BAB 41

Romance Completed 25726

HANA tidak senang duduk. Posisinya asyik berubah. Sekejap berdiri, duduk, dan kini posisinya baring di atas sofa pula. Puan Hanis dan yang lain tiada di rumah. Katanya ke rumah Datin Ruhaina. Entah apa lagi yang mereka buat di rumah agam itu.

Hana mahu mengajak Mitsuha keluar berjalan hari ini sementara dia masih di sini. Tapi, alasan Mitsuha pula dia mahu keluar berjalan dengan Encik Muaz, pembantu tunangnya itu. Hana jadi pelik. Bila masa pula temannya itu suka keluar dengan Muaz? Cepat pula dia mesra dengan lelaki itu.

Hana menghela nafas. Kusut memikirkan buku itu masih di tangan Aniq. Satu hal lagi dia kena bagi jawapan untuk soalan Aniq itu. Hana meramas kasar rambutnya yang panjang. Malu pula dia apabila teringatkan hal semalam. Kenapalah aku bodoh sangat pergi luah rasa tidak puas hati aku pasal perempuan gedik tu dengan dia?

Hana mengetuk kepalanya sendiri. Mesej yang di hantar oleh lelaki itu langsung tidak dibalasnya.

Hana memandang Arissa. Hanya mereka berdua sahaja berada di rumah itu sekarang. Matanya sekejap ke sana dan ke sini melihat anak buahnya yang sedang sibuk mengemas buku-buku sekolah. Hari ini adalah hari terakhir cuti sekolah dan esok Arissa akan ke sekolah semula. Hana perasan anak buahnya itu sedang mengeluh.

“Arissa mengeluh ni, kenapa?” Tanya Hana. Dia membetulkan posisinya. Hana duduk menegak menghadap anak buahnya.

“Aunty, Arissa malaslah nak ke sekolah esok.” Arissa merungut. Buku-buku sekolahnya dicampak begitu sahaja di dalam beg sekolah.

“Arissa mana boleh malas. Kalau malas ke sekolah macam mana Arissa nak dapat ilmu?”

“Arissa tahu. Tapi, lecehlah nak kemas itu ini.” Dia membuat mulut itik. Laju Hana mencubit pipi gebu Arissa itu.

“Arissa ni manjalah. Cubalah rajin sikit.” Geram Hana dengan perangai manja anak buahnya itu. Kemudian dia mendapat satu idea.

“Kalau Arissa tak kemas semua barang-barang sekolah Arissa tu elok-elok, aunty tak akan bawa Arissa jalan kejap lagi. Arissa kan nak bawa bento esok. Kalau Arissa tak nak pun tak apa. Aunty bolehlah rehat, kan?” Saja Hana mengenakannya.

“Eee… mana boleh. Bento tu wajib. Aunty dah janji, kan! Kalau aunty dekat sini, aunty mesti buatkan makanan kesukaan Arissa dan juga kawan-kawan Arissa.” Arissa berpeluk tubuh. Merajuk dengan kata-kata Hana.

“Okey. Kalau nak, cepat kemas. Lepas tu, siap-siap. Kita keluar cari bahan-bahan untuk buat bento.” Dengar sahaja perkataan bento itu Arissa laju mengemas barang-barang sekolahnya.

Sedang Hana ralit memerhatikan anak buahnya, dia terfikirkan Yana. Budak itu juga sukakan bento yang dia buat. Pantas dia mendail nombor Rafidah dan berjaya dijawab.

“Assalamualaikum, kak Fidah.” Hana memberi salam.

“Waalaikumussalam. Eh, Hana telefon ni ada apa? Cari umi, ayah Hana? Dia orang tak angkat panggilan Hana?” Terkejut Rafidah bila bakal adik iparnya itu menghubunginya. Keluarga Hana yang lain masih ada di sana.

“Hana telefon bukan cari dia orang.”

“Habis tu Aniq? Aniq tak angkat telefon ke?”

“Eh, taklah. Hana mana ada telefon dia. Hana memang nak telefon akaklah.” Hana tersengih. Kedengaran suara tawa di hujung talian.

“Aik? Kenapa Hana tiba-tiba nak bercakap dengan akak pula?” Pelik Rafidah. Hana ketawa kecil.

“Hana telefon ni sebab nak minta kebenaran akak.” Hana ke topik utama.

“Nak minta kebenaran? Kebenaran apa pula ni?”

“Boleh tak Hana bawa Yana jalan-jalan hari ini? Hana bawa Arissa jalan. So, ajak sekali Yana. Itupun, kalau akak bagilah.” Hana tersengih.

“Apa pula tak boleh. Bila Hana nak ambil Yana? Jalan sekali dengan Aniq?” Tanya Rafidah lagi.

“Tak. Tak. Hana bawa Yana seorang je.” Laju Hana menjawab. Dia tidak mahu lelaki itu ikut sekali. Nanti, habis dia dikerjakan dengan soalan-soalan yang tidak mungkin dia akan dapat jawab.

“Okey. Nanti, akak suruh Yana siap. Hana ambil dekat sini?” Rafidah meminta kepastian. Hana ingin menjawab tapi mulutnya berat untuk memberitahunya. Hana baru sedar keretanya tidak ada di sini. Kereta kakaknya juga tidak ada. Hana mengeluh panjang.

“Hana,” panggil Rafidah di hujung talian.

“Hana okey tak?” Tanya Rafidah bila tiada balasan dari gadis itu.

“Akak,” Hana menghela nafas. Terpaksa juga dia minta tolong daripada tunangnya itu.

“Aniq kerja tak hari ni?” Hana bertanya.

“Tak. Dia cuti. Dia minta abang Harith yang tolong gantikan dia untuk beberapa hari ini.”

“Kenapa pula?” Berkerut dahi Hana. Tahulah lelaki itu kuat bekerja tapi kenapa minta tolong ganti dengan abang dia pula?

“Entah. Rasanya dia nak rehat kut.” Rafidah memberi andaian.

“Kenapa tanya pasal Aniq ni pula?” Giliran Rafidah bertanya. Hana tersengih.

“Tak ada apa-apa. Akak nanti siapkan Yana, ya. Hana nak bersiap dulu.” Beritahu Hana lalu menamatkan perbualan mereka dengan kata salam masing-masing.

Hana memandang semula Arissa. Barang-barang sekolah semuanya sudah dikemaskan. Hana tersenyum senang.

“Arissa nak mandi, nak bersiap. Aunty pun kenalah pergi bersiap juga.” Kata Arissa sebelum menghilangkan diri naik ke atas. Hana sekadar mengangguk. Telefon dipandang semula. Berfikir sama ada mahu atau tidak mengajak lelaki itu.

“Ah, telefon sajalah. Pedulilah kalau dia nak tuntut jawapan dia tu.” Tanpa membuang masa, Hana terus menghubungi Aniq dan panggilannya berjaya dijawab.

“Assalamualaikum, Aniq.” Hana memberi salam. Aniq menjawabnya.

“Aniq, awak dekat rumah ke?” Tanya Hana takut-takut.

“Ya.”

“Awak tak ke mana-mana hari ini?” Tanya Hana lagi.

“Tak.”

“Awak nak keluar tak?” Soalan lagi.

“Nak.”

“Saya bawa Arissa jalan beli bahan-bahan untuk bekalan sekolah. Saya ajak Yana juga. Saya dah minta kebenaran dengan kak Rafidah. Saya nak ajak awak sekali. Itu pun, kalau awak sudi keluar dengan saya.” Jujur sahaja Hana memberitahu aktivitinya pada lelaki itu. Hana menunggu jawapan.

Senyap. Hana geram. Sudahlah soalannya dijawab dengan jawapan yang pendek.

“Awak sudi tak ni? Kalau tak sudi tak apalah.” Kata Hana dengan geram.

“Siap cepat. Sekejap lagi abang ambil Suha dengan Arissa.” Serius dia menjawab lalu mematikan talian. Hana tercengang lalu mendengus.

TIDAK sampai setengah jam, kereta Aniq sudah ada di depan rumah Lina. Arissa laju berlari ke arah kereta tersebut. Sementara Hana pula mengunci pintu rumah dan juga pagar rumah. Selesai meneliti kawasan sekeliling rumah kakaknya itu, Hana langsung ke tempat Aniq. Dia masuk ke dalam perut kereta dan Aniq terus memandu keluar daripada kawasan itu.

“Nak beli barang dekat mana?” Aniq bersuara setelah lama berdiam. Yana dan Arissa pula sibuk dengan hal mereka masing-masing.

“Mana-mana sajalah yang awak nak bawa kami.” Balas Hana tanpa memandang Aniq yang sedang memandu. Dia lagi sedang memikirkan bagaimana hendak mengambil semula bukunya yang ada pada lelaki ini. Dia mencari dengan ekor matanya. Mana tahu, Aniq membawa buku itu bersamanya dan meletakkan di satu tempat dalam kereta ini.

“Tesco? Giant? Mydin? Apa lagi…” Aniq memberi pilihan. Dia langsung tidak perasan dengan kelakuan Hana yang sedang mencari sesuatu di dalam keretanya.

“Tesco.” Selamba Hana menjawab dan matanya masih fokus dengan pencarian buku tersebut. Agaknya mana si Aniq ni letak buku aku?

“Aunty Ivy nak beli barang apa dekat Tesco?” Yana mencelah.

“Aunty nak cari bahan buat bento kitalah, Yana. Esok kan dah mula sekolah.” Yana jadi teruja bila Arissa memberitahunya. Tersembul kepala Yana ke hadapan. Terkejut Hana.

“Aunty betul nak buat bento?” Bola matanya besar. Teruja dengan apa yang baru sahaja didengarnya.

“Yup. Sebab tu aunty ajak Yana sekali. Boleh tolong aunty pilih bahan-bahan nak masak nanti.”

“Yana, kalau awak nak tahu, aunty Ivy ada janji dengan saya, tau.”

“Janji apa?” Tanya Yana pada Arissa dengan wajah peliknya. Arissa tersenyum-senyum.

“Aunty Ivy dah janji kalau dia tinggal sini, dia akan buatkan apa saja makanan yang saya suka.” Bangga dia memberitahu Yana. Hana yang mendengar, mencebik.

“Wah, Bestnya! Yana pun naklah juga!”

“Kalau begitu uncle pun nak.” Kata Aniq sambil mengenyitkan sebelah matanya pada Hana.

“Ewah, ewah, ewah… sedap saja korang suruh, kan. Korang ingat saya ni orang gaji korang ke?” Geram Hana dengan mereka bertiga. Mentang-mentang dia pandai memasak. Suka hati dia orang saja nak suruh dia.

“Kalau tak suruh aunty nak suruh siapa lagi? Dah aunty seorang saja yang pandai buat bento.” Balas Arissa.

“Tak apa. Lepas ni, aunty buat kursus bento untuk korang. Lepas tu, korang bolehlah buat sendiri, kan?” Hana tersenyum. Puas dapat mengenakan mereka.

“Aunty!” Serentak Arissa dan Yana menjerit geram. Hana ketawa. Aniq yang menjadi pendengar mereka bertiga juga turut sama ketawa.


ARISSA dan Yana berlari masuk ke dalam Tesco. Aniq pula menawarkan dirinya untuk menjadi penolak troli hari ini walaupun Hana sudah berapa kali tidak mahu lelaki itu menolongnya.

“Tak payah buat muka masam tu.” Kata Aniq lalu menolak troli masuk ke dalam pasaraya tersebut. Hana mencebik.

Hana fokus mencari bahan-bahannya. Aniq menjadi pemerhati. Tercuit hatinya bila melihat gelagat Hana yang sedang meneliti barang-barang dapur itu. Sekejap wajah gadis itu berkerut. Sekejap tersenyum sendiri. Arissa dan Yana pula asyik mengacau Hana. Wajah geram gadis itu pada dua orang budak yang mengacaunya membuatkan Aniq tertawa kecil.

“Awak ketawa macam orang gila ni dah kenapa?” Tegur satu suara. Aniq berpaling. Makin lebar senyumannya.

“Chinta! Awak buat apa dekat sini?” Terkejut Aniq. Boleh pula teman sekerjanya itu muncul di tempat seperti ini. Wanita itu tersenyum manis.

“Saya buat apa dekat sini? Sudah tentulah nak beli barang dapur.” Mereka sama-sama gelak.

“Banyak barang awak beli. Awak memang pandai memasak ke?” Tanya Chinta bila melihat banyak bahan kering dan bahan basah di dalam troli tersebut.

“Mestilah pandai. Chinta banyak beli barang ni, reti ke nak masak?” Giliran Aniq bertanya. Chinta tersengih.

“Ingat wanita berkerjaya macam saya ni tak reti nak masak? Kalau nak tahu atau tak, datanglah rumah. Rasa masakan yang saya masak. Baru komen.” Beritahu Chinta. Kemesraan mereka berdua disaksikan oleh Hana.

Macam mana pula perempuan tu ada di sini?! Siap suruh si Aniq pergi rumah lagi. Ini yang aku sakit hati ni. Hana menarik nafas panjang. Cuba untuk bertenang. Arissa dan juga Yana sudah ke sebelah. Hana meninggalkan Aniq dengan wanita itu. Tidak suka dia melihat kemesraan mereka berdua.

Masuk sahaja di lorong sebelah Hana jadi cuak. Arissa dan Yana bersama dengan seorang perempuan yang cukup dia kenal. Jantungnya berdegup pantas. Takut dua orang budak itu diapa-apakan oleh perempuan tersebut.

“Betul ke makanan ni sedap, aunty?” Tanya Yana yang sudah memegang salah satu jenis makanan yang ada di rak tersebut. Baru saja perempuan itu mahu membalas soalan Yana, Hana terlebih dahulu menegur mereka.

“Simpan balik barang tu, Yana.” Hana memberi amaran. Laju Yana meletakkan kembali makanan tersebut di tempat asalnya.

“Korang berdua, sini!” Arah Hana pula. Arissa dan Yana hanya menurut kata. Perempuan itu tersenyum sinis. Hana memandang tajam kepadanya. Perempuan itu melangkah menuju ke arahnya. Arissa dan Yana takut dengan riak muka perempuan itu. Mereka berdua berlari mendapatkan Aniq yang berada di lorong sebelah.

“Ingatkan dah menghilangkan diri. Rupanya masih di sini.” Sinis Hana menyindirnya.

“Apa kau buat dengan dua orang budak tadi, hah?” Tanya Hana. Suaranya keras. Edine senyum senget. Sinis.

“Kau rasa apa yang aku buat dengan mereka berdua?” Dia memulangkan paku buah keras.

“Jangan ingat aku tak tahu korang ke mana. Walaupun aku tak muncul depan korang tapi setiap gerak-geri korang aku akan pantau. Kalau kau tak nak terjadi apa-apa dekat budak-budak tu…” Dia mendekatkan lagi jarak mereka. Wajah dirapatkan.

“Baik kau jauhkan diri kau daripada Aniq. Aku akan pastikan hidup kau betul-betul menyesal kerana rapat dengan lelaki yang aku cintai itu.” Amaran keras diberikan. Hana berlagak tenang.

“Aku tak akan menyesal, Cik Edine. Aku tak takut pun dengan ugutan kau tu. Aku tak kisah kau nak buat apa dekat aku. Aku yakin dengan Allah yang sentiasa melindungi aku daripada kezaliman umatnya seperti kau dan aku juga yakin yang Aniq tidak akan pernah kembali pada perempuan yang memang sudah rosak akhlaknya.” Sinis Hana membalas. Edine mengetap gigi. Tangan diangkat. Belum sempat tangannya singgah ke muka Hana, ada tangan lain dulu yang menghalang. Hana berpaling dan mengucap syukur.

“What are you doing here?!” Tanya Aniq dengan suara yang agak tinggi. Edine menarik kasar semula tangannya dari cengkaman lelaki itu.

“Sakitlah!” Adu Edine. Matanya tidak lepas memandang Hana. Semakin membuak perasaan amarahnya pada Hana.

“Kau akan menyesal!” Edine menjeling tajam. Perempuan yang berdiri di sebelah Aniq itu juga dikerlingnya tajam sebelum dia mengorak langkah meninggalkan kawasan tersebut. Hana mengurut dada. Lega perempuan itu sudah pergi.

“Suha, tak apa-apa? Apa yang Edine cakap dengan Suha tadi?” Soal Aniq risau. Hana memandangnya dengan senyuman nipis.

“Bukankah dia ni perempuan yang ada dalam pejabat hari tu?” Chinta yang berdiri di tepi Aniq itu mencelah. Hana buat muka. Tidak jadi dia menjawab pertanyaan Aniq tadi.

“Ya. Ini Suhana Ivy. Maaflah, Chinta sebab tak kenalkan awak dengan dia ni lagi.” Aniq tersengih. Hana masih membuat muka cemberutnya.

“Dia ni sebenarnya tunang saya dan kami akan berkahwin tak lama lagi.” Akhirnya Aniq memperkenalkan juga Hana kepada wanita itu.

Hana perasan riak wajah perempuan gedik itu. Ah, peduli apa aku dengan perasaan dia!

“Suha, abang kenalkan yang ni Chinta Amani. Pekerja abang bahagian pengurusan sumber manusia. Dia ni baru saja sebulan kerja di tempat abang.”

Hana mengerutkan dahi. “Cinta?”

Wanita itu ketawa kecil. “Sebutan lebih kurang begitulah. Tapi, ejaan tak sama. C.H.I.N.T.A. itu ejaan bagi nama saya.”

Aniq memandang Hana. Dia senyum kecil bila melihat reaksi muka gadis itu.

Hana tersengih. Rupanya memang nama dia. Kenapalah tak suruh panggil nama Amani saja. Nama pertama dia buatkan orang salah faham. Nasib baik aku tak tanya lagi Aniq pasal kau, tau!

“Abang dengan dia kawan sekerja ke atau…?” Hana biarkan soalan itu tergantung begitu sahaja. Dia merenung tajam Kedua-duanya. Panggilan pada Aniq juga berubah. Itu sebab Chinta Amani ada bersama mereka.

“Abang tak ada apa-apalah dengan Chinta ni. We are just a friend. Not more then that.” Aniq meyakinkan Hana.

Itu kau. Aku tengok lain macam saja riak perempuan gedik ni bila tahu aku ni tunang kau. Sempat Hana menilik wajah Chinta Amani itu.

“Korang teruskanlah berbual, ya. Saya nak ke sana.” Hana meninggalkan mereka berdua. Dia masih geram tapi malas hendak melayan perasaannya itu. Hana meneruskan kembali aktivitinya. Aniq terpinga-pinga. Dia belum tanya lagi apa yang berlaku sebentar tadi, Hana sudah jauh meninggalkan dia. Arissa dan Yana juga sudah mengikuti Hana yang jauh ke depan.

“Aniq, I got to go, now. Banyak lagi bahan nak cari.” Nadanya kedengaran agak sayu.

“Jaga tunang awak elok-elok. Perempuan tadi tu macam jahat je saya tengok. Kalau tak silap, dia tu yang selalu buat kecoh dekat syarikat kita, kan?” Sempat Chinta memesan kepada Aniq.

“Ya. Thanks Chinta. Saya pun kena pergi tengok dia ni. Takut perempuan tadi datang balik ganggu dia.” Aniq terus melangkah pergi dengan troli yang penuh dengan barang itu. Chinta juga sudah ke lorong lain.


BONET kereta ditutup rapat. Aniq kemudian masuk ke dalam keretanya. Hana dan dua orang budak itu sudah berada dalam perut kereta. Aniq memanaskan enjin keretanya. Arissa dan Yana yang duduk di belakang mula membuat bising.

“Arissa, Yana. Senyap sikit, boleh tak?” Tegur Hana dengan nada lembutnya. Mereka berdua tersengih lalu berbisik antara satu sama lain. Hana geleng kepala lalu menghadap semula ke depan.

“Suha tak cerita lagi dekat abang pasal tadi.” Aniq menuntut cerita dari Hana.

“Cerita apa?” Hana buat-buat tidak tahu. Sebenarnya, dia masih berfikir tentang kata-kata Edine itu.

“Jangan buat tak tahu pula. Apa yang Edine cakap dengan Suha, huh? Cepat bagi tahu abang.”

“Nanti sajalah.”

“Mana boleh nanti. Kalau dia datang lagi macam mana?”

“Saya boleh je lawan dia.” Balas Hana. Aniq geram.

“Kahwin dengan abang.” Aniq tukar topik. Laju Hana memandangnya sambil berpeluk tubuh.

“Awak ni memang dah tak tahan nak kahwin dengan saya ke? Gatal!” Marah Hana.

“Mulut tu jaga sikit. Suka hati dia saja nak kata abang macam tu,”

“Tadi elok saja panggil abang sekarang kenapa dah ber‘awak’ lagi ni?” Aniq tidak puas hati bila Hana tidak memanggilnya dengan panggilan abang.

“Suka hati sayalah nak panggil awak apa. Saya akan jadi sopan bila berdepan dengan pekerja-pekerja awak saja.” Jawab Hana selamba.

“Ye ke? Habis hari tu? Siap bagi amaran lagi dekat Chinta?” Aniq memancing reaksi Hana. Dia tahu tunangnya ini cemburu dengan Chinta.

“Dengan sesiapa pun saya akan jadi macam tu. Saya memang tak suka dengan Chinta tu. Teman sekerja awak tu gedik tahi hidung masin." Hana mengutuk wanita itu. Nasib baiklah teman sekerja tunangnya itu tidak ada bersama dengan mereka. Kalau Hana mengutuk depan wanita itu sudah tentu mereka berdua akan bergaduh.

"Saya tak suka dia. Saya tak suka nama dia dan saya tak suka cara awak panggil dia. Kalau awak rapat dengan dia, jangan harap awak boleh dapat saya lagi." Luahannya beserta dengan amaran. Puas! Biarlah Aniq tahu apa yang aku rasa.

Senyuman Aniq lebar hingga ke telinga. Sudah terang lagi bersuluh. Dia tahu Hana cemburu. Perlahan-lahan Aniq memandu keluar daripada kawasan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience