BAB 44

Romance Completed 25726

“AKU mahu kamu semua ikut rancangan aku. Buat seperti apa yang aku sudah arahkan kepada kamu berempat. Faham?!”

Keempat-empat lelaki itu mengangguk serentak. Mereka kemudian beredar dari bilik tersebut.


SEPERTI biasa selepas habis sekolah, Hana akan membawa anak buahnya singgah ke pasaraya. Selesai membeli barang-barang di sana, Hana singgah pula ke kedai runcit kerana terlupa membeli gula.

Sedang Hana mencari gula di belakang, Arissa ke sebelah mencari makanan ringan untuknya. Nasib mereka baik kerana kedai runcit yang mereka masuk tidak ramai pelanggannya dan memudahkan Hana mencari barang yang dia mahu.

Hana tiba-tiba terasa lain. Seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikannya. Sejak Edine mengugutnya di pasaraya tempoh hari, Hana jadi tidak keruan. Ada sahaja yang difikirkannya. Risau kalau perempuan itu betul-betul mengotakan janjinya.

Sebungkus gula sudah ada di tangannya. Dia terus mendapatkan Arissa yang berada di lorong sebelah. Baru sahaja dia mahu membuka langkah, mulutnya ditekup oleh tangan seseorang. Hana cuba melepaskan diri tapi tidak berjaya.

Hana kehabisan nafas. Tanpa berfikir panjang dia terus memijak kaki orang tersebut. Terlepas juga. Hana mengerling ke belakang. Seorang lelaki sedang mengadu kesakitan kerana kakinya dipijak kuat oleh Hana dan seorang lelaki lagi sedang tersenyum sinis kepadanya. Hana cuak. Segera dia mendapatkan Arissa. Gula diletakkan di rak makanan yang berdekatan.

“Aris…” Hana tidak jadi menjerit kerana lelaki berbadan sasa itu memeluknya dari belakang. Mulutnya di tekup dengan sehelai sapu tangan. Hana meronta-ronta minta untuk dilepaskan. Saat itu juga dia terhidu satu bau yang tidak enak pada sapu tangan tersebut.

“Aunty Ivy!” Terkejut Arissa apabila melihat lelaki menutup separuh wajah auntynya. Tubuhnya menggigil ketakutan melihat situasi tersebut. Terkapai-kapai auntynya mencari nafas.

“Arissa lari!” Dalam keadaan begitu Hana sempat menyuruh anak buahnya melarikan diri. Jeritan mereka didengari oleh pemilik kedai tersebut. Segera pemilik kedai itu pergi melihatnya.

“Hoi! Lepaskan perempuan tu!” Pemilik kedai itu dengan beraninya mengeluarkan kata kepada dua orang lelaki tersebut.

“Kau jangan dekat! Kalau tidak aku bunuh perempuan ni!” Lelaki itu memberi amaran. Hana masih mahu cuba untuk melepaskan diri. Namun, semakin lama semakin lemah tubuhnya dirasakan. Pelukan lelaki itu terlalu kuat. Begitu juga tangan sebelah lelaki itu yang menekup mulutnya. Arissa berlari menuju ke arah pemilik kedai runcit tersebut.

“Pak cik, tolong aunty saya, pak cik.” Tangisannya mula kedengaran. Pemilik kedai itu cuba untuk menenangkan Arissa.

“Kalau korang tak lepaskan perempuan tu, aku telefon polis!” Pemilik kedai itu memberi amaran. Dua lelaki itu mentertawakannya. Lelaki itu mengacukan pisau yang tajam ke arah pemilik kedai tersebut sementara yang satu lagi menarik Hana keluar dari kedai tersebut.

"Kalau berani cubalah telefon polis. Sekarang juga aku bunuh perempuan ni." Lelaki yang memegang pisau itu mencabarnya. Berkali-kali juga pemilik kedai runcit itu menelan liur. Tangannya pula teragak-agak mahu mengambil telefonnya yang ada di atas kaunter pembayaran.

Kedua-dua lelaki itu mentertawakannya. Ternyata pemilik kedai runcit itu penakut orangnya. Arissa yang sedang menangis teresak-esak itu memeluk tubuh pemilik kedai runcit tersebut. Mereka berdua sama-sama dalam ketakutan.

Hana sudah begitu lemah. Nafasnya semakin perlahan. Matanya semakin berat. Beberapa saat kemudian, Hana terus pengsan. Tangisan Arissa semakin kuat apabila melihat auntynya pengsan. Pemilik kedai itu cuba menenangkan Arissa. Dia juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana lelaki di depannya ini sedang memegang benda yang sangat tajam.

Tiba-tiba lelaki yang menekup mulut Hana itu dipukul dari arah belakang. Begitu juga dengan teman subahatnya. Tubuh Hana sudah jatuh ke lantai. Polis tiba tepat waktunya. Mereka berdua berjaya diberkas di tempat kejadian.

“Suha… Suha…”

Tiada balasan. Hana sudah tidak sedarkan diri. Arissa laju mendapatkan auntynya yang terbaring lemah di atas lantai. Salah seorang daripada anggota polis itu datang meminta keterangan pemilik kedai runcit tersebut. Kelihatan juga beberapa orang sedang berkumpul di luar kedai runcit melihat situasi tersebut.

“Uncle Aniq, kenapa aunty tak bangun?” Tanya Arissa takut.

“Aunty Ivy pengsan. Arissa jangan takut. Kita bawa aunty Ivy pergi hospital.” Aniq mengangkat tubuh Hana lalu dibawa masuk ke dalam keretanya. Yana yang hanya duduk di dalam kereta itu laju saja membantu unclenya membuka pintu kereta. Arissa disuruh duduk di bahagian depan. Beg tangan auntynya diletakkan di atas pahanya.

“Arissa jangan nangis, ya. Nanti, Yana nangis juga.” Yana memujuk temannya itu.

Sebelum Aniq meloloskan diri ke dalam perut keretanya, dia mengambil barang-barang penting yang ada di dalam kereta milik kakak Hana terlebih dulu dan terus menguncinya. Dia juga sudah menghubungi pembantunya agar ke sini untuk mengambil kereta tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience