BAB 40

Romance Completed 25726

PERLAHAN-LAHAN Hana membuka matanya dan melihat sekeliling. Segar terus matanya bila mendapati ruangan tersebut bukan di biliknya. Hana meraba-raba dirinya dan menghela nafas. Syukur kerana dirinya masih menutup aurat. Hana ingin bangun tapi peningnya datang kembali dan dia terduduk di birai katil.

“Macam mana aku boleh ada dalam bilik tetamu ni? Siapa yang bawa aku ke sini?” Kepalanya terasa berat.

Daun pintu di tolak dari luar dengan perlahan. Lina tersenyum apabila adiknya sudah sedarkan diri. Dia menghampiri Hana.

“Dah okey?” Tanya Lina.

“Okey tapi masih pening. Kak Lina apa yang jadi masa saya pengsan tadi?” Hana masih ingat akan kejadian tadi tapi dia sudah tidak tahu apa yang terjadi selepas dia pengsan. Lina menghenyakkan punggungnya dekat dengan adiknya itu.

“Mana akak tahu apa yang jadi masa Hana pengsan tadi.” Lina menyengih.

“Akak tak sangka Faiz macam tu. Umi lagilah. Kecewa sangat dia dengan perangai Faiz.” Lina membuka cerita. Hana tercengang.

“Umi tahu?! Yang lain?”

Lina angguk perlahan. Bulat mata Hana bila kakaknya mengangguk. Habislah dia kena dengan Aniq nanti. “Mereka semua dah tahu. Keluarga bakal mentua dan ipar Hana pun tahu. Waktu Hana pengsan, Aniq la yang bawa Hana ke sini.”

“Aniq?!” Hana mula tidak keruan. Marahkah lelaki itu padanya?

“Ya, saya. Kenapa panggil nama saya ni?”

Hana terkejut mendengar suara Aniq yang datang dari arah pintu. Dia tersenyum manis. Aniq memberi isyarat agar Lina keluar daripada bilik. Lina segera berdiri dan meninggalkan mereka berdua di dalam bilik tetamu itu.

Daun pintu dibiarkan terbuka separuh. Aniq menghenyakkan punggung di sofa. Dia meminta Hana supaya duduk di sofa. Hana bangun tetapi duduk semula. Peningnya masih terasa. Aniq berdiri kemudian menarik kerusi lalu duduk menghadap tunangnya.

“Masih pening?”

Hana angguk.

“Maafkan abang.”

Laju Hana memandangnya. “Kenapa pula?” Ingatkan dia nak marahkan aku. Kenapa dia tiba-tiba nak minta maaf pula?

“Kita kahwin dulu baru abang bagi jawapannya.” Aniq sudah mula dengan perangainya yang satu ini. Hana mengeluh.

“Boleh tak kalau kita bincang hal ni lain hari.”

“Tak. Abang tak boleh tunggu. Sampai bila abang nak bagi Suha masa berfikir? Kan, tak baik lambatkan pertunangan ni. Suha kata nak kenal abang lebih. So, kahwin dulu baru boleh kenal lebih.”

Bulat mata Hana mendengar ayat tersebut. Aniq dengar semua apa yang aku cakap dekat jambatan tadi ke? Hana terasa malu tapi malu itu dia buang jauh dulu.

“Aniq, awak tahukan…” Hana tidak dapat meneruskan katanya. Kepalanya mula terasa berat dan peningnya semakin menjadi-jadi pula. Aniq mula risau.

“Aniq, saya nak tidur sekejap.”

“Tidurlah.” Balas Aniq prihatin.

“Aniq, macam mana awak tahu saya ada dekat sana?” Sempat Hana bertanya.

“Suha tidurlah dulu.”

Hana masih tidak puas hati.

“Apa jadi lepas saya pengsan tu? Faiz? Lana?” Tanya Hana lagi.

“Mereka okey. Faiz dah minta maaf. Dia tak akan ganggu Suha lagi. Dia dengan tunang dia akan balik ke Australia.” Beritahu Aniq. Tidak sampai hati pula dia kalau tidak memberitahu perkara sebenar.

“Habis, kafe Faiz tu macam mana?” Hana masih mahu bertanya.

“Tak payahlah fikir pasal tu dulu. Suha, rehat. Kalau nakkan jawapannya juga…”

“Kahwin dengan awak, kan?” Hana menjeling lalu membelakangi Aniq. Aniq ketawa kecil. Hana sudah tahu jawapannya.

Hana menutup matanya dan Aniq membantu menarik selimut hingga menutupi dada gadis itu. Dia duduk semula di tempatnya dan tidak berganjak dari situ.


HANA beristighfar. Dia sudah terlepas asarnya. Bila dia bangun Aniq sudah berdiri di depannya dengan pakaian baju melayu. Hana memandang pelik. Dia bangun dari perbaringannya. Peningnya sudah hilang.

“Awak buat apa lagi dalam bilik ni?” Dari atas ke bawah Hana meneliti lelaki itu. Aniq senyum. Hana cair melihat Aniq yang kacak memakai baju melayu itu.

“Suha,”

“Ya, saya!” Hana tersedar. Dia malu sendiri.

“Pergi bersihkan diri Suha dulu. Bakul kertas ni ada pakaian Suha. Umi Suha yang bawa tadi.” Lembut bicara Aniq membuat hatinya bergetar. Hana mengerling sekilas bakul yang ada di birai katil.

“Pergi mandi. Siap-siap. Lepas tu, turun. Kita semua akan solat berjemaah sama-sama.” Kata Aniq lalu keluar daripada bilik tersebut.

Sebaik sahaja pintu bertutup Hana duduk semula di birai katil. Hatinya terasa lain sangat bila Aniq membawanya solat berjemaah dengan yang lain. Ada satu rasa lain yang timbul di benak hatinya. Tapi, dia tidak tahu apakah perasaan itu.

Selesai mandi dan bersiap, Hana terus memakai telekungnya lalu membawa sejadah ke tingkat bawah. Hana melangkah menuruni anak-anak tangga. Dari jauh dia memandang ahli keluarganya dengan keluarga Aniq yang sudah siap bersedia di sana.

“RUHAINA, dah lewat ni. Kami nak minta diri dululah.” Ujar Puan Hanis.

“Yalah. Hati-hati balik tu.” Pesan Datin Ruhaina sambil berpelukan dengan bakal besannya.

“Eh, Hana mana pula?” Tercari-cari Lina dengan adiknya.


“ALA… mana pula buku tu hilang? Habislah kalau Mitsuha merajuk nanti. Buku tu hadiah daripada dia.” Hana duduk di birai katil. Dia cuba ingat semula. Setahunya, dia tidak pernah keluarkan buku itu daripada beg tangan ini. Dia akan buka buku itu jika ada kelapangan waktu dan bila selesai dia akan meletakkan semula ke dalam beg tangannya.

Hana laju membuka pintu bila mendengar namanya dipanggil. Kakaknya berdiri bercekak pinggang di depannya. “Nak balik ke tak nak ni?”

Hana tersengih. Dia kembali semula ke birai katil lalu mengemaskan barang-barang dalam beg tangan yang sudah bersepah di atas tilam.

“Jom, kak.” Hana menarik tangan kakaknya selepas dia menutup pintu bilik tersebut. Fikirannya masih lagi dengan buku yang dihadiahkan oleh Mitsuha kepadanya. Bunyi mesej masuk. Dia meminta kakaknya terlebih dahulu turun ke bawah. Laju Hana membuka dan membacanya.


Abang bagi Cik Bento masa sehari untuk berfikir sama ada nak kahwin atau… ~ Aniq

“Atau apa?! Suka betul bagi orang geram tau.” Hana mengetap bibir.

“Atau biarkan buku ni ada dengan abang.” Terkejut Hana. Suara Aniq begitu dekat dengannya. Hana undur ke belakang. Matanya bulat memandang buku, hadiah dari teman baiknya yang ada di tangan lelaki itu.

“Bagi balik buku tu!” Hana cuba merampas bukunya kembali namun Aniq cepat mengangkat tinggi buku tersebut. Hana menghentak kaki. Malu dan marah dalam satu.

“Pergi balik. Abang bagi Suha fikir dalam sehari ni. Nak kahwin dengan abang atau tak nak buku ni? Kalau kahwin dengan abang, Suha akan dapat balik buku ni. Kalau tak, jawabnya buku ni selama-lamalah dengan abang.” Aniq angkat kening.

“Abanglah sangat! Belum kahwin dah nak menggatal. Kalau nak menggatal sangat pergilah dekat cinta awak tu!” Marah Hana.

“Cinta, cinta, cinta! Geli telinga ni dengar awak panggil perempuan tu cinta tau! Nak kahwin dengan saya tapi panggil perempuan tu dengan panggilan cinta pula.” Terkeluar terus rasa tidak puas hatinya pada tunangnya. Masih segar lagi ingatannya tentang kemesraan Aniq dengan wanita yang dipanggilnya cinta semasa dia di tempat kerja Aniq. Dia baru nak berlembut hati dengan lelaki itu tapi, dia dah bagi sakit hati pula. Hana mendengus lalu menuruni anak tangga dengan langkah yang kasar.

“Cinta… Chinta?” Aniq baru sedar. Dia sudah faham kenapa Hana bersikap pelik dengannya di pejabat. Dia ketawa sendirian. Aniq memandang Hana yang sudah menuju ke pintu utama. Buku milik Hana itu dikerling sekejap dan kemudian berlalu ke biliknya semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience