BAB 23

Romance Completed 25726

LAGU Dari Mata dinyanyikan oleh Jaz yang berkumandang di corong radio mengacau jiwa Aniq malam itu. Tanpa dia sedari, dia tersenyum sendirian. Lagu yang dimainkan itu seolah-olah luahan hatinya untuk gadis tersebut.

Matanya tidak lepas melihat gelagat Hana dan dua orang budak comel yang sedang bermain di pantai. Arissa dan Yana ada mengajaknya ikut sama bermain namun dia menolak. Aniq hanya duduk di kafe sambil menghirup kopi panas dan memerhatikan mereka bertiga yang tidak jauh darinya.

“Senyum sendiri ni mesti ada apa-apa?” Tegur seorang lelaki dengan senyuman manisnya. Aniq mendongak sambil membalas senyuman lelaki itu yang agak sebaya dengannya. Masih nampak muda dan bertenaga.

“Hai, saya Aikal. Pemilik kafe kecil ni.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Aniq.” Mereka bersalaman lalu Aikal mengambil tempat di sebelah tepinya.

“Kamu senyum seorang ni mesti tengah fikirkan orang yang kamu cinta. Betul tak?” Tebak Aikal. Aniq tersengih.

“Tahu-tahu saja.”

“Mestilah. Saya ni orang yang berpengalaman. Dah banyak orang macam kamu ni datang ke sini. Riak wajah setiap pengunjung yang saya perhatikan di sini semuanya saya kenal. Macam tu,” Aikal menunjuk ke arah salah seorang pengunjungnya yang duduk di hujung kafe. Seorang perempuan.

“Tengok muka dia masam saja. Sejak dia masuk kafe ni, muka dia macam tu saja. Bila saya cakap dengan dia yang dia ada masalah cinta, perempuan tu laju mengangguk.” Aniq ketawa mendengar tilikan Aikal itu. Aikal turut sama ketawa dan mereka berdua terus berbual.

“Aniq, kami nak balik dululah.” Hana datang menegur. Penatnya bermain dengan dua orang budak itu masih terasa.

“Awalnya balik. Lepaklah dulu dekat kafe saya ni.” Aikal mencelah. Hana hanya membalas dengan senyuman.

“Terima kasih. Tapi, dah lewat malam. Lagipun, budak-budak tu dah mengantuk.” Hana menunjuk ke arah Arissa dan Yana yang masih meneruskan permainan mereka. Aikal angkat kening. Pandangannya bersilih ganti antara Aniq dan juga Hana.

“Korang berdua dah kahwin rupanya. Kahwin muda?” Selamba sahaja Aikal bertanya soalan itu.

Hana dan Aniq saling berpandangan. Kemudian, Hana melarikan pandangan ke tempat lain. Malu. Aniq mengukir senyuman.

“Kami tak kahwin lagi. Tapi, akan kahwin bulan depan.” Terkejut Hana mendengar kata lelaki itu.

Timbul rasa geramnya. Mahu saja dia melancarkan perangnya tapi niatnya terbatal memandangkan di depannya ada orang lain.

“Korang berdua berbuallah. Saya nak balik dulu. Saya bawa mereka balik sama. Assalamualaikum.” Hana tidak mahu berlama-lama di situ, takut jika dia dengar yang bukan-bukan lagi dari mulut lelaki itu. Hana memanggil Arissa dan juga Yana.

“Suha, kejap.” Aniq menahannya. Dia memberikan tiga helai kertas bersaiz kecil yang sudah digulung dan diikat dengan tali berwarna pink kepada Hana.

“Suha simpan dalam balang kaca. Kalau terasa nak baca, Suha baca sajalah.” Aniq senyum nipis. Hana hanya mengambil kertas-kertas yang bergulung itu lalu bergerak pulang ke hotel dengan Arissa dan juga Yana. Aniq menghantar dengan ekor mata.

Aniq berpaling semula dan pemilik kafe itu sudah tidak ada di tempat duduknya. Matanya meliar dan ternyata pemilik kafe itu duduk di tempat perempuan yang baru sahaja diperkatakan oleh lelaki itu tadi.

"Sayang, huh?" Terlepas tawa kecilnya. Aniq terdengar pemilik kafe itu memujuk perempuan itu semula. Rupanya perempuan itu adalah kekasih pemilik kafe tersebut. Sekilas pandang pemilik kafe itu memandang Aniq dengan sengihan. Malulah tu.

HANA keluar dari bilik mandi. Arissa dan Yana sudah terlelap kerana kepenatan. Hana membetulkan selimut mereka. Balang kaca yang berada di atas meja bilik itu diperhatikan lama. Apa sebenarnya isi di dalam kertas-kertas tersebut? Hana mahu membacanya tapi bukan malam ini. Bukan di sini. Biar dia baca kertas-kertas tu bila dia kembali ke rumah nanti.

Hana menuju ke arah tingkap yang menghadap pantai. Hana membuka tingkap lalu menghirup udara malam. Rambutnya yang masih basah itu dibiarkan lepas begitu sahaja. Baru sahaja dia hendak mengelamun, kedengaran bunyi mesej masuk. Hana membuka dan membacanya.


Dah tidur? ~ Aniq

Hana tergamam. Rupanya mesej dari Aniq. Memandangkan moodnya hari ini agak baik, dia akan melayan sahaja mesej lelaki itu.


Belum. ~ Hana

Ringkas. Hana membuang pandang semula ke luar tingkap. Bunyi mesej masuk menyentaknya semula.


Kenapa tak tidur lagi? Budak-budak tu pun tak tidur lagi ke? ~ Aniq


Dia orang dah Tidur. Saya saja yang tak dapat tidur. ~ Hana


Fikir apa? ~ Aniq

Lambat-lambat Hana membalasnya. Dia terfikir kata-kata Aniq semasa mereka di kafe tadi. Entah betul atau tidak kata-kata lelaki itu. Dia belum bersedia lagi untuk melangkah ke alam baru. Ini semua terlalu cepat baginya.


Aniq, pasal kahwin tu… awak tak seriuskan? ~ Hana


I’m serious when it all about us. We will marry next month. ~ Aniq

Hana mengeluh. Dia perasan setiap kata dan bicara lelaki itu. Bila lelaki itu sudah bertukar bahasa tahulah Hana yang lelaki itu sedang serius. Dengan keadaan macam itu, mana mungkin Hana boleh melawannya kerana setiap kali dia melawan pasti dia akan kalah.


Saya tak bersedia lagi untuk semua tu… ~ Hana


So, get ready from now. ~ Aniq

Hana ketap gigi. Sakit jiwa bila lelaki itu tidak ambil kisah.


Masuk dalam dan tutup tingkap tu. Tidur. Dah lewat ni. ~ Aniq

Bulat mata Hana bila membaca mesej tersebut. Laju kepalanya mencari kelibat lelaki itu di bawah. Dia perasan satu susuk tubuh yang sedang membelakanginya. Seorang lelaki yang sedang meninggalkan tempat tersebut.

Dia nampak aku? Jadi….

Hana pandang dirinya di cermin lalu memarahi dirinya. Cuai. Dia tidak memakai tudung dan pakaiannya juga agak seksi sedikit kerana baju itu ketat dan mengikut bentuk badan.


“WHAT!”

“Maaf, tuan. Cik Edine dah semakin melampau. Kami semua dah cuba halang dia seperti selalunya. Tapi, tak sangka dia bertekad membakar kereta-kereta syarikat kita.” Beritahu Muaz di hujung talian.

Aniq mendengus kasar. Rambutnya di ramas kasar. Awal pagi lagi dia sudah menerima berita yang tidak sepatutnya dia dengar. Tidak sangka kelakuan perempuan itu sudah sampai ke tahap ini. “Dah lapor pada polis?”

“Dah. Tapi, perempuan tu…” Takut pula Muaz hendak memberitahu tuannya itu.

“Kenapa dengan dia? Lari?!” Tebak Aniq.

“Ya… ya, tuan.” Jawab Muaz takut. Suara keluhan Aniq dapat Muaz mendengarnya.

“Okay. Now, you uruskan apa yang patut dulu. Saya akan ke sana secepat yang mungkin.”

“Tapi, cuti tuan…”

“It is okay. Buat apa yang saya suruh dulu.” Arahnya.

“Baik tuan. Hati-hati.” Pesan Muaz sebelum mematikan talian.

Aniq terus mengemas pakaiannya dan juga anak buahnya. Dia sempat menghantar mesej kepada Hana agar mengikutnya pulang hari ini.


HANA masih tidak tahu apa yang sedang berlaku. Wajah Aniq tegang sejak mengambil mereka di hotel lagi. Sampai di Kuala Kedah, Aniq terus meletakkan beg pakaian mereka ke dalam bonet kereta. Wajahnya masih tegang dan tidak mahu sebarang perbualan antara mereka. Arissa dan Yana yang melihat keadaan Aniq itu juga tidak berani untuk bersuara.

“Kita akan terus ke Kuala Lumpur.” Aniq memecah kesunyian. Laju Hana memandangnya.

“Apa?! Kuala Lumpur? Awak bawa kami balik sana?!” Hana terkejut bila Aniq membuat keputusan untuk pulang ke ibu negara.

“Kenapa awak tak hantar saja kami pulang dulu. Lepas tu, ikut suka awaklah nak balik sana.” Kata Hana geram.

“Tak ada masa.” Senang saja lelaki itu memberi jawapan.

“Awak buat saya sakit jiwa tau tak! Kalau tak boleh nak hantar kita orang, awak bagi tahu sajalah. Bukannya susah, pun. Saya boleh saja ambil teksi atau bas.”

Aniq diam. Tidak menjawab. Hana merengus. Arissa dan Yana yang duduk di bahagian belakang pula hanya mendiamkan diri. Masing-masing cuba untuk melelapkan mata.

“Balik sana. Lepas tu, kena balik sini. Buang masa tau tak! Kalau aku kerja sana tak apalah. Suka hati dia saja nak bawa aku. Takkan nak tinggalkan kerja macam tu je. Uncle Han bukan bagi aku cuti lama, pun.” Hana mengomel. Sengaja dia menguatkan suara agar Aniq mendengarnya.

“Suha tak akan kerja dekat kafe tu lagi.” Hana tercengang.

“Aniq, apa masalah awak ni? Suka hati awak saja nak buat keputusan untuk saya.”

“Abang tak ada masalah langsung dengan Suha. Tapi, mulai dari sekarang Suha tak akan kerja sana lagi. Suha akan ikut abang.” Tegas suaranya.

“Sedapnya mulut awak cakap macam tu. Habis mana saya nak cari duit lagi?! Takkan saya nak bergantung pada keluarga saya!” Geram sungguh Hana.

“Kalau Suha nak duit, abang boleh bagi. Cakap saja nak berapa. I will give it to you.”

Hana senyum sinis. “Orang kaya memang macam tu. Suka sangat pandang rendah dengan orang bawahan macam kami.” Sindir Hana. Aniq mengerling ke sebelah.

“Suha, I’m serious, okay! If I said I want you, I really means it,” Aniq menarik nafas panjang sebelum menyambung ayatnya.

“Kalau Suha kahwin dengan abang pun, abang tak akan bagi Suha kerja. Apa guna duit yang abang ada kalau bukan untuk Suha. Duit abang duit Suha juga.” Suaranya dilembutkan.

Kau ingat aku nak kahwin dengan kau sangat ke?! Aku tak nak! Aku nak cari duit hasil dari titik peluh aku sendiri. Aku tak nak bergantung dengan siapa-siapa termasuk kau! Hana hanya mampu melepaskan rasa tidak puas hatinya di dalam hati sahaja.

“Hantar saya dengan yang lain pulang dulu.” Hana balik ke topik utama. Aniq merenung tajam.

“When I said no! It means no!”

Hana telan liur. Aniq marah ke? Ini yang aku tak suka ni. Takkan aku nak mengalah lagi. Hana merengus.

“Aniq, hantar saja kami dekat stesen bas. Lepas tu, awak nak balik sana terpulang pada awak. Takkan benda macam ni pun awak tak faham.”

“Cik Bento, saya malas nak bertekak dengan awak. Just follow me, okay?” Suaranya dilembutkan semula. Nasib baik suaranya tidak mengejutkan tidur dua orang budak comel itu.

“Awak ni buat saya pening tau tak. Sekejap-kejap tukar nama orang. Awak tu pula bahaskan diri abang. Saya tak sukalah. Geli tau tak!”

Aniq tersengih. “Suka hati abang la. Lagipun, Cik Bento dengan Suha kan orang yang sama.”

“Ada saja jawapan awak ni, kan.” Geram Hana. Beg tangan dicapai lalu mengambil telefonnya yang berada di dalam beg tersebut. Dia mendail nombor seseorang.

“Telefon siapa?”

“Umi.” Jawabnya ringkas.

“Nak buat apa?” Tanya Aniq lagi.

“Bagi tahu yang awak bawa kami ke KL.” Jawabnya selamba.

“Tak payah. Abang dah telefon mereka. Mereka dah tahu pasal ni.” Hana bungkam. Dengan kasar dia mencampakkan semula telefonnya ke dalam beg tangan. Hana berpeluk tubuh lalu membuang pandang ke luar tingkap. Lebih baik dia mendiamkan diri sahaja daripada bertengkar dengan lelaki di sebelahnya itu.


HAMPIR enam jam lebih Aniq memandu dan akhirnya mereka selamat sampai ke tempat destinasi. Aniq mematikan enjin keretanya. Dia meregangkan otot-otot dan sendi-sendinya sebelum keluar daripada kereta. Beberapa pengawal sudah siap berdiri di depan majikannya. Orang gaji rumahnya juga turut sama ada di situ.

“Pak Wan, tolong minta yang lain awasi kawasan rumah ni, ya.”

“Mak Yah, saya bawa tunang saya. Saya nak Mak Yah dan yang lain tolong sediakan apa yang patut.” Arah Aniq. Mereka mengangguk faham lalu beredar dari situ. Mak Yah dan yang lain tidak terkejut bila majikan mereka membawa tunangnya ke rumah kerana mereka sudah pun dimaklumkan terlebih awal.

Aniq membuka pintu kereta di tempat Hana. Arissa dan Yana sudah pun dikejutkan olehnya. Laju Yana membawa Arissa masuk ke dalam. Hanya tinggal Aniq dan juga Hana.

“Suha, bangun. Kita dah sampai.” Perlahan-lahan Aniq mengejutkan gadis itu. Hana mengiring ke sebelah. Kelakuan comel Hana itu mengundang tawa kecilnya. Tiada lagi wajah tegang. Aniq sekali lagi mengejutkannya.

“Ish, janganlah kacau! Nak tidur pun tak boleh.” Rungut Hana lalu bangun daripada tidurnya. Dia memisat matanya. Terbuka luas matanya bila pemandu kereta itu tiada di sebelah. Arissa dan Yana juga tidak ada di tempat mereka.

“I’m here.” Ujar Aniq. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran gadis itu. Hana berpaling lalu mendongak ke atas. Aniq ada di depan mata dengan senyuman yang diukir. Hana tidak mahu bersuara. Dia membetulkan selendangnya lalu keluar daripada perut kereta.

“Kita kat mana?” Tanya Hana. Dia belum pernah melihat tempat tersebut. Kawasan yang amat luas. Di depannya terpacak sebuah rumah elit yang sangat mewah baginya. Dia kemudian memandang Aniq semula.

“Apa tempat ni? Rumah agam yang besar ni siapa yang punya?” Tanya Hana.

“Arissa dengan Yana mana?” Tanyanya lagi. Hana seperti cacing kepanasan bila Arissa tiada di depan mata.

“Tenang, Suha. Yana dah bawa masuk ke dalam. Ini rumah keluarga abang.” Beritahunya.

“Rumah awak? Besarnya…” Puji Hana. Aniq tersenyum. Kemudian senyumannya mati bila Hana merenungnya tajam.

“Kenapa tak kejutkan saya? Kenapa tak hantar saya balik ke rumah kakak saya? Awak ni…”

“Masuk atau tak?” Aniq bertukar wajah serius. Hana menghentakkan kakinya sebelum mengikut lelaki itu masuk ke dalam rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience