BAB 19

Romance Completed 25726

HANA diam sahaja di dalam kereta sementara Arissa dan Yana membuat bising antara satu sama lain. Aniq saja yang melayan karenah dua orang budak itu. Hana membuang pandang ke luar tingkap kereta. Fikirannya mula menerawang memikirkan keadaan Faiz di negara sana. Tidakkah dia rindu dengan aku? Kenapa dia langsung tak hubungi aku? Aduhai Hana apa dah jadi dengan kau ni! Hana menggigit bibirnya sendiri. Geram dengan perasaan sendiri.

“Diam sambil gigit bibir tu dah kenapa?” Hana tersentak. Tidak sedar kelakuannya sudah dilihat oleh pemandu sebelah. Hana menjeling. Malas hendak menjawab soalan lelaki itu.

“Say something.” Aniq mengerling Hana yang masih mendiamkan diri. Dia tahu tunangnya itu masih marahkan pasal balang kaca tu. Hana mencebik.

“Aunty Ivy. Cakaplah sesuatu. Dari tadi aunty diam saja.” Arissa menggoncangkan bahu auntynya. Hendak dimarah tapi Arissa itu masih kecil. Tahan sajalah dengan perangai mereka berdua.

“Aunty nyanyilah. Buat lawak ke… cerita…” Yana menolak Arissa ke tepi. Terjengul kepala Yana ke depan. Yana memandang aunty Arissa dan juga unclenya dengan senyuman misteri.

“Ceritalah dekat kita orang macam mana uncle dengan aunty boleh berjumpa.” Teruja Yana ingin tahu. Arissa menolak sedikit Yana ke tepi agar dia juga boleh mendengar cerita mereka dengan lebih jelas. Aniq memandang sekilas dua orang budak itu lalu mengalihkan pandangan pada Hana. Matanya kembali fokus memandu.

“Tanya aunty korang. Dia yang mulakan dulu.” Kata Aniq.

“Cerita sajalah dekat Arissa dengan Yana.” Aniq mengenyitkan mata kepada Hana. Berderau darah Hana bila Aniq menyuruhnya membuka balik cerita tentang kejadian itu. Arissa dengan Yana asyik menggoncang bahu Hana agar dia membuka cerita.

“Kalau ada masa nanti aunty ceritalah. Aunty tak ada mood sekarang ni.” Hana bagi alasan. Kedua orang mereka kecewa dengan Hana. Aniq tidak memberi reaksi. Dia meneruskan pemanduannya.

SEJAM lebih Aniq membawa kereta dan akhirnya tiba di jeti Kuala Kedah. Selesai menguruskan tiket Aniq terus membawa mereka berempat naik ke feri. Keretanya ditinggalkan di sana. Hana yang sudah dapat mengagak tempat destinasi pelancongan mereka hanya mendiamkan diri. Dia tidak banyak bercakap mahupun bertanya.

Sepanjang dia berada di dalam feri, Hana langsung tidak nampak batang hidung lelaki itu. Ke mana agaknya lelaki itu menghilangkan diri? Arissa dan Yana ada bersama dengannya. Hana kemudian membawa dua orang budak itu naik ke atas menikmati suasana di luar. Arissa dan juga Yana begitu teruja sekali lalu mereka bertiga naik ke atas. Aniq dilupakan sekejap. Hana tidak mahu mengusutkan kepalanya memikirkan keberadaan lelaki itu.

Angin kuat meniup selendang yang dipakai oleh Hana. Dia menahan selendangnya dengan kedua-dua tangannya. Sedang asyik melayan perasaan, Arissa dan Yana datang mengusik. Hana tersenyum dan sekejap ketawa dengan telatah mereka berdua. Arissa kemudian menarik Yana agar mengikutinya ke sebelah sana. Sempat Hana berpesan agar berhati-hati dan jangan pergi jauh darinya. Mereka berdua mengangguk faham lalu berlari ke arah sebelah.

Telefon dicapai. Hana mengeluh. Hendak menelefon lelaki itu tapi dia berada di luar negara pula. Hatinya teringin sangat hendak tahu khabar Faiz yang berada di sana. Rindunya semakin bertambah sejak lelaki itu menerbangkan diri ke Australia.

Apa yang terjadi pada dirinya juga dia tidak tahu. Dia rindu dengan lelaki itu. Tapi, rindu yang macam mana? Rindukan sebagai kawan atau sebaliknya?

“Jauh termenung. Ingat siapa?” Tegur satu suara yang amat dikenalinya. Hana tidak memandangnya sebaliknya memandang ke arah Arissa dan juga Yana yang sedang menikmati pemandangan di sebelah sana.

“None of your business.” Kata Hana.

“I’m your fiancé and you can’t lie to me.” Kata Aniq tenang. Hana menjegilkan matanya lalu melangkah pergi.

“Faiz Dylan. Awak fikir tentang lelaki itu, kan?” Tebak Aniq membuatkan langkah Hana terhenti. Laju Hana berpaling ke belakang.

“Macam mana awak kenal dia?!” Hana maju ke depan semula. Pandai pula mamat ni baca fikiran aku.

“From your family. Sebelum ni Faiz selalu jumpa awak dengan keluarga awak, kan? Dan dia juga lelaki yang mengacau awak tempoh hari, kan?” Serius saja dia bercakap. Begitu juga dengan air mukanya. Hana senyum sinis.

“Mulanya saya memang tak kenal dia sehingga dia muncul balik dekat kafe uncle Han. Kami kawan lama. Suka hati saya la nak rindu dia atau tak.”

“Jangan pernah rindukan dia dan jangan jumpa dia lagi.”

Hana mencebik. “Kenapa pula?”

“Because I’m your fiance. Cik Bento boleh rindu dengan saya saja dan hanya boleh jumpa dengan saya seorang saja.”

Geli pula anak telinga Hana mendengar ayatnya.

“Belum kahwin dah pandai nak kongkong orang.” Hana memerli Aniq.

“Suka hati sayalah nak jumpa dia atau tak. Awak nak masuk campur dalam hidup saya kenapa, hah?!” Marah Hana.

“Awak tahu kan status awak apa dengan saya sekarang.” Aniq merenung tajam Hana. Hana membalas pandangan tajam lelaki itu.

“Tak tahu dan saya tak nak ambil tahu. Awak yang beria-ia nak saya jadi tunang awak. Itu hal awak dan saya tak nak masuk campur.”

Aniq senyum sinis.

“Siapa yang mulakan dulu, huh?” Aniq merapati tubuh gadis itu. Hana jadi tidak keruan. Diam tak terkata.

“Takkan tergantung macam tu saja, kan. So, make it real. Saya tak suka kalau benda tu tergantung macam tu sahaja.”

Hana cuak. Perangai lelaki ni dah berubah pula.

“Uncle dengan aunty buat apa?” Tersentak mereka berdua dengan suara Yana. Arissa juga turut sama memandang mereka berdua dengan wajah yang pelik. Hana menjarakkan tubuhnya dari Aniq.

“Jom, siapa nak makan bento?! Aunty dah lapar.” Arissa dan Yana masing-masing menjerit kesukaan. Lalu Hana membawa mereka berdua masuk ke dalam. Lebih tepat mahu melarikan diri daripada lelaki itu.


TIBA di jeti Pulau Langkawi, Aniq terus menyewa kereta dan membawa mereka ke tempat penginapan. Kereta yang disewa oleh Aniq bukan dari jenis yang murah. Sama jenis dengan keretanya yang ditinggalkan di Kuala Kedah.

Sepanjang perjalanan, Hana hanya membuang pandang ke luar tingkap sambil menikmati pemandangan yang cantik di pulau tersebut. Tiada mood dia hendak melayan karenah lelaki itu. Arissa dan Yana yang duduk di belakang masing-masing mendendangkan lagu kegembiraan. Aniq sesekali mengerling ke arah mereka bertiga.

LANGKAWI LAGOON RESORT merupakan tempat penginapan yang Aniq pilih untuk mereka berempat menginap selama beberapa hari. Turun sahaja dari kereta seorang pekerja dari tempat penginapan datang menolong mereka untuk mengangkat beg-beg pakaian. Aniq terus melangkah ke lobi untuk mendaftar masuk.

Hana tidak habis-habis memerhatikan kawasan penginapan yang amat luas itu. Begitu juga dengan Arissa dan juga Yana. Nampak sangat mereka teruja dengan tempat tersebut. Bermacam-macam jenis rumah, bilik yang ada di situ. Cuma, harga sahaja yang membezakan setiap jenis bilik penginapan. Hana kemudian membawa Arissa dan Yana ke tempat Aniq.

“Uncle, kita nak tinggal dekat mana?” Tanya Yana. Aniq senyum.

“Uncle dah pilih. Kita akan tinggal dekat kawasan Ombak Villa.” Beritahu Aniq kemudian matanya beralih pada Hana.

“Cik Bento, you booking sendiri, okey. You kata tak nak I masuk campur dalam urusan you, kan. So, automatik duit yang mama beri ni I punya dan tak ada kaitan dengan you.” Kata-kata Aniq membuatkan dia bengang. Hana masih ingat dengan kata-kata Datin Ruhaina yang mahu tanggung perbelanjaan percutian mereka berempat. Tapi, masalahnya bukan dia yang memegang duit belanja tersebut tapi Aniq.

“Aniq, awak tak boleh buat saya macam ni.” Hana mengetap bibir. Mana dia nak pergi? Dia bukannya kaya nak sewa bilik penginapan dekat tempat mewah macam ni.

“Siapa kata tak boleh, huh? Cik Bento boleh je geram dengan saya. Kenapa saya tak boleh geram dengan Cik Bento pula? Kalau Cik Bento nak menginap sini, Cik Bento booking sendiri.” Aniq terus meninggalkan Hana. Melihat Arissa yang sudah jauh ke depan, Hana memanggil semula anak buahnya itu. Arissa berlari-lari anak ke arahnya.

“Arissa biarkan Yana ikut uncle dia.” Arissa memuncungkan mulutnya. Begitu juga dengan Yana. Aniq pula buat tidak tahu lalu membawa anak buahnya pergi ke tempat penginapan mereka. Hilang daripada pandangan, Hana terus keluar daripada kawasan tersebut dengan beg pakaian mereka berdua.

“Cik tak menginap sini ke?” Tanya salah seorang pekerja yang berada di kaunter tersebut. Hana senyum lalu menggeleng kepala.

SUDAH setengah jam Aniq dan Yana di dalam bilik penginapannya. Tertanya-tanya juga dia dengan keadaan Hana dan juga Arissa sama ada mereka masih berada di lobi ataupun sudah berjaya mendapatkan bilik penginapan mereka.

Aniq senyum sendiri kerana dapat mengenakan gadis itu. Dia tahu Hana pasti akan merajuk dan marah kepadanya. Tapi, Aniq mahu tengok sejauh mana tunangnya bertahan dan dia mahu Hana memujuknya semula. Gadis itu tak akan dapat buat apa-apa di tempat seperti ini.

Bunyi bising di bilik sebelah membuatkan Aniq terbangun daripada tidurnya. Yana dilihatnya masih nyenyak tidur di sebelahnya. Aniq melihat jam di tangannya. Jam menunjukkan tepat pukul 5.00 petang. Segera dia membersihkan diri lalu mendirikan solat.

Selesai solat, Aniq terus mengambil telefonnya. Tiada sebarang panggilan daripada Hana. Aniq mula dipagut risau. Bunyi riuh rendah di bilik sebelah membuatkan dia laju melangkah keluar untuk melihat. Aniq tergamam bila melihat keluarga lain yang menginap di bilik sebelah. Dia menjangkakan bahawa Hana dan Arissa yang akan menginap di situ. Tapi, sangkaannya meleset. Aniq cuba berfikiran positif. Mungkin Hana menginap di bilik lain.

Hatinya mula tidak tenang. Gagal mengawal perasaan. Pantas dia menelefon Hana. Beberapa kali dia cuba menelefon tunangnya namun semua panggilan gagal.

“Uncle, kenapa?” Tanya Yana bila melihat keadaan unclenya yang agak runsing. Aniq cuba bertenang.

“Jom, ikut uncle.” Aniq mengunci bilik penginapan mereka dan menuju ke lobi semula. Mana tahu Hana dan Arissa ada di sana. Sampai di lobi, Aniq meliau-liau mencari kelibat Hana dan juga Arissa. Dia juga ada bertanya beberapa pekerja yang ada di situ sekiranya mereka ada ternampak gadis yang bersamanya tengah hari tadi.

“Perempuan yang ikut tuan tengah hari tadi tu, isteri tuan ke? Perempuan yang memakai selendang biru muda dan ada budak perempuan bersamanya.” Pekerja lelaki yang bernama Daniel itu meminta kepastian kerana dia masih ingat lagi akan pelanggannya yang satu ini. Lagipun, dia yang tolong daftarkan bilik penginapan mereka tengah hari tadi.

“Ya, dia isteri saya. Boleh saya tahu isteri saya ke mana? Bilik penginapan dia dekat mana?” Tanya Aniq acuh tak acuh. Yana yang ada di sampingnya hanya mendiamkan diri.

“Maaf, tuan. Masa tuan pergi tengah hari tadi, isteri dengan anak perempuan tuan sudah keluar daripada penginapan ni. Sebab kasihankan dia saya minta pemandu resort ni tolong hantarkan isteri tuan.” Ternganga Aniq mendengarnya. Tidak sangka Hana betul-betul akan tinggalkan kawasan penginapan mereka.

“Boleh saya tahu pemandu yang mana satu yang hantar isteri saya tu?”

Kebetulan seorang pekerja lelaki lalu dan nasib Aniq baik. Daniel memanggil pemandu resort itu dan meminta memberitahunya ke mana pemandu itu membawa perempuan dengan anak perempuannya itu. Pemandu itu teragak-agak hendak memberitahu. Aniq memaksanya dan akhirnya dia tahu juga. Lantas Aniq membawa Yana ke keretanya lalu bertolak ke tempat yang diberitahu oleh pemandu resort itu.


HANA dan Arissa berjalan-jalan di sekitar Pantai Cenang menikmati suasana petang yang indah dan mendamaikan. Riuh-rendah suara pelancong dan orang-orang tempatan tidak dihiraukannya. Hana melihat anak buahnya yang sedang mengutip siput-siput kecil. Hana tersenyum. Hari ini dia bebas. Tidak akan bertembung dengan lelaki itu lagi. Biarlah lelaki itu dengan halnya sendiri dan dia tidak sesekali akan masuk campur.

Sewaktu melayan perasaan sendiri, Faiz kembali bertandang ke dalam fikirannya. Hana mengeluh untuk sekian kalinya. Pandangan dihalakan ke arah laut yang terbentang luas. Dia menutup seketika matanya membayangkan Faiz ada di depannya. Rindu sungguh dia dengan lelaki itu.

Tertanya-tanya Hana jika lelaki itu merinduinya atau tidak. Ingin sekali dia menghubungi Faiz. Dia tahu bil telefon akan melambung tinggi jika dia menelefon lelaki itu. Tapi, Hana tidak kisah. Cukuplah dia dapat mendengar suara lelaki itu atau bercakap sekejap dengannya.

Hana membuka matanya kembali, dia hampir terjatuh ke belakang. Namun sempat di sambut oleh tangan sasa Aniq. Cepat-cepat Hana membetulkan posisinya lalu menjarakkan dirinya dengan lelaki itu. Hilang terus moodnya untuk menikmati pemandangan petang itu.

Bila aku nak rindu Faiz mesti dia ni datang mengacau. Tak senang langsung!

“Mana awak tahu saya dekat sini?!” Geram Hana dengan lelaki di depannya ini. Tahu saja mana dia pergi. Aniq tersenyum sinis.

“Tahu dari salah seorang pekerja resort.” Balasnya jujur. Hana mencebik geram. Laju kakinya menghala ke arah Arissa yang lagi sibuk bermain dengan Yana. Dia tidak sampai hati sebenarnya mahu pisahkan Arissa dengan Yana tapi lelaki itu membuatkan dia tidak senang hati. Ada sahaja perangai lelaki itu yang menyakitkan hatinya.

“Cik Bento marah saya ke?”

“Memang saya marah! Dari awal awak sampai kampung saya sampai sekarang ni saya masih marah dan tak puas hati dengan awak.” Hana jeling tajam. Arissa dan Yana masih rancak bermain pasir.

“Suha janganlah macam tu. Jom pulang resort. Tadi tu saya main-main je.” Aniq memujuknya.

“Arissa, jom balik!” Malas dia hendak layan pujukan Aniq. Hana menarik tangan anak buahnya. Tercengang kedua-dua budak perempuan itu.

“Tapi, Arissa nak main dengan Yana lagi.” Rungut Arissa yang cuba melepaskan pegangan dari tangan auntynya.

“Kalau Arissa tak nak ikut aunty, biar aunty balik sendiri.” Hana terus meninggalkan mereka bertiga. Arissa yang masih terpinga-pinga terus mengejar Hana yang sudah jauh ke depan.

“Uncle, kenapa dengan aunty Ivy? Kenapa dia marah?” Tanya Yana. Aniq hanya membalas dengan senyuman tawar.


BUNYI mesej masuk langsung tidak diendahkannya. Hana hanya membiarkan sahaja telefonnya berbunyi di atas tilam. Dia mengambil tuala lalu masuk ke dalam bilik mandi. Sempat Hana memesan Arissa yang sibuk bermain game di tab jenama Samsung agar jangan keluar dari bilik ini selagi dia tidak siap mandi. Arissa mengangguk faham.

Bunyi mesej dan panggilan yang tidak henti-henti itu membuatkan Arissa geram. Dia mematikan tabnya lalu mengambil telefon yang dibiarkan di atas tilam itu. Arissa terus menjawab panggilan tanpa memandang siapa pemanggilnya. Arissa tersenyum lebar. Rupanya daripada uncle Yana.

“Arissa mana aunty Ivy? Kenapa dia tak jawab panggilan uncle?” Tanya Aniq di hujung talian.

“Aunty dalam bilik mandi. Dia tengah mandi.” Selamba sahaja Arissa menjawab membuatkan Aniq berdeham beberapa kali.

“Kenapa uncle telefon?” Giliran Arissa pula bertanya.

“Uncle ada dekat bawah dengan Yana. Nanti, suruh aunty bawa Arissa turun sekali, ya. Kita pergi makan.” Ajak Aniq.

“Okey.” Jawab Arissa sambil mengangguk.


HANA membuat muka sebalnya. Terpaksa akur dengan seorang budak. Mahu sahaja dia mencubit pipi gebu anak buahnya itu. Tapi, kasihan pula dia. Arissa sibuk memaksanya ikut sama makan dengan Yana dan juga lelaki itu. Macam mana dia hendak tenangkan fikiran kalau hari-hari lelaki itu mengacaunya.

Istanbul restaurant café menjadi pilihan Aniq untuk makan malam mereka berempat. Aniq mengerling Hana yang menayangkan wajah tidak puas hatinya. Arissa dan Yana seperti biasa akan teruja bila dibawa ke tempat yang mereka belum pernah pergi.

“Jom,”

“Tak nak! Saya tak ada duit nak bayar nanti.” Hana mula buat perangai tidak puas hatinya. Dia membelakangi Aniq. Tangannya sudah menarik tangan Arissa.

“Siapa kata Cik Bento bayar. Saya belanjalah.”

“Belanjalah sangat!” Hana memerlinya.

“Sekali lepas makan nanti dia pula suruh bayar makanan masing-masing. Ish! Tak naklah makan dekat sini. Arissa, jom ikut aunty makan tempat lain.” Ujar Hana geram. Mentang-mentang dia ada banyak duit, terus nak buli aku! Bentak Hana dalam hati.

“Suha…”

“Hana!” Hana membetulkan namanya.

“No. I tak akan panggil you dengan nama tu. Sama ada you suka atau tidak I tetap akan panggil you dengan nama Suha ataupun Cik Bento.” Tegas suara Aniq membuatkan Hana berasa geram.

“Saya nak pergi! Saya nak makan tempat lain!” Hana kembali ke topik utama. Riak wajah Aniq sudah bertukar.

“Suha janganlah macam ini. I’m sorry, okey? Kali ini saya tak main-mainkan awak. Jom,” sekali lagi Aniq mengajak namun di bantah keras oleh Hana.

“Kalau awak nak belanja sangat belanja saja Arissa ni. Saya nak makan dekat tempat lain. Assalamualaikum!” Hana mempercepatkan langkah meninggalkan mereka. Biarlah Arissa dengan mereka berdua.

“Aunty Ivy kalau dah merajuk susah nak dipujuk.” Arissa mencelah. Aniq memandang Arissa dengan satu keluhan. Lain yang dia rancangkan lain pula yang jadi.

“Tapi, uncle jangan risau. Lepas makan nanti kita cari aunty. Nanti, tahulah Arissa nak pujuk dia macam mana.” Kata Arissa dengan senyuman manisnya itu.

“Jom, uncle. Yana dengan Arissa dah lapar ni.” Yana menarik tangan unclenya untuk ikut sama masuk ke dalam restoran tersebut. Aniq akur lalu mengikut langkah dua orang budak di depannya.

Selesai mengaminkan, Yana dan Arissa terus menarik hidangan mereka lalu menikmatinya. Aniq turut sama makan dengan mereka. Saat itu juga fikirannya melayang memikirkan Hana. Agaknya dekat mana tunangnya itu mencari makan?

“Uncle Aniq jangan risaulah. Aunty Ivy pandai jaga diri.” Suara Arissa memecah keheningan malam. Dia berlagak seperti biasa. Memang dia sudah biasa dengan sikap auntynya yang satu ini.

“Aunty memang macam tu kalau dia marah atau merajuk. Ibu selalu marah aunty kalau aunty buat perangai ikut suka hati dia. Bila ibu cabar aunty Ivy, dia akan buat betul-betul. Sebab tu Arissa diam saja. Ikut saja aunty Ivy pergi mana. Aunty Ivy merajuk sebab uncle, kan? Sebab uncle tak bagi dia tempat tinggal, kan?” Tebak Arissa. Aniq diam. Dalam hatinya sempat memuji Arissa yang petah bercakap itu.

“Arissa memang sayangkan aunty Ivy ke?” Aniq ingin tahu. Arissa mengangguk.

“Walaupun aunty Ivy tu suka tunjuk perasaan tapi dia tidak pernah buat Arissa sedih. Dengan Arissa, dia akan jadi aunty yang baik. Begitu juga dengan budak-budak lain. Tapi, Arissa jeles bila aunty lebihkan budak-budak lain dari Arissa.” Arissa menjuih bibir. Yana yang mendengarnya ketawa geli hati.

“Jadi, awak jeles dekat sayalah?” Tanya Yana dengan sisa tawanya.

“Sikitlah. Tapi aunty Ivy lebih sayangkan saya berbanding awak.” Arissa jelir lidah dan kemudian mereka berdua sama-sama ketawa. Aniq tersenyum. Tercuit dengan gelagat mereka berdua.

“Dah. Cepat habiskan makanan tu. Lepas tu, kita cari aunty Ivy.” Kata Aniq lalu menyambung semula suapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience