SPECIAL CHAPTER 2

Young Adult Completed 21813

"Ma, Adam takutlah ma." Kata Adam sambil menggosokkan kedua-dua  tapak tangannya yang mula berpeluh pada samping yang bercorak bunga emas.

Datin Ani cepat-cepat menampar lengan anak lelakinya itu. "Kotorlah samping ni nanti Adam, dahlah warna off-white. Haih budak ni, nak jadi suami orang lagi berapa jam je tahu tak?" bebel Datin Ani panjang.

Tangannya cepat membetulkan samping Adam yang kelihatan tak kemas. Ditarik, dilipat dan digulungnya samping itu sehingga Datin Ani berasa puas hati melihatnya.

"Ha barulah cantik sikit kejadian samping ni. Nak mengharapkan kamu pakai sendiri ni memang ke lautlah jawapannya." perli Datin Ani sambil tersenyum kecil melihat wajah anak tunggalnya yang tak tentu arah itu.

"Ma.."

Datin Ani menunggu ayat yang bakal keluar daripada bibir merah semula jadi anaknya itu.

"Ma.."

Sekali lagi suara Adam kedengaran namun satu patah perkataan pon tidak keluar daripada mulutnya.

"Kenapa ni Adam hm?" Tanya Datin Ani lembut sebelum menarik tangan anaknya untuk duduk di katil hotel itu. Mereka sekeluarga telah sampai di Melaka semalam untuk acara akad nikah yang bakal berlangsung di rumah keluarga Qasrina.

"Adam tak tahu ma, tapi Adam takut sangat ma. Amanah sebagai suami tu berat. Adam takut tak mampu nak bahagiakan Ina." tangan Datin Ani digenggam erat sambil menelan air liurnya yang terasa kelat.

Relaks Adam. Tarik nafas, hembus.

"Memang menjadi suami tu berat Adam, tapi Adam kena faham nikah itu sunnah Nabi Muhammad SAW. Sunnah tu Adam, besar pahalanya." pujuk Datin Ani sambil menepuk perlahan dada anak terunanya yang berdegup kencang.

Dari Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Menikah itu termasuk dari sunahku, siapa yang tidak mengamalkan sunnahku, maka ia tidak mengikuti jalanku. Menikahlah, karena sungguh aku membanggakan kalian atas umat-umat yang lainnya, siapa yang mempunyai kekayaan, maka menikahlah, dan siapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa, karena sungguh puasa itu tameng baginya." (HR Ibnu Majah)

"Tapi ma— aduh!" Adam terjerit kecil apabila perutnya terasa pedih setelah dipulas manja oleh mamanya. Sampai hati mama.

"Dah takde tapi-tapi, banyak cakap pula kamu ni. Dahlah jom turun, kita kena gerak sekarang. Kamu tu akad nikah pukul 11 pagi, sekarang dah pukul 9. Kang tak sempat, menangislah sorang-sorang." Bebel Datin Ani sebelum beg tangannya diambil dan digalas. Pintu bilik Adam dibuka luas.

Datin Ani berpaling ke belakang melihat anaknya yang menggaru kepala. Songkok sudah berada di tangannya.

"ADAM CASSIEL, AWAK NAK KAHWIN KE TAK NI?!" Kesabaran Datin Ani sudah menipis. Mahu saja dia baling kasut bertumit tingginya ke muka anaknya itu. Dah hujung 20-an perangai seperti budak sekolah menengah.

Ya Allah geram!

"Nak ma, nak. Sorry-sorry."

Bergegas dia mengikut langkah mamanya yang sudah menjelingnya tajam. Adam hanya tersengih seperti kerang busuk. Pagi-pagi dia dah didihkan hati tua itu.

Maafkan anak kesayanganmu ini mama.

-----

"Aku terima nikahnya Qasrina Wardani binti Abdul Qayyum dengan mas kahwinnya RM100 tunai."

"Sah?"

"Sah."

Alhamdulillah, syukur Ya Allah.

Adam terus meraup wajahnya setelah mendengar perkataan sah itu. Doa yang dibaca diaminkan oleh mereka yang ada di dalam rumah mentuanya itu.

"Alhamdulillah selesai sudah lafaz akad nikah, jadi kita akan lanjutkan dengan lafaz taklik inshaAllah. Pengantin lelaki dah sedia ke?" Tanya Tok Kadi sambil memandang wajah Adam yang kelihatan agak tenang berbanding tadi.

"InshaAllah sedia."

Dengan itu, hati Adam semakin berdegup kencang. Lebih kencang daripada dia melafazkan akad nikah tadi.

"Adalah saya, Adam Cassiel bin Azman Cassiel dengan ini bertaklik, jika : 

1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya, Qasrina Wardani binti Abdul Qayyum sama ada saya meninggalkan dia dengan sengaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau:

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia, Qasrina Wardani binti Abdul Qayyum dengan satu talak khuluqi."

Nafas berat terhembus keluar daripada diri Adam. Tangannya menggeletar untuk menandatangani taklik tersebut. Mata semakin kabur dengan air mata. Bawah bibir digigit perlahan

Amanah sebagai seorang suami itu berat.

Kuatkanlah aku Ya Allah.

Matanya bersabung dengan Qaayed, abang iparnya sekarang. Senyuman lelaki itu seperti memujuk hati lelakinya yang menggeletar hebat. Bahunya ditepuk perlahan oleh Qaayed sambil tersenyum kecil.

"Aku tahu apa yang ada dalam hati kau sekarang Adam tapi aku tak akan faham rasa tu sebab aku belum pernah berada di tempat kau. Tapi kau kena faham amanah daripada Allah itu bukan untuk membebankan hambanya, namun ia adalah sebagai batu loncatan untuk kita ke syurga. Jangan terlebih risau dan jangan buat tak endah langsung dengan sesuatu yang namanya amanah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas", hadis Riwayat al-Bukhari. Jadi, stay cool bro. Jangan gelabah, itu saja." nasihat Qaayed panjang.

"Terima kasih Yed, kaulah abang aku dunia akhirat." Balas Adam yang berasa lega setelah mendengar nasihat daripada abang iparnya itu. Sungguh, kata-kata orang yang berilmu seperti Qaayed dapat mengangkat beban yang tertanam dalam hatinya sejak beberapa hari yang lalu.

"Tak perlu nak berabang sangatlah, geli aku dengar. Aku hanya ada sorang adik je, kau jangan nak melebih-lebih eh." Qaayed tergelak kecil mendengar perkataan abang itu.

Apo bendalah mamat ni. Umur sama tak perlu nak berabang bagai.

"Kasi chancelah bang, aku tak pernah merasa ada abang sepanjang hidup." Kata Adam dengan muka sedihnya.

"Geli sia kau ni, dahlah pergi solat sunat nikah tu." Qaayed menolak bahu Adam supaya bangun dari duduknya. Mereka bersembang sampai tak endahkan orang sekeliling. Nanti jadi buah mulut orang pula, bukan dia tak kenal orang kampung tu bagaimana.

"Yalah, sikit-sikit kena halau." Adam terus bangun dah bergerak ke arah Qasrina yang sudah sah menjadi isterinya sebentar tadi. Dia tersenyum memandang wajah itu yang cantik dengan solekan nipis.

"Assalamualaikum anak dara sunti kesayangan saya." 

Ayat yang keluar daripada mulut Adam itu menyebabkan wajah Qasrina berona merah seperti terjatuh ke dalam tong cat. Jawapan salam itu dibalas dengan nada perlahan. Genggaman jambangan bunga ditangannya dieratkan.

"Jom kita solat sunat nikah?" Ajakan Adam itu menyebabkan Qasrina mengangkat kepalanya untuk memandang wajah kacak sang suami.

"Ina ada wuduk kan?" Soalan Adam dibalas dengan anggukkan perlahan.

"Okay jom." Adam terus bangkit sambil tersenyum kepada tetamu sebelum masuk ke ruang solat rumah mentuanya.

Qasrina yang turut bangun sebelum disoal oleh ibunya. "Nak pergi mana Ina?"

"Abang Adam ajak solat sunat ibu, Ina pergi dulu ya."

Ibunya hanya tersenyum lebar mendengar balasan daripada anak bongsunya itu. Pergilah Ina.

Solat sunat dua rakaat mereka diimami oleh Adam. Rakaat pertama dibacanya Surah Al-Kafirun dan diikuti Surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua. Selesai sahaja salam, Adam melaksanakan sujud syukur sebagai tanda terima kasihnya kepada Allah yang sudah membenarkannya menjaga dan mencintai Qasrina dengan sepenuh hati.

Kepala diangkat, mata yang terpejam dibuka perlahan. Tangan diangkat paras bahu sebelum doa untuk keluarga mereka dia baca cukup untuk pendengarannya dan Qasrina.

Bismillahirrahmanirrahim

"Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Allahumma inna nas'aluka salamatan fiddin, wa'afiyatan fil jasadi, waziyadatan fil 'ilmi, wabarokatan fir rizki, watawbatan qablal mawt, warahmatan 'indal mawt, wamaghfiratan ba'dal mawt. Allahumma hawwin 'alayna fi sakaratil mawt, wan najata minannar, wa 'afwa 'indal hisab.

"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keselamatan dalam agama, tubuh badan yang sihat, bertambahnya ilmu pengetahuan, keberkatan dalam rezeki, taubat sebelum kematian, rahmat ketika kematian, dan keampunan setelah kematian. Ya Allah, mudahkanlah sakaratul maut kami, selamatkanlah kami daripada api Neraka, dan ampunilah kami ketika dihisab."

Rabbana hab lanaa min azwaajinaa wa dzurriyyatinaa qurrata a'yun, waja'alnaa lil muttaqiina imaamaa.

"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa."

Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar

"Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari seksa neraka."

Amin ya rabbal alamin.

Tangan diraup ke wajah sebelum Adam mengalihkan badannya ke belakang untuk menatap wajah si isteri. Kelihatan Qasrina yang tersenyum comel setelah dia juga turut mengaminkan doa yang dibacanya tadi.

Alahai, kenapa cute sangat ni?

Tangan dihulurkan ke hadapan wajah Qasrina untuk pembatalan air sembahyang.

"Eh tapi kita tak sarung cincin lagi?" Kata Qasrina dengan muka yang terpinga-pinga.

Adam tergelak kecil.

"Ina, lebih afdhal kita batalkan wuduk sekarang daripada depan orang ramai. Untuk cincin tu tak apa, lepas ni kita sarung eh?" Lembut saja balasan Adam dengan pandangan redup kepada isterinya.

Qasrina mengangguk dan menyambut huluran salam daripada Adam. Tangan itu dicium. Syurganya.

Adam memegang ubun Qasrina dan doa dibacanya.

Allahumma inni as'aluka khairiha wa khairi ma jabaltaha 'alaihi, wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha 'alaihi.

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dirinya dan kebaikan yang Engkau tetapkan atas dirinya, dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan dirinya dan keburukan yang Engkau tetapkan atas dirinya." 

Ubun isterinya dilepaskan sebelum dahi Qasrina dicium lama.

Senyuman terukir di bibir. Kedua-dua tangan mereka digenggam erat.

"Terima kasih sebab jadi isteri Adam. Semoga kita dapat bina keluarga sakinah sama-sama. Tegurlah Adam kalau satu hari, Adam tiba-tiba berubah. Sayanglah Adam sepenuh hati Ina. Adam janji, Adam akan bahagiakan Ina. Takkan sakitkan Ina. " Adam menahan sebak. Pipi isterinya yang sudah dibanjiri air mata diusap perlahan.

"Ina pon sama, semoga kita kekal bahagia sampai ke syurga." pendek namun amat bermakna buat Adam.

"Pendek betul ya ayat Ina, nasib Adam sayang. "

Mereka berdua tertawa bahagia.

"Dahlah Adam, jom kita keluar. Scene sarung cincin pon kita belum buat. Petang ni majlis resepsi pula." Qasrina tersengih bahagia.

"Okaylah jom. "

Kini, mereka berdua beriringan menuju ke ruang akad nikah dengan tangan yang bertaut rapat.

Semoga pernikahan yang dibina ini kekal dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yaasin, 36)

TAMAT SPECIAL CHAPTER

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience