BAB 18

Fantasy Series 13998

SAUNA SUNLIGHT. Pengunjung sauna ketika itu agak ramai. Jadi, mereka berlima sepakat memilih bilik sauna paling hujung kerana di kawasan itu tidak ramai orang yang lalu lalang.

Hayaaz dan Elan berbisik sesama sendiri. Adina pula masih memakukan pandangannya ke arah Rania dengan Rehan. Tingkah dua pasangan itu kalau dilihat oleh orang lain pasti mereka akan mengatakan mereka ini pelik. Mana tidaknya, Rehan meletakkan tangannya di atas kepala Rania dan mulut lelaki itu pula terkumat-kamit membaca sesuatu dengan mata tertutup.

“Nasib baiklah tempat ni tertutup. Kalau tak, malu kita semua.” Elan dari tadi memerhati orang-orang yang lalu-lalang di luar tingkap bilik sauna. Takut sahaja dia kalau ada yang curi-curi melihat mereka di dalam bilik sauna ini.

“Nak malu apa Elan. Bukan orang nampak pun. Tingkap besar depan kita ni bukannya boleh nampak dari luar. Kita saja yang nampak mereka dari sini.”

Adina memandang tajam dua orang yang sedang berbisik di sebelahnya. “Shh! Diam. Kalau nak bercakap juga pergi di luar. Nanti kamu ganggu konsentrasi mereka berdua tu.”

“Suara kami bukannya kuat pun.” Elan menjeling Adina.

Adina geram. Lantas dipulasnya telinga si Elan. Apa lagi, Elan mengetap bibir menahan rasa sakit.

“Padan dengan muka.” Puas hati Adina. Hayaaz pula menahan tawa. Nasib baik dia duduk jauh dari kakaknya.

“ABANG REHAN. Macam mana? Kuasa sihir saya akan pulih, kan?” Tidak sabar Rania hendak tahu. Sebaik sahaja mereka masuk, dia terus meminta Rehan memeriksa sama ada kuasanya sudah pulih atau pun belum.

“Abang Rehan?” Pelik Rania melihat air mukanya. Tadi, sepanjang perjalanan mereka ke tempat sauna ini dia sudah menceritakan semua yang berlaku di Loka Ayangan. Tidak ada satu cerita pun yang dia tinggalkan. Lagipun, Rehan perlu tahu semuanya.

Rehan masih diam membisu. Dia mundar-mandir di bilik sauna yang agak besar juga bagi mereka. Mustahil! Dia sendiri cakap yang kuasa sihirnya akan pulih selepas bertemu dengan Qiandra. Tapi, kenapa...

“Abang Rehan. Bagitahulah saya. Saya tahu abang pakar dalam hal ni, kan.” Rania tahu yang Rehan ada bakat dalam hal sebegini. Rehan boleh mengimbas tubuh seseorang itu sama ada orang itu mempunyai kuasa atau sebaliknya.

“Rania pastikah ubat yang Rania minum tu ubat penghapus kuasa untuk sementara saja?”

“Ya. Saya pasti. Lagipun, bonda saya sendiri yang sediakan semua tu.”

Rehan menghela nafas. Sukar untuk dia memberitahunya tentang ubat penghapus kuasa sihir itu.

“Rania. Abang rasa permaisuri Almira dah salah beri ubat pada Rania.”

Rania tersentak.

“Ta... tak mungkinlah.”

“Kenapa dengan Rania, Rehan?” Tanya Adina sedari air muka Rania berubah.

“Kuasa dia...”

“Kenapa dengan kuasa dia?” Hayaaz mencelah.

“Rasanya, kuasa Rania tak akan pulih.”

“Apa maksud abang Rehan?”

Rehan menarik nafas sebelum memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada diri Rania itu.

“Rania tahu kan yang ubat penghapus kuasa sihir ada dua jenis?”

Rania angguk. “Tahu. Tapi ubat-ubat tu saya tak pernah nampak lagi sebelum ni.”

“Apa yang abang tahu ubat-ubat penghapus kuasa hanya ahli-ahli sihir itu saja yang pegang. Tapi... macam mana pula bonda Rania dapat ubat tu?”

“Bonda tak ada pula cakap dari mana dia dapat ubat tu. Tapi, Rania tahu yang bonda selalu datang melawat ke pusat sihir setiap hujung bulan.”

Rehan mengusap dagunya. Mungkin juga permaisuri Almira senyap-senyap mengambilnya. Setahu aku, semua pusat sihir di Loka Ayangan memang di kawal dengan ketat. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun mengambil apa-apa benda dari tempat tersebut. Hmm... apa motif sebenarnya permaisuri Almira berbuat begitu, ya? Macam mana permaisuri Almira dapat ubat-ubat itu?

“Err... abang Rehan?” Rania mencuit bahu lelaki itu.

Rehan tersentak. Dia berdeham.

“Kau fikir apa sampai mengelamun jauh?” Tanya Elan.

“Tak ada apa-apa. Macam ni.” Rehan kembali ke topik utama.

”Kalau Rania hendak tahu yang ubat penghapus kuasa itu ada dua jenis. Satu untuk sementara saja dan satu lagi untuk selamanya. Tapi kedua-duanya mempunyai warna cecair yang sama. Cuma, ubat penghapus kuasa untuk selamanya itu ada kristal putih yang boleh di makan di dalamnya. Mula-mula memang tak nampak kristal tu. Tapi, bila botol cecair tu di goncang barulah kristal tu akan kelihatan. Kristal itu akan bersinar selepas di goncang.”

Rania tergamam. Nafasnya tertahan. Fikirannya melayang pada malam itu. Dia langsung tidak menggoncang botol cecair tersebut. Apatah lagi mahu menelitinya. Dia terus meminumnya sehingga habis.

“A... bang... Rehan. Kalau macam tu... saya tak boleh balik ke sana lagilah?” Rania tiba-tiba jadi takut.

Rehan diam.

“Saya ada dengar mereka di sana kata, kalau mereka dibuang ke dimensi lain mereka tidak akan dapat kembali lagi ke Loka Ayangan. Hidup di dunia lain tanpa memiliki kuasa bagaikan hukuman bagi mereka.”

“Siapa cakap macam tu? Ah, itu semua tipulah. Tengok abang sekarang ni. Masih hidup kan. Sihat lagi. Abang tak rasa pun semua ini hukuman.”

“Abang Rehan lain. Walaupun abang Rehan dibuang ke sini abang masih ada kuasa abang. Rania?” Dia cuba menahan air matanya.

“Rania tenanglah. Pasti ada cara lain untuk kembalikan kuasa Rania tu.” Adina laju menenangkan Rania. Dia mengusap lembut bahu Rania.

Rehan agak serba salah. Ketika itu dia teringat sesuatu.

“Rania kata empat tahun lepas tu ahli-ahli sihir ambil kuasa sihir Rania dengan yang lain, kan?”

“Ya. Tapi mereka tak suruh minum pun ubat tu. Mereka guna cara mereka untuk tarik semua kuasa yang ada pada kami.”

“Tapi lepas tu kuasa Rania pulih balik, kan?”

Rania hanya angguk.

Hmm... kalau macam tu pasti ada peluang, kata Rehan dalam hati.

MALAM itu Rania tidak dapat melelapkan matanya. Dia turun ke dapur untuk minum dan kemudian ke ruang tamu. Dibiarkan saja ruang itu tanpa cahaya terang. Hanya lampu sudut sahaja yang menyala ketika itu.

Posisinya sekejap berubah. Sekejap baring. Sekejap berdiri. Tidak tenteram hatinya memikirkan perbualan mereka di sauna tadi. Hendak menyesal pun tak boleh. Benda sudah jadi. Aduh, apa aku nak buat ni?

Rania mengigit bibir bawah. Tangan sebeleh memeluk bantal kecil. “Betulkah aku tak ada kuasa lagi?”

“Kenapa tak tidur lagi?” Adina menyentak lamunannya. Dia turun ke bawah mahu ke dapur tetapi langkahnya terbantut melihat Rania sedang mengelamun di ruang tamu.

“Rania tak boleh tidur.”

“Tak boleh tidur? Kenapa?” Dia melabuhkan punggung di sebelah Rania.

“Hmm... Fikir pasal hal tadikah?” Tebaknya.

Rania angguk lemah.

“Kak Adina. Rania...” Dia rasa hendak menangis saat itu. Adina laju memeluk dan mengusap bahu kirinya.

“Sabar Rania. Jangan negatif sangat. Tak ingatkah apa yang Rehan cakap dekat kita tadi? Dia kata Rania masih ada peluang, kan?” Dia tahu Rania risau kerana kuasanya tidak pulih lagi.

“Peluang?” Ya, itu aku ada dengar. Tapi aku tidak tahu peluang apa yang dimaksudkan oleh abang Rehan itu. Lagipun, masa itu aku hendak ke tandas dan aku hanya sempat dengar perkataan ‘peluang’ itu saja.

“Apa yang abang Rehan cakap pasal peluang, kak Adina?”

“Aik? Rania tak dengarkah?”

“Rania tak dengar habis pun sebab terus keluar pergi tandas.”

Adina angkat kening sebelah seiring dengan helaan nafas. Dia baru teringat. Waktu Rehan menerangkan hal tentang kuasa sihir Rania itu, Rania melulu keluar dari bilik sauna tanpa memberitahu arah tujuannya.

“Hmm... Kakak nak cerita pun malas. Dah lewat malam.”

Rania memuncungkan mulut.

“Tak payahlah buat mulut itik tu. Apa yang penting sekarang, tidur. Daripada Rania fikir pasal kuasa Rania tu lebih baik Rania pergi tidur. Tidur lagi penting daripada masalah Rania tu tau.” Kata Adina. Dia menguap.

“Kalau kakak tak nak bagitahu tak apalah. Kak Adina pergilah tidur dulu.”

Adina menggeram. “Ish, budak ni. Jangan risaulah. Rania yakin saja. Pasti kuasa sihir Rania tu akan pulih.”

“Yalah tu? Abang Rehan sendiri cakap...”

“Sudah. Tak payah fikir pasal tu. Sekarang Rania fokus dengan kehidupan Rania sekarang. Masih ada banyak benda lagi yang Rania boleh buat daripada fikirkan masalah tu.”

“Tapi...” Dia masih tidak berpuas hati.

Adina menjulingkan mata ke atas.

“Rania. Pasal kuasa Rania tu, biar Rehan saja yang selesaikan. Akak tak nak tengok Rania sedih. Selagi Rania masih di sini akak tak benarkan Rania bersedih. Banyak benda lagi yang Rania kena belajar di sini tau.”

“Yakah?”

“Yalah. Kita tak pergi melancong lagi. Buat aktiviti luar lagi. Banyak tau akak rancang sebelum perkahwinan akak nanti. Akak nak berseronok sepuas-puasnya sebelum akak jadi isteri orang. Lagipun, akak tak ramai kawan. Rania saja yang rapat dengan akak sekarang ni. Jadi, masalah Rania tu biar Rehan saja yang selesaikan. Okey?” Panjang lebar bicaranya kepada Rania.

Rania tidak membalas apa-apa. Dia angguk saja.

“Kalau macam tu, pergi naik atas. Tidur. Kakak nak ke dapur dulu.” Adina terus berlalu ke bahagian dapur. Rania dengan langkah lemahnya naik ke bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience