BAB 54

Romance Completed 25726

“NAK pujuk macam mana ni…?” Gumamnya sambil memintal hujung tudung segeranya.

Semalam, dia asyik melayan perasaannya. Entah, jam berapa dia terlelap dan apabila dia bangun jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Nasib baiklah dia tidak boleh solat. Hana segera membersihkan diri.

Selesai berpakaian, Hana duduk di sofa biliknya. Sekarang dia sudah tahu isi hati suaminya dan dia perlu fikirkan sesuatu untuk memujuk semula suaminya itu.

Hana menghela nafas. Dia juga tidak mahu menyeksa dirinya kerana dia sudah mulai sayangkan Aniq. Entah, sejak bila sayangnya pada Aniq itu timbul di dalam hatinya?


HANA keluar dari bilik. Sempat dia membetulkan tudung bawalnya sebelum keluar daripada ruangan bilik tersebut. Dia masih belum biasa lagi dengan kehidupan barunya ini. Bilik tidur Aniq di sebelah biliknya dikerling sekilas. Sudah bangunkah dia?

Hana takut hendak mengetuk pintu tersebut. Jadinya, dia hanya memandang saja pintu tersebut. Hana melangkah menuruni anak-anak tangga.

Hana masuk ke dalam dapur mencari sesuatu yang boleh dimakan. Dia membuka peti sejuk dan alangkah terkejutnya apabila dia melihat semua bahan-bahan basah ada di dalamnya. Hana kemudian membuka kabinet almari yang berada di atas. Bulat matanya bila melihat bahan-bahan kering yang serba lengkap.

“Sejak bila dia sediakan semua ni?” Tanya Hana sendirian. Dia tidak puas hati. Kelmarin, dia hanya memeriksa luaran dapur itu sahaja. Sekarang, dia mahu menggeledah ruang dapur itu dan ternyata semuanya lengkap dengan barang-barang keperluan. Hana tersenyum sendiri. Dia mendapat satu akal. Malam ini dia mahu membuat kejutan untuk Aniq.

Nasib Hana sungguh baik. Ketiadaan suaminya membolehkan dia meneruskan rancangannya. Makanan spesial sudah disiapkan. Lilin wangi juga sudah diatur dan sudah dinyalakan apinya. Meja halaman yang ada di belakang rumah mereka juga sudah disiapkan. Malam ini dia mahu memujuk suaminya. Hana tersenyum sendiri.

Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Kelibat suami masih tidak kelihatan. Ke mana pula suaminya pergi sampai sekarang tak balik lagi? Hana mula risau. Dia takut rancangannya gagal. Matanya dialihkan pada lilin wangi yang disusun cantik di atas lantai menuju ke halaman belakang. Satu persatu cahaya lilin itu terpadam. Harap dia balik sebelum semua cahaya lilin ni terpadam. Keluh Hana.

Setengah jam berlalu dan suaminya masih belum pulang. Cahaya pada lilin wangi itu semuanya sudah terpadam. Matanya semakin berat. Dia tidak dapat menahan kantuknya dan akhirnya tertidur di atas sofa ruang tamu.

ANIQ membuka daun pintu perlahan. Rumahnya dalam keadaan gelap. Aniq meraba-raba mencari suis utama. Sebaik sahaja lampu terpasang, dia tergamam melihat lilin wangi yang sudah mencair tanpa cahaya tersusun sehingga ke belakang. Apa yang berlaku ni? Tanya Aniq dalam hati.

Aniq perasan satu susuk tubuh yang sedang berbaring di sofa ruang tamu itu. Dia mendekatinya. Aniq senyum segaris bila melihat wajah polos itu. Isterinya sedang tidur di situ rupanya.

Terpegun seketika Aniq melihat wajah si isteri tanpa hijab. Rambut panjang milik Hana dibelai manja. Cantik juga isteri aku ini, pujinya dalam hati. Hilang terus rasa rajuknya pada sang isteri. Aniq berganjak sedikit apabila Hana mengerekot. Comel.

Aniq kembali berdiri dan matanya terpaku semula pada lilin wangi yang tersusun cantik hingga ke belakang. Aniq mencari arah tuju lilin-lilin tersebut. Sampai di belakang halaman dia terpaku melihat meja yang dihiasi dengan bunga ros dan juga lilin meja. Ada juga bekas makanan yang bertutup. Bento ke?

Aniq melajukan langkah sehingga ke meja halaman itu. Ada tiga bekas makanan yang bersaiz sederhana besar disediakan di atas meja tersebut. Air minuman juga turut tersedia.

Tiba-tiba dia rasa bersalah dengan isterinya. Bukan niatnya untuk balik lewat hari ini. Semuanya disebabkan kerjanya yang perlu diselesaikan dalam masa dua hari ini. Aniq membuka ketiga-tiga penutup bekas makanan tersebut. Dia tergamam.

Cantik dan berseni hidangan di dalam bekas-bekas tersebut. Isterinya sememangnya pakar membuat bento. Aniq terharu bila melihat perkataan yang diukir dengan Nori di atas makanan itu.


Suha. Minta. Maaf.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience