17: Jauh

Fanfiction Completed 47950

Rahimah menegur Fawwaz yang sedang duduk di bangku luar rumah. Wajah serius mereka berdua jelas menandakan bahawa mereka sedang membicarakan hal penting. Suzanah hanya mengintai dari dalam rumah sebelum dia tekad untuk masuk campur.

"Suami jenis apa Fawwaz ni? Selama ni ibu biarkan, sebab ibu harap Fawwaz boleh fikir sendiri apa yang terbaik untuk rumah tangga Fawwaz. Tapi sampai hari ni, langsung Fawwaz tak ambil tahu pasal Alianna." bebel Rahimah perlahan, takut didengari.

"Suami? Sejak bila Fawwaz jadi suami?" Suzanah muncul antara mereka berdua.

Fawwaz dan Rahimah terkejut, masing-masing tertumpu kepada Suzanah.

"Mama.."

"Apa yang mama tak tahu? Imah?" Suzanah meminta penjelasan dari keduanya.

"Sue.. ada benda yang Sue perlu tahu. Imah sendiri dah tak mahu berahsia."

"Ada apa ni Fawwaz?" Suzanah memandang lama wajah anak kesayangan.

"Sampai hati Fawwaz rahsiakan dari mama." Suzanah membuang pandang. Bukanlah dia terlalu kecewa, namun dia ingin mengajar Fawwaz.

"Maafkan Fawwaz. Fawwaz fikir itu yang terbaik. Mama boleh marah Fawwaz kalau mama nak. Memang Fawwaz yang bersalah."

"Memang mama nak marah. Tapi Fawwaz satu-satunya yang mama ada. Mama kecewa bila dapat tahu. Mama rasa bagaimana susahnya membesarkan Fawwaz seorang diri, tanpa kasih sayang seorang suami. Mama tak nak perkara sama berulang. Sedih, bila orang yang kita sayang, yang kita harapkan, tinggalkan kita sehelai sepinggang." panjang lebar Suzanah bercerita.

Mengungkit kisah lalu, dia jadi sebak. Betapa dia susah payah sendiri setelah dibuang, dipandang hina masyarakat sekeliling. Suatu perkara yang tidak akan pernah dia lupakan. Esakan kecil dari Fawwaz mengejutkannya.

"Fawwaz yang bodoh, ma. Semua salah Fawwaz.." ada mutiara jernih terbit dari tubir mata lelaki itu.

"Carilah isteri Fawwaz. Jangan biarkan dia sendiri. Mama tak mahu dia rasa apa yang mama dah lalui. Fawwaz anak yang baik. Fawwaz tak pernah lawan cakap mama kan?" Suzanah menggosok belakang Fawwaz.

Baginya Fawwaz masih sama seperti anak kecil yang pernah dia dukung dahulu. Di luar sahaja dia kelihatan keras, namun hatinya mudah lembut.

"Maafkan Fawwaz, ma." Fawwaz mencium tangan mamanya. Kesal juga mengapa dia tidak mewarisi sikap lemah lembut Suzanah.

.
.

Fawwaz memandang sepi siling bilik peninggalan Alianna. Hampir tiga bulan sudah Alianna meninggalkannya. Segala milik gadis itu dibawa pergi. Kecuali barang-barang yang pernah dia belikan untuk isterinya itu. Termasuklah rantai yang pernah dia hadiahkan kepada Alianna.

Baju peninggalan Alianna diambil dan dibawa ke sisi. Rindu yang teramat. Tidak pernah dia merasai rindu sehebat ini. Rindukan pemilik baju itu. Rindukan senyuman kecil Alianna. Rengekan Alianna setiap kali dia mencuit hidung gadis itu. Mendung wajah Alianna setiap kali dia melemparkan kata-kata keji terhadap gadis itu.

Perlahan-lahan air mata mengalir di pipi. Terlalu banyak silapnya terhadap Alianna. Tangisannya semakin kuat apabila teringatkan tentang perkhabaran dari Rasydan siang tadi. Rumah ibu Alianna di kampung kini kosong tak berpenghuni. Puas dikerahkan anak buahnya untuk mencari keberadaan mereka.

Ke mana harus dia jejaki isteri dan anaknya? Apa khabarnya Alianna sekarang? Dia mati akal, tidak tahu mana ingin dimulai.

Sambil menadah tangan, Fawwaz menangis bersungguh-sungguh. Di atas sejadah itu dia meratap kekesalan diri. Selama ini dia terlalu jauh, terlalu jahil. Terasa begitu kecil dirinya, dan terlalu besar rahmat yang dikurniakan Allah.

Banyak dosa yang telah dia lakukan. Paling banyak dosa dengan isterinya. Saban hari jiwanya tak tenang. Perasaan bersalah sering menghimpitnya.

"Ya Allah, bantulah aku mencari isteriku dan anakku. Lindungilah mereka, dimana pun mereka berada."

Fawwaz baring ke atas katil. Kosong dirasakan hidupnya. Sekosong ruang di sebelahnya ketika ini. Jiwanya meronta sendiri. Dia mahukan Alianna waktu ini. Dia rindu mahu memeluk Alianna. Satu-satunya wanita yang berjaya melembutkan hatinya. Sesungguhnya dia kesal membiarkan wanita sebaik Alianna pergi.

.
.

Alianna mengusap perut yang sedang memboyot. Sesekali dia tersenyum kelat melihat pasangan suami isteri yang turut sama di ruang menunggu itu. Dia tidak berpeluang merasai detik indah begitu. Cukuplah masih ada ibu di sisi, dan kandungan yang sihat. Itu sudah memadai baginya.

Kisah silam yang pahit dijadikan pengajaran. Dia ingin memulakan hidup baru bersama ibu tersayang. Di tempat baru ini dia menyesuaikan diri, meninggalkan kenangan yang tidak mahu dia ingati. Alianna hanya mahu membesarkan bayi yang dikandung sebaik mungkin. Tiada yang lebih penting melainkan keluarga kecil mereka.

"Alianna binti Baharuddin." jauh Alianna termenung sebelum namanya dipanggil.

.
.

"Ayah!"

"Ayah!!"

Fawwaz disapa dengan panggilan itu beberapa kali. Namun bibirnya kelu untuk menjawab. Semakin lama suara itu semakin mendekat.

"Ayah..." Fawwaz masih kaku berdiri di tempat yang asing. Seluruh tubuhnya bagaikan lumpuh.

"Ayah." panggilan itu terdengar betul-betul di sebelah telinganya. Makin lama makin kuat, sehingga pandangannya tiba-tiba gelap.

Fawwaz tersedar dari mimpi. Peluh merecik di dahi, dia lantas mengucap.
"Astaghfirullah..."

Wajahnya diraup beberapa kali. Takut, bimbang dan keliru bercampur baur. Bukan sekali dua dia bermimpi perkara yang sama. Mungkin ada rahsia di sebalik igauan pelik itu.

Kotak baldu berisi rantai yang pernah dipakai Alianna di sisi katil dicapai. Rantai itulah menjadi pengubat rindunya terhadap Alianna setiap kali dia teringatkan gadis itu.

Fawwaz termenung sambil menyentuh rantai itu beberapa saat. Dia kemudiannya bangun dari katil. Mungkin hanya melalui doa mampu dia ungkapkan rindu terhadap isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience