BAB 13

Romance Completed 25726

“HANA, JOM. Turun kereta sekarang. Semua dah tunggu dekat atas.” Suara Encik Han menyedarkan anak saudaranya yang jauh mengelamun. Encik Han sudah keluar dari keretanya. Hanya Hana yang masih tercegat di dalam.

“Hana tak nak keluar?” Tanya Encik Han. Risau dia melihat wajah masam anak saudaranya. Encik Han tahu Hana masih sedih kerana Faiz balik ke Australia.

“Uncle naik dululah, ya.” Encik Han melepaskan keluhan berat. Hana langsung tidak memberikan reaksi apa-apa kepadanya. Biarlah dia naik ke atas terlebih dahulu.

Suasana dalam rumah begitu riuh rendah sekali. Tentu Lina dan cucu saudaranya sudah sampai. Orang pertama yang dicari oleh Encik Han adalah Arissa. Rindu sungguh dia dengan cucu saudaranya itu. Arissa dengan terujanya terus memeluk atuknya.

“Eh, Han. Mana Hana?” Encik Syukri mencangak mencari kelibat Hana. Encik Han melepaskan pelukan si cucu. Arissa berlari kembali ke arah temannya.

“Masih dalam kereta. Nampak sedih betul muka dia tu. Jadi, malas saya nak kacau. Biarlah dia sekejap dekat dalam kereta tu.” Ujar Encik Han.

“Sedih? Pasal apa pula?” Tanya Encik Syukri.

“Pasal Faiz. Hari ini dia terbang ke Australia. Bila Hana tahu terus muka dia berubah. Itu yang saya biarkan saja dia di dalam kereta. Biar dia tenangkan hati dia dulu.” Kata Encik Han. Kemudian isteri Encik Han muncul.

“Abang bila sampai?” Tanya Puan Izati yang sudah sampai terlebih dahulu di rumah adik iparnya itu.

“Baru saja. Itu semua siapa? Lina mana pula?” Tercari-cari dia dengan anak saudaranya yang satu lagi. Pada masa yang sama, dia mengukir senyuman kepada tetamu-tetamu yang datang.

“Lina dekat dapur. Tolong umi dia. Yang tu pula tetamu Lina. Anak dia dengan anak tu kawan baik. Lagipun, Arissa yang sibuk nak bawa teman dia bercuti dekat sini. Tak sangka pula satu keluarga datang.”

“Kalau begitu nak kenal-kenal dululah dengan dia orang. Hana tu biarkan saja. Kalau dia dah tenang, dia keluarlah tu.” Kata Encik Han lalu membawa Encik Syukri menuju ke arah tetamu-tetamu mereka.


“KENAPA aku rasa lain bila Faiz bagi tahu aku dia nak balik Australia?” Hana menyentuh dadanya.

“Tak mungkin aku suka dekat dia?” Fikirannya mula bercelaru. Dia tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya ini. Kenapa aku sedih bila dia pergi? Kenapa aku boleh merajuk bila dia tak nak ajak aku ikut sama? Pelbagai soalan yang sedang bermain di fikirannya. Dia melentokkan kepalanya di tepi tingkap yang tertutup. Fikirannya masih kepada lelaki yang bernama Faiz itu. Akibat terlalu berfikir akhirnya dia terlelap di dalam kereta.

SEMUA sudah berkumpul di ruang makan kecuali Hana. Sejak dari tadi tidak nampak batang hidung gadis itu. Hidangan semua sudah disediakan dan diletakkan di atas tikar yang ditebarkan di atas lantai. Kata Puan Hanis lebih seronok kalau ramai-ramai makan di bawah berbanding di atas meja. Puan Izati dan juga tetamu mereka juga setuju.

“Hanis, anak perempuan kamu yang satu lagi mana?” Sejak dari tadi lagi mereka tidak nampak anak bongsu Puan Hanis.

“Hana? Entahlah, Ruhaina. Dari tadi tak nampak dia.” Kata Puan Hanis. Dia masih tidak biasa dengan tetamu barunya ini. Darjat mereka tidak sama. Dia dari golongan bawahan manakala Ruhaina pula berpangkat Datin. Dia masih segan untuk memanggil wanita itu dengan panggilan biasa.

“Entah-entah masih dekat dalam kereta. Sebab tadi, abang Han bagi tahu yang Hana masih dalam kereta. Katanya, biarkan Hana tenangkan diri dulu.” Celah Puan Izati.

“Tenangkan diri? Untuk apa dia tenangkan diri?” Puan Hanis rasa tidak sedap hati pula. Sudah sejam lebih dia tidak nampak batang hidung Hana.

“Abang,” Puan Hanis memanggil suaminya.

“Hana, dari tadi tak muncul-muncul. Hanis nak pergi tengok dia la.” Belum pun suaminya membuka mulut, Puan Hanis berdiri dan terus meninggalkan ruang tamu. Dia turun ke bawah mendekati kereta milik abangnya.

“Mak cik, cari apa?” Terkejut Puan Hanis dengan suara garau itu.

“Aniq. Mak cik cari anak mak cik. Dari tadi mak cik tak nampak dia. Ayah dia cakap dia dekat dalam kereta. Mak cik tak sedap hati pula.” Luah Puan Hanis. Suasana di luar hanya disinari dengan cahaya lampu yang samar-samar.

“Tak apalah, mak cik. Tak usah risau. Saya dari tadi dekat sini tengok-tengokkan anak mak cik. Dia tertidur dalam kereta. Saya biarkan saja, tak nak kejutkan dia.” Beritahu Aniq. Dia ada terdengar perbualan Encik Han dan juga Encik Syukri tentang Hana. Sebab itu dia turun ke bawah melihat gadis itu. Aniq memerhatikan Hana dari jauh. Dari gadis itu mengelamun sehinggalah dia tertidur.

Puan Hanis melihat dari luar tingkap kereta. Ternyata apa yang dikatakan oleh Aniq itu betul. Lena betul anaknya tidur. “Syukurlah dia selamat. Terima kasihlah, sebab tolong tengok-tengokkan anak mak cik tu.”

Aniq membalas dengan senyuman. Matanya dari tadi tidak lepas memandang wajah polos Hana yang sedang tidur itu. Perasaannya tenang bila melihat Hana begitu.

“Mak cik naiklah dulu. Kalau dia bangun nanti saya suruh dia naik.”

“Tak makan sekali?”

“Tak. Nanti, saya makan sekali dengan Hana bila dia dah bangun.” Ujar Aniq. Dengan hati yang lega, Puan Hanis melangkah semula masuk ke dalam rumah. Aniq hanya menghantar dengan ekor mata sahaja.


GELAK ketawa yang kuat menyedarkan Hana dari lenanya. Hana memisat-misat matanya. Dia pandang sekeliling dan baru tersedar yang dia masih berada di dalam kereta unclenya. Dia mencari arah datangnya suara gelak tersebut. Dari dalam kereta dia melihat ayah dan unclenya dengan seorang lelaki yang tidak dikenali sedang bergelak ketawa.

“Siapa lelaki tu?” Tanya Hana sendirian. Dia menguap sambil menutup mulutnya. Baru saja dia ingin membuka pintu kereta tersebut, Faiz kembali memasuki ruangan fikirannya. Malas hendak berfikir, dia terus keluar daripada perut kereta.

“Selesa tidur dalam kereta?” Suara garau menerpa anak telinganya. Hana mencari arah suara itu dan dia amat terkejut. Mulutnya melopong. Segera dia merapati susuk tubuh itu.

“Awak!” Hana bagai hendak pengsan sahaja. Kenapa dunia ini kecil sangat? Macam mana dia ni boleh ada dekat sini?!

“Awak buat apa dekat tempat macam ni?”

“Bercutilah.” Selamba Aniq memberi jawapan. Dia berpeluk tubuh seraya menyandarkan tubuhnya pada tiang rumah.

“Bercuti apa dekat tempat macam ni? Baik awak pergi sebelum umi dengan ayah saya nampak.” Hana menghalaunya.

Aniq tersenyum. Senyumannya sungguh menggetarkan jiwa Hana. Hana masih belum tahu dia dan ahli keluarganya memang menginap di rumah gadis itu untuk beberapa hari.

“Hello, Cik Hana!” Aniq memetik jari di depan wajah gadis itu. Tersentak Hana. Dia mengetap gigi.

“Mana awak tahu nama saya?!”

“Suhana Ivy. Awak sendiri yang bagi tahu nama awak dekat saya. Takkan tak ingat?”

Berkerut dahi Hana. Bila? Aku rasa aku tak pernah bagi tahu dia nama sebenar aku. Atau…

“Keluarga awak langsung tak ada kena mengena, ya. Awak tak ingat kejadian dekat Sunway Pyramid tu? Awak sendiri mengaku saya ni tunang dan suami awak. Awak sendiri yang beritahu nama awak dekat perempuan seksi tu.”

Hana jadi malu bila mengingati kejadian itu semula. Memang salah dia. Tapi, dia tidak menyangka pula akan jumpa lelaki ini lagi. Padahal, dia tidak mahu ada kena mengena lagi dengan lelaki di depannya itu. Hana memandang semula Aniq dengan pandangan yang tajam. Dia masih belum puas hati. Hana baru hendak buka mulut namun Aniq cepat mencelah.

“Untuk pengetahuan Cik Hana, saya ke sini pun sebab anak buah saya nak cari awak. Tak salahkan kalau dia nak jumpa dengan awak?”

“Anak buah awak? Maksud awak Yana? Kawan baru Arissa tu?” Hana cuba mengingati wajah budak itu. Baru sekali mereka berjumpa.

“Awak dengan Yana datang sini? Tapi, macam mana awak tahu saya tinggal dekat sini?” Lagi soalan dari Hana. Aniq senyum sinis. Dia melangkah maju ke depan. Semakin dia ke depan semakin Hana mengundur ke belakang.

“Dari kakak awaklah. Dia yang ajak kami ke sini memandangkan cuti sekolah dah bermula.”

Hana bagai tidak percaya.

“And for your information, bukan kami berdua saja yang pergi, okey. Mama saya dengan ibu bapa Yana pun ada dekat sini. Saya bawa semua datang ke sini, bercuti di kampung ni.” Terbeliak mata Hana mendengar kenyataan Aniq itu.

“Awak dah gila ke bawa ahli keluarga ke sini! Ini kampung saya. Bukan tempat penginapan awak. Suka hati awak saja bawa satu keluarga bercuti di sini.” Marah Hana. Dia menolak lelaki itu jauh darinya lalu segera naik ke atas. Kelam kabut dia membuka kasutnya. Aniq menguntum senyuman.

Naik sahaja di atas, Hana terpaku. Terkejut melihat tetamu lain yang tidak dikenalinya ada di rumah itu. Encik Syukri memperkenalkan anaknya kepada abang sulung Aniq. Turun naik nafas Hana dibuatnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa melayan. Aniq yang berada di belakangnya dikerling tajam. Entah kenapa dia rasa meluat dengan lelaki itu.

Hana melangkah masuk ke dalam. Aniq membuntuti dari belakang.

“Awak ikut saya ni kenapa?” Rimas Hana dengan kelakuan dia.

“Suka hatilah.” Jawab Aniq selamba. Bertambah geram Hana dengan lelaki itu.

Kelihatan dua orang wanita yang tidak dikenalinya sedang merenung dia dari atas ke bawah. Hana takut-takut hendak mengukir senyuman untuk dua wanita itu. Saat itu, bola matanya mencari kelibat Arissa dan juga Yana. Aniq pula sudah duduk di sebelah mamanya.

“Arissa dengan Yana dah tidur.” Beritahu Lina. Dia tahu apa yang bermain di fikiran adiknya itu.

“Hana duduk sini kejap.” Puan Hanis memanggilnya untuk duduk sekejap bersama dengan mereka yang lain. Hana bersalaman dengan dua wanita itu. Wajahnya berkerut dengan beberapa soalan yang sedang bermain di fikirannya.

“Datin Ruhaina, Rafidah. Yang inilah anak perempuan kedua saya. Suhana Ivy.” Puan Hanis memperkenalkan anak perempuannya kepada dua wanita itu.

Datin?! Tak salah dengar ke aku ni? Orang kaya ada di rumah aku?! Hana teragak-agak hendak memberikan senyuman.

“Tak sangka manis orangnya.” Datin Ruhaina memujinya. Tersengih Hana dengan pujian tersebut. Matanya bertembung dengan sepasang mata milik Aniq. Cepat-cepat Hana melarikan pandangan ke arah uminya.

“Maaflah, Datin. Rumah kami kecil saja. Takut Datin dengan sekeluarga tak selesa pula.” Ujar Hana.

“Eh, apa pula tak selesa. Kami semua selesa saja. Sebenarnya, mama yang patut minta maaf dengan kamu sebab Yana ni nak jumpa sangat dengan kamu. Apa salahnya kan, kalau kami sekeluarga pergi sini. Lagipun, Yana dengan Arissa kan tengah cuti sekolah.”

Mama? Datin tu bahaskan diri dia mama dekat aku? Biar betul! Hana senyum sengih.

“Umi, Hana nak masuk bilik kejap. Nak mandi dan solat.” Hana meminta diri.

“Pergilah. Lepas siap nanti pergi makan. Ajak Aniq ni sekali. Dia tak makan lagi tu sebab tengok-tengokkan kamu tidur dalam kereta tu.” Tanpa segan silu Puan Hanis berkata kepadanya di depan yang lain. Hana tergamam. Lelaki yang sedang memandangnya itu tidak dipedulikan. Hana melangkah ke biliknya.

“Pelan-pelan buka pintu tu. Arissa dengan Yana tidur dalam bilik kamu.” Hana sekadar mengangguk lalu menuju ke bilik tidur.


SELESAI menunaikan solat, Hana mencapai tudung segeranya. Sempat dia mengucup Arissa dan juga Yana yang sudah dibuai mimpi. Tidak sangka teman baru Arissa ini sanggup datang ke kampungnya semata-mata kerana bento. Selimut yang terselak di bahagian dada Arissa dibetulkan. Puas hati dengan keadaan mereka berdua Hana melangkah perlahan keluar daripada bilik.

Perutnya kembali berkeroncong. Lapar. Hana melajukan langkah ke bahagian dapur. Suara uminya dan yang lain sedang berborak tidak diendahkannya. Apa yang penting sekarang perutnya mahu meminta diisi.

Langkahnya mati. Tubuhnya kaku. Seperti terkena renjatan elektrik bila melihat susuk tubuh itu lagi. Siapa lagi kalau bukan lelaki yang bernama Aniq. Dari pintu dapur dia memerhatikan kelakuan lelaki itu yang sedang menyediakan makanan di atas meja. Dua pinggan yang berisi nasi diletakkan secara bertentangan. Semua lauk pauk sudah dipanaskan semula.

“Jom, makan.” Tanpa memandang ke arah pintu masuk dapur, dia terus mengajak Hana makan. Teragak-agak Hana hendak ke sana. Aniq memandang Hana bila gadis itu tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

“Sini! Kita makan sama-sama.” Tegas suara Aniq menyuruh Hana ke tempatnya. Hana ikutkan saja kehendak lelaki itu. Lagipun, perutnya tengah lapar.

Sebaik sahaja membasuh tangan dia langsung menarik kerusi bertentangan dengan lelaki itu. Aniq terlebih dulu mengambil lauk yang ada di depan mereka.

“Kalau Yana nak pergi sini dia boleh saja ikut kak Lina. Tapi kenapa sampai bawa satu keluarga ke sini pula?” Setelah lama berdiam akhirnya Hana membuka mulut. Soalan tentang lelaki itu dengan ahli keluarganya masih bermain di fikiran. Hana berpeluk tubuh, memandang tajam ke arah lelaki itu.

“Suka hati sayalah. Lagipun, dah mula cuti sekolah. Tak bolehkah saya bawa anak buah saya dengan keluarga sekali datang ke sini?” Dia pula menyoal Hana. Hana mencebik. Pinggan yang berisi nasi itu langsung tidak diusik.

“Boleh. Cuma…”

“Kalau boleh, tak ada masalah la, kan? Dah, makan. Tak baik biarkan perut tu kosong.” Aniq membantu Hana menyauk lauk ke pinggannya. Hana pelik dengan sikap lelaki itu. Dia memang begini ke?

“Saya tak suka cara awak layan saya.” Hana berterus terang.

“Layan awak macam mana?”

“Layan macam nilah. Awak memang layan perempuan semua macam ni ke? Prihatin. Baik hati. Tolong bagi lauk bagai…” Hana tidak mahu menjamu makanannya.

“Awak tak ingat lagi macam mana saya layan perempuan seksi tu tempoh hari? Awak rasa saya prihatin ke? Baik hati ke dengan perempuan seksi tu?”

Hana terkena. Dia menggigit bawah bibirnya. Geram dengan lelaki tersebut. Bunyi perut yang tengah lapar itu kembali berkeroncong. Hana menyentuh perutnya.

“Makan cepat.” Terkejut Hana bila Aniq menyuakan makanan dengan sudu kepadanya. Hana memalingkan wajahnya ke tepi. Tidak mahu lelaki itu menyuap dia.

“Cik Bento, cepat makan.” Gesa Aniq yang masih tidak berputus asa.

“What?! Awak panggil saya Cik Bento? Hoi, saya ada namalah! Suka hati saja bagi nama saya macam tu.” Hana betul-betul geram dengan lelaki di depannya. Aniq pula berlagak biasa sahaja.

“Saya suka nama tu. Kalau ada nama lain nanti saya ubahlah.” Balasnya. Dia kemudian menyuakan kembali sudu ke dalam mulut Hana, tetapi dia menolak.

“Tak nak! Bagi sini.” Hana mahu mengambil sudu itu dari tangan Aniq. Namun, cepat sahaja Aniq bertindak menyuakan makanan ke dalam mulut Hana. Tersedak Hana dibuatnya.

“Minum ni.” Hana terus mengambil gelas yang berisi air sirap dari tangan Aniq. Dia meneguk rakus dan baru tersedar. Gelas di tepi pinggannya dengan gelas yang dipegangnya itu dipandang silih ganti. Wajahnya kemudian beralih kepada lelaki itu. Aniq membuat muka selamba.

Air yang diminumnya itu adalah bekas lelaki itu. Wajah Hana sudah bertukar merah. Dia berlari ke arah singki lalu memuntahkan apa yang diminumnya sebentar tadi. Aniq meneruskan suapannya. Dalam diam dia menguntum senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience