BAB 57

Romance Completed 25726

HANA duduk di tepi pintu beranda biliknya. Dia melunjurkan kaki menghala ke kolam renang. Makan malam sudah pun disediakan olehnya tadi. Dia malas hendak berlama-lama di bawah. Dia hanya meninggalkan nota kecil di atas meja. Harap suaminya itu membaca nota tersebut bila dia pulang nanti.

Dia memandang langit yang gelap tanpa cahaya bintang. Hana mahu sahaja berjalan di tepi kolam itu tapi dia tidak mahu. Takut kerana kolam itu dekat dengan tebing berandanya.

Teringat dia dengan nasihat-nasihat teman baiknya petang tadi. Encik Muaz pun apa kurangnya. Dia sama dengan Mitsuha yang tidak habis-habis berleter menasihatinya. Kata Muaz perangai gedik Chinta itu memang begitu. Tapi hati Hana tetap mengatakan yang perempuan itu ada hati dengan suaminya.

Matanya mula berat. Dia menguap. Hana berdiri lalu menuju ke arah sofa. Hana membaringkan tubuhnya di sofa. Sejak dulu lagi dia suka tidur di atas sofa. Sofa membuatkan dia cepat mengantuk berbanding tidur di atas tilam. Rasanya ada tak yang berperangai pelik macam aku ni? Fikirnya.

Dia membetulkan posisi tidur. Badannya masih lagi terasa sakit akibat kejadian tadi. Ada kesan lebam pada lengan kanannya. Itu disebabkan oleh lelaki yang bernama Philip yang mencengkam kuat lengannya petang tadi. Hana tidak menyangka kejadian seperti itu berlaku pada dirinya. Walaupun dua lelaki itu sudah di bawa ke balai polis tapi Edine masih lagi di luar sana. Hana menenangkan dirinya sehingga dia tertidur.


ANIQ menguak pintu rumah perlahan. Hari ini dia balik lewat lagi kerana menguruskan beberapa dokumen dan juga mengagihkan tugas kepada pekerja-pekerjanya. Dia akan bercuti mulai esok dan segala hal kerja akan diserahkan kepada abang sulungnya. Selama beberapa minggu ini dia mahu bersama dengan isterinya. Dia sudah membuat banyak perancangan untuk mereka berdua.

Aniq meliau mencari kelibat Hana. Isterinya tiada di ruang tamu mahupun di bahagian dapur. Hatinya mula tidak keruan. Petang tadi dia telah di beritahu oleh orang suruhannya mengenai kejadian yang berlaku pada isterinya itu. Mujurlah dia membuat keputusan yang betul. Selagi Edine tidak di tangkap selagi itulah dia akan mengupah orang untuk tengok-tengokkan isterinya sekiranya dia tidak ada di rumah. Segala pergerakan isterinya akan di pantau oleh orang-orang suruhannya itu.

Ketika melimpasi meja makan, Aniq perasan ada nota kecil yang diletakkan di atas meja makan. Dia mengambil dan membacanya. Hana sudah menyediakan makan malam untuknya dan menyuruhnya makan. Aniq membuka tudung saji dan melihat hidangan yang dimasak oleh isterinya itu. Dia menguntum senyuman. Dia merasa sedikit hidangan tersebut sebelum menutup semula dengan tudung saji. Dalam keadaan isterinya begitu, isterinya masih lagi memikirkan makan minumnya. Aniq rasa serba salah. Pantas kaki di hala menuju ke anak tangga naik ke bilik.

Aniq sudah memindahkan barang-barangnya ke bilik Hana semalam sewaktu isterinya itu sedang tidur mati. Aniq menguak pintu perlahan. Tersenyum dia melihat sang isteri sedang tidur di atas sofa. Dia mahu melepaskan rindunya tapi, perkara wajib harus ditunaikan dulu.

Selesai solat Aniq turun ke bawah untuk mengisi perut. Sesudah itu, dia naik semula ke atas. Dia mahu melepaskan rindu pada si isteri pula. Aniq duduk di atas meja sambil memerhatikan isterinya yang sedang tidur berbalut dengan selimut tebal. Aniq membongkokkan sedikit tubuhnya agar rapat dengan wajah si isteri. Dia membelai rambut panjang milik Hana. Dia suka dengan bau harum rambut isterinya itu.

Kali pertama dia melihat aurat Hana adalah sewaktu mereka berada di Pulau Langkawi. Ketika itu dia tidak sengaja terlihat Hana sedang berdiri di tepi tingkap dengan rambut yang tidak berikat. Hana mengerekot. Aniq menghentikan belaiannya pada rambut Hana. Wajah polos diperhatikan. Dielus lembut pipi gebu si isteri.

Dia mengerutkan dahi. Tangan kanan yang terkeluar daripada selimut itu diperhatikan dalam. Kesan lebam itu betul-betul menyakitkan hatinya. Semua yang berlaku petang tadi dia sudah tahu. Edine memang mahu kena dengannya.

"Kau tak akan lari ke mana-mana Edine. Orang-orang aku dengan pihak polis akan mencari kau sampai ke lubang cacing sekalipun." Aniq mendengus, geram.

Wajahnya bertukar sayu. Kesian dia melihat isterinya. Sanggup dua lelaki itu memperlakukan isterinya sebegini. Mujurlah orang-orangnya bertindak cepat. Kalau tidak, entah apa akan jadi pada isterinya selepas ini.

Aniq mencium lebam di lengan Hana itu sebelum diusapnya lembut. Perbuatannya itu langsung tidak disedari oleh Hana. Aniq tersenyum. Dia mencempung tubuh isterinya lalu dibaringkan di atas katil. Aniq menyelimutkan Hana. Dia berbaring di sisi isterinya itu sambil membelai rambut si isteri. Tidak lama kemudian dia tertidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience