BAB 38

Romance Completed 25726

SEKEJAP lagi waktu rehat. Hana datang tepat waktunya. Dia sekali lagi berada di depan bangunan megah milik tunangnya ini. Hana mengeluh. Bakul sederhana besar yang berisi dua jenis bento diamati lama. Aniq memaksanya untuk datang hari ini juga walaupun dia tidak mahu.

Masuk ke dalam bangunan dia ditegur mesra oleh pekerja-pekerja sana. Hana meneruskan langkah ke bahagian lif. Dia terus menekan butang lif naik ke tingkat atas. Pintu lif terbuka luas. Hana melangkah menuju ke bilik pejabat Aniq.

Terkejut Hana bila Aniq berdiri di depan pintu bilik pejabat yang sudah terbuka luas untuknya. Aniq menghadiahkan dia dengan senyuman manis. Hana buat muka.

“Nah,” Dengan kasar Hana memberikan bakul kertas kecil itu pada Aniq. Aniq menyambut huluran tersebut.

“Dah dapat, kan? So, Saya nak balik.” Hana mengorak langkah namun dihalang oleh tunangnya. Aniq menarik lengan Hana membawanya masuk ke dalam.

“Aniq, lepaslah!” Marah Hana.

“Duduk.” Aniq menyuruh Hana duduk di sofa. Hana merengus.

“Kata tak nak buatkan bento untuk abang. Yang ni apa pula, huh?” Suka dia melihat wajah marah tunangnya itu.

“Bentolah. Awak yang paksa saya buat.” Balas Hana sambil berpeluk tubuh. Aniq ketawa kecil.

“Abang minta satu tapi abang dapat dua bekas bento dari Cik Bento abang ni. Tak sangka Cik Bento baik hati, ya.” Tersenyum-senyum Aniq memujinya seraya mengeluarkan dua bekas bento dari dalam bakul tersebut. Hana diam. Dia memang sengaja bagi Aniq dua bekas bento. Satu untuk dia makan sekarang dan yang satu untuk makanan sampingannya sambil membuat kerja.

“Boleh abang buka penutupnya?” Bento sudah ada di tangannya.

“Suka hati awaklah. Itu awak punya.” Bunyinya kasar saja. Aniq tersengih lalu membuka kedua-dua bekas penutup makanan tersebut. Seperti biasa reaksinya akan berubah bila melihat makanan yang dimasak oleh Hana. Lebih kepada keterujaan dan jelas riak gembira di wajah lelaki itu.

Bekas bento yang satu diisi dengan nasi putih yang dibentuk menjadi lambang hati. Aniq ukir senyum. Tunangnya dikerling sekilas. Dia meneliti lagi bento tersebut.

Sebiji telur rebus dibelah dua diletakkan di atas bentuk hati itu. Aniq terpegun melihat telur kuning yang berbentuk hati kecil. Tertanya-tanya juga dia macam mana Hana membuat telur kuning di tengah itu terbentuk jadi hati seperti itu. Selebihnya lauk sayur dan daging masak hitam yang disusun cantik di setiap sudut secara bertentangan. Atas nasi itu ditabur pula dengan biji bijan putih.

Aniq membuka lagi satu bekas bento yang diberikan kepadanya. Simple but cute. Beberapa keping roti dibentuk menjadi wajah beruang yang comel dan diintikan dengan coklat nutella lalu di lapis menjadi sandwich. Permukaan luar sandwich pula ditabur dengan serbuk milo untuk membentuk mata, mulut, hidung dan juga bahagian telinga beruang. Di sudut bekas makanan tersebut diletakkan beberapa biji buah anggur dan sebelah sudut lagi diletakkan beberapa potong buah strawberi.

Aniq memandang Hana dengan senyuman nakal. Hana mengerutkan dahi.

“Dah masuk waktu makan. So, makanlah.” Arah Hana. Aniq masih tersenyum. Rasa sayang pula dia hendak makan bento tersebut.

“Kenapa tak makan lagi?”

“Tunggu Suha suaplah.”

Laju Hana menunjukkan buku limanya. Aniq ketawa.

“Suha terpaksa atau dengan senang hatinya membuat bentuk hati ni untuk abang?”

Bulat mata Hana. Baru dia sedar kesilapannya membuat bento tersebut. Argh! Macam mana pula aku boleh buat bentuk hati ni! Hana menggigit bibir bawah. Malu.

“Makan je la. Tak payah tanya senang hati ke? Terpaksa ke? Saya dah buat, makan sajalah.” Lancar Hana membalasnya. Senyuman Aniq masih tidak lekang diwajahnya.

Selesai membaca doa makan, Aniq terus menyuapkan makanan tersebut ke dalam mulutnya. Hana menanti komen daripada lelaki itu. Aniq mengendahkan sahaja pandangan Hana kepadanya. Dia meneruskan lagi suapannya.

“Tak nak komen?”

“Komen lepas kita kahwin.” Balas Aniq bersahaja. Hana mencebik.

Walaupun geram tapi dia berasa lega kerana hari ini perempuan gedik itu tidak mengacaunya. Pada masa yang sama, Hana teringat perempuan seksi itu. Laju dia memandang Aniq.

“Aniq, perempuan seksi tu datang lagi ke?”

“Rasanya tak. Tapi, kalau Suha nak minta kepastian pergi tanya Muaz. Abang suruh dia saja yang halau Edine tu.” Selamba Aniq menjawabnya.

“Suha pergi kejap dekat meja kerja tu. Ambil kertas-kertas kecil yang bergulung tu.”

Hana tidak membantah. Dia ikutkan sahaja arahan lelaki itu.

“Ada bawa balang kaca yang abang suruh bawa?”

“Ada.” Jawabnya malas.

“Masukkan kertas-kertas kecil tu dalam balang tu.”

“Yes, boss!” Geram Hana. Tidak habis-habis dengan kertas gulung ni. Entah apa benda yang ditulis dalam kertas ni? Baru Hana ingin membuka ikatan tali pada gulungan kertas kecil itu, Aniq laju menghalang.

“Ish, awak juga yang suruh baca benda ni. Bila saya nak baca, awak pula menghalang.” Marah Hana. Aniq tersengih.

“Kalau Suha nak baca juga, baca di rumah. Bukan sini, okey?”

Hana mengajuk katanya. Aniq meneruskan lagi suapannya. Balang kaca diambil dari dalam beg tangannya. Dia memasukkan tiga helai kertas kecil yang bergulung itu ke dalam balang tersebut. Tiba-tiba bunyi mesej masuk. Hana segera membuka dan membacanya.


Ivy, I need to see you, now! ~ Faiz

Hana mengerutkan dahi. Dah kenapa dengan si Faiz ni?

Sekali lagi bunyi mesej masuk. Laju Hana membukanya. Mesej dari orang yang sama.


Kalau awak tak nak jumpa saya… saya anggap hari ini adalah hari terakhir awak dengan saya. ~ Faiz.

Hana telan liur. Macam mana aku nak bagi tahu dengan Aniq ni?! Faiz ni buat hal tiba-tiba ni, kenapa? Dia putus tunang dengan Lana ke? Fikirannya kusut kembali dengan hal lelaki itu. Hana berfikir sejenak. Kata-kata Faiz itu betul-betul menakutkan dia. Risau pula kalau Faiz buat sesuatu di luar jangkaannya.

“Aniq, saya nak keluar.” Teragak-agak Hana mengutarakan katanya.

“Suha nak keluar? Nak pergi mana pula ni? Abang tak habis makan lagi ni.” Kata Aniq.

“Saya ada hal penting. Bolehlah…?” Rayu Hana. Dia tidak mahu Aniq tahu akan perkara sebenar.

“Tak boleh. Awak duduk sini je. Tunggu lepas saya habis makan.”

Ketika itu, pintu bilik diketuk. Aniq melaung dari dalam menyuruh orang itu masuk. Terkejut Hana bila yang masuk itu adalah perempuan gedik.

“Eh, awak tengah makan ke?”

“Tak dia tengah baca dokumen. Dah terang-terang dia makan. Itu pun awak tak nampak ke?” Hana mula sakit hati. Perempuan itu tersengih. Aniq hendak tergelak bila tunangnya berkata sebegitu.

“Chinta buat apa dekat sini?” Tanya Aniq.

“Saja nak lepak. Tapi, tak tahu pula awak ada tetamu.” Tersenyum-senyum dia dengan Aniq.

"Lepak? Kenapa awak tak lepak dengan pekerja lain saja. Sibuk nak lepak dengan CEO syarikat ni dah kenapa?" Hana menjelingnya sambil berpeluk tubuh. Aniq yang mendengarnya buat tidak tahu saja.

Tengok gaya dia orang berdua ni, dia orang macam tak berlakon pula. Ish, Menyampah! Cinta. Cinta. Cinta! Kalau suka dia kenapa bertunang dengan aku?! Kenapa nak kahwin dengan aku?! Jangan buat aku cemburu boleh tak?! Argh! Geramnya aku!

"Err... Aniq..." Chinta memandang sekilas Hana sebelum menuju ke arah Aniq yang sedang menjamu seleranya.

Hana menjulingkan mata ke atas. Dia menggeram.

“Saya nak keluar.” Tanpa menunggu balasan, Hana terus keluar daripada bilik pejabat tersebut lalu membuat panggilan.

“Helo,”

“Hana, ni Lana. Hana tolong Lana, please…” Terkejut Hana bila tunang Faiz yang menjawab panggilannya.

“Kenapa suara Lana lain macam ni? Apa yang terjadi?” Hana turut cemas. Daun pintu yang baru sahaja tertutup dibuka dari dalam semula. Tersembul wajah Aniq bersama dengan wanita itu.

“Hana kena tolong Lana, sekarang. Faiz tiba-tiba naik angin.” Suara esakan Lana jelas terdengar di anak telinganya.

“Okey, Lana tenang. Beritahu Hana sekarang Lana ada dekat mana?” Tanya Hana.

“Jambatan Putrajaya.”

Bulat mata Hana. “Lana buat apa dekat sana?” Hana mula rasa tidak sedap hati.

“Faiz… Faiz…” Lana tidak dapat meneruskan katanya. Tangisannya makin menjadi-jadi.

“Okey, okey. Lana jangan nangis. Hana pergi sana sekarang.” Hana terus mematikan talian dan segera ke sana.

“Siapa telefon?” Tanya Aniq yang dari tadi memasang telinga. Terkejut Hana dengan sergahan Aniq. Matanya meliau sekajap mencari kelibat wanita itu.

“Chinta dah pergi. Siapa telefon?” Tanyanya semula.

“Aniq, hantar saya pergi Jambatan Putrajaya, sekarang.”

“Abang sibuk. Rasanya tak boleh hantar.” Serius sahaja suaranya.

Sibuklah sangat! Mesti dengan cintanya tu. Hana merengus lalu meninggalkan Aniq yang belum habis cakap lagi dengannya. Laungan Aniq langsung tidak diendahkannya sudah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience