BAB 39

Romance Completed 25726

SAMPAI di tempat tersebut Hana terus mencari Lana dan juga Faiz. Matanya tertancap kepada orang ramai yang sedang berkerumun tidak jauh darinya. Laju Hana mendekati mereka. Hana menolak ke tepi orang-orang yang berada di depannya agar dia dapat melangkah ke hadapan. Jeritan suara wanita itu membuatkan langkah Hana semakin laju.

“Faiz!” Terkejut Hana melihat Faiz berdiri di tebing jambatan.

“Jangan dekat!” Faiz memberi amaran.

“Hana, tolong Lana. Lana tak nak kehilangan Faiz.” Rayu Lana. Hana cuba menenangkan Lana.

“Saya akan cuba. Lana bawa bertenang, ya.” Kata Hana. Dia memandang semula Faiz.

“Faiz, apa yang sudah terjadi ni?!” Tanya Hana. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri Faiz.

“I said, don’t come near to me!” Jerit Faiz.

“Okey, okey. Saya tak akan dekat dengan awak.” Hana mematikan langkah yang hanya beberapa kaki sahaja dari Faiz itu.

“Faiz, awak tak kasihan ke dengan Lana.”

“Kasihan?! Kau tahu tak kenapa aku jadi macam ni?!” Faiz menukar topik. Hana menghela nafas.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Kau gaduh besar dengan Lana?”

Faiz senyum sinis.

Takut pula Hana tengok lelaki itu. Faiz bermain-main dengan tangannya. Sekejap tangan kanan dilepaskan dan sekejap tangan kiri. Degupan jantung jangan di tanya. Bukan dia sahaja, mungkin degupan jantung orang lain yang sedang menyaksikan situasi ini juga berdegup pantas seperti dia.

“Kita orang tak gaduh, pun. Cuma hati aku ni saja yang bermasalah. Aku tak dapat nak buang kau, Hana. Aku asyik terbayang-bayang wajah kau. Sejak kau kata lelaki itu tunang kau, aku jadi serba tak kena. Bila aku sedar benda tu, aku tahu aku sudah terlambat.” Sebelah tangannya mengelap air mata yang mengalir. Hana mula tidak sedap hati.

“Faiz, awak janganlah macam tu. Masalah tu boleh bawa berbincang dengan baik, kan? Awak sendiri tahu kalau bunuh diri itu tidak membawa apa-apa kebaikan, kan? Banyakkan mengucap. Istighfar Faiz.”

Faiz ketawa sinis. “Istighfar? Mengucap? Macam mana aku nak beristighfar kalau bayang kau masih juga muncul dalam kepala otak aku ni, hah?! Nak bincang apa lagi, kalau gadis yang aku cinta sudah bersama dengan orang lain.”

“Huh?!” Berkerut dahinya. Hana cuba mencerna ayat-ayat Faiz itu. Dia berpaling menghadap Lana pula.

“Lana, apa sebenarnya yang berlaku ni? Saya tak fahamlah.” Tanya Hana. Lana masih dengan tangisannya.

“Dia suka dekat awak, Hana. Faiz suka awak bukan saya. Dia baru sedar yang dia cintakan awak dan bukannya saya.” Teresak-esak dia memberitahu Hana.

Hana tergamam. Dia berpaling semula menghadap Faiz yang bila-bila masa sahaja akan terjun ke bawah. Tak mungkin dia suka aku?

“Faiz, Awak suka saya?!” Hana mahu dengar dari mulut lelaki itu sendiri. Faiz meledakkan tawanya. Rasa lucu mendengar soalan tersebut.

“Kalau aku suka kau pun, aku dah terlambat. Kau dah jadi milik orang.” Nadanya sayu dan perlahan. Namun, dapat ditangkap oleh telinga Hana mahupun orang yang berada dekat dengan mereka. Hana bagai tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Faiz, kalau itu yang jadi masalahnya, kita selesaikanlah dengan cara baik. Bunuh diri itu salah!” Hana memujuknya.

“Tak ada gunanya kau pujuk aku, Hana!” Marahnya. Hana telan liur. Lana yang berada di samping Hana menggenggam kuat lengannya.

“Faiz, kau tak kasihankan Lana ke? Tak ada gunanya pun kalau kau suka aku, Faiz. Aku dah jadi tunangan orang. Aku dah nak kahwin pun. Aku hanya anggap kau sebagai kawan baik aku saja. Tak lebih daripada tu.” Sebelum ini hatinya memang sakit kerana Faiz tidak jujur kepadanya. Kerana kebaikan dan tingkah laku lelaki itulah yang menyebabkan dia tersalah tafsir. Perasaannya hanya bertepuk sebelah tangan. Hana bersyukur kerana imannya masih kuat dan dia masih dapat mengawal emosi dan perasaannya.

“Tipu! Kau tipu, Hana. Aku tahu kau tipu aku! Aku tahu kau sukakan aku, kan? Kau suka aku seperti mana aku sukakan kau, kan? Baik kau mengaku saja!” Faiz tidak berpuas hati. Hana mengerling Lana dan pandangannya beralih pada Faiz semula.

“Buat apa aku nak tipu kau! Lana jauh lebih baik daripada akulah, Faiz. Lana boleh jaga kau dengan baik. Janganlah ikutkan nafsu kau. Kau sebenarnya tak suka aku. Kau cuma cintakan Lana! Bukannya aku!”

“No! Tidak. Kau sukakan aku! You love me, Hana. You love me!” Jerit Faiz.

Hana mengetap bibir. Dia sudah tidak tahan. Baik kalau kau nak sangat ini berlaku aku akan buat. Biar puas hati kau! Hana menarik nafas dalam. Dengan kekuatan dan keberanian dia mengorak langkah perlahan menuju ke arah Faiz. Faiz jadi cuak.

“Kalau kau bunuh diri, kau lagi buatkan kami rasa bersalah, Faiz…” Hana semakin dekat. Jeritan Lana tidak diendahkannya sudah.

“Ivy! Kalau kau dekat aku akan terjun.” Amaran Faiz. Hana senyum sinis.

“Terjunlah kalau kau berani. Kau ingat apa yang kau buat ni dapat kebaikan di akhirat ke, huh? Silakan, kalau kau nak bunuh diri.” Hana mencabar Faiz. Hanya tinggal beberapa langkah lagi.

“Kau cabar aku. Kau cabar aku, Hana! Aku akan bunuh diri kalau kau tak berhenti!” Faiz juga tidak mahu mengalah dengannya. Hana senyum sinis.

Hana meliarkan pandangan. Tangan Faiz masih berpaut pada pegangan jambatan. Hana kemudian memandang seorang lelaki yang tidak jauh jaraknya dengan Faiz. Hana menggunakan isyarat mata kepada lelaki itu agar membantunya. Lelaki itu seolah-olah faham dan kemudian berbisik sesuatu kepada orang di sebelahnya.

“Hana, aku kata berhenti! Kau memang nak aku mati ke?”

“Kalau itu yang kau nak.” Balas Hana dengan nada sinisnya. Hanya lima langkah lagi ke hadapan. Lelaki itu memberi isyarat sedia kepadanya. Hana memandang semula Faiz.

“Ingat Allah, Faiz. Semua masalah ada penyelesaiannya. Jangan terlalu berfikiran cetek. Allah sentiasa ada dengan kita. Dia Maha Mengetahui dan Maha Mendengar segalanya. Bunuh diri bukan jalan penyelesaian yang terbaik.”

Lagi empat langkah…

“Saya akui memang ada perasaan dengan awak sebelum ini. Tapi, saya tahu perasaan itu hanya suka sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu. Bila awak kenalkan saya dengan Lana, saya tahu Lana boleh jaga awak. Lana cintakan awak sepenuh hati dia. Saya bukan macam Lana, Faiz,”

“Apa yang berlaku terhadap diri saya ini tak seperti yang awak fikirkan. Saya pilih Aniq kerana saya pegang dengan kata-kata umi saya. Siapa dulu yang datang meminang, orang itu yang akan umi saya pilih. Suka atau tidak saya akan terima orang itu seadanya.”

Terkejut Faiz mendengarnya. “Awak gila Hana! Sanggup awak gadaikan perasaan awak dengan orang yang awak tak cintai. Awak lagi suka dengar cakap umi awak berbanding dengan kata hati awak! Ivy, awak tahu kan itu tak akan membawa awak kepada kebahagiaan!”

Hana senyum hambar.

“Cinta tak semestinya hadir sebelum pernikahan. Cinta itu akan datang dengan sendirinya tanpa kita sedari. Cukuplah kita mengenali dirinya serba sedikit. Faiz, walaupun saya tak ada perasaan dengan dia tapi saya akan cuba. Saya akan belajar untuk mengenali dia. Awak pun pernah dengarkan yang cinta juga akan lahir selepas nikah. Cuma kita tidak tahu bila ia akan datang,”

“Kalau saja awak yang datang dulu meminang, mungkin saya tak akan menolaknya. Tapi, Aniq terlebih dulu datang meminang sebelum awak dan saya pegang dengan kata-kata umi saya. Lagipun, Aniq sudah membawa keluarganya ke kampung dan itu cukup membuatkan saya terharu walaupun hakikatnya saya tidak menyukainya.”

Hana menarik nafas panjang lalu meneruskan kembali katanya.

“Mana mungkin saya mahu melawan cakap keluarga saya, Faiz. Merekalah segala-galanya bagi saya. Mereka dah banyak bantu saya sepanjang hidup saya dengan mereka. Mereka tak pernah merungut apa-apa kalau saya nak itu ini. Saya faham dengan perasaan umi saya. Tapi, kalau saya bantah dan tidak ikut kata mereka, mungkin saja mereka akan halau saya atau buat sesuatu yang lain sehingga membuat pergaduhan besar dalam keluarga. Saya tak nak semua itu berlaku. Apalah sangat dengan permintaan umi saya tu, Faiz. Kalau yang datang meminang itu orang yang tidak saya kenali mungkin saya akan pertimbangkan lagi. Tapi, lelaki yang bakal saya kahwin itu saya kenal dan tak salah pun saya menerimanya. Aniq juga menerima saya seadanya.”

Ish, apa yang aku melalut ni! Betul ke lelaki tu terima aku seadanya? Hana, Hana… kau ni bercakap pun ikut sedap mulut kau saja. Hana memandang semula Faiz.

Faiz terdiam mendengar luahan Hana. Tiga langkah lagi…

Faiz tidak keruan.

“Kalau awak mahu saya jadi milik awak pun tak ada gunanya, Faiz. Awak tak dapat bahagiakan saya. Satu hari nanti awak akan menyesal juga kalau kahwin dengan saya. Lana saja yang berhak untuk awak. Dia boleh jaga awak lebih baik daripada saya. Saya tak sesuai dengan awak. Itu yang awak kena faham. Terimalah hakikatnya, Faiz. Semua ini ada hikmahnya. Ingat Allah. Allah sentiasa ada dengan awak.”

Sekali lagi lelaki itu memberi isyarat. Hana menarik nafas dalam. Dalam kiraan satu, dua, TIGA!

Lelaki itu serta beberapa orang lagi telah berjaya menarik Faiz jauh daripada tebing jambatan itu. Hana melepaskan lega. Lana laju berlari ke arah Faiz. Semua orang yang berada di situ juga turut melepaskan kelegaan. Tidak lama kemudian, Hana berasa pening. Dia tidak boleh melihat ke bawah. Terlalu tinggi! Dia menjarakkan dirinya daripada tebing jambatan itu. Penglihatannya mula kabur. Semakin lama semakin kelam dan akhirnya jatuh pengsan. Belum sempat tubuhnya jatuh ke bawah, seseorang telah menyambutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience