"Arghh!!" Adam mengerang apabila dirasakan belakangnya diterajang. Dia tersungkur. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Harris terlebih dahulu menyerangnya. Nadhirah yang turut sama di situ pantas menarik Anis sementara Adam dan Harris bergelut. Tangisan Anis makin menjadi-jadi setelah diselamatkan.
"Celaka kau Adam!!" Harris menghadiahkan tumbukan demi tumbukan. "Jangan..kacau..bini..aku!!"
Adam yang dari tadi cuba menyerang balas hampir longlai dikerjakan Harris.
Anis menangis teresak-esak di dalam pelukan Nadhirah. Dia tidak sanggup melihat perbalahan antara dua lelaki itu.
"Harris, sabar.." Faiz cuba menenangkan Harris yang selesai 'mengajar' Adam. Harris ditahan daripada mencederakan Faiz lebih teruk.
"Sabar bro, aku dah call polis."
Adam terbaring di lantai dengan hidung berdarah. Bibirnya turut luka, namun sempat dia melayangkan senyuman mengejek ke arah Harris. "Kau bernasib baik, bini kau aku tak sempat jamah! Hahahahaha!" Adam ketawa bagai orang gila.
"Jahanam-" kesabaran Harris tercabar sekali lagi. Faiz bertindak pantas mengawalnya.
"Harris! Anis pengsan!" Nadhirah panik seketika apabila Anis tak sedarkan diri.
.
.
Anis bangun dari tidur yang dirasakannya agak lama. Satu badan dia sengal-sengal. Mungkin akibat peristiwa semalam. Ketika dia bangun, dia sendirian di atas katil biliknya.
"Nis.. Kau dah bangun?" suara Nadhirah menyapanya dari arah sofa. Bila masa pula gadis itu ada di situ?
"Dirah... Harris mana?" lama-lama terpacul jua soalan itu dari mulutnya. Memang suaminya itu yang dia cari-cari dari tadi.
"Harris keluar, ada hal. Dia minta tolong aku jagakan kau. Semalam doktor peribadi dia yang datang check kau. Kau okay ke ni?" Nadhirah berjalan menghampiri Anis. Gadis itu nampak kebingungan.
"Lama ke aku tidur?"
"Dari semalam kau pengsan. Macam mana, dah rasa okay sikit?"
"Hmm...okay. Err... Kau tahu tak bila Harris balik?"
"Tak ada pulak dia bagitahu aku. Takpa, aku ada. Nanti dia balik la tu."
"Mesti dia marahkan aku kan?" Anis dihimpit perasaan sebak. Mengingatkan bagaimana Harris bertindak menyelamatkannya semalam, dia jadi takut berhadapan dengan lelaki itu. Rasa bersalah yang amat.
"Jangan fikir macam tu. Sabar ya. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Yang penting kau kena pujuk Harris balik." Nadhirah menenangkan Anis. Anis teresak-esak dalam pelukan kawan baiknya itu.
Dia sendiri tidak bersetuju dengan tindakan Anis, namun dalam keadaan begitu Anis sememangnya memerlukan sokongan moral. Dia sendiri tidak menduga serumit ini kemelut rumah tangga yang dihadapi Anis.
"Parents aku tahu ke pasal ni?" Anis bertanya diantara esakan. Takut juga dia dimarahi berganda kalinya sekiranya perkara itu sampai ke pengetahuan Dato Ismail dan Datin Suria.
"Tak. Harris suruh rahsiakan."
.
.
.
Harris termenung di dalam keretanya. Lama dia begitu. Sewaktu melepak dengan Faiz tadi pun dia banyak termangu. Fikirannya berat, perasaan bercampur baur. Hatinya masih sakit dengan peristiwa semalam. Sejak pulang dari membuat laporan di balai polis pagi tadi, dia dan Anis masih belum bersua muka. Dari awal pagi dia sudah meninggalkan Anis di rumah dan dititipkan pesan buat Nadhirah untuk menjaga Anis sepanjang ketiadaannya seharian.
Kereta yang telah diparkir di luar rumah sejak sepuluh minit yang lalu dimatikan suisnya. Harris berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah. Melihat wajah Anis sahaja dia teringat akan insiden kelmarin. Ah, redah sahaja.
Harris naik ke bilik dengan langkah yang lemah. Dia perasan akan Anis yang seakan ingin menerpanya.
"Abang dah balik?" Anis mendapatkan si suami yang ditunggu-tunggu sepanjang hari. Mahu sahaja dia tunduk sujud untuk memohon ampun dari insan yang disakitinya itu. Namun, sikap diam Harris menghalangnya berbuat demikian.
"Kenapa belum tidur?" Harris menukar pakaian. Soalan dilontarkan tanpa memandang wajah Anis. Dingin dan serius.
"Anis...tunggu abang balik. Abang pergi mana? Abang dah makan?" Anis cuba menyembunyikan riak kecewa di hati.
"Dah. Tidurlah. Dah lewat ni." Harris berlalu ke dalam bilik air meninggalkan Anis terkulat-kulat.
Ketika Harris selesai menunaikan solat, Anis sudah pun menunggu di atas katil. Apa pun yang jadi, dia harus membicarakan perihal semalam. Dia sanggup walau dimarahi.
"Abang.... Anis minta maaf pasal semalam." Anis bersuara takut-takut.
"I don't wanna talk about this, please." Harris masih tidak memandangnya, matanya tertancap kepada telefon bimbit di tangan. Cuba untuk mengalihkan perhatiannya terhadap Anis.
"Abang, Anis tak tahu boleh jadi macam tu. I'm sorry..." Anis cuba meraih tangan Harris, mencari kekuatan dalam diri. Air mata yang ingin jatuh ditahan. Sungguh dia rasa bersalah kepada lelaki itu.
"Abang tak ada hak untuk halang Anis. Anis sendiri yang cakap." Harris membalas bersahaja, cukup untuk menyatakan bahawa hatinya sangat terluka. Jauh di sudut hatinya, masih ada secebis perasaan sayang. Namun hatinya tawar.
"Abang...bukan maksud Anis.." air mata Anis gugur satu persatu. Kata-kata Harris bagaikan menikam jiwanya.
"Maaf sebab banyak memaksa Anis. Abang terlalu pentingkan diri-sendiri. Abang sedar abang ni siapa. Abang cuma orang asing dalam hidup Anis. Mungkin kalau abang ..... Sebab abang Anis jadi macam ni. Sorry." suaranya tersekat-sekat. Banyak yang ingin dia luah, namun biarlah dia simpan sendiri. Pegangan Anis dileraikan. Tanpa banyak bicara, dia melangkah ke arah tempat beradu. Makin lama mereka begitu, makin menggunung rasa kecewanya.
"Abang.." Dirasakan bagai ada batu besar menghempap dirinya. Anis terkesan dengan kata-kata Harris. Tidak dia sangka suaminya itu banyak menyimpan kekecewaan. Seharusnya dia yang patut dipersalahkan. Dia sudah derhaka dengan suaminya sendiri saat Harris menghalangnya keluar dari rumah. Dia memang pantas menerima nasib sebegitu.
Dalam kegelapan malam, Anis berendam air mata. Malam itu, Harris tidur membelakanginya. Sesuatu yang bukan menjadi kebiasaan. Tiada ucapan selamat malam seperti selalu. Terasa benar dia, memandang wajah Anis pun dia tidak mahu. Sakit hati kali itu bukan biasa-biasa.
.
.
.
Seharian di pejabat, Anis asyik berdiam diri. Perubahan emosinya agak ketara. Nadhirah sendiri tidak berani bertanya lanjut. Bukan jenisnya mahu ikut campur urusan rumah tangga orang. Mungkin Anis masih trauma akan tragedi yang menimpanya. Bukan mudah untuk dia melupakan peristiwa hitam itu.
"Babe. Kau okay? Aku tak boleh la tengok kau macam ni." Nadhirah membuka mulut, tidak tenang dia melihat wajah mencuka Anis. Dia tahu Anis perlukan sokongan.
"Aku tak tahu..." air matanya tumpah lagi. Hanya Nadhirah teman yang dipercayai, tempat dia mengadu nasib.
"Shh... Sabar, nis." Nadhirah memeluk erat Anis. Sepanjang persahabatan mereka, kali ini dirasakan dugaan yang menimpa Anis agak berat.
"Aku yang bodoh. Aku tak patut buat suami aku macam tu..."
"Anis. Aku faham kau rasa bersalah. Tapi kau kena kuat. Aku kenal kau macam mana. Kau boleh hadapi semua ni." Nadhirah turut sebak. Sering kebahagiaan temannya itu diragut, dan dia menjadi saksi. Hati itu sudah banyak kali bertahan.
"Apa aku nak buat Dirah? Mesti Harris dah bencikan aku."
"Jangan cakap macam tu. Aku tahu dia sayangkan kau sangat. Sebab tu dia selamatkan kau. Dia terlalu cintakan kau, Anis."
Kenyataan Nadhirah cuba dia hadam, namun pahit. Harris memang sayangkan dia, tapi dia yang tidak reti menghargai. Dia terlalu buta untuk menilai kasih lelaki itu. Tiap kali Harris mendekat, dia pula menolak. Kini Harris mulai menjauh, dia berasa ada yang tidak kena. Rasa dibenci. Dia memang pantas dibenci.
Share this novel