BAB 36

Romance Completed 25726

BUNYI hon kereta di luar rumah mengejutkan semua orang di dalam rumah. Hana yang baru sahaja selesai menyiapkan bentonya juga terkejut dengan bunyi hon tersebut. Laju mereka semua berlari keluar melihat kereta tersebut.

“Ya Allah, Aniq. Kenapa kejutkan kami awal-awal pagi ni.” Encik Syukri keluar rumah lalu membuka pagar rumah untuk bakal menantunya itu. Aniq tersengih.

“Maaflah, ayah. Aniq sengaja buat macam tu. Sengaja nak bagi Hana dengar.” Ujar Aniq tanpa berselindung. Sejak dia rapat dengan keluarga bakal mertuanya ini, panggilan untuk kedua orang tua Hana itu sudah bertukar. Aniq sudah biasa memanggil orang tua Hana dengan panggilan umi dan juga ayah.

Encik Syukri geleng kepala. Ada-ada saja perangai bakal menantunya ini.

“Sudah sarapan?” Tanya Encik Syukri. Aniq senyum sambil menggeleng kepala.

“Masuklah. Kita sarapan sama-sama. Hana ada buat sarapan tu.” Encik Syukri mengajak bakal menantunya masuk ke dalam rumah.

Aniq mencari kelibat tunangnya. Hana tidak ada di ruang tamu. Hanya Arissa sahaja yang ada di ruang tersebut. Arissa bangun lalu menyalami Aniq. Encik Syukri naik ke biliknya sekejap.

“Uncle, kenapa Yana tak ikut sekali?” Arissa memuncungkan mulutnya. Sedih kerana temannya itu tidak ikut sekali. Aniq mencubit manja pipi gebu Arissa itu.

“Yana tak ikut sebab uncle kerja. Uncle datang sini pun nak ambil aunty Ivy je. Nanti, kalau ada masa uncle bawa Yana jumpa Arissa, okey?”

Arissa angguk lemah.

“Eh, Aniq. Kenapa tak duduk sana. Mari, kita sarapan sama-sama.” Puan Hanis yang baru muncul itu terus mengajak bakal menantunya ke bahagian ruang makan. Arissa yang berada di belakang terus berlari anak menuju ke arah meja.

Semua sudah berkumpul di meja makan. Cuma Hana lagi yang belum munculkan dirinya di situ. Aniq meliau mencari kelibat gadis itu. Bunyi tapak kaki dari arah belakangnya meyakinkan yang itu adalah Hana. Aniq berpaling. Dia menghadiahkan senyuman buat gadis tersebut. Hana mencebik.

“Hah, kamu tak nak ikut makan sekali ke?” Puan Izati menegur Hana apabila anak saudaranya itu lalu di tepinya.

“Hana dah makan tadi.” Jawab Hana. Dia mengambil bakul kertas yang diletakkan di atas bar dapur lalu dibawa ke ruang tamu. Biarlah dia tunggu Aniq di sana saja.


SELESAI bersarapan, mereka berdua terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Sejak dari tadi Hana asyik mendiamkan dirinya. Bila disoal, sepatah dia menjawab.

“Apa dalam bakul kertas tu?”

“Bento awaklah.” Jawab Hana pendek. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

“Marah abang lagi?” Tanya Aniq lagi. Dia tidak boleh pandang lama tunangnya yang duduk di sebelahnya kerana dia lagi sedang memandu.

Hana diam. Tidak menggeleng. Tidak mengangguk. Pandangan tetap dihalakan ke luar tingkap.

“Suha merajuk dengan abang ke? Sebab abang tak layan Suha kelmarin? Atau sebab hari tu?” Bermacam-macam andaian dia beri kepada tunangnya. Hana tetap membisu. Aniq akhirnya berputus asa. Dia meneruskan pemanduannya ke tempat kerja.

Laju Aniq membuka pintu penumpang di sebelah. Dia mengharap ada reaksi yang diberikan oleh Hana. Tapi, usahanya sia-sia sahaja apabila Hana tetap berlagak seperti biasa.

Mereka melangkah masuk ke dalam bangunan Iris Star Holding. Beberapa pekerja tersenyum melihat pasangan yang bakal berkahwin itu. Aniq dan Hana menuju ke tempat lif. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam apabila pintu lif terbuka.

“Tunggu!” Jerit satu suara. Aniq laju menghalang pintu lif daripada tertutup rapat. Lebar senyuman Aniq bila melihat wanita itu. Hana yang berada di belakang hanya mendiamkan diri. Sakit hati memang terasa. Cuma dia biarkan sahaja.

“Eh, Aniq. Awal awak datang kerja?” Tercungap-cungap Chinta masuk ke dalam lif. Aniq membalas dengan senyuman. Hanya mereka bertiga sahaja. Aniq terus menekan tingkat paling atas. Baru sahaja dia hendak tolong tekan butang lif untuk Chinta, wanita itu segera menghalang.

“Kenapa?” Tanya Aniq. Chinta tersengih.

“Saya nak ke bilik pejabat awak dulu. Saya nak bincang pasal dokumen ni pula.” Kata Chinta. Aniq terangguk-angguk sambil ketawa. Sepanjang lif naik ke atas, mereka berdua asyik berbual mesra sehingga orang di belakang mereka langsung tidak diperasan.

Pintu lif terbuka. Aniq dan Chinta melangkah keluar dari lif tersebut dan terus menuju ke bilik pejabat. Hana mengetap gigi. Menahan marah. Aku langsung dia tak nampak. Dia langsung tak kenalkan aku dengan wanita tu! Berbual mesra sampai lupa tunang ada dekat belakang dia ni?! Eee… geram betul aku dengan mereka berdua.

Dengan perasaan sebal bercampur geram, Hana terus menekan butang lif untuk turun ke bawah. Malas dia hendak ikut lelaki itu. Silap aku menilai perempuan tu. Gedik! Minta perhatian! Tak tahu malu! Marah Hana pada wanita yang bersama dengan Aniq tadi.

Hana menuju ke kafe yang berada di lobi dengan langkah yang lemah. Dia duduk di hujung kafe itu. Matanya diliarkan di sekitar kawasan tersebut. Beberapa pekerja di situ ralit memerhatikan Hana. Hana pula membiarkan sahaja mereka memerhatikannya. Dia lagi sakit hati memikirkan kemesraan dua manusia itu.

Telefonnya berbunyi. Aniq menelefon. Hana tidak mahu mengangkatnya. Dibiarkan sahaja bunyi deringan tersebut. Sekali lagi bunyi deringan pada telefonnya. Dia melihat screen telefon. Kali ini dari Mitsuha. Lambat-lambat dia menjawab panggilan tersebut.

“Hai, Mitsuha.” Mendatar suaranya mengucapkan kata.

“Kenapa dengan suara Hana? Sedih saja saya dengar.” Pelik Mitsuha.

“Tak ada la. Biasa saja ni. Kenapa telefon? Awak nak ajak saya keluar ke?”

Mitsuha ketawa di hujung talian.

“Yup. Jom, keluar.”

Hana mengerling jam yang melekat di pergelangan tangannya. Dia senyum segaris.

“Okey. Nanti, saya ke sana.” Ujar Hana sebelum menamatkan panggilan.

Baru sahaja dia hendak berdiri, seseorang terlebih dulu menghalang pergerakannya. Hana mengetap bibir. Siapa lagi kalau bukan tunangnya. Hana berpeluk tubuh. Dia memandang ke tempat lain. Aniq duduk di sebelahnya.

“Kenapa tak jawab panggilan abang ni?” Marah Aniq. Dia ada menelefon sebentar tadi dan Hana langsung tidak menjawabnya.

“Suha tau tak yang Suha dah buat abang risau?” Ekspresi wajah berubah. Hana mengerling sekilas.

Masuk dalam bilik pejabat tadi, Aniq terus panik. Hana tidak bersamanya. Bila ditanya dengan Chinta, dia jawab tidak tahu pula. Aniq terus meninggalkan Chinta yang terpinga-pinga di situ.

Turun di lobi, Aniq bertanya dengan pekerja-pekerjanya jika mereka ada melihat Hana. Nasibnya baik kerana salah seorang dari mereka ternampak Hana sedang duduk termenung di kafe. Aniq melepaskan kelegaan bila wajah tunangnya ada di depan mata.

“Kenapa dengan Suha ni?” Risau Aniq bila tunangnya tidak mahu bercakap dengannya.

“Nah,” Hana memberikan bakul kertas yang berisi bento itu kepada Aniq. Malas dia hendak menjawab soalan tersebut. Dia pun tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya. Cepat sangat dia sakit hati bila perempuan lain berdampingan dengan tunangnya itu. Tapi, kenapa dia tidak sakit hati pula bila Edine yang terhegeh-hegeh mahukan tunangnya?

Aniq menyambut bakul kertas yang diberikan oleh Hana kepadanya. Bento dikeluarkan dari dalam bakul tersebut. Aniq membuka penutup bekas makanan itu. Dia tergamam melihat cara Hana menyusun nasi dan juga lauk pauk di dalam bekas berbentuk segi empat itu. Berseni. Sungguh menarik perhatian. Yang membuatkan dia terkesima apabila ada kata maaf diukir menggunakan lobah merah. Sangat comel!

“Wow! Cantik!”

Serentak Hana dan Aniq berpaling. Hana memandang wajah Aniq yang sudah tersenyum lebar. Makin dia bertambah sakit hati. Boleh masuk hospital ni kalau hati aku tak berhenti-henti sakit tengok perempuan ni. Hana merengus.

“Awak buat apa dekat sini, Chinta?” Tanya Aniq.

Cinta?! Tak habis-habis nak mengacau Aniq aku! Kalau kerja buatlah cara orang bekerja. Jangan nak bergurau senda, berbual mesra di tempat kerja macam ni. Turun naik nafas Hana dibuatnya.

“Kelakarlah awak ni Aniq. Saya nak beli makananlah. Lapar.” Dia menggosok-gosok bahagian perutnya sambil membuat muka manja. Aniq layan sahaja karenah perempuan itu.

“Aniq, boleh tak saya rasa makanan ni? Terliur saya tengok makanan ni tau.”

Aniq memandang Hana. Wajah Hana ketika itu tegang melihat perangai gedik perempuan itu. Baru sahaja tangan perempuan itu mendarat di makanan tersebut, Hana laju menutupnya semula. Chinta tergamam. Begitu juga dengan Aniq.

“Suha, kenapa buat macam tu?” Suara Aniq sedikit keras. Chinta pula diam memandang Hana. Dia baru perasan perempuan itu ada bersama dengan Aniq.

Hana berdiri dan memandang tajam pada perempuan itu.

“Makanan ni untuk dia dan bukannya awak. Apa-apa yang saya buat hanya untuk dia dan saya tak nak dia kongsi dengan siapa-siapa pun termasuk awak.” Keras bunyinya. Hana terus meninggalkan Aniq dengan perempuan itu. Marahnya masih bersisa. Dia tidak kisah kalau Aniq memarahinya selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience