BAB 23

Fantasy Series 13998

KEDAI BUKU READ LOVER. Rania duduk termenung di hujung kedai buku itu. Hal tentang Rehan dan kuasa sihirnya dilupakan untuk seketika. Sekarang ini dia geram dengan perangai Hayaaz. Sejak dari kelmarin sampailah ke hari ini lelaki itu langsung tidak mahu bertegur sapa dengannya. Beberapa kali jugalah dia membawa Hayaaz berbual tetapi dia buat tidak tahu sahaja.

“Kak Dania. Hayaaz tu dah kenapa, hah? Dia okeykah?”

Terangkat kening si Dania mendengar pertanyaan itu.

“Kakak tengok dia okey saja. Bahagian mana pula yang Rania nampak dia tak okey?” Dania menyuap nasi ayamnya. Ketika itu mereka makan tengah hari di restoran Agha yang tidak jauh dari tempat kerja mereka.

“Dia tegur semua orang. Dia cakap dengan kak Dania. Dia cakap dengan yang lain juga. Tapi, saya...” Mulutnya muncung sedapa.

“Dia langsung tak tegur saya. Bila saya nak bercakap dengan dia, dia laju mengelak. Entah apa salah saya sampai dia tak nak layan saya.” Rania mengeluh.

“Eh, tak pernah-pernah Hayaaz macam tu. Selalu kakak nampak kamu berdua mesra saja. Kalau orang lain tengok kamu berdua mesti mereka sangka yang kamu berdua pasangan kekasih.”

“Kami bukan pasangan kekasihlah. Kawan saja.”

Dania mencebik. “Kawankah? Kakak tengok tak. Hayaaz tu tak pernah tau ambil berat pasal perempuan selain kakak dia. Sepanjang dia jaga kedai pak cik dia tu, kakak tak pernah tengok dia bermesra lebih dengan pekerja-pekerja perempuan. Apa lagi dengan si Masha yang gedik tahap dewi tu.”

“Ah, perasaan kakak saja tu. Hayaaz layan saya macam biasa sajalah.”

“Akak tak percaya.”

Rania menjulingkan mata ke atas. Aku dengan Hayaaz memang tak ada apa-apalah. Ergh!

“Kakak makan sajalah. Tak payah cakap pasal dia. Nanti hilang selera saya nak makan.” Rania menyambung suapannya tanpa mempedulikan renungan tajam itu.

MATANYA tidak lepas memandang Hayaaz. Mana saja Hayaaz pergi dia pasti akan mengekorinya dari belakang. Tadi, sudah berapa kali dia cuba menegurnya tetapi lelaki itu langsung tidak mahu melayan dia. Apatah lagi mahu memandang wajahnya.

“Huh! Kesian!”

Rania berpaling ke belakang. Masha memandangnya dengan senyuman sinis.

“Apa yang kesiannya?”

“Kaulah.”

Dahinya berkerut. Aku?

“Aku geram kau tahu tak?! Aku sakit hati. Tapi sekarang aku puas. Puas sangat!”

“Saya tak fahamlah. Apa maksud kak Masha ni?”

Masha tersenyum miring. “Eh, semua pekerja-pekerja dekat sini tahulah pasal kau dengan Hayaaz.”

Rania tidak terkejut. Dia sedar tentang hal itu. Sejak pagi tadi sudah berapa orang bertanya kepadanya tentang Hayaaz. Yalah, kebiasaannya Hayaaz melayannya. Tetapi hari ini tidak. Semua yang dilakukan oleh Rania untuk buat lelaki itu bersuara kepadanya gagal.

“Jadi, apa kena mengena dengan kak Masha?” Soalannya membuatkan perempuan itu mendengus geram.

“Memang ada kena mengenalah. Aku ni dah lama suka dekat dia.”

“Kalau suka kenapa tak pergi luah saja dengan dia?” Rania menjelingnya.

“Aku dah luah. Tapi dia buat tidak tahu saja. Macam-macam aku buat sebelum ini untuk raih perhatian dia. Tetapi semuanya tak jadi. Lagi-lagi sejak kau datang ke sini. Dia langsung tak nak layan aku lagi.”

“Kalau dia tak layan putus asa sajalah. Ramai lagi kan lelaki dekat luar sana tu nakkan kak Masha?”

Masha menarik nafas dalam. Geram.

“Mereka tak samalah dengan Hayaaz tau!”

Rania terangguk-angguk. Dia memandang Masha dengan senyuman.

“Kak Masha. Kak Masha. Nak buat macam mana kalau lelaki-lelaki dekat luar sana tu tak sama dengan Hayaaz. Tambah lagi Hayaaz tak suka kak Masha. Jadi kakak terima sajalah hakikatnya. Mungkin ada sesuatu yang Hayaaz tak suka pada diri kakak. Sebab itulah dia tak layan sangat kak Masha ni.”

Masha mengepal tangan dengan rasa sakit hati.

“Kau!” Dia menunding jari ke arah Rania.

Rania masih tenang. Dia menolak jari telunjuk itu ke tepi dengan kasar.

“Kak Masha ingat saya sedihkah bila Hayaaz tak layan saya? Saya bukan macam kak Masha. Jujur saya katakan yang saya dengan dia tak ada apa-apa. Kami hanya sekadar kawan saja. Terpulanglah kalau kak Masha nak benci saya juga.”

“Kau dengan dia tak ada apa-apa? Eh, semua tengok kau orang berdua macam pasangan kekasihlah. Kau ingat aku bodoh!”

“Itu dia orang. Suka hati dia oranglah nak kata apa.” Rania terus pergi. Kalau mereka terus bertikam lidah di situ nanti dia yang tidak tahan. Boleh gaduh besar mereka nanti di sini.

WAKTU hampir senja. Semua berkemas hendak pulang. Hari ini kedai buku Read Lover hanya buka sehingga pukul 7.30 petang sahaja.

“Rania, nak pulang sudahkah?” Tanya Dania.

“Ya.”

“Kita pulang sama.”

“Tak payahlah kak Dania. Saya boleh pulang sendiri.” Kata Rania. Dia pelik. Tidak pernah pula Dania mengajaknya pulang bersama sebelum ini. Tapi, kenapa hari ini tiba-tiba saja dia hendak bawa aku pulang bersama? Sedangkan tempat tinggal kami tidak sama.

“Tak apalah. Hari ini kita pulang sama-sama. Lagipun, kakak nak ke tempat Rania juga.”

“Hah?!”

Dania ketawa. “Sebenarnya adik saudara kakak tinggal berdekatan dengan kawasan perumahan Rania. Dia minta kakak datang ke sana pun sebab dia nak minta tolong kakak buat sesuatu.”

“Oh. Kalau macam tu jomlah.”

“Tunggu kakak dekat luar. Kakak nak ambil beg dulu, ya.” Laju Dania ke belakang.

“Cepat sikit kak Dania!” Sempat Rania menjerit sebelum keluar dari kedai buku tersebut. Namun langkahnya mati di depan pintu apabila melihat Hayaaz dengan seorang lelaki berumur.

“Bukan itu papa Hayaazkah?” Rania mengamati lama lelaki yang bersama dengan Hayaaz itu. Ya, itu memang encik Almersyah. Papa Hayaaz.

Rania sedikit terkejut apabila Hayaaz meninggikan suara kepada papanya. Agaknya papanya datang ke sini mesti hendak memujuknya, fikir Rania.

Dia hanya berdiri di tepi pintu sambil menunggu Dania. Tidak mahulah dia keluar melihat pergaduhan dua beranak itu.

“Jom.” Dania muncul.

“Err... kak kejap.”

Dania mengerutkan dahi. “Kenapa? Ada barang tertinggalkah?”

“Err...” Rania mengerling dengan ekor mata. Hayaaz dan papanya masih ada di luar.

“Kejap kak. Rasanya saya tertinggal sesuatu di bilik rehat.”

“Yakah? Pergi ambil cepat. Kakak tunggu sini.”

“Marilah kita pergi sama. Saya tak berani nak ke sana seorang.” Rania tidak mahu Dania melihat pergaduhan dua beranak itu. Sebab itulah dia buat begitu. Terpaksa menipu Dania sekejap.

“Eh, tiba-tiba takut pula dia ni. Selalu berani saja.”

Rania tersengih. Dia tidak menjawab tapi sebaliknya menarik Dania mengikutinya ke bilik rehat. Biarlah mereka lama sedikit di dalam bilik rehat itu. Nanti, tahulah dia hendak bagi alasan apa pada Dania.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience