16

Romance Completed 31338

Beberapa hari berlalu, Anis masih begitu. Sejak peristiwa itu, dia jadi lebih pendiam. Bercakap dengan Harris pun apabila perlu sahaja.
Harris sebaliknya, sentiasa berusaha memikat hati si isteri. Walaupun layanan Anis terhadapnya hambar, dia bersyukur Anis sentiasa menjaga keperluannya. Sikap dingin Anis cuba diatasinya dengan sabar. Dia yakin, lambat laun hati Anis dapat ditawan.

.
. .

"Anis dah hidangkan makan malam. Abang turunlah makan."

"Sayang tak makan sekali ke?" Tanya Harris yang baru hendak ke bawah apabila melihat Anis duduk di atas katil sambil bermain dengan telefonnya.

"Anis dah makan petang tadi." Anis menjawab pendek, sengaja dia tidak memandang ke wajah lelaki itu.

"Oh, okay." Harris menapak keluar dari bilik berseorangan.

Sampai di dapur, dia terus membasuh tangan dan duduk di meja makan. Sunyi dirasakan apabila makan sendirian malam itu. Dua tiga hari ini, dia kerap makan seorang. Kadang-kadang makan di luar pun tak berteman, kecuali ada Faiz.
Harris lebih banyak termenung di antara suapan. Kalau isterinya turut serta, suasana tidaklah berubah mana pun. Tetapi sekurang-kurangnya ada yang menemani. Mungkin silapnya juga, dia pulang agak lewat hari itu. Pasti Anis lapar dan makan terlebih dahulu.

Waktu masuk ke bilik, Anis sudah tidur. Harris memanjat katil dan mengambil tempat di sebelah Anis. Masih ada bantal panjang yang memisahkan mereka di tengah-tengah katil. Sama seperti sejak awal perkahwinan. Harris merapati Anis yang sedang lena. Lena gadis itu mengundang senyum kecil Harris. Anak rambut yang melindungi wajah Anis diselak perlahan. Wajah yang sangat dia kasihi itu ditatap lama. Cintanya terhadap gadis itu semakin kuat, tapi sayangnya hati mereka jauh. Sukar bagi Harris menembusi tembok ego yang dibina Anis.

Harris mencium lembut ubun-ubun si isteri. Dalam hati dia berdoa agar suatu hari, pintu hati Anis terbuka untuknya.
"I'm sorry.... I love you." ucapnya. Ucapan yang setiap malam tidak pernah dia tinggalkan. Walaupun tak didengari, walaupun tak berbalas.

Lampu di sisi katil ditutup, mengelapkan seluruh kamar. Dalam gelita, Anis terjaga. Dia mendengar jelas butir bicara Harris sebentar tadi. Bila lelaki itu berbisik kepadanya, dia belum tidur sepenuhnya. Hatinya bergolak lagi, perasaannya sukar ditafsir.

.
. .

Makin menjelma ke tengah hari, makin kuat denyutan di kepala Harris. Sesudah pulang dari tapak projek yang harus dia kunjungi, tubuhnya penat semacam. Masa pula dirasakan amat lambat berjalan. Dek tak tahan dengan sakit kepala, Harris pulang dari kerja awal dari kebiasaan.

Anis melihat kereta suaminya diparkir di hadapan rumah, kebiasaannya dia yang akan sampai terlebih dahulu. Awalnya lelaki itu pulang.

Baru sahaja matanya melilau mencari kelibat Harris, dilihatnya tubuh lelaki itu yang masih berbaju kerja terbaring di sofa ruang tamu. 'Sejak bila dia tidur di situ?'
Tidak berhasrat untuk menganggu Harris, Anis naik ke atas bilik dengan senyap.
Selesai dia membersihkan diri, Harris masih tidak naik ke bilik. Anis turun ke bawah untuk meninjau. Harris masih tidur pulas di tempat yang sama. Dia kemudian berlalu ke dapur untuk menyediakan makan malam.

Waktu azan maghrib berkumandang, Anis keluar dari dapur. Hatinya dipagut risau, Harris masih belum bangun dari tidur. Dia merapati Harris di sofa, lelaki itu berkalih sedikit dari tidur.

"Abang... Bangun bang, dah maghrib ni." Lengan Harris disentuh. 'Panas'
"Abang." tangannya teragak-agak untuk mengusap pipi lelaki itu. Hangat, jangan-jangan Harris demam.

"Sayang.." Harris terkejut dari tidur apabila belakang tangan Anis menyentuh dahinya.

"Abang demam ni. Badan abang panas sangat. Abang naik mandi, solat dulu. Nanti Anis bawakan ubat."

Sementara Harris di atas, Anis sempat menyediakan bubur untuk Harris. Ubat panadol dan bubur ditatang menuju ke bilik.

"Abang, makan dulu sikit." pelawa Anis sebaik sahaja Harris selesai solat.

Harris duduk di tepi katil sambil memicit kepala. Anis meletakkan dulang berisi makanan di meja sebelah katil, dia mengambil tempat di sebelah Harris.

"Sakit kepala?" tanya Anis. Risau dia melihat wajah Harris yang agak pucat. Harris mengangguk lemah.

"Anis suapkan abang?" Harris meminta. Memang dia sejenis manja kalau tengah demam.

"Makan sendiri pun tak larat?" nak bersuap pula!

Harris menggeleng seperti anak kecil sambil menayang muka kasihan. Dia senyum senang apabila Anis akur.

Selepas waktu Isyak, Harris mendekati Anis yang sedang menonton televisyen di bilik mereka.

"Anis, tolong picitkan kepala abang. Abang tak larat...." badannya dirapatkan ke Anis. Melihat reaksi Anis yang tidak menolak, dia meminta izin.
"Boleh abang baring?" Kepalanya sudah hampir dilentokkan di atas riba gadis itu.

"Baringlah..." Anis tiada pilihan, dia kasihan melihat keadaan Harris. Dibiarkan lelaki itu mendaratkan kepala ke atas ribanya. Perlahan jemarinya memicit kepala Harris. Rasa berdebar diusir jauh, dia cuba menfokuskan kepada tv yang terpasang. Lelaki itu memang tak boleh dijangka.

Tidak lama kemudian, dengkuran halus lelaki itu kedengaran. 'Dah tidur rupa-rupanya...'
Kaki Anis sudah mulai ingin kebas, Harris terbangun bila dia cuba mengalihkannya.

"Abang, abang tertidur atas kaki Anis ni." Harris bangun dari riba Anis. Kedudukannya dibetulkan untuk menyambung tidur. Berat betul rasanya untuk membuka mata.

"Sayang dah pukul berapa ni?" lengan Anis dipaut ketika gadis itu mahu bangun dari situ.

"Dah pukul 10 bang. Abang tidur lah."

"Anis nak pergi mana?" Tangannya masih mengenggam tangan Anis, menghalang Anis untuk pergi. Anis serba salah.

"Anis nak pergi toilet kejap. Nanti Anis datang balik, ok? Abang tidur dulu." Anis separuh memujuk. Macam budak-budak bila demam si Harris ni!

"Cepat sikit..." Harris berkata separuh sedar. Anis berkerut, dia ni sedar ke tak?

Selesai menyiapkan pakaian untuk ke kerja esok hari, Anis bersiap untuk tidur. Dia berbaring perlahan, tidak mahu mengejutkan Harris. Baru sahaja dia ingin menghenyakkan kepala ke bantal, terasa lengannya disentuh.

"Sayang..." Harris buat suara manja. Dengan mata yang masih terpejam, pinggang Anis diraih ke dalam pelukan. Enak betul dapat tidur ditemani isteri dalam suhu sejuk begini.

"Err....abang.." Anis hampir sesak nafas, bukan kerana kemasnya pelukan Harris. Tapi kerana itu kali pertama baginya. Cubaan untuk mengalihkan lengan Harris tak berjaya. Malah Harris menariknya lebih rapat sehingga wajahnya betul-betul menghadap dada lelaki itu.
'Apa ni Anis, kata nak merajuk!'

Tenang dia melihat wajah Harris yang sedang lena. Hanya dengkuran halus Harris dan rentak jantung mereka serentak kedengaran. Perlahan, dia menarik comforter menyelimuti mereka berdua. Pelik, tapi dia selesa dalam keadaan begitu. Rasa selamat dalam dakapan Harris. Perasaannya keliru. Dan hanya lelaki ini seorang yang membuatnya merasa begitu.
Tangannya hinggap seketika di dahi Harris, panas tadi dah berkurangan. Sekarang pipinya pula yang hangat. Sebab malu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience