BAB 46

Romance Completed 25726

SUHANA IVY masih lagi berada di HKL. Dia mengeluh. Sepatutnya , kelmarin dia sudah boleh keluar dari tempat ini tetapi, tunangnya mahu dia tinggal di situ untuk sehari lagi. Katanya, mahu dirinya itu benar-benar pulih daripada sakitnya. Hana pelik. Dia bukannya sakit cuma pengsan saja kelmarin. Itupun di kira penyakitkah?

Hana baru sahaja keluar daripada bilik air dan ketika itu Aniq muncul di depannya. Hana tersengih.

"Risau abang, Suha tak ada di katil tu tau." Jelas kelihatan riak risau di wajah lelaki itu.

"Buat apa nak risau. Saya bukannya nak larikan diri pun. Saya ke tandas je." Hana mencebik. Dia kembali ke katil pesakit dan menghenyakkan punggung di birai katil tersebut. Aniq pula sedang mengeluarkan makanan yang di bawanya dari rumah dan di hidangkan di atas meja yang ada di dalam bilik tersebut.

"Sini. Kita makan dulu. Kalau makanan ni dah sejuk tak sedap pula." Ujar Aniq. Hana menurut saja katanya.

Selesai Aniq mengaminkan doa, mereka berdua terus menjamu selera. Sesekali Aniq ketawa melihat tingkah laku tunangnya itu. Bagaikan setahun tidak jumpa makanan. Gelojoh sangat tunangnya makan. Sehinggakan sisa nasi yang melekat di tepi bibir tunangnya itu pun tidak disedarinya.

Hana terkejut apabila Aniq dengan bersahaja mengelap tepi bibirnya dengan jari. Wajahnya mula bertukar warna. Aniq ketawa melihat reaksi Hana itu.

"Comellah Suha buat muka macam tu."

"Comellah sangat. Awak ni suka hati saja ambil kesempatan dekat saya, kan." Hana menggeram.

"Kita bukan halal lagi nak bersentuhan begitu tau. Mentang-mentanglah saya dah setuju nak kahwin dengan dia, dia terus buat perangai." Sindir Hana.

"Abang tahulah. Tapi, abang tak tahan tengok nasi tu melekat dekat tepi bibir Suha. Abang jeles tau."

Hana buat muka mahu muntah. "Nak jeles apa? Nasi je pun." Hana meneruskan lagi suapannya. Malas dia mahu melayan karenah tunangnya itu.

"Mestilah jeles. Itukan bibir Suha yang bakal jadi milik abang tak lama lagi."

Bulat Hana mendengarnya. "Aniq Rafisqy!!!"

Aniq meledakkan tawanya. Lucu melihat wajah merah Hana itu.

Ish, buat malu aku saja! Marah Hana di dalam hati. Hilang terus seleranya mahu makan.

"ABANG nak pergi solat dulu. Jaga diri tu, ya. Kejap lagi keluarga kita datang." Ujar Aniq sebelum melangkah keluar daripada bilik pesakit tersebut. Hana sekadar mengangguk. Dia mengemas meja yang bersepah dengan sisa makanan yang dihumbannya ke wajah Aniq tadi. Geram betul dia dengan perangai lelaki itu.

Hana membuka matanya perlahan. Rupa-rupanya dia tertidur. Aniq pula tidak ada di dalam bilik pesakit itu. Hana terasa haus. Dia mengambil gelas mahu minum dan dia perasan ada nota ditinggalkan di tepi gelas itu. Nota itu daripada Aniq. Tunangnya memberitahunya yang dia keluar ke kafe sekejap.

Hana meletakkan semula nota itu di atas meja tepi katilnya dan kemudian dia menuang air ke dalam gelas sebelum diteguk perlahan. Sambil minum sambil dia memerhatikan ruang bilik pesakit itu.

Hana turun daripada katil dan menuju ke bilik air. Baru beberapa kali melangkah dan dia mematikan langkahnya semula apabila terdengar bunyi pintu dikuak dari luar. Hana cemas. Suara yang didengarinya itu bukan milik Aniq dan bukan juga ayahnya. Laju dia menyembunyikan diri di sebalik langsir.

Kenapa aku rasa tak sedap hati ni? Hana cuba menenangkan hatinya. Dia mengintai di sebalik langsir bilik itu.

"Perempuan tu tak ada dekat sini." Kata lelaki berbadan gempal itu. Di belakangnya ada seorang lagi lelaki yang berpakaian singlet hitam dan berkepala botak.

"Jahanamlah kita berdua kalau kita tak bawa perempuan tu sekarang!" Lelaki berkepala botak itu menumbuk kuat dinding di tepinya.

"Hoi, gempal. Betul juga ke ini bilik perempuan tu?" Lelaki berkepala botak itu meminta kepastian dan lelaki berbadang gempal itu mengangguk. Dia mendengus. Kalau mereka gagal kali ini sudah tentu mereka berdua tidak mendapat habuan daripada bos mereka. Kejadian kelmarin tidak mungkin akan berlaku kepada mereka berdua. Apa yang penting sekarang adalah mencari perempuan itu dengan segera!

Hana telan liur. Seluruh badannya menggeletar. Dia amat takut sekiranya dua orang lelaki itu dapat mencarinya di dalam bilik ini. Apa sebenarnya yang mereka mahu daripada aku ni? Tanya Hana di dalam hati.

Hana menggenggam erat hujung langsir itu apabila dua orang lelaki itu melangkah ke arahnya. Dia tidak putus-putus berdoa agar terselamat daripada dua lelaki itu. Nasib baiklah langsir di dalam bilik pesakit ini tebal dan panjang mencecah sehingga ke lantai. Harap-harap mereka berdua tidak perasan aku.

"Kau rasa perempuan tu ke mana?" Tanya lelaki berbadan gempal itu.

"Kau tanya aku, manalah aku tahu." Lelaki berkepala botak itu mendengus. Lelaki itu betul-betul berdiri di hadapan Hana yang sedang menyembunyikan dirinya di sebalik langsir. Hana menahan nafas agar tidak didengari oleh lelaki itu.

"Sekarang ni apa kita nak buat? Macam mana kita nak bagi tahu dengan tuan kita yang perempuan tu tak ada dalam bilik ni?!"

"Tak apa. Kita tunggu sajalah dia di dalam bilik ini." Kata lelaki berbadan gempal itu.

"Ish, kalau tunang dia datang macam mana? Matilah kita."

"Kau tak payahlah risau sangat. Tunang dia tu tak ada dekat sini pun. Tadi aku nampak dia memandu keluar daripada tempat ni." Beritahu si badan gempal itu.

Aniq pulangkah? Habislah aku. Hana bertambah takut apabila dua orang lelaki itu tidak mahu berganjak dari ruang bilik itu dan saat itu mereka terdengar bunyi deringan telefon. Hana terkejut apatah lagi dua lelaki itu.

"Oh, tak sangka pula dia ada dekat sini." Lelaki berbadan gempal itu cuba mencari arah datangnya bunyi telefon tersebut.

Hana cuak. Telefon yang berdering itu ada dengannya. Otaknya tidak dapat berfungsi sekarang kerana ketakutan sudah menyelubungi dirinya. Jadi, dia hanya membiarkan sahaja telefonnya itu terus berdering.

"Hoi, botak. Aku rasa aku tahu di mana dia sedang bersembunyi." Lelaki berbadan gempal itu tersengih-sengih.

Dari tempat persembunyiannya jelas terdengar dua lelaki itu sedang meledakkan tawa mereka. Hana cuba memberi semangat berani untuk dirinya. Dia harus menyelamatkan diri. Dia mengumpul kekuatan sebelum keluar melarikan diri dari tempat persembunyian. Tindakannya itu mengejutkan dua lelaki tersebut. Nasibnya malang apabila lelaki berbadan gempal itu berjaya menangkapnya sebelum dia sempat membuka pintu bilik tersebut.

"Lepaskan saya!" Hana meronta mahu minta dilepaskan. Terkekek-kekek kedua-dua lelaki itu melihat Hana yang berada dalam ketakutan.

"Hoi, perempuan! Kau ingat kami nak lepaskan kau macam tu saja ke setelah apa yang terjadi dekat dua orang kawan kami kelmarin?" Lelaki berkepala botak itu menunjal kepala Hana dengan kuat.

"Hoi, gempal. Kau pegang dia ketat-ketat. Aku nak pengsankan dia dulu. Senang sikit kita nak bawa dia keluar dari bilik ni nanti."

Lelaki berbadan gempal itu mengikut arahan. Lelaki berkepala botak itu mengeluarkan sapu tangan dan meletakkan sesuatu pada sapu tangan tersebut sebelum diletakkan di hidung Hana. Hana meronta dan terus meronta sehingga pipinya ditampar kuat oleh lelaki berkepala botak itu.

"Hana!" Tepat pada masanya. Aniq muncul di bilik itu. Dia terkejut melihat tunangnya berada di dalam tangan dua lelaki yang tidak dikenali.

"Lepaskan tunang saya!"

"Gempal kau pegang dia ni. Biar aku saja yang uruskan lelaki tu."

Belum sempat tumbukkan itu kena pada Aniq, bilik itu terus diserbu oleh beberapa anggota polis. Terkejut bukan kepalang lagi dua lelaki itu. Mereka berdua tidak dapat berbuat apa-apa lagi apabila bilik itu sudah dikepung oleh anggota polis. Hana dilepaskan. Aniq cepat menyambut tunangnya yang sudah tidak sedarkan diri itu.


"JANGAN apa-apakan saya!" Jeritan Hana membuatkan tidur Aniq terganggu. Aniq segera merapati Hana yang berbaring di atas katil.

"Suha, tenang. Abang sini. Abang ada dengan Suha." Aniq cuba untuk menenangkan tunangnya.

Hana membuka matanya. Dia menangis dan terus memeluk Aniq. Kejadian tadi terbawa-bawa sampai ke mimpinya. Dia sungguh takut sekali.

"Dah. Jangan nangis lagi. Penculik-penculik tu dah ditangkap pun." Aniq masih berusaha menenangkan tunangnya.
Makin erat pelukan Hana pada Aniq.

"Saya takut..."

"Suha tak payah takut. Abang ada."

Beberapa minit kemudian Hana terlena di pangkuan Aniq. Aniq membaringkan semula tunangnya. Selimut ditarik hingga ke paras dada Hana. Dia menarik kerusi lalu duduk memerhatikan tunangnya yang sedang tidur itu.

"Maafkan abang." Ucapnya dengan perlahan. Apa yang dia lakukan ini adalah mahu mengumpan penjahat-penjahat tersebut. Dia berasa serba salah apabila menjadikan tunangnya ini sebagai umpan. Aniq mengelus lembut pipi Hana.

"Abang janji abang akan lindungi Suha." Aniq tersenyum nipis. Dia teringat kata-kata penculik yang berbadan gempal tadi. Mereka berdua diupah oleh orang yang sama. Mereka juga sama seperti dua penculik kelmarin yang mendiamkan diri apabila di tanya tentang orang yang mengupah mereka itu.

Abang janji akan tangkap penjahat tu, kata Aniq dalam hati. Ketika itu dia teringat sesuatu.

"Aku kena siasat dia."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience