BAB 33

Romance Completed 25726

LINA mundar-mandir di ruang tamu. Semua orang turut sama berkumpul di ruangan tersebut. Aniq pula dari tadi tidak berhenti-henti membuat panggilan dan satu panggilan pun gagal dijawab oleh Hana.

“Satu hari dia pergi dengan kereta saya. Tapi dia langsung tak bagi tahu nak ke mana.” Kata Lina geram.

“Sabar Lina, jangan marah sangat.” Rafidah menenangkan Lina.

“Mitsuha, Hana langsung tak bagi tahu apa-apa dengan kamu ke yang dia nak pergi mana?” Soal Puan Hanis pada teman baik Hana itu. Mitsuha perlahan-lahan geleng kepala. Dia juga ada menelefon temannya itu namun langsung tidak dijawab.

“Aniq, dapat?” Risau Datin Ruhaina bila melihat anaknya yang sudah tidak keruan itu.

“Tak dapat. Mama, Aniq nak keluar sekejap cari dia.” Tanpa menunggu balasan mamanya mahupun yang lain Aniq terus melangkah keluar daripada rumah itu. Dia tahu Hana marahkan dia.

“Kita berdoa sajalah agar dia selamat. Mudah-mudahan tiada apa-apa yang tidak baik berlaku dengan anak kita tu.” Encik Syukri cuba menenangkan semua orang yang ada di ruangan tersebut.


SUDAH dua hari Hana menginap di salah sebuah hotel. Dia tidak mahu sesiapa mengganggunya. Telefon yang asyik berdering di atas tilam itu hanya dibiarkan begitu sahaja. Fikirannya masih lagi bercelaru dengan apa yang berlaku pada dirinya itu. Cerita Faiz sudah di tolak ke tepi. Tiada guna lelaki itu di dalam fikirannya lagi.

Kepalanya sekarang ligat memikirkan tentang tunangnya. Aniq memaksanya untuk mempercepatkan perkahwinan mereka. Masalahnya dia tidak cinta dengan lelaki itu. Cincin yang tersarung di jari manisnya dipandang lama. Rasanya, dia perlu berjumpa dengan Datin Ruhaina secara peribadi.

Selesai solat subuh, Hana terus bersiap untuk keluar daripada hotel tersebut. Hari ini dia sudah membuat keputusan untuk berjumpa dengan Datin Ruhaina. Kereta milik kakaknya masih lagi diguna pakai olehnya. Dia tidak kisah kalau kakaknya marah jika dia pulang ke rumah nanti. Hana meluncur laju meninggalkan bangunan hotel tersebut.


“DATIN,” Panggil Pak Wan dengan suara yang perlahan. Datin Ruhaina yang baru sahaja menjejaki anak tangga yang terakhir terus mendekati Pak Wan.

“Ada apa Pak Wan?” Tanya Datin Ruhaina.

“Cik Ivy ada di luar. Dia nak berjumpa dengan Datin secara peribadi katanya.” Pak Wan menyampaikan pesanan Hana kepada majikannya. Bulat mata Datin Ruhaina sebaik sahaja mendengar nama bakal menantunya itu. Mana tidaknya sudah berapa hari tiada khabar dari Hana. Ahli keluarga Hana gagal menghubunginya begitu juga dengan Aniq dan teman baik Hana. Mereka semua amat risau tentang keselamatan anak dara itu.

“Secara peribadi? Dia tak nak jumpa dengan Aniq?”

Pak Wan geleng kepala.

“Kenapa Pak Wan tak suruh saja dia masuk?”

“Dia tak nak, Datin.”

“Baiklah. Pak Wan boleh pergi.”

Datin Ruhaina mempercepatkan langkahnya sebaik sahaja melihat kelibat Hana yang sedang menunggu di luar kawasan rumahnya.

“Hana, ke mana sahaja kamu menghilang ni. Mama dengan yang lain risau tau tak!” Hana senyum tawar lalu menyalami Datin Ruhaina. Sebaik sahaja Hana melepaskan tangannya, Datin Ruhaina laju memeluk gadis itu. Hana terkesima.

“Ma… mama kenapa ni?” Hana terkejut dengan tindakan Datin Ruhaina itu. Hana mengusap lembut bahagian belakang tubuh wanita itu.

“Mama dah la. Hana dah ada dekat depan mama ni.” Hana meleraikan pelukan mereka. Datin Ruhaina mengusap lembut pipi gebu milik Hana itu.

“Mama, Hana minta maaf sebab menghilangkan diri macam tu je. Hana sebenarnya nak tenangkan diri Hana ni. Semua yang berlaku terlalu cepat bagi Hana.” Hana menunduk.

“Kenapa buat kami macam ni? Risau tau tak. Panggilan kamu tak jawab. Mesej tak balas. Ahli keluarga Hana semua risaukan Hana tahu tak? Arissa dengan Yana tak henti-henti cari Hana. Aniq lagilah. Dia makan pun tak. Risau sangat dengan keselamatan kamu. Lain kali jangan buat macam ni lagi. Kalau nak pergi seorang diri pun kena bagi tahu kami dulu.” Marah Datin Ruhaina. Hana hanya pasang telinga sahaja mendengar leteran wanita itu.

“Saya tahu salah saya, mama. Tapi, sekarang ni saya perlukan ruang,”

“Mama…” Hana memandang Datin Ruhaina dengan satu harapan.

“Mama, boleh tak kalau Hana bawa mama ke tempat lain? Ada banyak benda yang Hana nak cakap dengan mama.” Lembut dan tenang sahaja Hana meminta bakal mentuanya itu.


ANIQ memarkirkan keretanya lalu mematikan enjin kereta. Lantas, dia keluar mendapatkan Pak Wan yang berada di pondok pengawal.

“Pak Wan, itu bukan kereta kak Lina ke?” Aniq meminta kepastian. Terkejut juga Pak Wan dengan sergahan dari majikannya itu.

“Ya, tapi Cik Ivy yang bawa.”

Aniq meliaukan pandangannya mencari kelibat Hana. Sungguh dia rindukan gadis itu.

“Maaf, tuan. Kereta dia memang ada tapi orangnya tak ada.”

“Tak ada?! Pergi mana?” Riak risau dipamerkan.

“Tenang, tuan. Cik Ivy selamat. Dia keluar dengan mama tuan. Tapi, saya tak tahu pula ke mana mereka berdua pergi.” Pak Wan laju memberitahunya.

“Naik apa?” Aniq cuba bertenang.

“Kereta mama tuan. Pian yang jadi pemandu mereka.” Beritahu pengawal itu lagi. Laju Aniq mengeluarkan telefonnya namun sempat dihalang oleh Pak Wan.

“Kenapa pula ni Pak Wan?”

“Datin Ruhaina pesan jangan ganggu. Dia tak nak tuan telefon mereka.”

Aniq meramas rambut belakangnya. Nafas berat dihela. Apa agaknya yang mereka berdua buat sekarang? Aniq harap agar mamanya tidak memarahi tunangnya itu.


“MAMA bawa Hana pergi mana ni?” Hana melihat sekeliling kawasan dari dalam kereta yang dipandu oleh pemandu Datin Ruhaina. Kereta kakaknya ditinggalkan sahaja di perkarangan rumah Datin Ruhaina.

“Kejap lagi kita akan sampai. Nanti, Hana tahulah.” Ujar Datin Ruhaina dengan senyuman yang diukir.

Masuk sahaja kawasan tersebut, Datin Ruhaina meminta pemandunya berhenti. Enjin kereta dimatikan. Hana melangkah keluar daripada perut kereta tersebut. Datin Ruhaina sudah ke depan untuk membuka kunci pintu rumah besar itu.

“Siapa punya rumah ni, mama?” Terpegun Hana melihat rumah besar itu. Datin Ruhaina senyum dan kemudian membawa bakal menantunya itu masuk ke dalam.

Hana tergamam. Terbeliak melihat isi di dalam rumah itu. Sangat cantik! Elegan! Konsep moden yang digunakan dalam rumah tersebut sangat menambat hati Hana. Konsepnya sama seperti konsep hiasan dalaman yang dia selalu lihat di televisyen dalam program rancangan barat.

“Ini vila arwah ayah Aniq. Tapi, sekarang dah jadi milik Aniq sepenuhnya. Hiasan rumah semua ni idea Aniq. Dia selalu datang sini setiap hujung bulan untuk bersihkan vila ni.” Beritahu Datin Ruhaina kemudian membawa Hana ke bahagian dapur.

“Cantiknya dapur ni. Serba putih nampak luas.” Puji Hana. Datin Ruhaina mengukir senyuman lalu memeriksa barang-barang kering yang disimpan di atas almari dapur. Semuanya masih elok diguna pakai lagi. Datin Ruhaina kemudian membawa Hana keluar dari situ dan menunjukkan bahagian lain dalam rumah. Hampir semua tempat Datin Ruhaina tunjukkan kepada bakal menantunya itu dan Hana pula tidak putus-putus memuji hiasan dalaman tersebut.

Setengah jam mereka berdua berlegar-legar di dalam vila dua tingkat itu dan akhirnya Datin Ruhaina membawa Hana duduk di halaman vila. Sempat Hana membuat teh panas untuk mereka berdua.

“Mama,” Hana buka mulut setelah beberapa minit mereka berdua mendiamkan diri. Masing-masing dengan perasaan sendiri.

“Kalau Hana tanya sesuatu boleh?”

Datin Ruhaina memandangnya.

“Hana nak tanya apa?”

Hana menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata.

“Mama jujur dengan Hana, ya?”

Datin Ruhaina sekadar mengangguk sambil meneguk perlahan teh panas itu.

“Tanyalah apa yang Hana nak tanya dekat mama.”

“Mama suka Hana?”

Berkerut dahi Datin Ruhaina mendengar soalan tersebut. “Kenapa Hana tanya soalan pelik macam tu. Mestilah mama suka Hana. Hana sesuai sangat dengan Aniq.”

“Hana cuma pelik dan baru terfikir. Biasanya, orang kaya tak suka dengan orang bawahan macam keluarga saya ni. Tapi, mama lain pula. Saya tak sangka mama akan terima saya.”

Terkejut Datin Ruhaina mendengar bicara bakal menantunya itu. Lama dia mendiamkan diri dan kemudian menghela nafas berat.

“Maafkan mama, Hana.”

“Untuk apa?” Tanya Hana. Datin Ruhaina memandang dengan senyuman nipis di wajahnya.

“Mama salah. Mama tersilap menilai Hana. Mulanya, mama tak setuju dengan keputusan Aniq yang mahu menjadikan Hana sebagai sebahagian daripada keluarga mama. Macam-macam mama fikir tentang orang bawahan seperti Hana yang tidak setaraf dengan keluarga mama,”

Hana terdiam. Tidak mahu mencelah. Hanya mahu mendengar sahaja.

“Tapi, Aniq tak pernah kecewakan mama. Jadi, mama setuju dengan pilihan dia. Sebab itu mama dengan yang lain ikut Aniq ke kampung dan kenal Hana dengan keluarga Hana. Mama tak sangka pula keluarga Hana jauh lebih baik dari apa yang mama sangkakan sebelum ini.” Wanita itu ketawa kecil.

“Ternyata pilihan Aniq itu betul. Setiap keputusan yang dia buat tidak pernah mengecewakan mama. Hana…” Datin Ruhaina mengusap lembut pipi Hana.

“Aniq ikhlas mahu Hana jadi isteri dia.”

Hana tertunduk. Hatinya masih berat untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya.

“Hana rasa Hana tak layak untuk dia, mama. Kami seperti langit dengan bumi. Kalau Aniq pilih Cik Edine tu mungkin…” Tidak sempat Hana menghabiskan ayatnya Datin Ruhaina memotong laju.

“Mama tak sukalah perempuan tak cukup kain macam dia tu. Muka tak tahu malu. Selalu datang rumah dengan pakaian yang tidak sopan.” Datin Ruhaina merengus. Hana tercengang.

“Tapi, Cik Edine kan anak orang kaya?”

“Kayalah sangat! Latar belakang dia pun mama tak tahu. Mama pun tak tahu macam manalah Aniq boleh berkawan dengan perempuan yang tak cukup kain macam dia. Mama…” Datin Ruhaina diam. Dia baru sedar akan topik yang mereka bualkan.

“Hana kenal dengan Edine tu ke?!”

Hana ketawa kecil melihat Datin Ruhaina tercengang.

“Kenal begitu saja. First time jumpa dia masa dekat Sunway Pyramid. Masa tu juga pertemuan pertama Hana dengan Aniq. Lepas tu, Hana jumpa dia dekat depan bangunan syarikat Iris Star Holding. Itupun, Cik Edine yang tegur, marah-marah dekat Hana.” Beritahu Hana.

“First time jumpa dekat Sunway Pyramid?”

Hana angguk. Apa yang Aniq bagi tahu sama dengan apa yang Hana beritahu kepadanya. Tapi, tentang Hana dengan perempuan yang tidak cukup kain itu, tidak pula anak lelakinya ceritakan kepadanya.

“Boleh mama tahu apa yang perempuan tu buat dengan Aniq masa mula-mula Hana dengan dia berjumpa?”

“Aniq marah dia. Lepas tu, Cik Edine tuduh yang bukan-bukan dan Hana masuk campur. Hana geram dengan perempuan tu, mama.” Tanpa segan silunya, Hana membuka cerita.

Datin Ruhaina ketawa kecil. Semakin dia mengenali Hana, semakin dia suka dengan gadis tersebut.

“Jadi, pertemuan yang seterusnya macam mana pula?” Tanya Datin Ruhaina berminat ingin tahu.

“Pertemuan seterusnya…” Hana meneruskan ceritanya. Datin Ruhaina setia mendengar. Sekali sekala terdengar juga gelak ketawa besar mereka berdua. Kelekaan bercerita dan bergurau senda membuatkan mereka berdua sudah lupa untuk pulang ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience