah buku itu.

“Elan! Bagi balik buku tu.” Rania mahu merampasnya semula tetapi gagal. Sebaliknya dia di tolak ke belakang oleh lelaki itu.

“Nah! Nak buku saja, kan. Jangan pula usik pekerjanya sekali.” Marah Elan.

“Sudah! Yang lain pergi cari buku sendiri. Jangan ganggu dia!” Elan menghalau mereka pula.

Rania menggeram. “Kenapa dengan awak ni, hah?! Biarkan sajalah mereka nak cari buku dekat sini.”

“Awak kata biarkan? Awak tak tengok mereka baik-baikkah? Mereka tak ada niat pun nak beli buku ni semua. Lagipun, di sekeliling awak ni hanya ada buku-buku budak dan juga majalah masakan.”

Rania tersentak dengan kata-kata Hayaaz. Baru dia sedar buku-buku yang ada di tepi kanan dan kirinya itu.

“Ini lagi. Kenapa ke sini pakai mekap, hah? Kau datang nak membantu Hayaazkah atau nak menggoda lelaki?”

Rania terkedu. Tiba-tiba hatinya panas. Putera Aelan Izz dan Putera Raid Ezhar pun tidak pernah berkata begini kepada aku. Dia pula ikut sedap mulut saja nak marah dan menyindir aku.

“Saya datang ke sini nak bantu Hayaazlah. Awak nak marah-marah saya ni kenapa pula? Suka hati sayalah nak berhias macam ni. Bukan tebal pun mekap ni.” Rania membalasnya.

Sebenarnya, sebelum keluar rumah tadi Adina telah memaksanya untuk bermekap. Wajahnya nampak berbeza setelah dimekapkan dan nampak lagi cantik. Tambahan lagi dengan pakaian blaus berwarna biru muda dan juga seluar slek berwarna putih yang dipakainya itu amat sepadan dengan dirinya.

“Memang patutlah kau kena marah. Sebab kau menarik perhatian kaum lelaki tau.” Elan melepas geram dan terus berlalu pergi.

Ish, dia ni! Asyik nak cari gaduh dengan aku saja! Rania geram.

PELANGGAN semakin berkurang apabila tiba waktu petang. Rania mengurut bahunya yang terasa lenguh. Tidak pernah lagi dia rasa sepenat ini. Itulah, semalam beria-ia mahu mengikut Hayaaz ke sini. Katanya, bosan duduk di rumah.

“Nah.”

Rania mendongak. Rupanya Hayaaz. Dia memberikan minuman sejuk kepada Rania.

“Terima kasih.” Ucapnya dengan senyuman kecil. Dia meletakkan minuman sejuk itu di atas meja. Ketika itu mereka berada di bahagian hujung kedai buku itu dan sedang berehat.

“Penat?”

“Mestilah penat. Saya tak pernah lagi buat kerja macam ni tau. Kalau dekat sana, asyik keluar ke tempat rahsia saja.”

“Tempat rahsia? Tempat apa tu?” Hayaaz ingin tahu.

“Tempat tu sebenarnya tempat istirahat saya dengan adik saya. Di situlah kami selalu berlatih kuasa sihir kami. Tapi sekarang...”

Hayaaz memandang wajah kecewa itu. Dia tersenyum kecil.

“Tak payahlah buat muka masam macam tu. Kalau awak tak ada kuasa pun awak hidup juga, kan.”

“Tapi tak seronoklah kalau tak ada kuasa tu.” Rania memuncungkan mulutnya.

“Sebenarnya banyak lagi yang awak boleh buat seronok berbanding dengan kuasa sihir tu.”

Rania diam.

“Tak apalah. Awak rehat dulu. Saya nak ke depan sekejap.” Hayaaz beredar.

Sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang Rania berdiri dan mencari teman sekerja yang lain. Sempat juga dia menghabiskan minuman yang diberikan oleh Hayaaz tadi.

“RANIA. Kakak nak balik dulullah, ya. Kerja kakak dah habis.”

“Okey, kak Dania. Jumpa esok.”

Dania senyum. “Hati-hati turun tangga tu.” Pesan Dania sebelum pergi.

Rania membalas dengan senyuman. Dia meneruskan kerjanya mengemas buku di atas rak buku itu. Petang tadi dia hanya menahan geramnya sahaja apabila melihat sekumpulan remaja lelaki berkumpul di bahagian tepi ini. Nasib baiklah buku-buku di bahagian ini tidak dikoyakkan oleh mereka. Hanya di buang ke atas rak buku ini saja. Pekerja-pekerja yang lain tidak berani hendak menegur disebabkan muka-muka bengis remaja itu.

Selesai satu rak dia menolak pula tangga itu ke sebelah. Dia langsung tidak menyedari rantainya sedang bercahaya di sebalik pakaiannya itu.

“Ergh! Mahu saja aku ajar mereka tu dengan kuasa sihir aku tapi nasib baiklah kuasa aku tu dah tak ada. Kalau tak, memang mereka kena dengan aku tadi.” Rania terus-menerus melepaskan rasa geramnya.

“Rania!”

Rania terkejut apabila dia di sergah dan terus hilang keseimbangan diri.

“Rania, jaga-jaga!” Hayaaz panik. Rania hilang kawalan dan terus jatuh dari atas tangga itu. Hayaaz tangkas menangkap tubuh genit itu. Ketawa kecil dia apabila melihat wajah takut Rania itu.

“Nak turun atau nak terus macam ni, hmm?” Hayaaz mengusiknya apabila Rania masih memeluk lehernya itu.

Matanya terus tercelik. Wajahnya membahang apabila sedar yang dirinya berada dalam dukungan lelaki itu.

“Turunkan saya.”

Hayaaz ketawa melihat wajah merona merah itu.

“Merah sangat pipi awak tu. Comel.” Hayaaz masih mengusiknya. Rania terus menjauhkan diri darinya.

“Tak payahlah malu.” Hayaaz mendekati Rania. Dia suka pula melihat Rania malu seperti itu.

“Mestilah malu! Ini pertama kali tau lelaki dukung saya.”

“Ini pun kali pertama saya juga.”

Rania mengerutkan dahi. “Kali pertama apa? Dukung perempuankah?”

“Tak. Dukung perempuan dah biasa bagi saya. Kak Adina kalau datang nakal dia mesti nak mengusik saya.”

“Habis? Apa yang kali pertama awak?”

“Kali pertama dukung puteri cantik macam awak.” Dia mencuit hidung Rania dan kemudian pergi.

Bertambah malu si Rania dibuatnya.

HAYAAZ AYISH menutup kedai buku itu. Pak ciknya hari ini tidak ada di sini kerana ke luar kota untuk menguruskan sesuatu di sana. Rania pula sedang berbual dengan Elan. Nampak mesra saja mereka berdua. Padahal, pagi tadi bukan main marah lagi temannya itu pada Rania. Sampai merajuk keluar dari kedai buku ini. Tapi tidak sangka pula dia datang semula mengambil mereka di sini.

“Rajin pula kau ambil kami.” Hayaaz memasukkan kunci kedai itu ke dalam poket seluarnya.

“Mestilah. Ada Rania, kan.”

Hayaaz senyum sinis. Dia sudah mengagaknya.

“Jadi, kita nak ke mana?” Rania menyampuk.

“Kita pergi makan dulu. Lepas tu baru pulang.” Kata Elan.

“Makan! Suka. Suka. Kita makan dekat tempat yang sedap-sedap, ya.” Pantang Rania mendengar perkataan ‘makan’ itu dia terus jadi teruja. Itu sebab makanan-makanan dekat sini semuanya sedap-sedap dan rasanya tidak sama dengan rasa makanan di tempatnya.

“Untuk kau, aku okey saja.” Elan mengeyitkan mata.

“Kau bawalah Rania pergi dulu.”

“Habis kau?”

“Aku naik kereta akulah. Takkan nak tinggalkan dekat sini pula.”

“Okey. Rania, jom.” Elan membuka pintu penumpang di bahagian belakang dan menyuruh Rania masuk.

“Tak nak! Saya ikut Hayaazlah.”

“Ala, janganlah macam tu. Aku janji aku tak buat nakal.”

Rania mengerling Hayaaz. Lelaki itu senyum sahaja.

“Awak ikut saja dia. Dia takkan apa-apakan awak. Kalau dia buat nakal juga dengan awak ketuk dia dengan botol air ni.” Hayaaz memberikan botol airnya kepada Rania.

Rania mendengus geram. “Baik!” Dia terus masuk ke dalam perut kereta.

“Awas kalau awak cari pasal dengan saya.” Rania memberi amaran pada Elan.

“Aku janji aku tak akan cari pasal dengan kau.” Dia menutup pintu tersebut.

“Hayaaz. Kita makan dekat mana?”

“Tunggu aku dekat kafe Puelicious.”

“Okey.” Elan terus masuk ke dalam dalam kereta dan bergerak pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience