BAB 43

Romance Completed 25726

BENTO terakhir dimasukkan ke dalam plastik bersaiz sederhana. Hana sudah meminta kebenaran daripada kakaknya untuk meminjam kereta hari ini. Umi dan ayahnya tidak ada di rumah kerana bermalam di rumah Datin Ruhaina. Hana malas hendak ambil tahu apa yang ibu bapanya buat di sana. Puan Izati pula sudah pulang ke Kedah. Katanya rindu pada suami.

Hana memanaskan enjin kereta terlebih dulu sementara menunggu anak buahnya yang masih berada di dalam rumah. Plastik-plastik yang berisi bento sudah pun diletakkan di belakang tempat duduk kereta.

Hana teringat semula dengan kata-kata Edine. Dia takut jika Edine mengotakan janjinya. Dia tidak mahu Arissa dan Yana menjadi mangsa perempuan itu. Bukan mudah juga dia mahu melepaskan diri daripada lelaki yang bernama Aniq.

Apa yang patut aku buat sekarang ni…? Umi terima pinangan tapi aku masih berat sebelah. Aniq nak kahwin dengan aku tapi aku sebaliknya pula. Perempuan seksi tu lagi buat hal. Ugut aku supaya jauhkan diri daripada Aniq. Ini semua sebab kaulah, Hana! Suka sangat cakap lepas. Hana, apa yang kau patut buat sekarang?

Hana menghela nafas.

Kahwin? Hati oh hati, kau nak kahwin tak dengan lelaki tu? Bukan senang nak dapat bakal suami yang kaya macam dia. Rugi Hana kau tak kahwin dia, pujuk hatinya.

Tapi, kaya tak membawa pun kepada kebahagiaan. Apa sebenarnya yang kau nak Hana? Ciri-ciri lelaki yang macam mana kau nak sebenarnya ni? Aniq dah cukup pakej tapi kenapa kau masih tak ada hati dekat dia?

“Sorry aunty!” Suara Arissa menyentak lamunannya.

“Lambat. Buat apa lagi dekat dalam tadi?” Tanya Hana. Arissa masuk dan duduk di sebelah tempat pemandu.

“Cari ni.” Arissa mengangkat bakul kertas berisi souvenir yang dibeli semasa mereka berada di Pulau Langkawi. Hana geleng kepala.

“Pakai seat belt tu.” Arah Hana. Dia terus memandu keluar dari perkarangan rumah.


SAMPAI di sekolah, Hana meminta kebenaran pengawal untuk masuk ke dalam sebentar. Ketika itu juga Aniq muncul dengan Yana. Hana tidak terkejut. Arissa dengan Yana pula yang berlebih-lebih bila mereka sudah berjumpa antara satu sama lain. Macamlah mereka berdua lama tidak berjumpa. Padahal, selalu bersama juga.

“Nampak berat je. Biar abang bawa bakul-bakul plastik tu.” Aniq selamba mengambil bakul kertas yang dijinjing oleh Hana.

“Tak apa. Biar saya yang bawa.” Hana merampas semula bakul kertas tersebut.

“Bagi abang. Biar abang saja yang bawa. Jangan nak berdegil.” Aniq mengambil semula bakul kertas dari genggaman Hana. Hana akhirnya mengalah.

“Arissa, panggil kawan-kawan sekelas Arissa. Yana, pun. Aunty dengan uncle tunggu dekat kantin.” Arah Hana. Laju mereka berdua berlari naik ke kelas masing-masing.


TIDAK sampai lima belas minit mereka semua sudah pun berada di kantin. Hana tersenyum lebar. Aniq hanya menjadi pemerhati. Berebut-rebut mereka ingin bersalaman dengan Hana dan juga Aniq.

“Aunty Ivy, rindu betul kita orang dekat aunty, tau.” Luah Leong yang lama tidak berjumpa dengan aunty Arissa itu. Hana mencubit pipi gebu Leong. Dia juga rindu dengan teman-teman Arissa itu.

“Maaflah. Aunty sibuk sangat. Sekarang Aunty tengah cuti. So, korang semua bolehlah order nak makan apa lepas ni. Nanti, aunty buatkan.” Hana senyum bila semua menjerit keriangan.

“Arissa, Yana. Tolong agih-agihkan bento ni untuk kawan-kawan korang.” Arah Hana. Mereka berdua angguk lalu mengikut arahan. Arissa dan Yana dibantu oleh teman mereka masing-masing untuk mengagihkan bento kepada teman mereka yang lain.

“Aunty, uncle ni siapa?” Tanya Haikal. Dari tadi dia memerhatikan lelaki yang duduk di sebelah aunty Arissa itu.

“Ini uncle Aniq, tunang aunty. Uncle ni uncle Yana.” Beritahu Hana. Baik dia jujur saja dengan mereka. Kalau tidak Aniq akan memaksanya untuk beritahu mereka tentang status mereka berdua. Ish, budak-budak je pun!

Aniq menghadiahkan senyuman buat Haikal. Haikal membalas dengan senyuman yang lebar.

“Aniq, yang ni teman sekelas Arissa. Haikal.” Hana memperkenalkan budak lelaki itu kepada tunangnya.

“Haikal suka dekat aunty Ivy?” Tidak semena-mena soalan itu keluar dari mulut Aniq. Hana memandang tajam tunangnya. Haikal senyum dan angguk laju.

“Bukan Haikal je. Leong dengan yang lain pun suka dekat aunty Ivy. Aunty Ivy selalu bagi kita orang makanan yang sedap-sedap bila dia ada dekat sini.” Sengihnya. Aniq ketawa kecil.

“Semua dah dapat?” Tanya Hana. Takut pula kalau tidak cukup. Dia sudah sedia maklum dengan jumlah murid kelas Arissa dan juga Yana dari guru kelas mereka. Hana agak rapat juga dengan guru-guru di sekolah ini dan mempunyai beberapa senarai nombor telefon guru-guru di sekolah ini.

“Sudah!” Jerit mereka serentak. Hana mengerling jam di pergelangan tangannya.

“Okey. Kalau semua dah dapat, pergi masuk kelas sekarang. Sekejap lagi kelas dah nak mula. Aunty dengan uncle pun dah nak balik.” Kata Hana.

“Arissa jangan lupa souvenir tu, ya.” Arissa angguk kepala. Hana memandang Yana pula.

“Yana ada bawa souvenir yang kita beli hari tu?” Yana angguk laju.

“Nanti, Yana bagi dekat dia orang.” Beritahu Yana. Teman-teman mereka yang lain mula beransur masuk ke kelas masing-masing.

“Arissa, Yana. Belajar tu baik-baik. Jangan main masa belajar. Okey?”

Laju mereka berdua mengangguk.

“Kalau macam tu, uncle dengan aunty nak gerak dulu.” Aniq berdiri dari tempat duduknya. Mereka berdua bersalaman dengan aunty dan juga uncle mereka. Aniq dan Hana masing-masing tersenyum sambil menghantar anak buah mereka dengan pandangan.

“Jom,” Aniq mengajak Hana pergi. Hana menuruti. Mereka beriringan keluar daripada kawasan sekolah tersebut.

Hana baru hendak masuk ke dalam perut kereta tapi dihalang oleh Aniq. Hana memandang dengan wajah kehairanan.

“Kenapa?”

“Tinggalkan kereta dekat sini. Nanti, kita datang balik kalau sekolah dah habis.” Kata Aniq.

“Awak nak bawa saya pergi mana?” Tanya Hana ingin tahu.

“Ikut je. Jangan banyak tanya.” Aniq mengeyitkan matanya lalu pintu kereta bahagian penumpang dibuka menyuruh Hana masuk ke dalam keretanya.

Hana membuat muka. Beg tangan diambil. Kereta dikunci. Hana terus masuk ke dalam perut kereta Aniq. Aniq tersenyum sambil menutup pintu kereta tersebut. Laju kakinya melangkah ke tempat pemandu.


“KITA buat apa dekat IOI City Mall ni?” Jarang sekali Hana pergi ke tempat tersebut. Dia lagi suka berjalan di tempat yang selalu dia pergi.

“Saja, bawa tunang abang ni jalan-jalan. Lagipun, abang tengah cuti. Abang Harith yang uruskan syarikat sekarang.”

“Eee… Aniq, tak payahlah bahaskan diri tu abang. Saya tak suka dengarlah.” Makin kerap Aniq membahaskan dirinya abang. Hana tidak berapa suka dengar panggilan tersebut.

“Suka atau tak, Suha kena panggil abang juga, kan?”

“Tapi, bukan sekarang. Tunggulah…” Hana laju menekup mulutnya. Jangan kau buat hal Hana! Nasib baik kau tak terlepas cakap.

“Tunggulah apa?” Aniq jungkit kening. Hana tersengih sambil geleng kepala.

“Jom, masuk kedai tu.” Hana laju membawa Aniq ke salah satu kedai pakaian.

Keluar daripada bangunan shopping, Hana terus berubah wajah. Dia menjeling tajam tunangnya. Geram betul dengan lelaki di sebelahnya ini. Matanya jatuh ke bawah. Kedua-dua tangan Aniq penuh dengan barang-barang shopping yang berjenama.

“Padan muka! Saya dah cakap yang saya tak nak. Awak degil. Nak juga beli benda-benda tu semua.” Geram Hana dengan kelakuan Aniq yang selamba sahaja membelanjakan duitnya untuk beli barang-barang tersebut. Apa sahaja barang jualan yang ada di dalam butik mahupun kedai lain yang disentuh oleh Hana dibeli oleh Aniq. Terkejut besar juga Hana bila Aniq membayar barang-barang tersebut.

“Abang memang dah pasang niat pun bila datang sini.”

Hana tergamam. Gila ke apa lelaki ni? Kalau aku sentuh barang yang lagi mahal dari barang-barang ni nak ke dia bayar?! Marah Hana dalam hati.

“Lain kali jangan pasang niat bila bawa saya jalan. Tangan saya ni mana boleh kawal nak sentuh itu ini.” Hana berpeluk tubuh.

“Suka hati abanglah. Untuk Suha juga, kan? Bukan untuk orang lain. Atau nak abang bagi barang-barang ni dengan Chinta?” Sengaja Aniq ingin mengusiknya. Mencerlung tajam Hana memandangnya. Mereka berdua sampai di tempat Aniq memarkir keretanya.

“Tengok tu. Abang usik je dah marah. Kenapa? Jeles dengan Chinta?” Aniq mentertawakan Hana.

“Buat apa saya nak jeles dengan dia. Saya cuma tak suka nama dia je.”

“Eleh, jeleslah juga tu. Sebab bunyi nama dia ‘cinta’. Suha memang jeles, kan? Maknanya, Suha dah ada perasaan dekat abang la ni?” Aniq senyum sambil meletakkan barang-barang shopping di belakang bonet keretanya. Hana menyeringainya. Malas dia hendak berdalih lagi.

“Betul, Suha tak nak barang-barang ni semua?” Aniq meminta kepastian. Hana geleng kepala.

“Tak nak. Awak bagilah dekat kak Rafidah atau mama. Tidak pun, bagi dekat pembantu-pembantu rumah awak.”

“Suka hati saja mulut dia bercakap. Kalau Suha tak nak, tak apalah.” Jelas suara lelaki itu menunjukkan dia sedang merajuk. Hana malas hendak pujuk.

Sedang Aniq memasukkan barang-barang shopping di dalam bonet, Hana terpandang sesuatu yang amat dikenalinya. Orang itu tidak jauh dari tempat dia dengan Aniq berdiri. Hana telan liur. Tanpa disedari tangannya memegang hujung baju Aniq. Aniq terkejut dengan tindakan Hana itu.

“Kenapa ni?” Tanya Aniq bila melihat riak wajah Hana berubah.

“Aniq, jom balik. Nanti, tertunggu-tunggu pula Arissa dengan Yana.” Hana mahu cepat-cepat pergi dari tempat tersebut.

“Okey. Tapi, muka Suha nampak lain macam je. Apa yang Suha tengok tu?” Aniq perasan yang tunangnya sedang memandang sesuatu di belakangnya. Bila Aniq berpaling ke tempat tersebut, Hana laju menghalang. Tidak mahu Aniq tahu tentang itu.

“Semua barang-barang shopping dah masuk, kan?” Hana memerhatikan barang-barang shopping yang sudah disusun di dalam bonet kereta kemudian tangannya laju menutup bonet tersebut. Hana menyuruh Aniq masuk ke dalam. Aniq pelik. Tapi, diturutkan juga.


TIBA di kawasan sekolah, Hana terus keluar dan menghenyakkan punggung di satu sudut dekat pondok bas yang telah disediakan. Aniq keluar dari kereta dan menuju ke arah Hana yang sudah mengambil tempat di pondok bas tersebut.

“Cakap dengan abang.” Aniq duduk di sebelah Hana.

“Nak cakap apa?” Hana berpura-pura tidak tahu. Sepanjang perjalanan tadi, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Langsung tidak menjawab soalan yang Aniq kemukakan kepadanya.

“Muka Suha jelas menunjukkan ada sesuatu yang merunsingkan Suha. Baik Suha ceritakan apa yang Suha nampak tadi.” Tegas nadanya. Hana mencebik sambil berpeluk tubuh.

Dia ni, suka sangat memaksa aku!

“Nanti sajalah saya cerita.” Kata Hana malas.

“Tak nak cerita tak apa. Suha tak nak buku Suha tu balik ke?” Aniq sengaja memancing reaksi Hana. Laju Hana memandang. Dia hampir lupa tentang buku ilustrasi yang dihadiahkan oleh Mitsuha kepadanya.

“Mana buku saya? Bagi balik!” Hana menadahkan tangannya agar lelaki itu memberikan bukunya semula. Aniq angkat kening.

“Laju je dia minta buku dia. Abang tak nak bagi selagi Suha tak ceritakan dekat abang. Soalan abang pun Suha tak jawab lagi.” Aniq berpeluk tubuh sambil menanti cerita dari mulut tunangnya. Hana mengeluh. Dia tahu soalan apa yang dimaksudkan oleh Aniq itu. Lama dia berdiam. Berfikir sama ada mahu membuka cerita ataupun tidak. Mereka ada dua puluh minit sebelum sekolah tamat.

“Awak…”

“Abang.” Aniq membetulkan panggilan Hana kepadanya.

“Eee… tak naklah. Saya geli nak panggil awak macam tu.”

“Cepat. Belajar panggil abang dengan nama tu. Ataupun, Cik Bento ada nama lain untuk tunang Cik Bento ni?”

Panggilan lain? Aku memang geli nak panggil dia abang. Nama apa yang sesuai untuk lelaki ni, huh? Hana meneliti wajah Aniq.

“Encik Aniq?”

“Encik? Abang tak nak panggilan tu. Lain.” Bertukar terus wajah Aniq bila Hana memanggilnya ‘Encik’.

“Dia panggil orang Cik Bento, boleh pula. Kalau Tuan Aniq, macam mana?”

Laju Aniq menggeleng kepala.

“Ala, tak naklah! Janganlah paksa saya. Kalau tak saya tak nak buka cerita.” Hana merajuk. Aniq pula yang mengeluh.

“You suka sangat merajuk, kan? I cuma nak tahu nama panggilan yang you panggil untuk I je. Salahkah?”

Dia dah mula dah. Serius betul muka dia ni. Kata Hana dalam hati.

“Mister Serious. Saya panggil awak dengan nama tulah.” Cadang Hana. Bulat mata Aniq bila mendengar nama panggilan tersebut.

“Tak ada nama lain ke? I tak nak. Panggil abang sajalah.”

“Belajar panggil abang dengan nama tu. Lepas kahwin nanti pun, Suha akan panggil dengan nama tu juga.” Kata Aniq lagi. Hana garu kepalanya yang berlapik itu. Boleh jadi gila dia melayan karenah tunangnya ini. Hana memandang ke tempat lain dan matanya terpaku pada satu susuk tubuh yang berdiri di sebelah kereta hitam di seberang jalan.

“Awak kenal dengan Cik Edine dah berapa lama?” Hana tukar topik. Lebih kepada cerita yang ingin dia beritahu kepada Aniq. Cuma dia mahu tahu dulu siapa perempuan itu sebenarnya.

“Kenapa tiba-tiba Suha nak tahu ni?” Tanya Aniq. Suaranya juga sudah bertukar nada.

“Saja. Supaya saya boleh lawan dia lain hari.” Jawab Hana selamba. Matanya masih melekat pada orang itu. Dari jauh mereka berdua berperang mata. Aniq pula memandang ke arah bangunan sekolah.

“Ingatkan jeles dekat dia.”

“Buat apa nak jeles dengan perempuan macam tu. Ish, awak ni asyik cakap saya jeles je. Tak naklah buka cerita kalau macam ni.” Hana menjuih bibir. Aniq ketawa melihat reaksi tunangnya.

“Okey, okey. Jangan buat muka macam tu. Abang tergoda tau.”

Hana jeling tajam. Lagi sekali Aniq ketawa.

“Bagi tahulah awak kenal dia dah berapa lama?” Hana balik ke topiknya.

“Abang dengan dia dah kenal lebih daripada tiga tahun. Abang jumpa dia masa dalam perjalanan pulang ke rumah. Masa tu hujan dan kereta dia rosak. Abang tumpangkan dia. Kami kenal macam tu saja.”

“Kenal macam tu je? Tak jatuh cinta? Cinta pandang pertama ke? Atau dia memang cinta awak sebelum ini?”

“Abang tak pernah anggap dia lebih daripada seorang kawan, Suha. Abang tak pernah suka pun dengan dia apatah lagi jatuh cinta. Kalau boleh abang memang tak nak jumpa dia lagi. Tapi, kami selalu saja terserempak. Abang terima je pelawaan dia nak jadi kawan abang.”

“Tapi, kenapa dia cakap yang awak ni bukan sekadar kawan bagi dia? Siap cakap awak tu boyfriend dia lagi.” Hana memandang Aniq.

“Jadi, Suha percaya cakap dia?” Aniq membalas pandangan gadis itu.

“Kedua-duanya saya percaya. Saya percaya apa yang awak cakap dan saya juga percaya dengan apa yang dia cakap. Tapi kepercayaan saya lebih kepada awak dan bukannya perempuan seksi tu,”

“Saya tahu Cik Edine saja nak mempergunakan awak sebab awak ni orang kaya. Tapi, masa kami gaduh depan bangunan syarikat awak, saya dapat rasa yang Cik Edine memang ada perasaan dengan awak. Mulanya saya fikir nak putus saja tunang supaya dia boleh bersama dengan awak. Memandangkan perangai dia teruk, so, tak jadi nak putus.” Hana tersengih. Suaranya tidak lagi kasar seperti tadi. Aniq tersenyum.

Hana memandang semula ke arah kereta hitam yang berparkir di seberang jalan.

“Tak ada?” Orang itu dan juga kereta hitam yang dia lihat tadi sudah hilang.

“Apa yang tak ada?” Tanya Aniq yang turut sama memandang ke arah tempat yang dipandang oleh tunangnya itu. Hana geleng kepala. Senyumannya lebar.

“Dia ni! Nak kena cubit ke?”

“Cubitlah kalau berani!” Hana mencabar. Dia tahu tunangnya tidak akan menyentuhnya.

“Tadi bukan main lembut lagi dia bersuara. Sekarang ni pakai suara tinggi pula. Suha tunggu saja lepas kita kahwin nanti.”

Hana telan liur. Dia hampir lupa akan hal itu.

“Aniq, pasal kahwin tu… bagi saya masa. Saya tak habis fikir lagi.” Hana bersuara lembut kembali. Aniq diam. Malas dia hendak menjawab alasan tunangnya itu. Hana menghela nafas berat. Masing-masing sudah diam. Hanya beberapa minit lagi loceng sekolah itu akan berbunyi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience