BAB 22

Fantasy Series 13998

HARI ini Rania tidak ada hati hendak ke kedai buku Read Lover. Dia terus ke kawasan perumahan tempat Qiandra dan Rehan tinggal. Sejak balik dari Mini Kafe semalam dia terus mengunci diri di dalam bilik tidurnya. Mujurlah Adina tidak balik malam itu. Dia sudah membaca mesej yang di hantar oleh Adina. Katanya, bermalam di rumah orang tuanya.

Rania tiba di lorong D’Orchid. Hatinya berdebar-debar. Bukan kerana melihat orang yang disukai tetapi berdebar sekiranya perbuatannya ini di kesan oleh Rehan.

Hanya beberapa langkah sahaja lagi dia sampai ke rumah lelaki itu. Namun, belum sempat dia menapak masuk secara senyap di kawasan tersebut lelaki itu sudah keluar. Rania panik. Cepat-cepat dia bersembunyi di rumah jiran sebelah Rehan. Mujurlah pagar rumah jirannya terbuka. Memudahkan dia untuk bersembunyi di kawasan itu.

“Cik...?”

“Shh!” Rania menyuruh perempuan itu diam.

“Err... Maaf. Ini rumah saya. Cik buat apa dekat sini?” Tanya pemilik rumah itu.

Sedari perbuatannya salah dia terus tersengih. “Maafkan saya. Se... sebenarnya saya nak siasat seseorang. Tapi sebab takut dilihat, saya bersembunyilah di sini.” Katanya, jujur.

Pemilik rumah itu mengerutkan dahi.

“Siapa yang cik nak siasat? Cik ni poliskah?”

“Eh, bukan.” Laju Rania menidakkannya seiring dengan gelengan kepala.

“Err... boleh saya masuk ke dalam. Kita berbincang di dalam saja.”

Lama pemilik rumah itu berfikir sebelum memberikan jawapan.

“Okey.”

Rania tersenyum senang. Ada juga tempat untuk dia bersembunyi.

PUTERI AYANNA RANIA berasa geram. Dia berjaya meminta kebenaran daripada pemilik rumah itu tadi. Tapi harapannya sia-sia sahaja. Puas dia mengintai rumah Rehan dari beranda bilik anak perempuan pemilik rumah itu tetapi langsir di tingkap rumah Rehan semuanya bertutup. Dia sempat melihat Rehan pulang ke rumah itu semula. Namun, lelaki itu langsung tidak mahu membuka langsir rumahnya.

“Ergh! Hari ini pun gagal.” Rania mendengus geram. Dia memandang sekelilingnya. Tapak Teavas Eumsik waktu malam ini sangat meriah sekali. Macam-macam makanan dan minuman yang dijual di sekitar kawasan tapak makanan tersebut. Apatah lagi dengan kehadiran pengunjung yang datang dari pelbagai tempat dan negeri. Tetapi, tarikan disekelilingnya ini langsung tidak menarik perhatiannya. Lantas dia mengeluarkan telefon dari beg tangan kecil yang di bawa.

“Ish! Seorang lagi ni. Tak habis-habis nak telefon aku.” Dia mencampak semula telefonnya ke dalam beg kecil itu. Malas dia hendak melayan panggilan daripada Hayaaz. Dia tidak kisah kalau lelaki itu marah padanya. Sudahlah Elan buat aku serabut. Dia ni juga mahu menganggu fikiran aku. Mana lagi aku nak fikir pasal abang Rehan. Kuasa aku lagi yang tak pulih-pulih sampai sekarang. Ergh! Rania terus beredar dari situ.

Tapi...

Dia menyentuh perutnya. “Lapar pula.”

Telan liur dia melihat makanan-makanan di depan matanya itu. Bau-bau makanan yang sedap itu betul-betul menggiurkan.

“Rania?”

“Abang Rehan?” Dia terkejut. Tidak sangka mereka bertemu di tempat seperti ini.

“Err...”

“Rania seorang saja? Mana kawan-kawan Rania yang lain?” Tanya Rehan. Tercari-cari juga dia kawan-kawan si Rania itu.

“Mereka tak ada. Saya saja keluar seorang-seorang.” Rania berlagak tenang. Dia tidak mahu niatnya itu diketahui oleh lelaki ini.

“Err... Abang Rehan pula? Abang buat apa dekat tempat macam ni?”

“Cari makanlah.”

“Tapi kenapa sini? Kan, ada banyak lagi tempat makan yang lain.”

Terangkat kening sebelah Rehan. “Aik. Macam marah saja.”

Rania tersedar. Dia jadi tidak keruan.

“Suka hati abanglah nak cari tempat makan. Kalau Rania nak cari makan baik ikut abang. Kita makan sama-sama.”

“Tak nak! Saya dah kenyang!” Laju dia membalas.

“Kenyang? Abang tak rasa...”

“Ya. Saya betul-betul kenyang. Abang Rehan, saya pergi dulu.” Laju dia meninggalkan lelaki itu.

DIA mengurut dada. Mujur dapat melarikan diri dari Rehan. Kalau tidak, lelaki itu mungkin akan mengesyakinya. Lagipun Rehan mempunyai kuasa. Takut sahaja fikirannya di baca oleh lelaki itu. Siapa tahu, kan?

Rania melepas lega. Dia berpaling dan ternampak sesuatu. Bau jagung bakar dan juga jagung rebus itu membuatkan dia telan liur berkali-kali.

“Aku nak belilah.” Rania tidak tahan dengan godaan bau makanan itu. Dia terus memesan jagung rebus yang disaluti dengan mentega dan susu.

Rania duduk di tempat yang telah disediakan. Dia menikmati makanan yang dibelinya tadi. Sedap hingga menjilat jari!

“Rania?!”

“Kak Adina?” Rania terkejut. Terus mencari sesuatu.

“Rania cari apa?”

“Ha... Hayaaz.”

Adina ketawa kecil.

“Adik kakak tak ikut pun. Jangan risaulah. Tapi, tadi dia ada telefon kakak. Dia marah sebab Rania tak jawab panggilan dia. Balas mesej pun tak.”

Rania menarik nafas lega.

Wajah Adina berkerut. Seperti ada sesuatu yang di simpan oleh Rania ini. “Hayaaz bagitahu kakak yang Rania tak pergi kedai buku tu. Kenapa?”

“Rania ambil cuti. Rania ada hal lain.”

“Hal lain? Hal apa?”

“Tak payahlah kak Adina tahu.”

“Tak bagitahu tak apa. Lepas ni jangan tegur kakak lagi.” Adina berpeluk tubuh seiring dengan muncungannya.

“Ala, kak Adina ni. Macam budak-budak.”

Adina tidak peduli. Dia mendengus kasar.

“Yalah. Yalah. Merajuk pula.” Rania mencebik. Adina tersenyum menang.

“Sebenarnya Rania mahu jumpa Qiandra tadi. Tapi tak jadi.”

“Tak jadi kenapa pula?”

“Rania jumpa abang Rehan. Tapi Rania tak tegur. Rania ekori dia.”

“Hah! Kenapa pula Rania ikut dia? Dia ada sembunyikan apa-apa dari Raniakah?”

Rania garu kepala.

“Macam ni...” Dia menceritakan apa yang berlaku tadi. Membulat mata Adina apabila mendengar yang Rehan dan Adriandra itu adalah orang yang sama.

“Berani juga dia bertukar di tempat terbuka macam tu?”

“Tapi tempat tu tak ada orang lalu pun.”

“Memang tak ada. Tapi, kalau ada? Takkah tular nanti? Orang rakam. Ambil video. Lepas tu masuk dalam laman sosial. Satu dunia tahu, tau.”

Rania ketawa kecil. Marah sungguh Adina.

“Hah, apa yang Adina marah-marah ni? Ini pula siapa?”

Rania berdiri dan tunduk hormat. Wajah separuh abad itu seperti dia pernah nampak sebelum ini. Di mana, ya?

Dia ketawa. “Tak usahlah tunduk macam tu. Malu uncle.” Kata suara parau itu.

“Rania. Kakak kenalkan yang inilah papa kakak.”

“Nama uncle, Almersyah . Panggil uncle Syah saja pun cukup.” Tersenyum manis dia pada Rania.

“Saya Rania.” Rania memperkenalkan diri dengan senyuman yang agak kekok. Ini pertama kali dia berhadapan dengan orang tua Hayaaz dan Adina.

Ya, dia baru ingat. Pak cik inilah yang datang ke kedai buku tempoh hari. Pak cik ini jugalah yang diceritakan oleh encik Taha kepadanya.

“Err... Adina. Tolong papa kejap.”

“Apa papa?”

“Papa lapar. Cari makanan untuk papa, boleh? Apa-apa makanan pun papa tak kisah.”

“Okey. Adina pun lapar juga.” Dia berdiri.

“Papa dengan Rania berbuallah dulu, ya.” Adina meminta diri.

“Rania.” Panggil encik Almersyah. Tinggal mereka berdua lagi di meja itu.

“Ya, uncle Syah.” Tegak tubuhnya apabila namanya dipanggil. Bukan apa. Dia cuma gemuruh dan takut sedikit dengan encik Almersyah ini.

Ketawa kecil encik Almersyah melihat tingkah gadis itu.

“Uncle dengar dari uncle Taha yang kamu ni rapat dengan Hayaaz. Betulkah?”

Rania angguk perlahan.

“Baguslah. Ada juga orang yang boleh tolong uncle.”

“Apa maksud uncle Syah?”

Encik Almersyah menghela nafas. Dia membetulkan posisi duduknya.

“Rania. Uncle minta tolong, boleh?”

“Tolong apa uncle Syah?”

“Uncle minta Rania pujuk Hayaaz.”

“Huh?”

“Uncle nak dia kembali ke rumah semula. Uncle tak tahu macam mana lagi hendak pujuk dia. Degil. Uncle tahu uncle salah. Uncle lebihkan anak-anak tiri uncle berbanding dengan dia.”

Rania diam. Dia tahu tentang cerita itu. Encik Taha sudah menceritakannya. Tapi, bagaimana dia hendak pujuk Hayaaz kalau papa dia sendiri tidak dapat memujuknya?

“Nah, papa.” Adina muncul bersama dengan makanan dan minuman yang dibelinya.

“Bual pasal apa?” Tanya Adina.

“Tak adalah. Bual-bual kosong saja.” Kata Rania.

Encik Almersyah tersengih. “Papa suka dengan Rania ini tau. Kalau jadi sebahagian daripada keluarga kita pun bagus juga. Lagipun, Rania rapat dengan Hayaaz.”

“Eh, Jangan!” Laju Adina membantah.

“Jangan kenapa pula?”

“Err... Tak. Maksud... maksud Adina papa janganlah terburu-buru. Mereka berdua cuma kawan saja.”

“Yalah. Papa tak kisah pun kalau Hayaaz ada perempuan lain. Tapi jujur papa katakan yang papa berkenan dengan Rania ni.”

“Ish, papa ni jangan mengarut boleh tak? Papa baru hari ni kenal Rania, kan.”

Rania garu tepi kepala. Malu bila encik Almersyah berkata seperti begitu.

“Rania jangan dengar cakap papa kakak ni. Papa kakak ni bergurau saja dengan Rania.”

Rania hanya tersengih. Mereka terus berbual malam itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience